Tajuk : Pelangi
Penulis Syud, Hlovate, Noor Suraya
Penerbit: Jemari Seni (Ogos 2009)
630 Mukasurat
Harga: RM22 (SM)/ RM25 (SS)
Tiga ceritera berwarna-warni dalam sebuah Pelangi. Karya Hlovate memang saya dah baca semua kecuali Tunas. Manakala beberapa buah karya Noor Suraya, Gurindam Jiwa, Surat Ungu Untuk Nuha & Jaja & Din juga telah lama saya baca. Untuk Awak Teja Aulia oleh Syud sudah jadi koleksi saya sejak tahun lepas. Kesemua karya ketiga-tiga penulis dalam Pelangi ini menarik dan memang tidak rugi untuk dibaca dan dijadikan koleksi.
Bagaimana saya hendak mulakan apa yang saya rasa tentang setiap satu cerita dalam Pelangi? Pelangi oleh Syud adalah kisah Usamah Razif & Iman Aisyah. Hidup sebagai anak yatim menjadikan Iman seorang yang sangat berdikari. Lamaran dari Usamah diterima setelah melihat kesungguhan Usamah. Namun kisah lalu Usamah dari kehidupannya yang lampau menghantui perkahwinan mereka berdua. Apakah rahsianya?
Cerita kedua, Ked’s Story oleh Hlovate. Ked’s Story membawa saya kepada kisah Ked yang hanya saya ketahui sedikit sahaja dalam Versus. Ini kerana saya terlebih dahulu membaca Versus, jadi keinginan untuk tahu kisah Ked begitu kuat. Mengenali Ked yang tidak pernah menyerahkan cintanya kepada wanita tetapi cintanya lebih kepada ‘skate’. Namun pertemuan pertama yang tidak semanis gula dengan Nawal telah merubah segalanya. Walaupun bukan dikatakan jatuh cinta pada pandang pertama tetapi Nawal adalah wanita yang ingin dijadikan kekasih & seterusnya isteri.
Rumah Kecil di Hujung Padang oleh Noor Suraya sebenarnya satu cerita yang tidak dapat saya teka kisah apakah yang bakal saya baca. Membaca cerita ini, anda bukan saja hanya melihat setiap sesuatu itu dari kaca mata, hati dan perasaan Durrah saja tetapi kita juga turut merasa kata hati dan perasaan setiap watak-watak lain. Mengenali Bandung tempat Durrah membawa hati yang dilukai oleh Mubin & Nabil (abang angkat Durrah) dan seterusnya bertemu dengan keluarga lain ayahnya. Saya begitu suka dengan watak Abang Haiqal yang begitu cermat menyimpan rasa sekian lama untuk Durrah yang merangkap adik angkatnya. Haiqal hanya meluahkan rasa hatinya apabila tiba saat yang tepat baginya walau mungkin dia akan terlewat untuk memiliki Durrah. Kematangan Haiqal membuatkan saya turut jatuh suka dengan wataknya. Bagi Durrah, cinta yang dicari selama ini rupanya begitu dekat dengan dirinya. Dia terpaksa dilukai oleh Mubin dan kemudian oleh Dr Heru sebelum dia betul-betul kenal siapakah pemilik sekeping hatinya itu.
Ketiga-tiga cerita mempunyai pengakhiran yang akan membuatkan anda tersenyum.
sumber: Anita Sang
Apr 4, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comments:
Salam Anita,
Membaca review Nita fasal Rumah Kecil di Ujung Padang, buat kaksu ingin ulang baca Pelangi sekali lagi. Terima kasih :)
- Noor Suraya -
Post a Comment