Sep 7, 2011

UA : Cabaran 50 Buku : (7) Bidadari Hujan

Judul : Bidadari Hujan
Penulis : Noor Azzahra
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 508 m/s
ISBN : 978-967-5118-34-0
Cetakan kedua April 2010

Kulit belakang novel :

I

Tanpa diduga tatkala hujan sedang turun pada suatu pagi, aku terpanah dek kasmaran untuk pertama kali.
Dia Bidadari Hujan yang memayungi aku dengan payung cintanya! Aku terpesona pada kejelitaannya.
“Harap-harap esok pagi hujan lagi!” kataku sambil menghadiahinya senyum.
Matanya memanah hatiku dengan busur arjuna. Lalu hari-hari selepas itu, aku bukannya lagi Raimy Haidar yang dulu.

II

Hujan mencurah lagi. Diberinya aku sekaki payung.
“Macam mana saya nak pulangkan?”
Langkah dia terhenti. Aku menanti. Perlahan-lahan dia berpusing kembali menghadap aku.
Oh, dia bukannya Bidadari Hujan aku yang dahulu. Tingkahnya penuh pekerti senyumnya penuh erti.
“Simpanlah andai awak rasa mahu menyimpannya. Buanglah andai awak rasa mahu membuangnya.”
Apa jawab hati aku pada saat ini?

Bicara Ummu Ammar :

Bidadari Hujan…tajuk yang sangat unik sebenarnya. Tatkala melihat akan judulnya, saya sendiri tertanya-tanya apa kaitannya antara bidadari dengan hujan.. Apa yang dapat saya simpulkan ialah saat hujan turun membasahi bumi, akan hadir seorang gadis yang sangat cantik menghulurkan payung untuk berteduh daripada hujan.

Antara yang menarik dalam novel ini ialah, watak utamanya seorang lelaki! Tetapi penulis Berjaya menghidupkan watak tersebut walaupun penulis seorang wanita. Penulis menggarap kisah hidup Rain (nama sebenar Raimy Haidar) penuh dengan suka duka dalam bercinta dan alam rumahtangga.

Seperti kebanyakan novel, kisah kahwin paksa atau lebih sedap didengar sebagai berkahwin dengan pilihan orang tua menjadi plot utama penulis dalam cerita ini. Rain dipaksa untuk menikahi Sofea dan Rain tiada daya untuk menolak apabila nendanya menggunakan alasan yang nendanya sakit teruk dan ingin melihat Rain bernikah dengan Sofea sebelum menutup mata. Apa pilihan yang Rain ada..? Sofea dinikahi, namun kunci hatinya tetap pada Lia. Kekasih awal dan akhir Rain.

Rain ingin meneruskan percintaan antara mereka walaupun Rain sudah menikah.

Lain pula di pihak Lia. Sebagai seorang gadis bermaruah, tidak sesekali akan merosakkan rumahtangga milik orang lain. Biar bagaimana tiada sekelumit pun perasaan cinta Rain pada isterinya. Lia pasrah dengan keadaan. Yang penting, hidup perlu berlandaskan prinsip hidupnya.

Ingin menjadi isteri solehah…? Contohi sifat yang ada dalam diri Sufi Sofea. Sufi Sofea, seawal malam pertama lagi diuar-uarkan bahawa suami yang baru dinikahi itu sudah punya kekasih hati lain. Luka yang sedia ada umpama dicincang lumat lalu dipercikkan dengan asam limau. Sakitnya terasa, pedihnya mendenyut ke merata tubuh. Ah, tidak mengapa. Tugas seorang isteri tetap dilakukan seikhlas hati atas tiket tanggungjawab. Berusaha menggembirakan hati sang suami waima sering tidak diendah, memasak juadah biarpun tidak pernah disentuh walau sesudu..Menggunakan bahasa yang lembut tatkala bertutur dengan suami walau seringkali ditempelak rasa benci si suami. Sedihnya…

Benarlah kata penulis, kasihan itu salah satu cabang cinta! Kerana kasihan timbul kerisauan. Kerana simpati rasa cinta berbunga dihati. Dan kita akan lebih menghargai seseorang saat dia telah hilang dari pandangan.

Kerana…Bahagia itu kita yang cipta, pada Sang Pemberi Cinta serah segala…

---
Ummu Ammar

0 comments: