Sep 18, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (61) Melur Bunga Ivy

Penulis: Nazurah Aishah
Penerbit: Jemari Seni Publishing
ISBN978-967-5118-42-5
Harga: RM20.00/ RM23.00
M/S: 473
Cetakan 1 – Jun 2010

Loving an Ivy
Teratai warna merah hati daunnya lebar berbiku, hijau. Ada tempayan besar ditanam seroja berbunga merah jambu. Deretan pasu tirus panjang berisi bunga-bunga kekwa bagai palet-palet warna. Pasu-pasu kecil warna putih dengan juntaian pokok-pokok ivy.

Blurb:


Sebuah impian menjadi kenyataan. Seperti ceria lagi warna-warni serta harumnya bunga-bunga di situ, itulah yang dia cuba terapkan dalam hidup ini. Dia ingin bahagia. Dia ingin dihargai.

Pertemuannya dengan Azam membuka ceritera baru. Azam yang sungguh berazam itu adalah ‘masalah’ baginya. Namun Azam adalah kunci untuk membuka pencarian pada ‘dia’ yang sudah pergi. Sukar untuk dia melupakan ‘dia’, seperti sukarnya dia meletakkan Azam dalam hatinya.

Namun Attia perlukan ayah, jadi perlukah dia tutup hatinya dengan abaikan kehendak Attia? Atau memilih Azam semata-mata bagi membahagikan anaknya? Tetapi…kalau hati sudah tidak cinta, bolehkah hati-hati itu disatukan, Khalida?

*****
NAZURAH AISHAH menggunakan pendekatan yang berbeza untuk mempersembahkan Melur Bunga Ivy. Ikuti Khalida untuk belajar menggubah bunga di Loving an Ivy, sambil ‘sertai’ babak cemas yang penuh emosi di situ. Sebuah kisah cinta sewangi melur!


Sudut pandang Kak Chik:

Sudah hampir dua bulan kisah manis ini habis dikhatam. Sebenarnya pengakhiran kisah manis ini sudah diketahui lewat Bening Merah Jingga, namun ia sedikit pun tidak ‘mematikan’ hati untuk tahu rencahnya kerana penulis bagaikan menyimpan rahsia yang tersembunyi dalam MBI. Kisah manis yang mewangi membuat kita tersenyum-senyum sendiri kala mengulit perjalanan kisah Azam yang sungguh bertekad. Pada Kak Chik MBI satu-satunya karya penulis yang tidak ‘mengeritkan’ mata untuk dipejam celik berkali-kali.

Melewati pencarian Azam selepas wasiat yang ditinggalkan adiknya, Ariff Azlan yang meninggal semasa menuntut di US. Wasiat yang selama ini terbiar sepi demi menjaga sekeping hati seorang ibu yang terkilan dan tertekan dengan pemergian mendadak si anak dengan penuh tragis. Siapa Durra yang telah berjaya menakluk hati Ariff Azlan sehingga bernikah tanpa izin keluarga?

Dalam masa yang sama, Azam yang sudah melewati umur 35 tahun bagaikan terpukau dengan perempuan yang selalu berbaju kurung – Khalida. Dia bagaikan anak remaja yang diulit perasaan indah yang melayang apabila peristiwa perlanggaran itu. Khalida yang sentiasa berbaju kurung dan sungguh sopan pada mata Azam. Namun kenapa Khalida bagaikan sering kali mengelak diri apabila Azam cuba untuk mengenalinya?

Stephanie Ivy Gabrielle – dia hilang segalanya setelah dia memilih DIA. Dia terpaksa bangun kembali dengan pertolongan Auntie Celia dan sepupu-sepupunya, Tina dan Jane sedangkan dia satu-satunya anak kepada Gabrielle dan Lara. Dia berhijrah ke Johor Bahru dengan membuka kedai bunga Loving an Ivy semata-mata mahu mencari nasab buah hati yang ditinggalkan untuknya. Pengorbanan Stepahie yang menuntut segalanya – masa, wang ringgit dan kasih sayang.

Kenapa Gabrielle begitu gila sehingga sanggup mengupah orang untuk membunuh Stephanie dan zuriatnya? Siapa pula Wardah yang sentiasa dirindu oleh Hajah Azimah sejak puluhan tahun dulu? Siapa Khalida dan Stephanie yang membuat Azam sanggup menjadi driver kedai bunga itu?

Sebuah karya yang matang dengan bahasa yang tersusun cantik dan penuh haruman mewangi sepanjang bersama Azam walaupun kadang-kala hati dilanda debar dan ngilu. Penulis menggarap karya ini dengan isu yang sensitif yang sudah pasti menggolak hati kita sesama umat Islam – murtad. Isu yang pada Kak Chik teramat jarang dijadikan isi penting dalam karya tempatan. Kita dapat menilai cara kita sendiri, umat Islam yang masih berdiam diri walaupun darah daging sendiri yang dilarikan dari landasan akidah yang sebenar. Tetapi lain caranya orang ‘luar’ apabila darah daging mereka mahu keluar dari jalan gelap mereka sehingga mereka sanggup bermati-matian mencuba pelbagai cara untuk menegahnya.

Tahniah pada penulis untuk sebuah karya yang manis mewangi walaupun penuh ranjau yang membuat hati kadang kala terguris. Sebenarnya jika ditilik, ia adalah sebuah karya yang menyampaikan sindiran pedas yang perlu kita selidiki.

‘Daripada segugus bunga stephanopis dan juntaian-juntaian ivy, dia bertukar jadi ‘mutiara hati yang abadi’. Simbolik dan penuh cinta – MBI;227 (antara tinta hati penulis yang Kak Chik gemari).

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

0 comments: