Apr 2, 2011

WA : Cabaran 50 Buku : (10) Aku Yang Kau Tinggalkan

Pengarang : Alina Haizar
Halaman : 759
Tahun : Cetakan kedua – Mac 2011
Terbitan : Kaki Novel
Harga : RM25 / RM28

Sinopsis

Aku Yang Kau Tinggalkan ini berkisah tentang Nia Atikah seorang anak yang harus berkorban demi kepentingan keluarganya. Apabila si adik yang selama ini ‘menurut kata’, tiba-tiba melarikan diri di saat barangan hantaran cantik tersedia, yang hanya menunggu hari berlangsungnya majlis akad nikah, memaksa Nia berkorban. Demi maruah keluarga, demi kepentingan ibu dan adik-adiknya dia pasrah merelakan diri mengambil tempat si adik. Dia harus berkahwin dengan lelaki yang menjadi tunangan si adik.

Zaril Ikhwan – dia lelaki malang yang kehilangan upaya. Dia lelaki yang tidak berdaya. Kemalangan yang dialami telah meragut seorang Zaril Ikhwan yang punya segala-galanya – kebijaksanaan, kebolehan bertutur dan keupayaan berjalan. Dia bagaikan hilang semuanya kecuali si nenek yang sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingannya. Hatta mencari seorang isteri untuk menguruskannya di masa hadapan andai tiada siapa yang akan merawatnya.

Perkahwinan Nia Atikah dan Zaril Ikhwan bukanlah atas dasar cinta. Ikatan mereka atas dasar kepentingan diri masing-masing. Nia menerima Zaril kerana wang dan Zaril menerima Nia kerana dia perlukan ‘penjaga’. Ikatan bersulamkan syarat. Syarat berlandaskan kontrak. Itulah asal perkahwinan mereka.

Siapa menduga, cinta datang di antara mereka. Namun cinta sahaja tidak memungkinkan ikatan berjalan mulus atas landasannya. Andai ada hati yang membenci, andai ada tangan yang merungkaikan ikatan, cinta sahaja tidak cukup untuk ikatan perkahwinan itu kekal selamanya.

Nia pasrah andai itu takdir buatnya. Dia pergi tatkala si suami kembali pulih atas usaha dan semangatnya. Namun, mampukah dia hilangkan kelibat Zaril dari ingatanya kalau cintanya pada Zaril sudah sehati dengan jiwanya? Walau di manapun kakinya melangkah bayangan Zaril terus merantainya.

Rasa Saya:

Membaca judulnya, saya bagaikan pernah ‘melihat’ tajuk ini. Puas saya fikir, baru saya teringat. Saya pernah berkongsi rasa dengan pembaca tentang novel yang menggunakan judul yang sama. Ia karya Hendan Yahya terbitan Creative yang pernah saya baca lamaaaaaa dulu. Oh! jangan risau, hanya persamaan pada judul sahaja bukan ceritanya. Kisah yang satu lagi, anda boleh baca di ->sini<-

Okey, berbalik kita pada kisah garapan Alina Haizar ini. Sebenarnya ini merupakan karya pertama garapan penulis ini yang saya baca. Untuk saya yang pertama kali 'mengenal' tulisan penulis ini, karya ini tidak menghampakan saya. Kisah yang agak menarik pada saya lah. Kisah pengorbanan seorang anak terhadap ibu. Kisah pengorbanan seorang kakak pada adik-adiknya. Kisah pengorbanan seorang isteri pada suaminya. Dan kisah pengorbanan seorang ibu untuk anaknya.

Saya sukakan semangat juang Nia, walaupun di masa yang sama dia harus merawat hatinya yang luka. Dia tidak pasrah pada keadaan yang menekannya. Dia bangkit walaupun dia harus mengorbankan rasa cintanya pada Zaril dan ikatan perkahwinan mereka yang menjadi galang gantinya. Dia teguh berdiri walau hakikatnya dia hampir tumbang. Berbekalkan semangat Hazeril yang menjadi sumber kekuatannya, dia terus berjuang tanpa mengenal erti lelah.
- Siapa Hazeril? Orang ketigakah?? jeng.. jeng.. jeng

Sesungguhnya ikatan perkahwinan adalah perkongsian dua jiwa dalam melayari hidup berumahtangga. Namun baik Nia mahupun Zaril, mereka berkahwin atas dasar ‘kahwin kontrak’ – Nia menerima Zaril demi wang dan Zaril menikahi Nia kerana perlukan ‘pengasuh’. Walaupun wujud rasa cinta dan kasih antara mereka, namun mungkin kerana tujuan perkahwinan mereka tersasar, natijahnya ikatan perkahwinan mereka berantakan.
- Itulah yang terlintas di fikiran saya ketika 'menghadapi' situasi yang menimpa Nia & Zarul. Sesungguhnya bila saya membaca, saya gemar membandingkan plot cerita dengan suasana yang kita hadapi hari ini. Kerana saya percaya sedikit sebanyak penulis pasti akan mengambil iktibar akan hal ehwal yang berlaku di seputar kehidupan kita di dunia sebenar dalam menggarap cerita.

Keberkatan dan restu ibu-bapa juga sangat penting dalam menentukan keharmonian rumahtangga. Puan Hanida ibu Zaril sedari awal menolak Nia atas alasan, Nia tidak sesuai untuk bergandingan dengan Zaril Ikhwan, anaknya. Ditakdirkan nasib Zaril tidak sebegitu, tidak mungkin Nia yang menjadi pilihan anaknya, itu anggapan Puan Hanida. Bagi Puan Hanida, perkahwinan yang diatur oleh Puan Zainon –Si Nenek– sangat tidak sesuai dengan keluarga mereka.
- Saya jadi tidak suka dengan sikap Puan Hanida, kerana dia sendiri bagaikan lupa akan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada Zaril. Dia bagaikan lepas tangan akan nasib Zaril pada si nenek. Saya tidak boleh terima sikap Puan Hanida yang hanya ambil berat apabila si anak sudah pulih? Ish, kasihan sungguh dapat ibu sebegitu...kan?

Apatah lagi perkahwinan Nia–Zaril berserta dengan sejumlah wang ‘taruhan’ menambahkan lagi rasa jengkel Puan Hanida pada Nia yang dirasakan tidak ikhlas menerima Zaril yang tidak berdaya. Akibatnya rumahtangga Nia-Zaril, sukarnya nak bahagia. Dengan campurtangan dan olah Puan Hanida jugalah menyebabkan Zaril bagaikan ‘membuang’ Nia setelah dia sembuh, dan Nia yang memilih wang berbanding Zaril menguatkan lagi prasangka buruk Zaril pada Nia.

Nia merasakan dia dibuang setelah ‘khidmat’nya tidak diperlukan lagi, dan Zaril merasakan dia tidak lagi perlu ‘dijaga’ oleh Nia menyebabkan Nia membuangnya. Sudahnya, begitulah mereka...

Takdir menemukan mereka. Bumi Turin menjadi saksi selepas 5 tahun mereka terpisah. Pertemuan yang tidak seindah yang diharapkan. Zaril yang bakal berkahwin dengan Suzanna dan Nia yang di‘syaki’ oleh Zaril sudah punya pengganti dirinya. Sukarnya nak raih bahagia bila masing-masing tidak ingin mengaku masih berkongsi rasa cinta yang sama. Dan bila rahsia mula tersingkap, masih ada rintangan yang harus ditempuhi. Dan sesungguhnya bahagia itu adalah apabila dugaan dan cabaran yang mendatang ditempuh dengan ikhlas dan sabar.
- Ada ketikanya saya merasakan Zaril itu bersifat pentingkan diri sendiri! Kenapa selama ini (dalam tempoh 5 tahun) tidak dicari Nia? Oh kerana Nia yang membuangnya, jadi apa perlu lagi dicari? Begitu? hish... saya jadi emo pulak bagi pihak 'Nia' hahahahaha

Dan tatkala halaman terakhir saya noktahkan saya masih terfikir, apa signifikannya Mak-Mak Datin tu terlibat sama dengan lawatan rasmi 'para suami' ke 'Pusat penyelidikan yang begitu aktif dalam mereka cipta teknologi-teknologi tinggi'-ms 8 itu? Kenapa tidak diatur rancangan berasingan untuk para isteri? Tapi lawatan ke gedung-gedung membeli belah, memborong barangan berjemana itu sangaaaatlah relevannya kerana sayapun suka shopping juga... hehehehe

Sebagaimana saya impikan dalam hidup ini untuk tetap rasa bahagia, begitulah pengakhiran kisah ini yang membuatkan hati saya rasa bahagia dan moga saya juga akan terus berbahagia selama-lamanya... itu doa saya untuk kalian juga... aminn

Selamat membaca, moga bermanfaat.

0 comments: