Showing posts with label JS Adiwarna. Show all posts
Showing posts with label JS Adiwarna. Show all posts

Dec 20, 2011

KK: cabaran 50 buku: (45) Arjuna Mencari Cinta

Tajuk:Arjuna Mencari Cinta
Penulis: Adlinz Alexandria
Terbitan: Jemari Seni sdn bhd
ISBN: 978-967-0201-20-7
Harga- RM 18.00 (Sem M’sia) / RM 20.00 (S&S)

Kata kulit buku:

Susahnya untuk jadi dewasa. Macam-macam kena fikir, itu, ini, dan terlebih-lebih lagi masalah cinta. Cinta pula cinta yang bersegi-segi. Siti Ezrina suka Nejad, tapi Nejad pula suka Vilma Faira. Antara mereka pula ada Nur Dalilah dan Iqram Muslimin. Lalu siapakah yang jadi pilihan Sang Arjuna Mencari Cinta itu!

“Siapa yang suruh kau bercinta? Setahu aku, di sekolah atau universiti pun pelajar tak belajar tentang cinta. Kalaulah cinta itu sangat penting tentu kerajaan akan wujudkan mata pelajaran Cinta.”

“Tapi Nejad dalam bahaya. Faira betul-betul nak rosakkan dia. Aku tak sanggup nak tengok semua ni.”

“Jadi, kau nak buat apa? Kau nak selamatkan Nejad? Kau ingat kau ‘superwoman’? Jangan buang masalah.”

Kalau berani bermain dengan api mesti berani juga tanggung sakitnya kena api.

*****

ADLINZ ALEXANDRIA, penulis lulusan jurusan Syariah Islamiah daripada Universiti al-Azhar, Alexandria ini menulis kerana percaya dengan tulisan, beliau mampu tebarkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, supaya dunia akan penuh bercahaya.

Kata KK:

Hadiah kerana memenangi ulasan cabaran 50 buku yang mana boleh dikatakan sebagai hadiah hari jadi sebab saya terima ia bulan oktober. Hajat dihati mahu autograf dari penulis tapi tidak. *terkilan*

Pada awal cerita saya sedikit keliru, apa kaitan Dalilah dengan Nejad. Tetapi kerana ceritanya berlatarkan zaman sekolah. Zaman tingkatan lima. Mengimbau kembali pada zaman sekolah saya meneruskan AMC.

Ketika membaca saya hampir terlupa dengan tajuknya. Bila lihat kembali tajuk buku saya keliru. Mana Arjuna. Siapa Arjuna. Nejad adalah sang arjuna yang menjadi pilihan Siti Ezrina dan Vilma Faira. Adakah perempuan layak menjadikan Nejad sebagai Arjuna? Tidak, tetapi yang menjadikan Nejad sebagai arjuna bilaman diterangkan bahawa Nejad yang kacak, bergaya lagi tampan menjadi rebutan untuk dijadikan abang angkat dan dendam Vilma Faira. Tetapi bagaimana Dalilah berhubungkait dengan Nejad?

Setelah terjadi berbagai insiden yang berlaku pada Nejad, tiba-tiba sahaja Nejad baik dengan Dalilah. Kerana dia meminta nasihat Dalilah. Kerana dia mengulang balik SPM dan belajar bersama-sama Dalilah. Sebenarnya saya masih samar-samar dengan watak Dalilah. Yang pasti dan saya tahu adalah Dalilah pilhan Nejad. Itu sahaja.

Watak Nejad sebagai Presiden Badan Pengawas berperangai seorang arjuna sekolah agama tidak pernah saya temui. Mungkin di daerah yang penulis nyatakan ada di situ. Kerana seorang pemimpin sudah tentu seorang yang berkaliber dan sangat dikagumi serta menjaga disiplin dan imej diri. Adapun, mungkin di sekolah-sekolah biasa sahaja. Tidak di sekolah agama. Ini diakui dengan pendapat orang-orang yang juga membaca buku ini.

Mungkin saya dan pendapat orang-orang sekeliling keliru tentang tempat Dalilah dan Nejad melanjutkan pelajaran iaitu setahu saya, kemasukan ke USM tidak terus dengan sijil SPM tetapi dengan keputusan Matriks ataupun sijil STPM.

Keseluruhan cerita menarik dan kemas Cuma kerana beberapa keadaan seperti yang telah diulaskan tadi menganggu jalan ceritanya dan buat saya seperti O_o ….

---
khaulah khalid

KK: cabaran 50 buku: (44) Dikau Tidak Pernah Jauh

Tajuk: Dikau Tidak Pernah Jauh
Penulis: Nur Hatija
Terbitan: Jemari Seni sdn bhd
ISBN: 978-967-0201-20-7
Harga- RM 18.00 (Sem M’sia) / RM 20.00 (S&S)

Kata Kulit Buku:

Letaklah Allah pada cinta yang paling utama. Cinta terhadap manusia tidak salah tetapi biarlah selari dengan kehendak agama...

Apakah erti cinta?
Cinta hanyalah omong kosong pada yang tidak sanggup berkorban demi cinta!

Kerana cinta, Fadhil meninggalkan kebahagiaan dunia dan belajar hidup zuhud.
Kerana cinta, Halina sanggup kehilangan kasih anak-anak.
Kerana cinta, Firdaus tenggelam dalam pelukan dunia;
dan kerana cinta akan Firdaus, Mardhiah sabar menunggu.

“Janji dengan saya, awak akan tunggu saya,” ucap Firdaus.
“Awak pun berjanji dengan saya. Jangan pernah melarikan diri daripada saya,” balas Mardhiah.


Tapi, kenapa kini Firdaus jadi lupa pada kata-kata yang pernah dia ucapkan dahulu? Mampukah mereka kenal erti cinta sebenar? Mampukah mereka berkorban demi mencari nikmat cinta itu?

* * *

NUR HATIJA menulis tentang makna cinta. Dikau Tidak Pernah Jauh membawa anda menghayati kisah cinta yang penuh teladan untuk mencari keikhlasan cinta yang sebenar.

Kata KK:

Buku ini hadiah dari ulasan cabaran 50 buku. Secara jujur, sangat perlahan untuk saya habis novel ini. kata kulit buku juga kurang mengujakan saya. Dengan kisah awal tentang Fadhil, Firdaus dan Aishah. Kemudian fasa kedua bermula apabila Firdaus melanjutkan pelajaran di pengajian tinggi tempatan. Kemudian kemuncaknya, apabila Firdaus bertemu dengan ibunya. Dimana titik tolak berubahnya seorang Firdaus yang alim menjadi seorang yang cintakan dunia – harta dan wanita.

Pendapat saya, mulianya Fadhil apabila dia memilih untuk hidup dengan serba kekurangan tetapi fadhil juga kelihatan pentingkan diri sendiri kerana dia membesarkan anak-anaknya tanpa membenarkan Firdaus melihat dunia yang sebenarnya. Walaupun dia telah cuba sedaya upaya untuk melindungi Firdaus tentang nikmat dunia. Juga tidak membenarkan anaknya untuk berdikari malah dimanjainya. Beruntung memang firdaus mempunyai Fadhil sebagai ayah. Tetapi fadhil seharusnya tahu kehidupan dunia makin mencabar.

Namun kesannya dapat dilihat apabila Firdaus tinggal bersama ibunya. Didikan ilmu agama yang diberi Fadhil masih belum cukup kuat untuk Firdaus hadapi realiti kehidupan barunya. Dengan mudah dia terpedaya dengan godaan adik tirinya. Malah hubungan Firdaus dengan teman-temannya masih belum cukup kuat kerana mereka masih belum mampu untuk dijadikan sebagai tempat untuk Firdaus berpaut. Mungkin NH sengaja membiarkan Firdaus berdakwah sendirian tanpa sokongan temannya dan menyebabkan Firdaus hanyut dengan nikmat dunia. Tetapi berdakwah bersendirian bukanlah jalan yang terbaik kerana akhirnya pasti akan jatuh.

Setelah menghadapi segalah cabaran,Firdaus mengikut jejak langkah ayahnya Fadhil. Memilih hidup meninggalkan dunia dan memilih Mardhiah sebagai teman hidup. Disitu saya sedikit kurang setuju kerana terlalu mudah dia menerima Mardhiah dan watak Tina dibiar tergantung walaupun ada dinyatakan dia bahagia hidup jauh dari keluarganya yang sebenarnya langsung tidak meninggalkan kesan pada kisah hidup Firdaus. O_o

Ada juga sedikit tidak logik, kursus pengajian yang diambil oleh Firdaus di sebuah universiti tempatan perlu dirujuk kembali. Mungkin tempat pengajian perlu tempat yang lebih kukuh bersesuaian dengan kursus pengajian yang diambilnya.

Mungkin ramai yang suka dengan DTPJ tetapi bagi jalan ceritanya sangat perlahan sehingga saya terasa penat dan mengambil masa yang lama untuk sampai muka terakhir. Entah kenapa akhir-akhir ini kebanyakan novel JS sangat mengecewakan.

---
khaulah khalid

KK: cabaran 50 buku: (43) Dia Yang Kunikahi

Tajuk: Dia Yang Kunikahi
Penulis: Iqbal Syarie
Terbitan: Jemari Seni sdn bhd
ISBN: 978-967-0201-18-4
Harga- RM 19.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata kulit buku:

Mesti gadis itu hebat sampai berjaya menawan hati ayah ibu. Tapi... aku nak 'produk siap'. Jika diberi pilihan, Adam Johari mahu gadis yang sudah ditarbiahkan, sudah alim, dan sudah siap dibimbing. Logiknya, akan memudahkan dan pasti membantunya dalam mewujudkan keluarga dakwah dia impi-impi selama ini.

"Ana impikan produk siap, ustaz. Jika diizinkan untuk memberi contoh, ana maksudkan ustaz sendiri. Ana mahu isteri yang seperti Ustazah Asyiqin. Ustaz faham maksud ana?" Itulah yang dia katakan pada murabbinya.

"Ana faham maksud enta. Enta mahukan isteri yang sudah pun berdiri di medan juang, bukannya sedang baru mahu bersiap. Kan?"

Adam Johari mengangguk.

"Baiklah. Jika enta diberi pilihan untuk memiliki sebuah Ferrari mewah dengan sebuah van terpakai, yang mana enta pilih?" tanya Ustaz Mujib.

Johari terdiam sebentar. "Sudah tentulah Ferrari mewah!"

"Sebab?"

* * *

Keindahan bahasa bukan terletak pada mahalnya sijil, tapi terletak pada penghayatan dan pertuturan si tulang bangsa. Begitulah juga dengan keindahan garapan cerita. IQBAL SYARIE tidak pernah terlibat dalam mana-mana bidang penulisan. Jauh sekali dengan kursus atau mana-mana bengkel penulisan. Anak muda yang sedang mengikuti kursus penyelenggaraan kapal terbang dengan syarikat penerbangan Malaysian Airlines Systems (MAS) sedang merubah arus – menulis dengan satu misi: DaBOM- Dakwah Buat Orang Muda!

Kata KK:

Komen saya, pandangan pertama saya berbelah bahagi untuk mengambil buku untuk dijadikan sebahagian koleksi kerana saya ragu-ragu dengan kata kulit buku tetapi ketika terasa ‘kaya’ lalu saya jadikan ia sebagai sebahagian koleksi kami.

Jalan ceritanya pada awalnya menarik Cuma watak Johari dengan latarbelakang keluarganya yang sempurna dan mewah itu secara logiknya sukar untuk saya terima. ada, memang ada tetapi apa yang digambarkan terlalu indah dan sempurna sedangkan jalan dakwah itu bukan senang dan mudah.

Muncul watak Aishah memang menarik. Aishah, teman Johari dari kecil. Bagaimana dia terpengaruh dengan suasana yang dibesarkan mempengaruhi cara hidupnya. Setelah dia bertemu Johari dan pengalaman hidup, ia titik permulaan bagaimana dia berubah.

Nasuha, juga sebahagian dalam hidup Johari sebelum dia berubah. Perasaannya sukanya pada Nasuha juga tidak berubah masih sama.

Dua-dua jadi pilihan Johari. Namun siapa dia yang kunikahi? DYK ada jawapannya.

Ulasan saya, mungkin IS kata kerana saya perempuan, lalu saya emosional. Tapi penamatnya bagi bukanlah yang terbaik. Apa yang boleh saya katakan ia seperti dibayangi dengan Ayat-Ayat Cinta. Itu yang menerpa diminda setelah saya menutup kulit buku ini.

Mungkin kerana harapan saya terlalu tinggi dengan tajuk buku ini. apa yang saya harapkan buku ini dapat menghadam maksud dia yang kunikahi. Erti perkahwinan sendiri. Bukan poligami. Tujuan Johari mengahwini Aishah kerana dakwahnya. Tetapi apabila dia juga memilih Nasuha. Saya merasakan Johari memilih nasuha kerana nafsu. Nafsu kerana dia masih belum melepaskan cinta pada Nasuha.

Hasil cakap-cakap dengan orang yang membaca buku ini juga, sebab Johari untuk menerima Nasuha masih belum kukuh. Kalau dihuraikan dengan maksud menjaga itu subjektif. Bukan mengambil Nasuha sebagai pilihan isteri.

DYK terlalu perlahan dan meleret. Ada setengah bab tidak perlu untuk diceritakan. Terasa sedikit bosan dan penat menunggu siapa Dia Yang Kunikahi.

DYK terlalu indah dan sempurna untuk misi dakwah buat orang buat muda. Kerana perjalanan dakwah bukanlah senang dan mudah seperti kisah hidup Johari tetapi ia adalah perjalanan pahit dan manis menuju syurga. Mungkin perlu sedikit realit dalam DYK.

---
khaulah khalid

Nov 30, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (40) Arjuna Mencari Cinta

Tajuk buku : Arjuna Mencari Cinta
Penulis : Adlinz Alexandria
Keluaran : JS Adiwarna
Halaman : 345 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Kisah ini berlatarbelakang zaman persekolahan dan menjadikan ia lebih menarik ia berlatarbelakangkan pelajar-pelajar sekolah agama. Dikisahnya pada awalnya kisah persediaan pelajar-pelajar tingkatan 5 untuk menghadapi SPM. Dalam pada persediaan itu , Nejad turut mengalas tanggungjawab sebagai ketua pelajar. Dia dibelenggu masalah-masalah sekolah dan salah satunya masalah adalah Nur Dalilah. Nur Dalilah , pelajar baru yang dilantik melalui undi untuk menjadi AJK Tertinggi Majlis Perwakilan Sekolah, yang memberontak apabila dipaksa menjadi ketua disiplin. Perdebatan seringkali berlaku sehinggakan akhirnya Nur Dalilah mengambil keputusan untuk mengalas tanggungjawab itu.

Watak Nejad yang berwibawa membuatkan ramai pelajar perempuan terpikat antaranya Siti Ezrina , penolong Ketua pengawas yang Nejad anggap sebagai TTM (teman tapi mesra). Namun siapa sangka , gadis pujaan ramai Vilma Faira , turut sama terpikat. Dari email , ke telefon bimbit hingga akhirnya mereka berani bersua muka. Nejad seakan lupa dengan tanggungjawabnya hanyut bersama kasih buat Vilma Faira.

Siapa sangka , kasih yang disangka ikhlas , ada niat buruk di sampingnya. Bagi Vilma Faira , ada dendam yang perlu dia tunaikan buat Nejad. Azamnya biar Nejad jatuh tersungkur. Siti Ezrina yang mengetahui cuba menyelamatkan keadaan.

Semuanya sudah terlambat , di saat kebenaran itu sampai , Nejad sudah hilang kawan , sudah hilang kewibaannya dan sudah tersasar jauh. Pencapaiannya dalam SPM ternyata tersasar jauh , terkesima , lama dia membawa diri. Sehinggalah tiba-tiba , Nur Dalilah muncul dalam ingatan dan Nur Dalilah dijadikan semangat untuk kembali ke jalan kejayaan.

Komen Ain Sabrina :

Kisahnya mudah, saya boleh habiskan novel ini dalam masa setengah hari. Kisahnya yang berlatarbelakangkan zaman persekolah boleh membuatkan pembaca terimbau zaman persekolahan masing-masing.

Saya suka watak Nur Dalilah. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang tidak senang , namun semangat belajarnya harus dipuji. Juga semangatnya turut dia turunkan buat sahabat-sahabat yang berdekatan antaranya Nejad. Kata-kata yang keluar dari mulut Siti Dalilah juga menunjukkan kematangannya.

