Apr 2, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (24) Untuk Awak Teja Aulia

Penulis: Syud
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM20.00/RM23.00
M/S: 479
Cetakan 1 - Julai 2010
Cetakan 2 - Ogos 2010


Blurb:

dalam benakku, lama tertanam sejuta bayanganmu

Selalunya... kalau lelaki dan perempuan mengaku sahabat baik, salah seorang mesti akan 'tergelincir' - terlebih suka!

I

"Tak apalah, adik dah ada pilihan sendiri."
" Siapa? Pacai?" balas mak, sarkastik.
Pacai tu teman seruman, sahabat dunia akhirat.
"Kalau Pacai tu perempuan, dah lama mak suruh kau orang berdua kahwin."
Tawa Adil pecah.
"Anak Cik Fizah..."kata mak lagi.
"Makk..." muka Adil memprotes, "Nanti adik pandai la cari sendiri. Mak jangan nak memandai apa-apa."
"Iya...tapi kalau sampai tahun depan tak ada bayang-bayang lagi...?" ugut mak.

Hatinya sudah terlanjur 'tergelincir' pada Teja Aulia, biarpun mereka sudah tidak bertegur sapa.


II

Dan hati Teja Aulia penuh berbunga daisi apabila Adil melambai tadi. Namun rasa itu 'dihibakan' apabila Adil guna kata ganti diri 'saya'. Jadi pada Adil, dia bukanlah Aulia yang dulu?

Adil hanya akan sebut 'saya' pada perempuan yang dia 'tak berapa kenal'; 'tak berapa biasa'; 'tak berapa sayang'. Dan dia sudah termasuk dalam kategori itu!

Nampaknya hubungan dia dan Adil sudah tidak ada bunga-bunga untuk pulih lagi.

*****

SYUD menulis ceritanya seperti 'melukis'. Tulisannya berwarna-warni bak pelangi. Susuri persahabatan bertukar cinta dalam Untuk Awak Teja Aulia. Tentulah karya SYUD ini sebuah 'lukisan' yang cantik sekali.


Kak Chik menukil:

Kredit buat Kak Hani yang bagi pinjam buku ini pada Kak Chik.

Muka depan novel ini sungguh ringkas dengan notepad warna kuning dan sekuntum daisi putih dalam balang kaca biru. Walaupun ringkas lukisan itu sudah mampu menarik Kak Chik untuk menjelajahi 'lukisan' tersebut.

Hubungan kawan baik antara Adil dan Teja Aulia sejak dari zaman hingusan sehingga dewasa sungguh cantik digarap oleh penulis. Perjalanan perhubungan yang dilandaskan sebagai hubungan sahabat baik sungguh manis hingga membuatkan Kak Chik tersenyum-senyum sendiri ketika menguliti kisah mereka. Bahasa yang ringkas dan kadang kala sarkastik dari penulis terus mengikat rasa hati hingga ke ayat terakhir.

Hubungan yang rapat antara mereka berdua mula ada tanda-tanda keretakan selepas mereka terpaksa berpisah jauh apabila memasuki universiti. Adil masih lagi di JB, di UTM dan Teja Aulia pula tercampak jauh ke Terengganu, KUSTEM (sebenarnya KUSTEM dah tukar nama ke UMT sejak beberapa tahun yang lepas). Teja Aulia sebenarnya mahu menolak tawaran ke KUSTEM kerana jauh dari rumah dan tidak mahu berpisah jauh dari Adil tetapi selepas dipujuk oleh Adil, dan dan itu juga dia lembut hati selepas Adil berjanji dia akan ke Terengganu setiap kali Aulia rindu padanya. Sangat baik kan Adil ni..:)

Teja Aulia ni seorang yang sedikit kelam kabut dan segala rahsia dirinya pasti akan diceritakan pada Adil. Pertemuan Aulia dengan seorang senior yang mirip Adil, Raif menjadi sebab Adil semakin menjauhkan diri dari Aulia. Sebenarnya Adil ni sudah terlebih sayang pada Aulia lebih dari kawan baik tetapi dia takut nak mengaku kerana takut kehilangan Aulia. Aulia pula jadi tersuka pada Raif pula, konon-konon tak perlu sebab untuk kita menyukai seseorang.

Oleh kerana kesibukan yang selalu menghambat, mereka sudah jarang bertemu sehinggalah Aulia mendapat berita yang Adil akan berpindah ke KL menjadi titik akhir persahabatan mereka. Aulia rasa sungguh marah dan kecil hati kerana Adil merahsikan hal tersebut daripadanya sedangkan dia pula segala rahsia bukan rahsia lagi pada Adil.

Selama tiga tahun mereka memendam rasa, Adil bukan lagi Adil yang dulu. Adil yang dulu akan memujuk setiap kali Aulia merajuk atau marah. Tapi Adil sudah jauh berubah kerana pada Adil Aulia yang menitikkan perhubungan mereka. Pada Aulia pula, apa lagi yang Adil mahu sedangkan dia sudah sms mohon maaf. Payah sangat ke untuk Adil menerima kata maafnya?

Nak tahu pengakhiran kisah Adil yang sangat baik dan Aulia yang sedikit clumsy..sila-sila dapat novel ini kerana memang tak rugi untuk sebuah kisah yang manis digarap dengan pelbagai rasa oleh penulis muda yang berbakat ini.

Watak-watak sampingan seperti Pacai, Nisa, Taufik dan Azril mengingatkan kita pada karya-karya penulis sebelum ini.

Sebuah pengakhiran yang manis...:)

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^_^)

0 comments: