Tajuk: Street Vendetta
Penulis : Mazni Aznita
Penerbit: Buku Prima (2009 )
631 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)
Mengapa saya boleh membaca novel ini walaupun bila dilihat kepada tajuknya, saya sendiri kurang memahaminya? Mungkin juga saya telah jatuh hati dengan cara penulisan penulis, Mazni Aznita atau lebih saya kenali sebagai Anita Aruszi. Melalui buku beliau yang pertama Tiada Sepertimu, kemudian diikuti oleh Bunga Syurga, Sakti Cinta, Dedalu Di Hati dan yang ini Street Vendetta saya terus terpikat dengan cara penulisan penulis yang sentiasa menampilkan kelainan dalam setiap novelnya. Mungkin sesekali kita ingin lari dari kisah cinta yang berendam air mata atau yang jiwang-jiwang, jadi Street Vendetta adalah pilihan yang sangat tepat untuk lari dari kebiasaan.
Bila saya katakan lari dari kebiasaan, bukanlah bermakna tiada langsung kisah cinta terselit di dalam novel ini. Membaca Street Vendetta memang mengundang pelbagai jenis perasaan. Di awal pembacaan, saat mengenali Anabella ( Bella di kalangan rakan-rakan atau Ana di kalangan ahli keluarganya) saya merasa agak geram. Kenapalah watak utama digambarkan seorang yang berperwatakan kasar, tidak menarik dan yang paling saya tak suka wataknya digambarkan sebagai seorang pemboros, hutang keliling pinggang. Namun bila difikirkan semula itulah realiti, bukan semuanya cantik-cantik dan bukan semuanya indah-indah. Namun yang penting bergerak bersama cerita tersebut saya mengenali Anabella yang berubah kearah kebaikan walaupun bukan 100% berubah baik.
Beberapa kali juga saya ketawa terkekeh-kekeh apabila membaca bahagian-bahagian yang memang kelakar, yang akan muncul tanpa anda duga di sepanjang pembacaan. Bahagian Anabella dan Kojie menumpangkan Che Puteh atau dikenali sebagai Mak Telangkai ke Gebeng memang sangat kelakar.Dalam rasa seram sejuk kerana menyangka nenek tua tersebut memang hantu, tetap boleh ketawa dengan reaksi Anabella & Kojie.
Kojie mengenali Anabella kerana dia diarahkan untuk menarik kereta Waja Bella yang sudah 5 bulan tidak dibayar. Dalam usaha untuk mendapatkan kereta tersebut berkali-kali juga Kojie diperdayakan oleh Bella. Secara tidak sengaja Kojie turut bersama Bella ke Cherating sedangkan tujuan Bella ke Cherating untuk merampas semula cinta hatinya semenjak sekolah menengah lagi, Iqbal dari Mira. Perjalanan mereka penuh masam manis kerana sememangnya Bella tidak pernah berkenan dengan cara penampilan Kojie yang serabai macam kutu rayau.
Ditinggalkan oleh Bella di Cherating Kojie mula sedar yang hatinya sudah terpaut dengan Bella.Tapi apakan daya kerana Bella sudah meninggalkan Cherating bersama Iqbal.Berpisah tanpa ucapan selamat tinggal. Berbulan kemudian Bella berkenalan dengan Fakruzi, anak bos tempat kerja barunya. Kehadiran Fakruzi mengingatkan Bella dengan Kojie kerana sememangnya rupa mereka begitu mirip kecuali penampilan dan perangai Fakruzi yang jauh berbeza dari Kojie. Bella juga baru sedar bahawa cintanya kepada Iqbal tidak sama seperti tujuh tahun yang lalu,tetapi hatinya mula merindui Kojie.
Walaupun mengetahui Kojie telah meninggal dunia namun ingatan Bella tidak pernah padam terhadap Kojie.Namun tanpa disedari juga kekadang Bella begitu senang dengan kehadiran Fakruzi. Fakruzi yang menghulur cinta tidak dapat diterima kerana Bella masih mengingati Kojie. Sampai bilakah Bella cuba menafikan rasa hatinya terhadap Fakruzi?
Mungkin ada juga bahagian-bahagian yang agak sensitif bagi sesetengah pembaca.Contohnya apabila Mak Telangkai seolah dapat menilik nasib yang Kojie dan Bella ada jodoh. Mak Telangkai juga tahu banyak perkara tentang Kojie dan Bella.Namun apabila kita menganggap ianya hanya rekaan dan hiburan, saya rasa tidak ada salahnya. Tidak perlu untuk percaya.
Tidak rugi untuk membaca novel ini kerana Street Vendetta penuh dengan bahagian-bahagian yang kelakar,seram, lucu, suspen dan penuh tanda tanya. Bacalah sendiri untuk mendapatkan jawapan bagi persoalan anda.
sumber: Anita Sang
Apr 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment