Tajuk : Kalam Cinta daripada Tuhan
Penulis : Ali Sobirin El Muannatsy
Penerbit : PTS Litera Utama Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2009
Halaman : 478
Harga : RM26.00/ RM29.00
Novel Indonesia edisi bahasa Melayu ini memaparkan kehidupan suka duka Mahasiswa Universiti Islam Negeri Syarif Hidayatullah (UIN). Mahasiswa bukan sahaja berdepan dengan cabaran dalam menyiapkan tesis, malah masalah kewangan, keluarga dan cinta juga mewarnai kehidupan mereka.
Penulis juga memaparkan pandangan peribadinya terhadap pemerintah Indonesia secara unik dan santai. Justeru secara langsung mengingatkan kita bahawa pemerintah masih belum bijak dan kurang adil dalam menyalurkan ekonomi kepada rakyat. Jurang yang besar antara golongan kaya dengan golongan miskin sebagai buktinya.
Aspek cinta yang diangkat dalam novel ini bukanlah cinta biasa, tetapi cinta luar biasa. Iaitu cinta yang dipertemukan oleh Allah SWT dalam keadaan yang tidak disangka sama sekali oleh manusia, apabila menitikberatkan solat tahajud dan berserah serta redho kepada takdir Allah SWT apabila berdepan dengan masalah.
Unsur keagamaan sentiasa diterapkan oleh penulis sama ada secara santai atau secara langsung melalui perbincangan, ceramah atau kuliah. Antaranya kepentingan surah al-Fatihah dan Al-Haya' (malu) dalam kehidupan.
Membaca novel ini agak sukar pada mulanya kerana penulis seperti gagal menarik minat pembaca, justeru mengelirukan pembaca dengan perilaku watak yang bertentangan dengan adat kebiasaan. Pelajar perempuan bertudung kerap menumpang solat dan tidur di rumah bujang pelajar lelaki adalah antara contoh yang bertentangan dengan norma kehidupan masyarakat di Malaysia.
Selain itu, cubaan penulis dalam memaparkan unsur suspen seperti tidak berjaya kerana suspen hanya berlaku kepada watak2 di dalam novel. Unsur suspen tidak sampai kepada pembaca kerana pembaca telah mengetahui dan dapat mengagak dengan jelas apa yang akan berlaku kepada watak-watak selepas ini.
Buku ini sesuai kepada pelajar dan mereka yang ingin mendalami selok belok dan budaya pelajar serta masyarakat Indonesia amnya.
sumber: Mariah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment