Showing posts with label Burhan Sodiq. Show all posts
Showing posts with label Burhan Sodiq. Show all posts

Dec 31, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (47) Ya Allah, Diakah Jodohku


Tajuk buku : Ya Allah, Diakah Jodohku
Penulis : Burhan Sodiq
Keluaran : Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Halaman : 221 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Buku ini membicarakan soal yang selalu dibincangkan sejak akhir-akhir ini – hal jodoh. Benda fitrah yang bagi saya yang paling kompleks.

Pada awal buku , penulis banyak menceritakan perihal perkahwinan itu sendiri. Menceritakan tentang fitrah perkahwinan, penulis menekankan tentang anjuran untuk berkahwin. Diselitkan suatu hadis dimana ada seorang sahabat bertanya pada Rasulullah“ Wahai Rasulullah , sebaiknya kita membujang?”, namun Rasulullah melarang. Dan Allah melarang hamba-Nya mengharamkan apa yang sudah dihalalkan Allah. Itu pendahuluan yang disampaikan penulis.

Kemudian , bermula perbincangan mengenai “jodohku yang mana satu? “. Suka saya berkongsi suatu ayat dalam buku ini yang terkesan bagi saya :

“ Jodoh itu ditentukan oleh Allah. Lalu apakah bererti kita tidak mempunyai pilihan? Tentu sahaja ada. kita tidak pernah dipaksa memilih apa yang ALLAH telah tentukan. Dengan kehendak dan keinginan peribadi , kita berhak memilih siapa sahaja untuk menjadi jodoh kita. Tetapi dengan ilmu ALLAH Yang Maha Luas , Allah sudah tahu siapa yang akan kita pilih”

Menarik kan? Kita tidak pernah dipaksa tapi kita pasti akan ‘terpilih’ pasangan yang telah Allah tentukan pada kita.

Penulis turut berkongsi tips mencari jodoh buat mereka yang masih belum bertemu jodoh. Antaranya adalah berdoa padaNya dan dengan itu penulis turut berkongsi adab-adab berdoa. Selain itu , penulis ada juga berkongsi tanda-tanda seseorang itu mungkin jodoh kita. Tanda –tanda ini lebih kepada psikologi semata-mata.

Juga buku ini ada dikongsikan mengenai tahap keserasian dengan pasangan di mana penulis menghuraikan tentang beberapa teori psikologi untuk mengenali peribadi pasangan.

Juga penulis menghuraikan serba sedikit ciri-ciri pasangan yang perlu dicari sepertimana yang diceritakan dalam hadis Rasulullah iaitu carilah yang cantik parasnya , baik keturunannya, banyak hartanya dan yang paling baik agamanya. Namun pilihlah calon yang beragama kerana ia lebih baik daripada seluruh isi dunia.

Turut diselitkan dalam buku ini , kisah –kisah unik berkenaan jodoh. Ada kisah Nabi Musa yang bertemu jodoh dengan anak gadis Nabi Syu’aib. Juga kisah Andriej Ivanov dan Maria Petrova yang bertemu jodoh ketika mahu membunuh diri dan akhirnya ada kisah Julailib , kisah pemuda ansar di zaman Rasulullah.

Di akhir muka surat buku ini , penulis turut berkongsi beberapa doa dan juga mengenai solat istikharah itu sendiri.


Komen Ain Sabrina :

Untuk menulis serba sedikit mengenai buku ini , saya rasa susah. Malu pun ada dan dalam masa yang sama agak susah. Namun , saya cuba buang semua halangan untuk berkongsi juga serba sedikit.

Buku ini saya beli di saat saya rasa masalah emosi membelengu saya. Rasa malu untuk berkongsi dengan kawan mahupun keluarga , jadi saya lebih tegar simpan sendiri masalah itu dan berkongsi denganNYA. Namun persoalan masih tidak terjawab dan pastinya ia tidak datang begitu sahaja. Jadi apabila terpandang buku ini di kedai buku , tanpa banyak fikir saya terus ambil dan bayar di kaunter.

Pendapat saya , masalah ini pasti akan hinggap di hati semua dan hanya cara kita menghadapinya buat kita berbeza. Saya suka membaca dan rasa malu nak bercerita , jadi usaha saya menghadapinya adalah dengan membaca.

Bagi saya masalah emosi ini , adalah dugaan Allah buat saya. Rasa bercampur-campur , letih jadi cepat-cepat saya ingin keluar dari belenggu ini dan mencari penyelesaian. Buku ini adalah salah satu cara sahaja. Bagi saya cara ini lebih baik , daripada saya mendengar pendapat yang lain , yang rata-ratanya masih juga belum bertemu jodoh. ^^ Dan cara yang paling baik sebenarnya adalah kita kuatkan hati kita dan iman kita. Namun , tak mudah , ia perlukan masa.

Dan ada seorang pernah kata pada saya , masalah ini takkan selesai selagi kita tak kahwin. Walaupun bercinta bertahun-tahun , selagi hubungan itu tidak halal , selagi itu masalah emosi ini akan membelengu dan ketenangan itu tidak akan datang . Jadi , secara jujurnya cara paling baik nak ‘handle’ masalah ini adalah dekatkan diri pada NYA dan apabila sudah bersedia , dirilah ‘masjid’ itu. sekian. ^^

---
Ain Sabrina

Jul 13, 2011

SS: Cabaran 50 Buku : (2) Ya Allah, Aku Tak Ingin Sendiri


Tajuk buku : YA ALLAH, AKU TAK INGIN SENDIRI
Penulis : BURHAN SODIQ
Penerbit : RIJAL MEDIA
Harga : RM14.90
Halaman : 165

Apa ada dalam buku ini?

Ini bukan novel! Tapi ini buku motivasi untuk mereka yang masih sendiri, menanti kekasih hati yang tak kunjung datang menghampiri. Hmm, sounds desperate? Buku ini akan memberi satu perspektif baru bagi mereka yang dilemma memikirkan soal jodoh. Buku ini mengulas bagaimana menghadapi perjalanan hidup bersendirian atau lebih tepat lagi hidup bujang.

Buku ini mengandungi enam bab.

1. Kenapa jodoh tidak kunjung datang.
2. Ya Allah aku tak ingin sendiri
3. Pendapat para ulama
4. Ketika air mata bercucuran
5. Tetap bertahan dengan kebahagiaan
6. Penyelesaian.

Setiap bab pasti akan ada persoalan dan huraian jawapan yang diiringi dengan artikel, petikan ayat Al-Qur’an, hadis dan lakaran kartun yang berkaitan. Ada curahan hati seorang muslimah. Ada fakta. Ada petikan blog. Kesimpulannya, macam-macam ada pasal hidup bujang. Setiap yang dirujuk, ada quote nya

Ulasan :

Kebiasaannya, sebelum membeli sesebuah buku, sudah pasti saya akan mencari ulasan mengenai buku tersebut. Melalui ulasan yang saya baca, barulah saya akan membuat keputusan sama ada buku tersebut perlu menjadi koleksi peribadi saya atau tidak.

Tapi untuk buku ini tidak seperti kebiasaannya. Saya berlegar-legar di kedai buku, tertarik dengan tajuk buku dan ayat-ayat yang ada di kulit buku menyebabkan saya ringan melangkah ke kaunter pembayaran. Keluar sahaja dari kedai buku, saya telah mencari tempat yang sesuai untuk memulakan pembacaan.

Helaian awal dari kalam penerbit, saya tertarik dengan ayat yang penuh rendah dirinya, “Mungkin lembaran buku yang dipersembahkan tidak mampu mengungkapkan kesempurnaan ilmu yang amat luas ruang lingkupnya, tetapi sekurang-kurangnya ia menjadi sebahagian daripada ruang untuk pembaca mencapai kesempurnaan tersebut.”

Selesai pembacaan, saya dapati penulis berjaya mengupas persoalan yang sentiasa bermain difikiran seseorang yang masih bujang. Situasi-situasi yang diceritakan di dalam buku ini adalah perkara yang sering diperkatakan mengenai orang bujang seperti persaingan sengit mencari jodoh, mahar kahwin, poligami, memilih, rasa rendah diri dan banyak lagi. Cerita, fakta, ayat Al-Qur’an dan hadis disusun dengan baik dan berkaitan antara satu sama lain.


Petikan ayat yang saya suka:

Terlalu banyak ayat di dalam buku ini yang saya suka. Tapi satu yang ingin saya kongsikan;

Bila akan berkahwin?

Kenapa kita tidak jawab dengan tersenyum dan berkata “ Perkahwinan adalah keinginan setiap orang. Soal bila kita akan berkahwin sudah ditentukan oleh Allah. Jadi jika pertanyaannya adalah bila, maka jawapan pastinya ada pada Allah. Kita boleh saja merencana dan membuat sasaran hidup, tapi Allah yang menentukan. Allah Maha tahu bila seseorang akan menjadi pengantin, dan mendapatkan jodoh disisinya.”

Saranan:

Untuk sahabat-sahabat di luar sana yang masih mencari teman hidup, jangan mudah putus asa. Ini juga ujian dari Allah. Buku ini akan membantu anda memotivasikan diri untuk menjalani hidup bujang dengan lebih bermakna. Jangan mempersiakan setiap usia yang kita ada di muka bumi ini untuk meratapi kesunyian dan kesepian hati. Bersyukurlah dengan setiap nikmat yang telah kita nikmati sehingga ke hari ini.

“Usahlah diri mu bersedih lalu menangis di penghujung malam kerana tidak kunjung usai memikirkan siapa kiranya pasangan jiwa. Menangislah kerana air mata permohonan kepada-Nya di setiap sujud dan keheningan pekat malam” ~m.s 114.