Apr 19, 2011

UH: Cabaran 50 Buku: (4) Lasykar Pelangi

Tajuk : Laskar Pelangi
Pengarang : Andrea Hirata
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Muka Surat : 470 Halaman
Nota: Terjemahan dari bahasa Indonesia ke Bahasa Malaysia
Penilaian: 5 Bintang


Sedikit Sinopsis:

Pelbagai peristiwa menakjubkan terjadi pada zaman kecil para anggota Lasykar Pelangi. Sebelas orang anak Melayu Belitong yang luar biasa ini tidak menyerah kalah walau keadaan tidak selalu menyebelahi mereka. Lintang, si miskin cilik yang genius dengan senang hati berbasikal berulang-alik sejauh 20 kilometer untuk menuntut ilmu meskipun kadang-kadang hanya sempat menyanyikan lagu Padamu Negeri pada akhir waktu sekolah. Mahar, selain bersekolah dia turut memarut kelapa untuk biaya keluarganya, adalah seniman yang imaginatif dan kreatif meskipun dia sering dipersendakan sahabat-sahabatnya. Tetapi, dia berjaya mengangkat darjat sekolah Muhammadiyah di kampung mereka. Begitu juga kisah sembilan orang teman-temannya yang lain bersemangat menjalani kehidupan dan berjuang meraih cita-cita.

Apa kataku:

Aku sudah lama tidak terjebak dalam fantasi dunia novel. Tahun 2006 adalah kali terakhir aku menerebos jauh ke alam novel. Ketika itu, aku menerima novel Ayat- ayat cinta karya Habiburrahman El-Shirazy daripada sang sahabat yang kini telah menjadi suamiku. Aku sudah letih dan bosan membaca novel-novel cinta fantasi yang dimomokkan kepada peminat tegar novel. Aku tercari-ari novel yang dapat membangunkan potensi besar dalam diriku sendiri. Mencari dan terus mencari. Sudah beberapa lama aku terdengar dari beberapa orang sahabatku ada sebuah novel yang menarik untuk dibaca antaranya novel Lasykar Pelangi karangan Andrea Hirata. Penulis yang berasal dari tanah seberang yang juga tanah asal nenek moyangku dahulu.

Buka sahaja mukasurat novel ini, aku terus tenggelam dalam dunia Lasykar Pelangi yang jauh nun di Pulau Belitong. Aku hanya menjangkakan aku tidak akan habis membaca novel ini tetapi, sangkaan aku meleset sekali. Aku melekat dengan novel ini sehinggakan anak bujangku pun aku layan seadanya sahaja. Alhamdulillah sang suami memahami ke'gila'an sang isteri terhadap buku. Jadi, si bujang kecil dilayan bagaikan putera raja oleh sang suami.

Aku tertarik dengan gaya penulisan Andrea Hirata. Bab pertama sahaja sudah melayang-layang aku dibuatnya. Gaya penceritaan dan gambaran beliau yang amat teliti itu berjaya membawa pembaca ke alam yang beliau gambarkan itu. Perincian beliau yang begitu halus untuk menggambarkan keadaan sebenar Pulau Belitong, rumah-rumah mewah di Gedong, sekolah di PN timah, sekolah Muhamadiyah yang uzur bagaikan gudang kopra, keadaan penduduk di sana dan pemandangan indah dari atas gunung.

Kupasan ciri-ciri setiap watak dalam novel ini digarap dengan begitu indah. Sepuluh anak muda Pulau Belitong yang diceritakan dalam novel ini mempunyai sifat unik masing-masing. Kenangan indah mereka semasa melalui zaman persekolahan memang indah tapi penuh liku memberikan inspirasi kepada pembaca. Aku secara peribadi begitu mengagumi si genius matematik dan sains - Lintang. Kesudahan hidupnya agak sadis tetapi Lintang tetap optimis.

Kesepuluh anak-anak itu adalah Ikal (Andrea Hirata), Lintang (Lintang Samudra Basara bin Syahbani Maulana Basara), Mahar (Mahar Ahlan bin Jumadi Ahlan bin Zubair bin Awam), A Kiong (Chau Chin Kiong @ Muhammad Jundullah Gufron Nur Zaman), Sahara (N.A. Sahara Aulia Fadillah binti K.A. Muslim Ramdhani Fadillah), Kucai (Mukharam Kucai Khairani), Syahdan (Syahdan Noor Aziz bin Syahari Noor Aziz), Trapani( Trapani Ihsan Jamari bin Zainuddin Ilham Jamari), Harun (Harun Ardhli Ramadan bin Syamsul Hazana Ramadan) dan Kucai (Samson).

Gelaran Lasykar Pelangi diberikan oleh Bu Mus yang juga guru kelas mereka selama bertahun-tahun. Mereka sentiasa bersama menghadapi suka dan duka kehidupan untuk menimba ilmu. Aku begitu teruja semasa membaca novel ini sehinggakan aku mahu menjadi sebahagian daripada mereka. Anggota Lasykar Pelangi!

Aku percaya, sesiapa sahaja yang membaca novel pertama Andrea Hirata ini akan terpukau dengan magis yang ada dalam novel ini. Aku memberikan 10 bintang untuk novel ini. Ayuh, kepada pembaca blog jangan tunggu lagi. Jom baca novel yang menarik ini!

p/s-aku tidak sabar untuk membaca tiga lagi novel dalam tetralogi Lasykar Pelangi ini. =))

--
Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem

1 comments:

Unknown said...

alamak, tersalah pula..bukan Kucai tp Borek adalah Samson..hehe.. human error...