Showing posts with label Acik Lana. Show all posts
Showing posts with label Acik Lana. Show all posts

Dec 1, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (44) Aku Bukan Mistress

Aku Bukan Mistress
Acik Lana

ISBN: 9789675067846
Penerbit: Kaki Novel Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Ketiga Disember 2011
Halaman: 671
Harga: RM22

~ Rasaku… ~

Ini kisah yang menarik perhatianku sebaik sahaja membelek helaian pertama. Kelainan yang dibawa oleh penulisnya memang mengujakan. Malah jarang sebenarnya watak-watak utama yang mempunyai sisi hitam diterjemahkan dengan baik dalam sesebuah novel. Tajuk ABM sudah menggambarkan isi cerita novel ini. Jadi seeloknya novel ini dijauhkan daripada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Mya Arlissa punya nama indah yang tak seindah kisah hidupnya. Terperangkap dalam dunia kotor itu bukan kehendak hatinya tetapi apakan daya. Mujur ada sang penyelamat, si ‘hero’ yang muncul dalam kelam. Tetapi siapa sangka, Mikail sama saja seperti yang lain, hidup bertunjangkan nafsu dunia.

Hampir dua tahun bersama-sama Mikail, Mya mula menyedari sesuatu. Apatah lagi dengan kematian neneknya, umpama satu wake up call buat Mya. Sudah terlalu lama bertemankan dosa, apakah ada jalan pulang buatnya? Di saat ini, Mya mula berubah, menjauhkan diri daripada Mikail. Dia perlu mencari arah hidupnya kembali.

Namun bagi Mikail, bukan senang untuknya melepaskan Mya. Dia tak mahu teman lain selain Mia. Ego tingginya dibuang begitu saja bila Mya bertekad untuk pergi daripada dunia palsu mereka. Dia akur yang dia kini sudah jatuh cinta pada perempuan yang di’bela’nya. Pelbagai cara dilakukan untuk memenangi hati Mya semula.

Untuk membina kembali hubungan baru antara mereka bukan mudah. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang tiba-tiba hadir menuntut janji dan Suzanne yang menyakitkan hati benar-benar menyukarkan hidup Mya. Apatah lagi dengan penolakan Datin Adiba; ibu Mikail yang begitu membenci perempuan seperti Mya. Apa kesudahan kisah Mya dan Mikail? Berjayakah mereka membina semula hubungan yang direstui dan halal di sisi agama? Mari saksikan dalam kisah ABM ini.

Pujian memang harus diberikan pada Acik Lana kerana menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam kisahnya ini. Aku juga harus memuji cara penulis ‘memutihkan’ kembali watak Mya dan Mikail. Kredit kepada Kaki Novel juga kerana membawa variasi dalam novel-novel keluarannya, bukan lagi santai tetapi sudah ada novel yang disampaikan dalam nada berat dan dramatik.

Setiap manusia itu diberi pilihan. Memilih jalan putih atau kekal bergelumang dalam dosa. Dan bila saja pilihan dibuat, kita harus menempuh segala yang merintanginya. Suka dan duka itu rencahnya. Lived with bless guys~~

Happy reading (^-<)
~Airina

Nov 29, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (72) Aku Bukan Mistress

Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel Enterprise
ISBN 978-967-5067-84-6
Harga: RM22.00 / RM25.00
M/S: 671
Cetakan 1 – September 2011

Marahlah sepuas hatimu,
caci makilah selagi kau terdaya,
hinalah aku selagi kau mampu.
Tapi…kenapa aku tak pernah mampu untuk membencimu?


Blurb:

Dua tahun menghambakan diri di dalam penjara yang dibina oleh Mikail dengan bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yang sinis membuatkan hidup Mya semakin tersepit. Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dalam resah ada debar, dalam benci ada rindu, dalam marah ada tenang…Mikail mendera hati dan perasaannya.

Sampai kemuncaknya, Mya tekad. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorang perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tapi hati mengikat janji secara sembunyi.

Mengapa membina harapan jika penhujungnya tidak seindah impian? Dan…cukupkah tempoh dua tahun untuk memastikan debaran di hati mereka melagukan rentak yang sama?

Kak Chik menukil:

Mya terjebak dengan jalan hitam kerana manusia yang meragut kegadisannya. Kehidupan yang sejak kecil sering dicaci dan didera menjadikan dia menderita. Saat ada insan lain yang sanggup menebusnya dari terus bergelumang dengan tempat hitam itu dia sangat bersyukur walaupun jalan hidupnya tidak jauh berubah. Dia tetap dipenjara Mikail, lelaki yang menebusnya untuk dijadikan perempuan simpanan. Dua tahun dia bergelumang dengan dosa dan noda tetapi dia tiada kekuatan untuk meninggalkan lelaki itu walaupun sikap Mikail yang sentiasa berangin dan kasar dengannya. Perhubungannya dengan Adam, kawan karib Mikail juga telah mencoret sejarah hitam dalam hidupnya tetapi dia lebih tega menanggungnya sendiri daripada berita keji itu sampai kepada pengetahuan nenek di Taiping. Dia lebih rela memendam sakit itu sendirian kerana sudah pasti Mikail tidak akan mempercayainya.

Sedang Mya cuba mencari akal untuk menjauhi Mikail, lelaki itu mula berubah sikap menjadi lelaki yang lebih mengambil berat dan prihatin. Malah dia dilayan dengan baik sekali menjadikan Mya keliru. Berita kematian nenek dan kepulangannya ke Taiping, makin menyulitkan keadaan kerana Mak Ngah dan Yati masih berterusan menuduh dan menyebarkan berita buruk yang terjadi bertahun dulu. Lalu Mya nekad mengambil keputusan untuk kembali ke Kuala Lumpur tetapi ke mana tempat yang harus dia tuju? Selamatkah dia di luar sana jika dia meninggalkan sangkar emas Mikail?

Mikail merupakan lelaki yang berketerampilan menarik apatah lagi dengan status perniagaannya yang sedang berkembang. Dia membina sendiri kerjayanya tanpa bantuan sesiapa. Lelaki yang pernah dikecewakan ini kadang-kadang tidak stabil emosi dan perangainya apabila berhadapan dengan Mya. Dia masih mahu berpegang pada janjinya dua tahun dulu yang mereka tidak akan menyimpan perasaan antara satu sama lain. Benarkah tidak bergetar hatinya saat Shamil kembali menagih kasih Mya? Relakah dia kehilangan Mya yang menemaninya selama dua tahun ini? Sanggupkah dia menidakkan kemahuan ibunya demi menegakkan kemahuannya?

Pada Kak Chik karya ini hanya kisah yang biasa-biasa sahaja kerana sudah pernah ada kisah sebegini digarapkan penulis lain tetapi satu yang menjadi karya penulis ini menarik untuk dibaca kerana bahasa yang digunakan boleh dikatakan agak baik susunan bahasanya. Bahasa yang mudah untuk dihadam. Cuma plot yang menjadi tanda tanya pada Kak Chik: untuk apa Mya pulang ke Taiping untuk menemui Mak Ngah dan ayah Mikail membayar RM50,000 kepada perempuan jahat itu semata-mata untuk memutuskan pertunangan Mya-Shamil kerana pada Kak Chik ia tidak relevan sedangkan Mya boleh sahaja membiarkan pertunangan yang dilakukan tanpa pengetahuannya itu. Tapi penulis sudah pasti mempunyai alasan tersendiri, kan?

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Oct 11, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (50) Aku Bukan Mistress

Tajuk: Aku Bukan Mistress
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel ( September 2011)
671 Mukasurat
Harga: RM 22(SM)/ RM25(SS)

Novel pertama penulis , Acik Lana, saya rasakan begitu sempurna dan ada segala elemen yang dicari dalam sebuah novel. Bahasanya sederhana tetapi tetap serasi di jiwa. Peceritaan dan pengolahan yang matang dan menyenangkan. Mungkin juga ini adalah kali pertama bagi saya membaca kisah sebegini. Namun yang pasti kisah ini kisah yang menarik bagi saya.

Kisah Aku Bukan Mistress mungkin kisah yang biasa berlaku di luar sana. Kisah yang masih berlaku dalam masyarakat kita. Kisah yang sering dipandang hina oleh masyarakat tetapi berapa kerat yang ambil peduli sebab disebalik lahirnya seorang ‘Mistress’ di dalam hidup seorang lelaki. Saya percaya bukan semua yang menjadi ‘Mistress’ adalah kehendak secara rela hati seorang wanita, mungkin keadaan yang memaksa dan mungkin juga kerana tiada siapa yang rela membantu.

Oct 7, 2011

R: Cabaran 50 Buku: (67) Aku Bukan Mistress


Aku Bukan Mistress
Penulis: Acik Lana
Penerbit: Kaki Novel
Editor: Jabatan Editorial KNE
Cetakan pertama sept 2011
671 mukasurat
RM22.00
Sabah/Sarawak: RM25.00
9789675067846


"Marahlah sepuas hatimu, caci makilah selagi kau terdaya, hinalah aku selagi kau mampu. Tapi kenapa aku tak pernah mampu untuk membencimu?"


Satu kisah yang membawa rentak berbeza dalam koleksi bahan bacaan aku. Aku jarang-jarang rasa nak baca kisah berat, tambahan pula kisah insan-insan yang bergelumang dosa dan cuba mencari jalan pulang. Bukannya apa, kadang-kadang pengakhiran untuk pemegang watak-watak begini agak memilukan. Jarang-jarang diorang diberi happy ending. Mungkin juga aku lebih terpengaruh kepada kisah-kisah 'heavy' begini dalam buku-buku lama. Tetapi Acik Lana menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam kisah ini. Di bawah label Kaki Novel terasa novel ini ada kelainan kerana bukan dilagukan dalam irama santai tetapi tidak pula disampaikan dalam nada yang berat dan dramatik. Boleh dikatakan penulis berjaya mengimbangi penceritaannya dengan gaya bahasa yang menyenangkan. Memang terfikir-fikir bagaimana penulis akan menamatkan kisah yang begini, bukannya apa, kebanyakan penulis cerita-cerita begini ada tendensi atau kecenderungan memberi penamat yang mengejutkan ;)


Dua tahun lalu Mikail membeli Mya dari bapa ayam dengan harga RM50,000. Bermula dari saat itu dia menjadi milik Mikail tanpa sebarang ikatan perkahwinan. Mungkin Mikail tidak mahu berkongsi Mya dengan sesiapa. Bagi Mya itu adalah satu jalan keluar yang terbaik buatnya daripada dipaksa melayani ramai lelaki. Kisah silamnya yang menyedihkan turut membuat dia menjadi pasrah dengan ketentuan baru ini. Tanpa sedar Mikail menjadi 'overprotective' terhadap Mya. Adam, sahabat baik Mikail turut menyimpan perasaan terhadap Mya dan turut menyimpan hasrat merampas Mya dari Mikail. Dia berazam akan menyambar Mya sebaik saja Mikail bosan dan melepaskan Mya dari 'kurungan'. Namun apa yang ditunggu-tunggunya tidak langsung menunjukkan bibit-bibit akan menjadi nyata. Dalam hubungan yang tidak banyak komunikasi berkesan antara Mikail dan Mya itu tercetus perasaan halus antara mereka. Mikail tidak dapat mencari keburukan Mya kerana gadis itu bukan saja dikurniakan kecantikan malah berpewatakan baik dan pandai memasak :)


Mya mula memberontak setelah Adam menambah cemar pada dirinya, namun dia tidak pernah mengadu kepada Mikail siapa punya angkara kerana dia tidak mahu Mikail kehilangan kawan kerananya. Mikail menyimpan dendam terhadap si pembuat onar yang dirahsiakan Mya. Kedatangan ibu Mikail ke rumah mereka membuat Mya sedar yang Mikail sudah semakin pandai bergurau dengannya. Sikap Mikail itu juga membuat Mya semakin berani menunjuk protes. Kematian nenek Mya telah membawa perubahan besar dalam diri Mya. Dia mahu bertaubat dan hasratnya dinyatakan kepada Mikail. Walaupun keberatan, Mikail menerima tetapi Mya tidak boleh meninggalkan rumah itu.


Mikail berperang dengan perasaan sendiri. Cerita-cerita buruk tentang Mya yang didengari dari sepupu Mya membuat Mikail berprasangka tetapi dia tidak sanggup melepaskan Mya, tambahan pula kemunculan bekas teman lelaki Mya, Shamil, kelihatan sangat berminat untuk mendapatkan Mya kembali malah sudah menghantar rombongan meminang tanpa persetujuan Mya. Mikail mula mengatur strategi drastik untuk memastikan Mya terus menjadi miliknya :)


Konflik yang tercetus dalam cerita ini dikendalikan dengan baik oleh penulis dan penyelesaian konflik itu juga sangat baik dan berjaya 'memutihkan' watak Mikail dan Mya sedikit demi sedikit. Diorang tak derla terus jadi baik dan alim. Walaupun tidak lagi tidur bersama, diorang masih lagi tinggal serumah.


BAgi aku kisah ini diberikan ending yang sangat sempurna dan menyenangkan, cuma aku agak kurang senang dengan latar cerita watak utama yang sudah hidup bergelumang dosa tanpa ikatan yang sah, mungkin ada pembaca yang akan merasa sedikit kurang senang dengan kisah ini. Aku rasa banyak lagi tema yang lebih baik dan menyenangkan yang penulis ini boleh ketengahkan dengan kelebihan gaya penulisan yang beliau ada. Apa-apapun, penulis sudah berjaya menyampaikan ceritanya dengan baik sekali. Tahniah. Oh lagi satu, 'definitely NOT for bacaan budak-budak ya?! hehe....


sure fine whatever
rinn



blurb/sinopsis belakang buku:


Dua tahun menghambakan diri di dalam penjara yg dibina oleh Mikail dgn bertemankan dosa, Mya mula mencari arah hidupnya. Kehadiran Adam yg kejam, Shamil yg menagih janji silam, Suzanne yang menyakitkan hati dan Datin Adiba yg sinis membuatkan hidup Mya semakin sempit. Sikap Mikail yang semakin aneh dari sehari ke sehari membuatkan Mya keliru. Dlm resah ada debar, dlm benci ada rindu, dalam marah ada tenang... Mikail mendera hati dan perasaannya.


Sampai kemuncaknya, Mya tekad. Dia mahu menoktahkan semua catatan noda dan dosa dalam diari hidupnya sebagai seorg perempuan simpanan, tapi bagaimana? Kaki ingin berlari menjauhi Mikail, tapi hati mengikat janji secara sembunyi.


Mengapa membina harapan jika penghujungnya tidak seindah impiah? Dan... cukupkah tempoh dua tahun untuk memastikan debaran di hati mereka melagukan rentak yg sama?