Sep 12, 2011

AS: Cabaran Buku (42) Syurga Di Wajahmu


Tajuk: Syurga Di Wajahmu
Penulis: Laila Hanni
Penerbit: Kaki Novel (Julai 2011)
539 Mukasurat
Harga: RM20 (SM)/ RM23 (SS)

Membaca novel ini membawa kita menyelami beberapa permasalahan dalam masyarakat kita dan juga hal-hal yang selalu menjadi permasalah dalam sesebuah hubungan suami isteri.Mungkin bagi sesetengah pembaca mendapati novel ini lebih sesuai dibaca oleh golongan dewasa disebabkan ada beberapa bahagian tidak sesuai bagi golongan bawah umur. Bagi saya terpulang kepada penerimaan individu yang membaca kerana apa yang penting adalah nilai-nilai yang baik yang hendak disampaikan oleh penulis.

Sebuah novel yang digarap dan disampaikan dengan baik oleh penulis, baik dari segi bahasa malah dari segi penyampaian isu yang diketengahkan. Maka tidak sia-sialah penulis mengambil masa yang lama untuk menyiapkan novel ini. Bagi saya novel ini menarik kerana:

a) Sikap segelintir masyarakat yang masih memandang hina terhadap anak luar nikah sedangkan anak yang dilahirkan itu suci bersih. Tetapi masayarakat lebih senang memandang serong sehinggakan boleh saja menyebabkan rasa rendah diri dan hina kepada anak yang tidak berdosa itu kerana terbawa-bawa dengan pandangan negatif masyarakat walaupun bukan semua masyarakat berprasangka negatif terhadap anak luar nikah.
b) Peranan ibu bapa mendidik anak-anak mereka dengan ilmu duniawi dan akhirat agar seimbang. Disebabkan kelalaian ibu bapa maka anak yang menjadi mangsa hidup dalam kejahilan.
c) Sikap degil dan berprasangka yang membawa padah kalau tidak kena tempatnya. Dalam hubungan suami isteri sikap berprasangka boleh saja meruntuhkan rumahtangga kalau tidak ditangani dengan bijak.Pentingnya suami isteri perlu saling percaya -mempercayai dan hanya mengambil tindakan sekiranya ada bukti yang cukup.
d) Pintu taubat sentiasa terbuka bagi setiap orang yang benar-benar ingin bertaubat dan meninggalkan dosa-dosa yang pernah dilakukannya.

Walaupun dua orang hero yang ditampilkan mempunyai dua perwatakan yang berbeza, namun saya tetap jatuh cinta dengan kedua-duanya. Hairi digambarkan sebagai seorang lelaki serba-serbi baik manakala Engku Lokman pula seorang yang tidak pernah takut melakukan perkara menurut nafsu. Mungkin ada yang terkilan apabila Idayu memutuskan pertunangannya dengan Hairi disebabkan rasa rendah diri dengan asal keturunannya kerana Hairi sesungguhnya menyintai Idayu dengan sepenuh hatinya. Mungkin juga kita merasa jelik melihat Engku Lokman yang bersekedudukan dengan Astri tanpa rasa berdosa malah disebabkan menurut nafsu dia telah merogol Idayu. Namun selepas saja menikahi Idayu, Engku Lokman telah berubah 100%. Dia belajar mengenali dirinya sendiri, dia belajar mengenal Tuhan malah sepenuh hatinya mencintai Idayu. Jadi tidak hairanlah pembaca boleh saja melupakan tabiat jahil Engku Lokman yang lama dan jatuh cinta dengan Engku Lokman yang baru.

Idayu? Digambarkan sebagai seorang wanita yang telah dididik dengan baik oleh ibu bapa angkatnya, baik tingkah lakunya,ayu, tinggi lampai tetapi mungkin disebabkan sikap degil dan prasangkanya menyebabkan kadangkala kita merasa geram terhadapnya. Sikap degil kerana tidak menerangkan hal sebenar menyebabkan dia lebih rela memutuskan pertunangannya dengan Hairi. Sikap degilnya juga menyebabkan dia tidak dapat menerima sebarang penjelasan dari Engku Lokman. Memang sangat jelas, sikap degil dan prasangka kerana tidak sanggup bertanyakan kebenaran adalah kelemahan bagi Idayu.

Hairi? Saya mengharapkan akan ada penghujung yang lebih sempurna untuk Hairi yang masih tidak dapat melupakan Idayu walaupun lebih dari 5 tahun sudah berlalu. Sehingga ke penghujungnya Hairi masih memikirkan kebaikan bagi Idayu, wanita yang dicintainya walaupun mereka tidak dapat bersama.

Mencintai bermakna seseorang itu akan pasrah andai orang yang dicintainya bahagia. Mencintai juga bukan hanya untuk memiliki. Cinta itu milik Allah. (SDW)

---
Anita Sang

1 comments:

Laila Hanni said...

Terima kasih Anita Sang untuk komen yang diberikan...