“ Tuhan bukan macam manusia , selalu nak tunaikan apa saja hasrat orang yang disayangi secara membabi buta. Ustazah aku pernah beritahu , kegagalan juga salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita. Orang yang tak pernah gagaltentu tak tahu erti sebenar kejayaan. Bayangkan kalau di dunia ini hanya ada matahari. Tentu kita tak tahu bagaimana rupa bulan. kalau tidak ada neraka, tentu tidak ada syurga. Tentu ada hikmahnya engkau dapat keputusan yang tidak cemerlang." – Nasihat Nur Dalilah buat Nejad-

Watak-watak lain seperti Nejad dan SitI Ezrina , adalah watak biasa pelajar sekolah. Ada keinginan untuk mencintai dan dicintai sedangkan usia masih hijau. Cinta di zaman sekolah adalah cinta monyet semata-mata. Kebanyakkannya tahu tetapi sengaja butakan hati hanya kerana ingin melayan rasa hati itu. Dan terbukti dalam novel ini ,bahana cinta monyet itu. Kecewanya sehinggakan peperiksaan terjejas teruk dan kesannya sehinggakan putus kawan dan cederakan orang. Semua antara kita ada pendapat dan pengalaman masing-masing , yang pasti salah satu mengakui cinta monyet ini adalah cinta sia-sia.

Dan watak Sufi , sahabat Nejad patut dipuji. Dia berusaha menyedarkan sahabatnya walaupun hasilnya tidak menjadi , usaha itu patut dipuji. Sahabat , ikatannya lebih utuh selepas pertelingakan dan kesatuan bersama di kala susah mahupun senang.

Usaha Nejad untuk berjaya selepas kecundang juga boleh dipuji. Bukan mudah untuk kembali bangkit selapas kegagalan. Ia lebih sukar apabila sahabat-sahabat sekeliling sudah berjaya ke menara gading sedangkan kita masih di takuk lama. Ia perlukan keazaman dan kekuatan yang tinggi. Itu yang ada dalam diri Nejad dan turut dibantu sahabat yang seringkali memberi semangat, Siti Dalilah.

---
Ain Sabrina

Nov 29, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (70) Arjuna Mencari Cinta

Penulis: Adlinz Alexandria
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN 978-967-0201-20-7
Harga: RM18.00 / RM20.00
M/S: 345
Cetakan 1 – 2011

“cinta itu api yang dapat membakar diri”

Blurb:

“Siapa yang suruh kau bercinta? Setahu aku, di sekolah atau universiti pun pelajar tak belajar tentang cinta. Kalaulah cinta itu sangat penting tentu kerajaa akan wujudkan mata pelajaran Cinta.”

“Tapi Nejad dalam bahaya. Faira betul-betul nak rosakkan dia. Aku tak sanggup nak tengok semua ni.”

“Jadi, kau nak buat apa? Kau nak selamatkan Nejad? Kau ingat kau ‘superwoman’? Jangan buang masalah.”

Kalau berani bermain dengan api mesti berani juga tanggung sakitnya kena api.

Susahnya untuk jadi dewasa. Macam-macam kena fikir, itu, ini, dan terlebih-lebih lagi masalah cinta. Cinta pula cinta yang bersegi-segi. Siti Ezrina suka Nejad, tapi Nejad pula suka Vilma Faira. Antara mereka pula ada Nur Dalilah dan Iqram Muslimin. Lalu siapakah yang jadi pilihan Sang Arjuna Mencari Cinta!

****

ADLINZ ALEXANDRIA, penulis lulusan jurusan Syariah Islamiah daripada Universiti al-Azhar, Alexandria ini menulis kerana percaya dengan tulisan, beliau mampu tebarkan rasa kasih dan sayang sesama manusia, supaya dunia akan penuh bercahaya.


Kak Chik menukil:

Kisah ini kisah anak remaja yang masih di bangku sekolah, jadi ia amat tersasar jauh daripada jangkauan Kak Chik sangat menatap kulit buku yang dihiasi Arjuna yang gagah yang siap sedia untuk memanah cintanya.

Pada Kak Chik kisah ini adalah kisah anak remaja yang biasa-biasa yang sedang meniti ke alam dewasa tetapi ia dicorakkan dengan latar belakang yang sedikit islamik di mana ia banyak berkisar tentang putera puteri di Sekolah Menengah Tun Teja. Kisah ketua pelajar yang menjadi buruan kebanyakan pelajar puteri kerana kecemerlangan pelajaran dan juga sikap kepimpinannya yang tinggi. Antara pelajar puteri yang sentiasa mencuba untuk rapat dengan Nejad adalah Siti Ezrina, iaitu ketua pelajar puteri sekolah tersebut. Siti Ezrina selalu menggunakan alasan untuk menunaikan tanggungjawab untuk mencari peluang untuk bertemu Nejad.

Namun begitu kehadiran pelajar puteri Tingkatan Empat yang bernama Vilma Faira telah menjadi saingan Siti Ezrina. Dalam masa yang sama masalah disiplin di sekolah tersebut semakin meruncing sehingga para pelajar semakin terpesong dari landasan sebenar.

Kerana cinta, kecemerlangan pelajaran dan sikap tanggungjawab Nejad terhadap kepimpinan di bawahnya musnah. Dia terlalu taksub dengan cinta siputeri jelita yang menjadi rebutan itu sehingga dibutakan mata hatinya. Nasihat teman-teman karib langsung tidak dihiraukan sehingga dia sanggup berkerat rotan dengan mereka.

Rupanya hujan gerimis menitis di tengah hari. Nejad tersungkur sebelum berjuang kerana terlalu kecewa apabila cinta Vilma Faira hanya palsu belaka. Pelajar yang menjadi kebanggaan guru-guru ini tidak mampu untuk menghadapi musibah kelukaan kerana cinta. Apakah masih ada sinar untuk Nejad mengejar kecemerlangan dan kejayaan?

Siapa pula watak Nur Dalilah yang bersikap garang dan menyendiri itu? Mampukah Nur Dalilah menggalas tanggungjawab yang diletakkan di pundaknya?

Sudut pandang Kak Chik:

Walaupun penulis cuba menggambarkan alam remaja yang lebih islamik tetapi pada pendapat Kak Chik masih terdapat perlakuan-perlakuan watak-watak yang terpesong dari landasan seperti perlakuan kawan-kawan Nur Dalilah dengan Nejad sanggup menarik tangan jejaka tersebut sedangkan sudah jelas lagi bersuluh perlakuan itu haram. Ini turut menjejaskan pandangan umum terhadap pelajar sekolah agama. Sudah lumrah manusia, sesuatu yang buruk terlalu senang untuk dinilai apatah lagi kalau yang melakukannya pelajar dari sekolah agama.

Watak Nejad itu sendiri tidak mencapai piawaian Kak Chik sebagai Arjuna yang menjadi buruan puteri-puteri kerana watak dan pegangan hidup Nejad yang tidak kukuh. Dia terlalu taksub dengan cinta sehingga keutamaannya sebagai pelajar terabai dan dia bagaikan tidak boleh menerima ujian itu sebagai dugaan dari Allah. Dia masih terbawa-bawa dengan kekecewaan sedangkan dia mempunyai asas agama apatah lagi selama ini dia yang menjadi rujukan teman-teman.

Naskhah yang diharap dapat menjadi pengajaran kepada anak remaja untuk menuju alam dewasa.

Apa pun terima kasih kepada JS untuk naskhah percuma ini.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Nov 9, 2011

R: Cabaran 50 Buku (74) Alahai Jijah


Alahai Jijah!
Penulis: Dihsar Ludba Hafiqa
Terbitan JS Adiwarna Sdn Bhd
Editor: Syuhada bt Sharif
RM17.00
Sabah/Sarawak: RM19.00
250 mukasurat
9789670201092


"Abang Abu, bagi cendol dua!"


Walaupun disampaikan dalam bentuk komedi, ada pengajaran yang mahu penulis sampaikan terutama sikap Mak Gayah dan Yam yang amat-amat kejam melayan Jijah. Sampai 'turn' Mak Gayah pulak ditimpa malang, si Jijah lah yang setia menanti. Kesian Jijah.


Kisah Jijah bukannya kisah komedi walaupun ada nada jenaka dalam keseluruhan penceritaan ini. Kisah Jijah adalah kisah anak kecil yang dirundung kesedihan setelah kematian bapanya, dia dilayan bagai hamba di rumah sendiri. Tetapi sikapnya yang selamba membuat dia menempuh segala-galanya segembira mungkin. Dah dapat mak tiri kejam macam mak cik Gayah tu pun Jijah boleh aja berloyar buruk dan berkurang asam. Memang berani tahap giga si Jijah ni.


Watak nenek Jijah tu sangat lawak. Dan Comel. haha. Tapi bila fikir balik macam nenek tak berapa nak betul pun ada jugak, tapi comel. Terasa seperti menonton kisah ini dalam bentuk cerita kartun atau komik.


Jijah ni adalah anak montel berumur 10 tahun. Dia bukanlah contoh terbaik untuk anak-anak 10 tahun. walaupun rajin, dia ni kaki kelentong dan tak sayang mulut. Mungkin untuk menyelamatkan diri jugak. Yang buat kisah ini kelihatan lebih kartun, watak-watak lain dalam cerita ini pun dah jadi set-set umur 10 tahun gayanya termasuklah abg Abu, makcik gayah, yam, borhan, abg Ayob dan lain2 tu. kadang-kadang dah tak nampak dewasa, semuanya nampak sepuluh tahun jer umurnya. hehe. Kalau anda boleh berimaginasi yang beranimasi memang akan enjoy baca kisah Jijah ni :)


sure fine whatever
rinn


blurb/sinopsis belakang buku




"Tengah buat apa tu? Dah siap kemas rumah belum? Tak nampak macam istana pun rumah kita ni."
"Istana apanya makcik? Kalau rumah dah diperbuat daripada kayu, kayu juga. Tak ada maknanya boleh jadi istana. Ini kira okey apa."


"Yalah. Yalah. dah, dah. Kau pergi masuk dapur. Sekejap lagi org kaya tu nak datang. Nanti kalau mereka nampak muka kau, terus tak jadi nak masuk rumah kita. Maklumlah, orang hodoh memang tempatnya di dapur."
"Amboi! Sedapnya menghina."
"Apa kau cakap?"


apakah benar kesudahan hidup seorang budak sepuluh tahun ini akan sentiasa didera oleh ibu dan kakak tirinya? Mungkinkah ada seseorang yang akan muncul dan mengoyak muka surat terakhir itu dan menulisnya semula supaya kesudahannya akan berakhir dengan kegembiraan?


Jangan harap.
Terlalu klise.

--------------------------
DIHSAR LUDBA HAFIQA graduan tempatan ini hanya gemar membaca hanya novel-novel inggeris. Keputusan Bahasa Melayunya pun atas pagar sahaja. Namun dia berjaya menyudahkan sebuah novel dlm bahasa ibundanya sendiri dgn jaya dan bergayanya; 'mustahil' adalah perkataan hanya untuk 'orang yang kalah'.

Oct 11, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (66) Dia Yang Kunikahi

Penulis: Iqbal Syarie
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN 978-967-0201-18-4
Harga: RM19.00 / RM21.00
M/S: 422
Cetakan 1 - 2011

Kita berpisah kerana Allah

Blurb:

Mesti gadis itu hebat sampai berjaya menawan hati ayah ibu. Tapi…aku nak ‘produk’ siap. Jika diberi pilihan, Adam Johari mahu gadis yang sudah ditarbiahkan, sudah alim dan sudah siap dibimbing. Logiknya, akan memudahkan dan pasti membantunya dalam mewujudkan keluarga dakwah yang dia impi-impi selama ini.

“ Ana impikan produk siap, ustaz. Jika diizinkan untuk memberi contoh, ana maksudkan ustaz sendiri. Ana mahu isteri yang seperti Ustazah Asyiqin. Ustaz faham maksud ana?” Itulah yang dia katakan pada murabbinya.

“Ana faham maksud enta. Enta mahukan isteri yang sudah pun berdiri di medan juang, bukannya yang baru bersiap. Kan?” Adam Johari mengangguk.

“Baiklah. Jika enta diberi pilihan untuk memiliki sebuah Ferrari mewah dengan sebuah van terpakai, yang mana enta pilih?” tanya Ustaz Mujib.

Johari terdiam sebentar. “ Sudah tentulah Ferrari mewah!”

“Sebab?”

*****
Keindahan bahasa bukan terletak pada mahalnya sijil, tapi terletak pada penghayatan dan pertuturan si tulang bangsa. Begitulah juga dengan keindahan garapan cerita. IQBAL SYARIE tidak pernah terlibat dalam mana-mana bidang penulisan. Jauh sekali dengan kursus atau mana-mana bengkel penulisan. Anak muda yang sedang mengikuti kursus penyelenggaraan kapal terbang dengan syarikat penerbangan Malaysian Airlines System (MAS) sedang merubah arus – menulis dengan satu misi: DABOM – Dakwah Buat Orang Muda!

Kak Chik menukil: