Tajuk : Suka Saya,Ya? Suka Saya,Tidak?
Penulis : Manjlara
Penerbit : Jemari Seni Publishing
Muka surat : 443
Blurb:
Jodoh itu rahsia Allah
Allah pinjamkan dia buat aku mengenal cinta. Allah temukan dia untuk aku mengenal kaca dan permata. Andai bersua lagi, akan aku kotakan janji padanya. Tetapi benarkah, dialah pilihan hati?
Qisya Amni, gadis manis yang tinggal bersama ayah saudaranya sejak kecil. Walaupun tidak disenangi Mak Long Ainun, namun Pak Long Mukri sangat menyayanginya. Pada mata Qisya Amni itu tertulis cerita. Setiap kali memandang matanya, seakan turut mendengar kisahnya.
Membesarkan anak perempuan bagaikan memiliki harta yang dipinjamkan orang. Sampai waktu dan ketika, harta itu akan dikembalikan. Lalu dia mahu yang terbaik untuk anak saudaranya yang piatu itu. Tetapi bagaimana, jika hati Qisya menulis yang lain.
Kadang-kadang cinta boleh buat seseorang itu sesat. Kadang-kadang pula, cinta boleh buat seseorang mengembara. Dan.. sang pengembara pula, pasti akan bertemu dari mana asal hatinya.
* * *
MANJLARA menulis tulus dan indah sekali. Membaca perasaan Qisya Amni bagaikan membuka jendela rasa seorang anak yang terpinggir. Menilik jiwa Qisya Amni umpama meneroka diari seorang perawan suci. Suka Saya, Ya? Suka Saya, Tidak? membawa anda belayar mencari cinta kasih sejati.
* * *
Buku pertama yang berjaya dikhatam dalam bulan Februari, bulan cinta, hehehe… Sebuah karya yang manis, dengan lenggok bahasa yang indah dan alunan perasaan yang tersipu malu. Oh, apa yang saya karutkan ini? Itulah, terlalu asyik dengan garapan Manjlara kali ini, sampai saya rasa ingin mengulang baca buku ini lagi dan lagi dan lagi!
‘Suka Saya,Ya? Suka Saya, Tidak?’ – tajuk yang comel, secomel covernya, berlatarkan warna pink terang dihiasi bunga-bunga dan ladybird, rasanya inilah cover buku JS yang paling cantik, pada pandangan saya. Teruja dengan indahnya kulit depan buku ini, saya mengambil masa beberapa detik mengusapnya sambil terfikir “aduh, bagaimanalah rasanya andai buku seindah itu ada tertera nama saya sendiri sebagai penulisnya?” sebelum saya mulakan pembacaan.
Watak Qisya Amni polos amat, betul-betul membawa ingatan saya kepada Khalida dalam Nyanyian Tanjung Sepi, dan membuat saya tiba-tiba terasa rindu ingin membelek NTS semula. Lenggok bahasa Manjlara ada mirip gaya Noor Suraya, pada pendapat saya. Saya suka lenggok bahasa begitu; manis, santun, dan… entahlah, saya tak dapat mencari kata yang sesuai untuk gambarkan apa yang saya rasai, tapi yang paling pasti, saya amat menyenagi penulisan sebegitu.
Cerita ini mengisahkan tentang Qisya Amni, seorang gadis yatim piatu yang tinggal dengan Pak Long dan Mak Longnya dan 2 orang sepupu, Julia dan Lidya. Qisya Amni amat disayangi oleh Pak Longnya tetapi tidak disenangi oleh Mak Longnya. Qisya Amni selalu disibukkan dengan kerja-kerja rumah dan disisihkan oleh Mak Longnya dalam aktiviti keluarga (menonton tv, makan di luar dll). Pun begitu, Qisya Amni si gadis polos ini tidak pernah menyimpan rasa yang tidak enak buat ibu saudaranya, di dalam hati dia amat berharap suatu hari nanti dia akan diterima dan disayangi oleh Mak Longnya sepertimana Julia dan Lidya.
Qisya Amni sudah punya seorang kekasih hati, Hilmy, tapi nasib tidak menyebelahi Qisya Amni. Hilmy ditimpa kemalangan dan cedera parah hingga koma dan ibu Hilmy yang sudah lama tidak bersetuju dengan hubungan Qisya-Hilmy mengambil kesempatan memutuskan hubungan kasih sayang mereka.
Kasihannya Qisya Amni, sudahlah tidak disukai Mak Long, sedih mengenangkan Hilmy lagi, kini ibu Hilmy pula yang terang-terang menunjukkan rasa tidak senang kepadanya.
Kemudian muncul pula Azam Jufry, abang kepada Widya (Persis Sebutir Pasir). Keluarga Azam Jufry meminta seorang kenalan mencarikan jodoh buat Azam Jufry dan kenalan tersebut menemukannya dengan Qisya Amni. Dia pada mulanya berat hati mahu dijodohkan, namun demi pertama kali memandang Qisya Amni, hati lelakinya terus terpaut. Ya lah, siapalah yang tidak terpaut kepada Qisya Amni; cantik, sopan, pandai memasak dan polos amat. Tetapi Qisya Amni yang sedang bersedih tentang Hilmy telah berterus-terang dengan Azam Jufry, dan demi ‘rasa’ yang telah bertunas dalam hati Azam Jufry, dia ingin terus bersama Qisya Amni, sebagai abang dan adik.
Wafi Ilya, abang seibu kepada Hilmy pula muncul untuk membantu merawat Hilmy. Wafi Ilya adalah pelajar perubatan di Mesir. Semasa berada di hospital, beliau telah bertemu dengan Qisya Amni. Meskipun pertemuan mereka singkat sahaja, tapi sudah cukup untuk menerbitkan rasa cinta di hati Wafi Ilya buat Qisya. Perasaan dan hasrat itu dipendam olehnya sehinggalah setelah Hilmy pergi buat selamanya barulah diluahkan kepada Qisya.
Satu hal yang saya kurang berpuas hati di dalam cerita ini ialah tentang Mak Long Ainun, ibu saudara Qisya Amni. Kenapa dia tidak sukakan Qisya Amni? Saya berteka-teki sepanjang pembacaan dan tidak sabar-sabar ingin sampai ke muka terakhir untuk mengetahuinya, namun sehinggalah ke noktah terakhir tidak juga dinyatakan punca kebencian Mak Long Ainun kepadanya. Kenapa, ya? Atau, sayakah yang terlepas pandang? Nantilah, akan saya ulang baca buku ini, di masa akan datang, insyaAllah.
Oh, ya, satu hal lagi! Saya rasa nak tergelak bila baca ejaan perkataan Kelab PERIA Patah Hati, sebab apabila kata ‘pria’ dari Indonesia itu dieja begitu, saya terus terbayangkan sayur peria, hahaha..
Untuk mengetahui peria yang mana dapat memiliki cinta Qisya Amni, bacalah Suka Saya,Ya? Suka Saya,Tidak?, insyaAllah berbaloi dan anda akan menamatkannya dengan senyum berbunga.
Sumber : Arirada
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment