Judul : Menerjang Badai : 60 Tahun Mempersada Perjuangan
Penulis : Riduan Mohamad Nor
Terbitan : Jundi Resources
ISBN : 978-967-5968-06-8
1. Kehadiran buku ini, pertama kalinya adalah untuk menjawab, membalas hujah, terhadap buku yang ditulis oleh Dr Mujahid Yusof, terbitan The Malaysian Insider Sdn Bhd yang berjudul Menuju PAS Baru Krisis, Pejuang Dan Dinamisme.
2. Dikarang oleh Ustaz Riduan Mohamad Nor, seorang aktivis PAS yang tidak asing, yang banyak menghasilkan buku-buku untuk bacaan khalayak ramai.
3. Buku ini diterbitkan oleh Jundi Resources cetakan pertama tahun 2011. Sengaja didatangkan dalam rupa yang seakan iras dengan buku Menuju PAS Baru. Berlatarkan rona putih, dengan font diwarnakan hijau dan putih, berserta dengan bendera PAS, mirip benar corak dan susunan kedua buku ini.
4. Walaupun pada kulit buku ini telah dinyatakan sejelas-jelasnya, "Menjawab Buku Menuju PAS Baru", tetapi ia bukanlah untuk menidakkan segala yang ditulis oleh Dr Mujahid, ataupun untuk memulakan api perbalahan antara kedua ahli PAS ini.
5. Di dalam buku ini sendiri telah diterangkan bahawa ia diluncurkan untuk merancakkan medan perbincangan yang sihat, menyegarkan budaya intelektual, berdebat dengan sumur akal yang jernih yang jauh dari sentimen melulu dan emosi yang meledak.
6. Juga dinyatakan bahawa pertembungan ide dan pendapat yang terjadi antara ahli di dalam sesuatu organisasi/parti adalah merupakan suatu proses di antara beberapa proses yang terpaksa dilalui oleh organisasi/parti tersebut bagi mematangkan mereka. Ketidaksefahaman di dalam memberikan pandangan juga berlaku di zaman Nabi saw yang mana para sahabat tidak bercakaran dan bermasam muka lantaran itu, namun sebaliknya merapatkan dan memupukkan kasih sayang dan rasa cinta yang lebih antara mereka demi melihat Islam berkembang dan tercapai di setiap bucu dunia.
7. Begitu juga dengan kedua buah buku ini. Tiada niat menjatuhkan antara satu sama lain bahkan sebagai pembaca, saya melihat ia saling melengkapi pula.
8. Buku Menerjang Badai ini dibahagikan kepada dua segmen. Pada segmen pertama pembaca akan dibawa untuk menelusuri sejarah 60 tahun parti PAS di arena politik tanah air. Bagaimana mulanya, siapa tokohnya, penubuhannya, cabarannya, segalanya diperikan dengan lebih rinci. Pembaca akan merasa lebih mengenali dan mengetahui PAS serta masa silamnya sebaik mengkhatamkan ayat terakhir pada segmen pertama ini.
9. Itu yang saya maksudkan pada poin nombor 7 di atas. Keduanya saling melengkapi. Kepada yang telah membaca Menuju PAS Baru, dan setelah membaca Menerjang Badai, akan dapati bahawa sejarah yang dinukilkan oleh Ustaz Riduan lebih menyeluruh serta lebih mendalam berbanding dengan apa yang ditulis Dr Mujahid.
10. Pada buku Menerjang Badai pembaca akan memesrai PAS dan sejarahnya, manakala pada buku Menuju PAS Baru pula pembaca akan mengutip pandangan ikhlas terhadap krisis yang berlaku di dalam PAS serta ide untuk melihat PAS menuju alaf baru dengan beberapa perubahan agar parti itu kekal relevan pada masa kini dan masa mendatang. Keduanya saling melengkapi.
11. Segmen kedua di dalam buku Menerjang Badai ini pula telah ditampilkan beberapa petikan-petikan yang dianggap 'panas' oleh sebahagian ahli PAS terhadap buku Menuju PAS Baru dan cuba dijawab oleh Ustaz Riduan dengan penerangan yang lebih 'sejuk' sebagai meredakan keadaan.
12. Sesi jawab-menjawab itu terbahagi kepada beberapa persoalan. Antaranya persoalan 'orang luar' yang masuk PAS, yang ditumpukan kepada Dr Burhanuddin, persoalan PAS di era pimpinan Datuk Asri, persoalan Ustaz dan tidak Ustaz di dalam PAS, persoalan pentadbiran PAS di Kelantan, persoalan menasionalkan PAS, persoalan kafir-mengkafir, dan persoalan kepimpinan ulama itu sendiri serta beberapa persoalan lain yang diutarakan oleh Dr Mujahid yang cuba dijawab oleh Ustaz Riduan.
13. Sepertimana dengan buku Menuju PAS Baru, saya juga amat berminat untuk melihat kulit buku pada buku Menerjang Badai ini. Sangat 'jernih' kalau boleh saya katakan begitu. Warna putih yang dipadankan dengan warna hijau muda itu memang kena pada tempatnya. Ditambah pula dengan ilustrasi anak pokok yang sedang membesar di atas telapak tangan dilatarkan pula dengan bendera PAS sebagai backgroundnya, cukup padan dengan judul buku ini sendiri. 60 Tahun Mempersada Perjuangan.
14. Juga boleh difahamkan selama 60 tahun ini, benih yang ditanam oleh para pejuang PAS pada zaman dahulu, sudah mula menampakkan hasilnya. Sudah mula menumbuhkan pohon yang bakal membesar dan terus membesar jika disiram dan dibaja dengan secukupnya.
15. Namun, mungkin ramai yang tidak perasankan pada gambar tangan yang sedang menampung tanah dan anak pokok tersebut. Jika mahu difahamkan secara zahirnya, tangan itu merupakan susuk yang paling penting terhadap perjuangan 60 tahun PAS kerana dari tangan itulah benih yang ditanam mula menunjukkan hasil. Makna kata bukan calang-calang tangan yang patut diberikan tugas 'melakonkan' watak memegang anak pokok tersebut sebagai lambang perjuangan PAS selama ini. Tangan itu harus tangan yang benar-benar turut berjuang bersama, merasa susah dan senang perjalanan PAS selama lebih setengah abad ini.
16. Tetapi jika diteliti dengan lebih teliti pada gambar tangan tersebut, kita akan dapati dan mengetahui bahawa tangan itu bukanlah tangan seorang pejuang. Lihat sahaja pada kuku tangan tersebut. Agak panjang. Tiada sunnah di dalam Islam untuk menyimpan kuku sehingga panjang begitu. Sedangkan PAS adalah sebuah parti Islam, yang menjadikan Islam sebagai pegangan dan perjuangannya. Tetapi 'watak' penting tangan yang memegang benih yang menumbuhkan hasil perjuangan PAS selama 60 tahun tersebut, yang seharusnya diberikan kepada tangan seorang pejuang, namun apa yang terlihat bahawa tangan itu, mempunyai kuku yang panjang yang tidak selari dengan amalan Islam.
17. Mungkin agak melampau-lampau dan berlebih-lebih serta mengada-ngada jika sampai perihal kuku tangan pada kulit buku ini pun mahu dibesar-besarkan. Tetapi sebagai pembaca, saya hanya mentafsir dengan apa yang dilihat. Mungkin juga pemilihan tangan yang berkuku panjang itu tidak membawa maksud apa-apa. Hanya sekadar props untuk menampung anak pokok tersebut. Yang penting anak pokok bukannya tangan. Mungkin.
18. Buku ini boleh didapati dengan harga RM 20.00 senaskhah bagi semenanjung, dan RM 22.00 untuk Sabah dan Sarawak. Saya tidak pasti jika toko-toko buku ternama sudah mula menjual buku ini tetapi boleh sahaja didapati di beberapa laman web yang menjual buku. Seperti di http://belibukuonline.com.my/menerjang-badai-60-tahun-mempersada-perjuangan/
19. Kedua-dua buah buku ini sesuai dijadikan bahan bacaan dan rujukan kepada semua warga negara yang berminat untuk mengetahui sejarah dan latar belakang sebuah organisasi yang mewarnai dunia politik tanah air. Lebih-lebih lagi kepada ahli PAS sendiri. Buku-buku ini tentang parti yang kalian perjuangkan selama ini. Membacanya akan membuatkan kalian lebih mengerti tentang apa yang dijuangkan. Baca untuk meniti kisah-kisah pejuang yang lalu bagi bekalan kalian untuk terus bangkit berjuang bersama PAS di masa hadapan.
---
melihat buku
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment