Apr 6, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (26) Mulanya Satu Cinta

Penulis: Rose Harissa
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
ISBN 978-983-124-405-0
Harga: RM 18.00 / RM 21.00
M/S: 483
Cetakan 1 - 2008
Cetakan 2 - 2009

Engkaukah yang datang mengulit mimpi dan mengusik lamunanku?

Blurb:


Eddy Ezli dan Khairina berkahwin di luar negara ketika mereka masih bergelar pelajar. Malangnya, ketika anak mereka, Afizan berusia dua tahun, Khairina berlaku curang kerana desakan hidup di rantau orang.

Akibat mengejar cinta lain, Khairina meminta cerai dan hak penjagaan anak diserahkan kepada Ezli. Kerana dikecewakan, Ezli menutup pintu hatinya untuk menerima kehadiran wanita di dalam hidupnya.

Namun, permulaan yang tidak diduga telah menemukan Ezli dengan Iryanie yang diupah untuk mengasuh Afizan. Ibu Ezli terpaut dengan layanan mesra yang ditunjukkan oleh gadis itu.

Hubungan Iryanie dan Afizan semakin rapat sehingga anak itu selesa memanggilnya ‘mama’. Akhirnya, Ezli patuh pada fitrah manusia bahawa dia amat memerlukan ibu untuk anaknya dan teman buat dirinya. Cinta dan rindunya mula berputik terhadap Iryanie.

Namun, kemunculan semula Khairina untuk merampas Afizan telah membuatkan Azli hidup dalam kebimbangan. Pelbagai cara digunakan oleh wanita itu dalam mendapatkan kembali anak itu daripada Ezli.

Konflik dan krisis bagai tak berkesudahan sehingga terbawa ke kamar mahkamah. Namun, dapatkah mereka menerima keputusan pengadilan yang akan melukakan salah satu hati?


Kak Chik menukil:

Sesuatu yang lain apabila penulis menulis tentang perceraian dan hak anak diberikan kepada bapa. Ia merupakan peringatan bagi kaum wanita dan ibu, hak hadhanah itu bukan seratus peratus akan jatuh kepada ibu. Penulis juga dengan jelas menghuraikan enakmen syariah berkenaan perkara ini dan secara tidak langsung memberi ilmu berguna kepada pembaca seperti Kak Chik.

Perhubungan Ezli-Iryanie yang sentiasa tegang pada permulaan perhubungan mereka, pada Kak Chik sudah menjadi santapan biasa yang dihidangkan oleh kebanyakan penulis masa kini. Jadi keterujaan sedikit berkurangan tetapi selepas tiga suku terakhir hati melonjak-lonjak memaksa mata terus terpaku untuk mengetahui pengakhirannya.

Ezli yang pada zahirnya nampak kasar, sombong dan tidak mesra hingga digelar Iryanie sebagai stone cold dan harimau jadian oleh Iryanie sebenarnya seorang yang penyayang dan berhati lembut. Selepas beberapa bulan Iryanie menjadi pengasuh Afizan, barulah sifat sebenar Ezli terserlah. Ezli sentiasa serius dengan wanita kerana tidak mahu terluka lagi. Dia bukan serik namun dia berhati-hati dalam mencari cinta sejati kerana tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Dalam segala macam perang dingin, akhirnya terserlah juga kelembutannya dan kehadiran Khairina untuk menuntut Afizan juga makin merapatkan perhubungan Ezli-Iryanie walaupun mereka selalu berada dalam kebimbangan.

Pada Kak Chik kesan kehadiran Khairina dalam penceritaan kisah ini tidak begitu kuat sehingga tidak sedikit pun mengganggu gugat kekuatan rasa hati yang Afizan akan tetap di bawah jagaan Ezli.

Selepas keputusan mahkamah, Ezli telah membawa Iryanie dan Afizan pulang ke Taiping untuk bercuti selama seminggu. Pada kesempatan ini, Ezli telag mengambil kesempatan untuk melamar Iryanie. Iryanie telah menerima lamaran tersebut kerana dia yakin Ezlilah bakal suami yang dia mahu.

Namun, kebahagiaan mereka telah direnggut? Kenapa Iryanie mesti berubah sikap selepas itu? Apa yang menyebabkan Iryanie sanggup meninggalkan Ezli dan Afizan tanpa sebarang pesan? Siapa dalang di sebalik kekecewaan yang menghancur-leburkan hati Ezli sekali lagi sehingga lelaki yang berhati keras itu mengalirkan air mata tanpa disedari?

Dan pada Kak Chik, saat yang menjadikan rentak jantung berlari kencang ketika Ezli ke Kampung Laut, Kota Tinggi. Kenapa? Kenapa? Dan Kenapa?


LiFe iS a Long JouRNeY
-Kak Chik-
(^_^)

0 comments: