Apr 2, 2011

NH: Cabaran 50 Buku : (15) 3 Campur 1 = Satu

3 Campur 1 = Satu
Penulis: Ana Farhana
Terbitan: Jemari Seni
Cetakan 2010

3 campur 1 = satu mengisahkan keakraban adik-beradik dan juga kisah cinta. 3 orang abang yang mempunyai seorang adik perempuan. Along, Angah dan Achik. Adik perempuan mereka bernama Khairina. Ketiga-tiga mereka sangat menyayangi Khairina dan ingin melihat Khairina sentisa berada dalam keadaan baik. Mereka berempat berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dan menyewa rumah bersama-sama di satu taman perumahan di tengah-tengah bandaraya besar itu. Manakala, ibubapa mereka berada di kampung halaman. Perhubungan keempat-empat adik beradik ini sangat rapat walaupun selalu bertekak apabila bercanggah pendapat dalam satu-satu hal.

Along, Angah dan Achik memang berusaha keras untuk mengumpul duit, siang, mereka bekerja di pejabat, malam, mereka bertiga berniaga burger di kawasan perumahan tempat tinggal mereka. Mereka juga mempunyai sahabat baik yang bernama Hakimi. Hakimi mempunyai masalah iaitu, di suruh mendirikan rumahtangga oleh ibunya. Hal perkahwinan itu telah menjadi satu masalah besar oleh Hakimi dan selalu meluahkan perasaan pada Along, Angah dan Achik. Akhirnya Along memberi buah fikiran dan ideal supaya Hakimi memikat hati adik perempuan mereka, Khairina.

Sebenarnya, Khairina ini mempunyai sifat ego yang tinggi, sedikit berlagak dan tidak suka berkawan dengan lelaki. Khairina lebih suka buat hal sendiri dan tidak suka orang lain mencampuri urusan peribadinya. Banyak berlaku perkara-perkara lucu apabila Along, Angah, Achik berusaha membuat perancangan supaya pertemuan tidak sengaja berlaku antara Khairina dan Hakimi. Sememang Hakimi telah mula jatuh cinta pandang pertama pada Khairina setelah melihat gambar Khairina dan berusaha dengan sedaya upaya untuk memikat hati Khairina. Hakimi menggunakan semua perancangan yang dirancang oleh Along, Angah dan Achik untuk mendapatkan sekeping hati milik Khairina.

Khairina juga mempunyai peristiwa hitam yang tidak boleh dilupakan dalam hidupnya, disebabkan hal itu lah Khairina menjadi dingin dengan semua lelaki. Tetapi, kerana kesungguhan yang di tunjukan oleh Hakimi, akhirnya Khairina bersedia untuk menerima Hakimi dalam hidupnya.

Segala perancangan pakatan yang dirancang oleh Along, Angah dan Achik akhirnya dapat dihidu oleh Khairina. Bermula dari segala pakatan telah terbongkar, berlaku bermacam-macam konflik antara tiga abang, Khairina dan Hakimi.

Penulis bijak mengolah jalan cerita yang sempoi dan serius. Pada awal-awal penceritaan, terdapat banyak elemen lucu, manakala pada pengakhiran jalan cerita, hilang segala elemen lucu dan muncul elemen yang membawa pembaca untuk mengeluarkan air mata yang menyentuh perasaan.

0 comments: