Pengarang : Nurina Izzati
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
ISBN :978-983-097-268-8
Mukasurat : 240 Halaman
Taqiah, 17 tahun, merupakan gadis miskin yang juga seorang ketua pengawas di SMK Syed Ahmad. Rakan baiknya bernama Arina. Taqiah sering mendapat tempat pertama dalam setiap kali peperiksaan dan terkenal dengan kecantikan serta ketegasannya. Bakal menghadapi SPM tetapi tidak ingin menekan diri sendiri sebaliknya belajar dengan cara yang sistematik dan proaktif serta sentiasa beribadah.
Melalui insiden di sebuah pusat beli-belah, dia bertemu dengan Latif Marwan Rusydi. Pertemuan itu berbaur pertengkaran kerana telefon bimbit kedua-duanya tertukar. Saling membenci satu sama lain. Mereka bertemu di sekolah apabila Marwan mendaftar sebagai pelajar baru.
Kedua-duanya lambat laun mulai menjalinkan persahabatan, terutama setelah jejaka itu menolong Taqiah yang diganggu samseng jalanan. Sifat Marwan yang hanya tahu bersenang-lenang jauh sekali berbeza dengan Taqiah yang gigih dan baik. Perlahan-lahan, Marwan mula menaruh hati kepada Taqiah. Sifatnya yang selalu ingin mempertahankan kebenaran berjaya merembat hati jejaka itu. Meskipun Marwan hidup dalam kemewahan, dia suka membantu orang yang kesusahan.
Mutharah, adik kepada Taqiah, sangat menyayangi kakaknya. Setelah mengetahui dia menghidap kanser, dia merahsiakannya dari pengetahuan kakaknya. Dia tabah menerima takdir Allah. Sedar dirinya miskin, dia hanya membiarkan penyakitnya itu. Menyukai Marwan tetapi akhirnya sedar bahawa jejaka itu mempunyai perasaan sebaliknya. Apabila Mutharah meninggal dunia, Taqiah begitu sebak dan sedikit terkilan kerana Mutharah merahsiakan penyakitnya tetapi akhirnya sedar tentang kasih sayang adiknya yang begitu mendalam dan setiap hari terpaksa menanggung kesakitan yang amat.
Kehadiran Bang Rifqi sering menghalang Marwan dalam melaksanakan apa pun kerana abangnya jauh lebih pintar dan disayangi ibu bapanya. Meskipun begitu, Bang Rifqi sering alpa terhadap ajaran agama dan sentiasa ingin mendapatkan apa yang dimahukan. Berlagak dengan nikmat duniawi yang diperoleh tetapi sering bersandiwara di hadapan Taqiah. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan membuatkan mereka sering dilanda konflik.
Setelah kematian Mutharah, muncul seorang gadis yang mirip sekali dengan Mutharah. Rentetan senario, Taqiah cuba memenangi hati gadis yang keras itu walaupun dilanda pelbagai cabaran. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan kerana menuruti syariat Islam.
Kenapa anda perlu baca novel ini?
Novel ini berlandaskan motivasi dan syariat Islam. Ia mengisahkan perjalanan anak muda yang menghadapi konflik kehidupan, pelajaran dan cinta. Selain itu, Single Unavailable juga menunjukkan bagaimana caranya untuk anda mengatasi cabaran serta dugaan yang datang berlandaskan hukum hakam agama. Buku ini amatlah sesuai dibaca oleh remaja-remaja dan juga ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat awal dan pertengahan remaja.
Konklusinya, bagi anda yang ingin mendekatkan diri kepada Allah, bacalah Single Unavailable. Tidak rugi anda melapangkan sedikit masa untuk membaca buku yang berlandaskan agama Islam.
Sumber : Azim
2 comments:
suka tgk cover dia..kiut..
isi novel ni.. membawa byk pengajaran tentang syariat islam.. jalan cerita yg best dan x bosan.. novel yg telah byk menyedarkan diri ini utk berubah...
Post a Comment