Apr 15, 2011

Arirada: Cabaran 50 Buku : [10] Bumi Cinta

Tajuk : Bumi Cinta
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Penerbit : Ar-Risalah Product Sdn. Bhd
Muka surat : 722

Sedutan sinopsis kulit buku :

Apa yang akan berlaku, jika seorang graduan lulusan agama, bernama Muhammad Ayyas, hidup di Negara yang amat menjunjung tinggi seks bebas dan pornografi, iaitu Russia? Adakah iman dan kehormatannya dipertaruhkan demi memenuhi hasrat duniawi gadis-gadis muda Moskow, yang kecantikan mereka tiada taranya?

***
Cerita ini mengisahkan tentang seorang mahasiswa bernama Muhammad Ayyas yang merupakan graduan lulusan agama dari Timur Tengah yang kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat sarjana di India dalam pengkhususan pengajian sejarah. Dari India, beliau telah berkunjung ke Moskow bagi mendapatkan data-data untuk penulisan sarjananya, iaitu tentang sejarah perkembangan Islam semasa era Stalin di Rusia. Permusafirannya di Moskow telah menemukannya dengan beberapa individu tertentu dan telah mengalami satu pengalaman yang tidak pernah dilaluinya selama ini, yang benar-benar menguji keimanannya dan keteguhan aqidahnya.

Setibanya di Moskow, Ayyas telah disambut oleh teman lamanya dari Indonesia, Devid, yang telah membantu mencari tempat tinggal untuknya di Moskow. Kejutan pertama buat Ayyas ialah apabila mengetahui dua lagi rakan penyewanya adalah perempuan! Dua orang perempuan yang menyewa apartmen bersama Ayyas adalah Yelena, seorang pelacur kelas atasan yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan, dan seorang lagi ialah Linor, seorang wartawan, pemain biola terkenal dan juga merupakan ejen perisikan Mosad beragama Yahudi yang amat memusuhi Islam.

Dalam melakukan tugasan sarjananya di Moskow, Ayyas telah ditemukan pula dengan seorang pensyarah muda yang pintar dan cantik, Dr. Anastasia Palazzo, yang menggantikan tempat seorang pensyarah yang sepatutnya menjadi pembimbing Ayyas di Rusia. Sepanjang menjadi pembimbing Ayyas, Dr. Anastasia dapat melihat kebaikan dan kepintaran yang ada pada diri Ayyas, dan seterusnya menumbuhkan perasaan halus di jiwa pensyarah muda itu, tetapi ada tembok penghalang yang amat besar di antara mereka iaitu agama, kerana Dr. Anastasia adalah penganut Kristian yang totok.

Ujian buat Ayyas di Moskow amat besar bagi seorang Muslim sepertinya. Dia teruji oleh cara Yelena dan Linor berpakaian di rumah; oleh pergaulan lelaki dan wanita yang terlalu bebas tanpa sebarang batasan; oleh pesona Dr. Anastasia yang amat menawan hati; oleh perancangan jahat pihak zionis yang ingin memporak-perandakan dunia.

Namun Muhammad Ayyas tetap utuh dengan pegangan hidupnya. Setiap saat dia mengingatkan dirinya tentang Tuhannya dan tidak pernah putus memohon perlindungan dariNYA. Satu demi satu ujian ditempuhi, dan satu demi satu kejayaan dilakar, berkat kesabaran dan pergantungan yang tinggi terhadap Yang Maha Esa.

***

Apa kata saya :

Ini adalah novel ketiga Habiburrahman yang saya baca, selepas KCB 1 dan KCB 2. Novel best-seller beliau yang pertama – Ayat-Ayat Cinta - saya tak baca, kerana saya telah menonton filemnya sahaja. Bermula daripada KCB 1, saya amat menyenangi hasil tulisan beliau, dan tidak sabar-sabar untuk membaca KCB 2 pula. Usai membaca KCB 2, saya tertunggu-tunggu karya seterusnya daripada beliau, dan kini saya telah selesai menamatkan bacaan Bumi Cinta, meski boleh dikatakan agak terlambat.

Bumi Cinta berbeza dengan KCB dan mungkin juga berbeza dengan Ayat-Ayat Cinta, dari segi tema yang diangkat sebagai tunjang ceritanya, serta dari segi watak peneraju cerita. Dalam Bumi Cinta, Kang Abik menonjolkan Muhammad Ayyas sebagai seorang yang hampir sempurna; berbudi bahasa, cerdas, menguasai Bahasa Inggeris, Rusia dan Arab dengan baik, pintar berbahas, berpengetahuan luas, berhati mulia dan mempunyai pegangan agama yang amat teguh. Sepanjang membaca Bumi Cinta, berkali-kali terdetik di hati saya persoalan tentang wujudkah individu seperti Ayyas ini? Namun apabila menyedari semula saya sedang membaca sebuah novel, persoalan itu saya abaikan, penulis berhak mencipta watak yang sempurna begitu kerana ia bukanlah sebuah kisah benar dan agar pembaca dapat mencontohi mana-mana kebaikan diri watak biarpun sedikit; itulah peranan sebuah karya yang baik pada pendapat saya.

Tema yang menunjangi Bumi Cinta adalah kepercayaan kepada Tuhan, sebuah tema yang berat dan besar tetapi dapat diangkat oleh Kang Abik melalui kisah hidup Ayyas bersama beberapa watak utama cerita ini. Kang Abik melakarkan Bumi Cinta bukan dengan cerita semata-mata, tetapi dilatari juga dengan tadabbur kalam Allah dan hasil kajian dan penemuan ilmiah, di samping pengetahuan tentang sejarah. Secara tidak langsung, pembaca akan mengetahui tentang pelbagai input yang bersifat ilmiah, biarpun bukan secara terperinci apabila membaca buku ini.

Salah satu perkara yang saya suka tentang buku ini adalah deskripsi tempat yang melatarinya, iaitu Moskow. Saya suka membaca cerita yang berlatarkan luar negara, kerana melaluinya saya dapat mengetahui tentang keadaan dan budaya sesuatu tempat walaupun tidak berpeluang untuk berkunjung ke tempat tersebut. Melalui buku ini banyak ilmu yang baru saya tahu, seperti akibat yang berlaku kepada seseorang jika terdedah kepada cuaca sejuk, pakaian yang digunakan semasa musim sejuk, keadaan kehidupan masyarakat di Rusia, perancangan jahat zionis terhadap Islam, jenis-jenis atheis, dan beberapa tempat menarik di Moskow seperti Kremlin dan Red Square.

Jika dalam KCB, Kang Abik banyak membicarakan tentang persoalan cinta dan jodoh, hal sedemikian kurang ditonjolkan dalam Bumi Cinta. Tanpa ayat-ayat romantis yang membuai jiwa dan rasa, ia tidak sedikit pun mencacatkan cerita dan tidak sedikit pun mengurangkan keghairahan saya untuk membaca dari kulit ke kulit. Ada rahsia besar yang tersingkap di penghujung cerita, dan saya rasa pengakhiran secara ‘tergantung’ yang dilakukan oleh penulis mungkin menandakan akan ada lagi kesinambungan cerita ini nanti.

Kepada pembaca yang inginkan suatu bacaan untuk pembangunan jiwa dan mengandungi input ilmiah yang disampaikan secara santai, serta menginsafkan diri tentang betapa indahnya Islam dan besarnya kasih-sayang Allah terhadap makhlukNYA, bacalah Bumi Cinta, mudah-mudahan kita berada di bumi cinta dan bakal dibangkitkan suatu hari nanti di ‘bumi cinta’ yang kekal abadi.

sumber: Arirada

0 comments: