Apr 25, 2011

AS: Cabaran 50 Buah Buku : (18) Menunggu Hujan

Tajuk : Menunggu Hujan
Penulis: Adileah
Penerbit: Jemari Seni (Mac 2011)
447 Mukasurat
Harga: RM19 (SM)/ RM22 (SS)

Terima kasih kepada Jemari Seni kerana menghadiahkan novel ini untuk Cabaran Lomba Baca bulan Mac. Tahniah juga kepada penulis. Disebabkan novel yang sangat manis dan comel ini, saya sanggup tidak tidur sepanjang malam untuk menghabiskan bacaan. Tidak sanggup rasanya hendak meninggalkan bacaan selagi belum sampai ke penamat. Kalau dibandingkan dengan novel yang pertama, Pada Angin Aku Berpesan, sudah semestinya saya akan memilih novel ini kerana penamatnya yang amat mengembirakan. Mungkin penamat Pada Angin Aku Berpesan untuk Ariel dan Yasmeen tidak seperti kehendak hati. Tapi Menunggu Hujan betul-betul telah mengubat hati yang sedikit terkilan membaca novel sebelumnya.

Tarikan bukan saja terletak pada penamat yang ‘happy ending’, tetapi telah bermula dari kulit novel yang sangat comel. Kemudian kehadiran watak Malisa dan Hafiz yang begitu segar dalam ingatan, mencuit hati dan saya rasa pasangan yang sangat comel dan serasi. Jalan cerita dan bahasa yang bersahaja tetapi diatur dengan cantik merupakan tarikan yang akan sentiasa lekat di hati. Cuma ada satu atau dua kesilapan ejaan ( typing error ) tetapi saya boleh tutup mata kerana itu semua tidak dinafikan hampir akan berlaku dalam mana-mana novel. Adakalanya saya akan tergelak disebabkan kejadiaan-kejadian yang menggelikan hati berlaku antara Malisa dan Hafiz.Oh..tidak dapat dinafikan yang hati memang sudah jatuh cinta dengan watak Malisa dan Hafiz.

Malisa @ pendera Hati @ penambah selera @burung hutan:

Begitu banyak gelaran yang Hafiz berikan kepada Malisa hingga saya jadi tergelak sendiri kerana belum pernah saya jumpa gelaran-gelaran yang begitu untuk si buah hati. Malisa adalah Malisa, mungkin tidak cantik dan tiada yang istimewa bagi orang lain, tapi bagi Hafiz, dialah wanita yang dia inginkan, bersama Malisa dia berasa tenang.Memandang Malisa buat kali pertama di bilik Cik Puan membuatkan dirinya tidak lagi memandang gadis lain kerana hatinya telah dicuri oleh Malisa. Dalam tegasnya ada kelembutan, nampak keras di luar namun hatinya rapuh kalau nama Hafiz terlibat, sentiasa melipat kemas rahsia hati agar tidak jelas di mata.Walaupun sekuat mana dia mencuba, kekadang Hafiz masih dapat meneka dan merasa. Bahagian yang paling mencuit hati apabila Malisa sanggup bersembunyi di bawah katil Cik Puan kerana tidak ingin terserempak dengan Hafiz.

Hafiz bin Mustapha @ Cucu yang ke-50 @ kuih pau yang gebu @ pendera hati

Kalau Hafiz ada gelaran-gelaran yang sangat comel untuk Malisa, Malisa pun tidak kurangnya. Mungkin sebab itu juga saya rasa mereka berdua adalah hero dan heroin yang sangat serasi. Mengenali Malisa dan melihat kelembutan Malisa melayan neneknya, Hafiz sudah dapat meletakkan Malisa di tempat yang teratas dalam pilihan hatinya. Sikapnya yang tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan Malisa benar-benar patut di puji walaupun halangan yang paling hebat dari Puan Rokiah (mamanya) dan Dayang Suhaila ( tunang ) tidak putus-putus hingga sampai satu tahap dia rasa perlu berkorban untuk ketenangan Malisa walau hati tidak merelakan. Betapa terharunya. Hafiz juga sangat pandai mengambil hati Atuk dan Opah Malisa, antara orang yang sangat penting dalam hidup Malisa.

Cukuplah saya berkongsi sedikit rasa saya tentang novel ini. Kalau hendak dikongsikan semua rasanya tidak mampu. Buat masa ini hati dan perasaan saya masih penuh dengan Menunggu Hujan ( sekurang-kurangnya sebelum saya menemukan watak dan jalan cerita yang betul-betul dapat membuat saya jatuh cinta). Kalau hendak tahu kenapa wujudnya gelaran-gelaran yang sangat mencuit hati itu, silalah baca novel ini. Tahniah sekali lagi kepada Adileah untuk cerita yang sangat berkesan di hati ini.

---
Anita Sang

0 comments: