Apr 25, 2011

AAB : Cabaran 50 Buku : (5) Kristal Kristal

Kristal Kristal Yang ‘Puitis’.

Membaca cerita derita hati Kasih Iris Arshad saya terleka. Sedar-sedar sudah hampir tiga bab saya membaca dalam satu masa. Jarang sekali saya duduk atau berbaring membaca novel lama begini. Paling lama satu bab kemudian akan ada perkara yang saya harus buat. Mungkin esok atau lusa saya akan mengadap lagi…satu bab lagi. Bukan saya tidak suka membaca novel tapi masa terluang yang saya ada sekaranag, terlalu sedikit. Bahasa yang menggerakkan Kristal Kristal hasil nukilan Misdhiaz, menjadikan saya terbuai-buai. Terleka. Menjadikan cerita Kristal Kristal saya ingat-ingat lupa. Justeru itu banyak ‘ilmu’ bahasa saya pelajari dari Kristal Kristal.

Cerita Iris, kisah derita dan emotional repression seorang perempuan yang sentisif dan sungguh lembut hatinya. Derita Iris bukan hanya berbentuk patah hati pada Dzul Raimi atau Dr. Luv tetapi derita sengsara dari kisah lampau keluarga yang berlanjutan sehingga sekarang. Cintanya pada seni – ayat-ayat cinta dari Dr. Luv, seni lukisan dan galeri lukisan- secara konotasinya melambangkan kelembutan dan sensitiviti hati dan perasaan seorang Iris.

Mendalami Kristal Kristal pada akhir-akhir (sepuluh bab akhir ) cerita, saya boleh meneka tujuan kewujudan setiap watak - yang saya anggap sebagai watak pembantu - melalui simpulan-simpulan cerita pada awal kisah. Semua watak-watak ini diwujudkan dengan fungsi dan tujuan yang tertentu dan bakal menyumbang kepada derita Irish. Yang akan kita ketemu pada pengakhiran cerita. Seperti Aizat, Hakeem, Nia, Aunty Mila dan Qaznur. Pada pendapat saya, penulis tidak mahu ‘mengsia-sia’ watak yang dibentuk.

Pada pendapat saya konflik Iris datang bersilih ganti dan bercabang kemudian beranting kecil. Konsep 'malang' yang diangkat penulis pada Irish untuk meraih simpati terus menjadi lali dan kebas. Irish direpresentasi sebagai seorang wanita yang pasif dalam hubungan dia dengan tunang pilihan hati dia- Hakeem. Tidak pernah cuba 'memberontak' bila Hakeem semenjak bertunang kian hari seperti kian 'hilang'. Serta tidak memperdulikan dia. Malah berani dia menjalin hubungan yang berbaur kasih dengan Dzul Raimi ketika menjadi tunangan Hakeem. Tetapi tidak berani pula dia menyuarakan hasrat untuk memutuskan pertunangan kerana kasih dia sebenarnya memang azali pada Dzul Raimi - cinta pertama dia sebelum Hakeem. Tetapi Irish yang ini terus hilang bila setiap kali berdepan dengan dengan Pak Long. Pak Long, saya 'lihat' seperti tempat Irish membuang marah dan emotional repression dia yang padat di dalam.

Namun begitu, paling saya ingat dan suka, adalah pada Nia. Nia, walaupun bukan watak utama tapi pengajaran yang dikutip sebagai pembaca dapat ‘menenggelamkan’ rasa simpati saya pada kisah derita Irish. Terus cerita Nia menjadi fokus jelas pada saya dan bukan emotional repression dan konflik utama cerita ini (kisah Irish).

Nia, dari seorang yang saya rasa punyai pencirian gadis Melayu Islam, merasakan pencirian begini tidak cukup bagus dan kuat untuk dia meraih semula kasih dan cinta Hakeem- seorang kaki botol dan kaki perempuan. Tidak setanding dengan Irish yang Hakeem tergila-gilakan itu. Sebabkan Iris, dia ditinggalkan Hakeem. Justeru itu dia ingin menjadi lebih ‘bagus’ dari Irish. Lebih ‘daring dan seksi’ dari Irish. Makanya penampilan yang baharu ini berjaya menjadikan Hakeem tunduk pada dia. Yang diakhiri dengan Nia mengandungkan anak luar nikah Hakeem. Beralasakan ini, Hakeem mengkahwininya yang berakhir dengan dia bermadu dengan Irish –isteri kedua Hakeem (yang selama ini adalah tunangan Hakeem). Tapi apa yang dia dapat dari perubahan dengan niat yang tidak betul begini? Selain dari berdosa kerana berzina, dia menjadi tempat membuang baran Hakeem. Berbaloikah Nia mengubah prinsip hidup dan memijak iman demi seorang Hakeem yang sebenarnya tidak layak menjadi suami seorang perempuan?

Ringkasnya di sini, Kristal Kristal saya suka kerana bahasanya yang sungguh ‘puitis’. Cerita Nia sememangnya melekat dihati. Tentunya jika ada Kristal Kristal 2, lebarkan cerita Nia dengan Hakeem selepas Irish tiada.

Tahniah buat Misdhiaz.

0 comments: