Feb 27, 2011

MB: Cabaran 50 Buku : (1) Buat Duit Dengan Blog

Buat Duit dengan Blog

Dahulu, semasa zaman Sasterawan Negara, Abdullah Hussain masih remaja, (sengaja saya menggunakan nama Abdullah Hussain sebagai contoh kerana beliau sangat dikenali kini) sewaktu awal-awal penglibatan beliau di dalam bidang penulisan ini, beliau bermula dengan menulis berita-berita sekitar perlawanan bola sepak yang berlangsung di sekolahnya untuk di hantar ke sebuah syarikat penerbitan pada waktu itu.

Tulisan-tulisan beliau itu...
telah diterima dan disiarkan di dalam akhbar tersebut. Tetapi beliau tidak dibayar atau diberi sebarang honorarium di atas berita-berita yang beliau kirimkan itu. Namun, sekalipun tidak berbayar, Abdullah Hussain menyatakan bahawa beliau cukup berasa gembira apabila tulisannya itu disiarkan di dalam akhbar dan dapat dibaca oleh khalayak umum.

Itu yang penting menurut beliau. Tulisannya itu dapat dibaca oleh orang ramai.

Tapi itu adalah kisah dahulu. Sungguhlah pula berlainan dengan zaman teknologi kini. Boleh dikatakan rata-rata anak muda (dan anak tak muda) sekarang mempunyai blog masing-masing. Mempunyai ruangan untuk menulis pandangan-pandangan peribadi terhadap sesuatu. Blog telah menjadi medium untuk mereka mencurahkan segala yang diingini.

Namun sebenarnya konsepnya adalah hampir sama sahaja seperti zaman Abdullah Hussain tadi. Kita menulis, karya kita dibaca, dan kita tidak dibayar apa-apa oleh siapa-siapa.

Tapi jika kita melakukan sedikit carian dan kajian, kita akan temui cara-cara mudah untuk mendapatkan duit hasil dari penulisan anda di blog!

Kita masukan entri baru hari ini, tulis tentang gambar seksi artis Malaysia di Bali (sekadar contoh) sedar-sedar akaun bank kita telah bertambah angkanya pada keesokan hari! Ajaib!

Sebelum ini perkara ini menjadi rahsia di kalangan orang-orang tertentu. Tetapi kini ia tidak lagi rahsia! Buku Buat Duit dengan Blog ini menerangkan segalanya dari A sampai Z, dari alif sehingga ya.

Ditulis dengan bahasa yang cukup mudah, dan bisa difahami juga dicerna oleh sesiapapun. Ditambah lagi dengan reka kulitnya yang ringkas tetapi menarik. Sangat mesra dipandang.

*Mengucapkan tahniah kepada orang yang bertanggungjawab dalam reka kulit dan grafik buku ini. (kalau di facebook, kita akan klik butang 'like')

Satu tip yang ingin saya kongsikan bersama yang terdapat di dalam buku ini. Untuk menjadikan blog kita sebagai sumber pendapatan yang lumayan, kita harus menarik minat pengunjung untuk ke blog kita. Bermakna, makin ramai pengunjung yang melawati blog kita, peluang untuk menjana duit daripadanya adalah lebih besar.

Dan salah satu cara untuk membuatkan blog kita dikenali dan popular serta kerap dilawati, adalah dengan merajinkan diri untuk meletakkan komen di blog-blog mereka yang lain. Cara ini adalah cara yang paling basic untuk memberitahu pengguna internet yang lain mengenai blog kita.

Banyak lagi tip dan panduan di dalam buku ini yang telah dikongsikan oleh penulisnya, Tuan Yazid Yahaya. Lawati beliau di blognya. http://strategiblog.com/

Tidak rugi untuk memiliki buku ini. Sama ada anda seorang blogger atau belum mempunyai sebarang blog. Buku ini akan memberikan anda ilham dan ide-ide sehingga anda berasakan membuat blog itu adalah harus bagi setiap orang! Lebih-lebih lagi pada zaman yang semuanya serba naik kini (kecuali gaji dan air hujan).

Buku terbitan PTS Professional ini boleh didapati di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 14.50 sahaja. Atau boleh melayari www.bookcafe.com.my untuk membelinya dengan harga diskaun!

sumber : Melihat Buku

0 comments: