Showing posts with label PTS. Show all posts
Showing posts with label PTS. Show all posts

Dec 31, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (50) : Komunikasi Intim


Tajuk Buku : Komunikasi Intim
Penulis : Abdullah Hassan & Ainon Mohd
Terbitan : PTS Publications & Distributor Sdn. Bhd
Muka Surat : 176


Ulasan

Buku ini membantu mereka yang mempunyai krisis dalam perhubungan samaada hubungan suami isteri, kekasih, ibubapa dan anak-anak, hubungan sahabat ataupun adik beradik. Buku ini menyediakan banyak tips yang boleh dicuba dan diamalkan bagi membaik pulihkan sesuatu perhubungan. Pada pandangan saya, penulis banyak menyelitkan tips untuk pasangan suami isteri mahupun kekasih kerana.

Penulis menunjukkan cara komunikasi yang betul antara individu dengan individu lain untuk kebaikan sesuatu perhubungan. Komunikasi adalah suatu perkara penting yang perlu diperbaiki oleh setiap individu. Kadangkala cara komunikasi yang salah, kadangkala yang salahnya adalah perkataan yang diungkapkan. Penulis memaparkan beberapa contoh komunikasi yang salah agar pembaca lebih memahami dan membezakan dengan komunikasi yang betul.

Pada pandangan saya, semua harus mempelajari cara komunikasi yang betul dan praktikkan dalam kehidupan. Jika semua tahu kamunikasi yang betul pasti dunia ini akan lebih aman dan bahagia. Ini kerana jika dilihat sekeliling, ramai yang tidak pandai berkomunikasi dengan betul. Lihatlah pepatah melayu “kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa”. Selain itu, mengapa orang sering mengatakan bahawa “diam itu lebih baik dari berbicara”? ini kerana ramai yang tidak pandai komunikasi yang betul. Dengan lidah boleh menyebabkan dunia huru-hara. Palajarilah komunikasi yang betul dengan membaca buku “Komunikasi Intim” karya Abdullah Hassan dan Ainon Mohd. Anda seperti kanak-kanak yang baru belajar berkata-kata! Ubahlah cara komunikasi yang salah dengan komunikasi yang betul. Orang pasti akan lebih menghormati anda jika anda berkomunikasi dengan bijak


Petikan Pilihan

Mengurut Ego Lelaki

Bagaimanakah caranya ego lelaki dapat disegarkan? Alat untuk mengurut ego lelaki ialah kata-kata. Apabila lelaki bercakap dengan pasangannya, dia bukan mahu mendengar satu ataupun dua perkataan sebagai jawapan. Dia mahu mendengar apa yang disebalik kata-kata itu. Contohnya: mengesahkan apa yang dikatakan seperti “Saya setuju dengan pandangan abang”,”Betul kata abang tu” atau dengan cara menggambarkan perasaan positif seperti “Seronoknya abang dah balik”, “Abang ni pandai mengusik saya la”, ataupun dengan cara menyatakan persetujuan seperti “Idea abang itu memang baik”.


Kulit Belakang Buku

Panduan menjalinkan hubungan persahabatan, kekeluargaan dan kasih sayang yang memuaskan dan berkekalan

Buku ini menerangkan satu persatu teknik-teknik komunikasi yang dapat mencipta perhubungan peribadi yang memuaskan kedua-dua belah pihak. Pada waktu yang sama ia juga menerangkan ciri-ciri tennik yang salah yang membahayakan perhubungan.

Turut diterangkan ialah faktor-faktor yang membezakan keperluan psikologi antara lelaki dan perempuan yang mempengaruhi ciri-ciri komunikasi mereka.

Prinsip komunikasi interpersonal untuk semua perhubungan peribadi adalah serupa, sama ada perhubungan itu adalah di antara rakan-rakan, sahabat, ibubapa dengan anak-anak, adik-beradik, suami isteri mahupun antara kekasih.

Kajian yang dijalankan oleh pakar-pakar psikologi perhubungan mendapati mereka dapat meramalkan dengan 99 peratus ketepatan, mana pasangan yang akan kekal dan mana yang sebaliknya, hanya dengan memerhatikan ciri-ciri komunikasi yang mereka gunakan/ ini membuktikan bagaimana pentingnya seseorang itu mempelajari teknik-teknik komunikasi interpersonal yang betul untuk menjalinkan hubungan yang berkekalan.

---
Nur Amalina

Nov 29, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (39) Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab

Tajuk buku : Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab berkenaan permasalahan semasa
Penulis : Ustaz Azhar Idrus
Keluaran : PTS
Halaman : 180 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Seperti mana tajuknya , buku ini membicarakan persoalan yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita. Persoalan-persoalan ini dikumpulkan Ustaz Azhar Idrus dan disusun secara menarik. Jawapan yang diberi mudah difahami umum dan Ustaz Azhar turut menulis di mana sumber fikhnya di sudut bawah jawapannya.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dari semudah-mudah hukum mengenai adab hinggalah ke peraturan wajib mengenai mandi wajib juga solat dibicarakan secara ringkas dan tersusun dalam buku ini.

Setiap persoalan Ustaz Azhar telah susun dalam beberapa kategori. Kategori-kategori yang terdapat adalah persoalan dari segi Taharah , Wuduk , Solat ,Puasa , Zakat , Haji , Umrah , Aurat , Jual Beli , Nikah kahwin , Alquran , Halal haram dan juga mengenai isu semasa. Semua dihuraikan secara mudah. Secara umumnya , kebanyakkan persoalan ini memang diketahui berlegar dalam pemikiran masyarakat , namun jawapan yang kita terima hanya dari mulut ke mulut, tiada bukti dalam bentuk cetakan. Jadi dengan adanya buku ini , orang umum seperti saya sendiri mudah membuat rujukan.

Jadi pada pendapat saya, setiap muslim mahupun muslimah , patut dapatkan buku ini sebagai panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh tanda tanya hukum hakamnya.

---
Ain Sabrina

Oct 21, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (21) : Humor Dalam Pengajian


Tajuk Buku : Humor Dalam Pengajian
Penulis : Abdul Ghani Abdullah, Abd. Rahman Abd. Aziz, Abdul Rashid Mohamed
Terbitan : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd
Muka Surat : 136


Ulasan

Buku ini sangat berguna kepada ibubapa dan guru yang tidak jemu dan berputus asa menaburkan jasa demi mendidik anak bangsa. Beberapa tips mengajar telah disediakan oleh penulis bagi membantu pengajar atau guru bagi menghidupkan suasana belajar yang seronok dan ceria. Antara tips-tips penulis ialah menggunakan cerita, sindiran dan aksi dalam pembelajaran. Selain itu menggunakan bahan kartun daripada akhbar dan majalah. Penggunaan muzik, dan lagu dalam pembelajaran juga antara tips-tips yang disenaraikan oleh penulis.

Oct 17, 2011

R: Cabaran 50 Buku (69) Surah-surah Rindu


Surah-Surah Rindu
Penulis: Saridah Hamid
Editor: Siti Nor Fadilah Salleh, Nor Hafizah Mohd Samsudin, Nahdatun Nisaak Othman
RM24.00
Sabah/Sarawak: RM27.00
9789833604197
427 muka surat
cetakan pertama 2008


"Dan Kami perintahkan kepada manusia supaya berbuat baik kepada orang tuanya, ibu bapanya, ibu yang mengandungkannnya dalam keadaan lemah dan menyusunya dalam tempoh dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua ibu bapamu. Hanya kepada-Ku kembali," [Surah Lukman, ayat 14]


Mood nak membaca novel-novel bernada Islamik pula sekarang ni :). Pengaruh lepas baca Ikhlas A.K. kot :)


Kali pertama aku menatap karya Saridah Hamid. Novel Islamik terbitan PTS ini seperti biasa disunting rapi dalam bahasa Melayu rasmi. Dari segi isi cerita isunya tidak jauh berbeza dari novel kontemporari biasa yang menceritakan kisah seorang gadis yg dibesarkan dalam keluarga yang mementingkan ajaran Islam. Dia kemudiannya mendapati dia adalah anak angkat dan bermulanya dilema besar dalam hidupnya selain dari hatinya yg mula dijentik perasaan cinta terhadap lelaki.


Kisah ini bermula dengan tibanya Nurin Hannah yang baru dilahirkan. Ibunya diugut akan dibuang keluarga jika terus memelihara Nurin Hannah yang dilahirkan di luar ikatan perkahwinan.


Sejak zaman sekolah Nurin sering menerima persoalan adakah dia betul-betul anak melayu kerana kulitnya sangat putih dan matanya sepet.


Walaupun belajar dan berada jauh dari keluarga, dia memegang kejap amanat ibunya supaya memelihara tatasusilanya sbg seorang muslimah. Kehadiran warkah salam perkenalan dari Naqiuddin membuat Nurin Hannah mula merasai perasaan jatuh hati.


Sifat Nurin Hannah yang pemalu dan menjaga tatasusila sangat memikat hati Naqiuddin. Penulis tidak mendedahkan perasaan Naqiuddin mengenai kenyataan bahawa Nurin sebenarnya anak angkat dan anak luar nikah. Mungkin penulis akan membawa isu ini dalam novel seterusnya kerana ada perkataan 'Novel Dwilogi' pada kulit depan novel ini.


Walaupun terkesima dengan kenyataan bahawa dia adalah anak angkat, Nurin seorang yang waras dan bertimbang rasa. Malah dia gembira dapat membina hubungan yang baik dengan ibu kandungnya yang sudah memeluk agama Islam. Ramadhan yang akan datang dia akan dapat berpuasa dan beribadat bersama ibu yang baru mahu dikenalinya.


Nurin tidak pernah melupakan jasa ibu dan bapa angkatnya serta adik-adik dan abangnya yang mengasihinya sepenuh hati.


Kebelakangan ni kalau baca cerita anak perempuan yg diambil sebagai anak angkat, bapa angkatnya mesti bernama 'Abdullah' ya? supaya heroin tak mengesyakki yang dirinya tu anak angkat kot.


sure fine whateverr
rinn




blurb/sinopsis belakang buku




Nurin Hannah, gadis yang dilimpahi kemewahan kasih sayang walaupun dia sering menjadi bahan usikan kerana perbezaan wajah dan warna kulit dgn keluarganya. Sejak kecil ibu bapanya mengasuh dia dan adik-beradik dgn didikan sempurna bagi bekalan dunia dan akhirat di samping menjadi muslimah sejati.




Ketika menuntut di universiti, pintu hatinya diketuk jejaka yg terkenal di falkutinya. Teringatkan pesanan ibu yg menghalang dia berkasih ketika sedang belajar, Nurin akur dengan ingatan itu.
tetapi mampukah jiwa halus Nurin Hannah menahan gelodak hati yg merronta.




Persoalan mengenai status Nurin Hannah membuat gadis itu dalam dilema. Benarkah dia hanya anak angkat Abdullah dan Hasinah? Nurin Hannah semakin kalut. Tetapi wajarkah dia melupakan kasih sayang yg dicurahkan ibu bapanya hanya kerana sepucuk surat? siapakah dia sebenarnya?

Jul 1, 2011

R: Cabaran 50 Buku: (50) Panduan Protokol & Tatatertib Majlis


Membaca buku ni buat aku sedar protokol sangat penting dalam kehidupan tetapi sekarang ni kita banyak meninggalkan protokol kerana ianya dianggap menyusahkan. Tengok lah sekarang, sudah banyak protokol yang kita buang dari kehidupan seharian sehingga rasa hormat dalam pelbagai lapisan kehidupan sudah semakin hilang. Sekarang ni orang pergi kenduri kahwin pun pakai t-shirt dan seluar jeans sahaja tak kiralah lelaki atau perempuan. Aura majlis kenduri kahwin pun terasa kurang apabila orang yang hadir pun berpakaian lebih kurang sahaja dan seperti tidak mahu menunjukkan kegembiraan meraikan pengantin dengan berpakaian cantik dan bersiap-siap dengan gaya meriah.

Panduan Protokol & Tatatertib Majlis
Penulis: Samsudin Wahab
Penerbit: PTS PROFessional
Cetakan 1: 2004
Cetakan 5: 2006
978983385663
RM20.00
Sabah/Sarawak: RM23.00
224mukasurat

“Panduan melaksanakan majlis secara berprotokol, mengikut tatasusila dan mematuhi peradaban sebagai lambang ketinggian adat dan budaya”


Dari Pengarang:
Protokol merupakan satu bentuk peraturan yang menekankan kepada kepatuhan terhadap etiket rasmi yang mengandungi aspek-aspek tingkah laku yang diterima umum oleh masyarakat. Bermula dari zaman kesultanan Melaka lagi kita sudah mempunyai peraturan-peraturan khusus yang diamalkan di istana dan majlis-majlis yang dihadiri oleh pembesar-pembesar negeri. Dalam kehidupan seharian kita juga mengamalkan protokol di rumah di mana anak-anak perlu menghormati tatasusila keluarga yang memang sudah wujud sejak zaman berzaman.

1. Apa itu Protokol Majlis?
Berasal dari bahasa Yunani(Greek) yang membawa maksud tanda taraf atau status yang membuktikan kesahihan undang-undang zaman Yunani. Mengikut kamus dewan, protokol adalah peraturan-peraturan dalam istiadat rasmi misalnya prosedur menyambut tetamu dan lain-lain

Peranan protokol
a. memberi penghormatan dan kemudahan-kemudahan kepada mereka yang wajar menerimanya serta mengelakkan pertelingkahan dan salah faham dengan yang lain-lain.
b. Mengekalkan hubungan awam antara indiviidu dan seterusnya antara Negara bagi mengelakkan salah faham
c. Mewujudkan rasa hormat dan taat kepada mereka yang sepatutnya mendapat kehormatan.
Kegagalan menjaga protokol akan menjadikan majlis kurang adab dan menjatuhkan imej tetamu istimewa.

Ringkasnya, pengetahuan protokol sangat penting bagi tujuan berikut:
a. Kegunaan harian untuk individu
b. Dalam hubungan masyarakat
c. Dalam mengurus dan mengendalikan majlis
d. Dalam hubungan antarabangsa

Istilah protokol tidak asing lagi dalam budaya dan cara hidup masyarakat melayu. Dewasa ini amalan protokol sudah kurang dan memberi kecacatan kepada berbagai majlis.

Sekiranya pengetahuan protokol kurang,
a. Individu akan tiada kesedaran pentingnya hormat menghormati
b. rasa hormat dalam keluarga akan berkurangan
c. masyarakat tidak akan menghormati pemimpin

Buku ini banyak menekankan protokol menghadiri majlis dan susun atur tetamu-tetamu kehormat, peranan host dan peranan pegawai protokol. Adab-adab berbual dan berkenalan turut diselitkan. Ianya sedikit sebanyak mengingatkan kita betapa indahnya adab dan protokol orang melayu dan orang Islam. Hampir keseluruhan buku ini disampaikan dalam bentuk akademik dalam susunan yang mudah dibaca. Mungkin lebih sesuai untuk kakitangan kerajaan yang nak ambil peperiksaan awam atau pegawai-pegawai yang sering terlibat dalam penganjuran majlis yang melibatkan VIP. Hmm ada juga kesalahan ejaan sikit-sikit. Tergelak aku bila baca tajuk "Hadiah Cedera Hati untuk Tetamu". Oh tidak, aku tidak mahu hadiah itu.

Di penghujung buku ini adalah diselitkan banyak pantun melayu yang sesuai dijadikan penyeri majlis.

Blurb/novelcinta@multiply/synopsis

Menganjurkan majlis bukanlah suatu perkara yang mudah dilaksanakan. Banyak pihak yang terlepas pandang dalam isu-isu protokol serta etiket yang betul dalam menganjurkannya.

Buku ini menerangkan dengan jelas cara berpakaian yang betul, tatatertib di meja makan, penyusunan meja makan dengan cara yang betul, adab sopan dalam pertemuan dan perkenalan dalam majlis. Selain itu, ia juga menerangkan cara membuat panggilan yang betul bagi tetamu-tetamu daripada pelbagai jawatan dan gelaran, penampilan diri dalam majlis serta adab sopan ketika memberikan ucapan dalam majlis.

Buku ini sesuai dijadikan rujukan bagi setiap keluarga, jawatankuasa daerah, negeri, jabatan kerajaan dan swasta atau institusi pengajian tinggi.

Samsudin Wahab adalah Pensyarah Fakulti Pengurusan dan Teknologi Pejabat, Universiti MARA (UiTM Dungun, Terengganu.)

May 16, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (20) Syamail Muhammadiyah

Judul : Syamail Muhammadiyah
Penulis : Imam Tirmizi
Terbitan : PTS Islamika Sdn Bhd
ISBN : 978-967-366-064-3


1. Sebuah buku terjemahan dari kitab asal karangan Imam Tirmizi dengan judul yang sama, Syamail Muhammadiyah.

2. Sebuah buku yang harus ada bagi setiap umat Nabi saw untuk mengetahui perihal-perihal berkaitan fizikal, perilaku, ibadah, kehidupan, hubungan sosial, dan akhlak insan mulia yang paling dicinta, Rasulullah Muhammad saw.

3. Syamail Muhammadiyah Keanggunanmu Ya Rasulullah adalah terbitan PTS Islamika Sdn Bhd dalam usaha mereka memberi kefahaman terhadap agama Islam dengan pendekatan dan bahasa yang moden supaya lebih mudah untuk dimesrai pembaca masa kini.

Mar 23, 2011

UH: Cabaran 50 Buku: (3) 10 Sahabat yang dijanjikan Syurga


Tajuk buku: 10 Sahabat yang dijanjikan Syurga
Penulis: Saridah Hamid
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd.
Genre: Islamik
Penilaian : 4 Bintang


Buku ini aku beli kerana aku lupa siapa 10 orang sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang dijanjikan syurga oleh Allah S.W.T. Kulit bukunya yang comel menarik perhatianku. Kisah-kisah mengenai 10 sahabat terpilih ini diceritakan dengan ringkas dan amat mudah difahami oleh kanak-kanak. Ia sesuai juga dijadikan 'bedtime story book' khas untuk anak-anak.

Di kulit belakang buku ini, terdapat kata-kata yang menggegarkan jiwa.

" Mereka dijanjikan syurga. Janji yang belum pernah dilihat oleh mata, didengar oleh telinga, terlintas dalam hati. Lebih berharga daripada segunung emas di dunia. Mereka tiada pengganti. Kini, mereka menuju ke alam barzakh dengan amalan yang dijanjikan. Bagaimana pula amalan kita"

Jadi, siapakah dia 10 sahabat yang dijanjikan syurga oleh Allah itu?

Mereka adalah:
1) Saidina Abu Bakar As-Siddiq
2) Saidina Umar Al-Khatab
3) Saidina Uthman Al-Affan
4) Saidina Ali Abi Talib
5) Zubair Ibnu Awwam
6) Abu Ubaidah Al-Jarrah
7) Abdurrahman Ibnu Auf
8) Saad Ibnu Abi Waqas
9) Talhah Ibnu Ubaidillah
10) Said Ibnu Zaid

Itulah dia 10 insan terpilih yang telah banyak berjuang untuk agama Islam. Semoga dengan adanya buku ini, kita akan dapat memperoleh seribu manfaat daripadanya. InsyaAllah...

--
Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem

KK: Cabaran 50 Buku: (6) Karipap-Karipap Cinta

Tajuk : karipap-karipap cinta
Pengarang :Nazri M. Annuar
Harga: RM 14.00 / RM 16.00
ISBN-13: 978-967-5136-52-8
Jumlah Muka Surat : 256
Penerbit: PTS Fortuna Sdn Bhd

kata kulit buku:

Ali adalah seorang jurugambar sebuah akhbar politik. Dia jatuh cinta dengan Sarah, graduan Al-Azhar yang bekerja sebagai editor komik di SLP Publications & Distributors.

Namun ayah Sarah mahu anak perempuannya berkahwin dengan lelaki yang setarat dengan kelulusan Sarah (yakni seorang Ustaz).

Ali menjadi panik dan dalam keadaan terdesak telah berbohong mengatakan dia juga graduan Al-Azhar.

Maka bermulalah rentetan peristiwa lucu, sedih dan tidak masuk akal dalam usaha Ali untuk menawan hati Sarah dan dalam pada masa yang sama cuba mencari jalan berterus terang kepada gadis itu.

Ali terpaksa membayar harga yang mahal untuk pembohongannya.

Dan karipap itu mempertemukan cinta Ali dan menyelamatkan cintanya.

sumber: karipap-karipap cinta

kata KK:

karipap-karipap cinta. tajuknya sudah mengingatkan saya kepada blog saya ini. kerana dulu nama blog ini namanya karipap. hanya kerana saya sukakan karipap saya namakannya.hihi. tengok tajuk pada buku ini saya buat saya tersenyum.

kulit depannya menarik seperti poster untuk sebuah filem. disangkakan buku dari filem rupanya tidak. mungkin juga seronok membacanya sambil dihidangkan dengan karipap panas.

kisah tentang seorang wartawan bernama Ali bekerja di syarikat akhbar WADAH RAKYAT milik datuk razali bunari seorang tokoh politik yang sudah beberapa kali kalah dalam pilihanraya. disitu ali bekerja untuk bukan untuk menulis laporan berita politik tetapi lebih kepada mengambil gambar. dia juga bekerja untuk majalah MISTERI & HANTU yang juga keluaran syarikat yang sama.

ali kemudian jatuh cinta pandang pertama dengan sarah ketika dia makan di kedai berdekatan tempat kerja teman serumahnya rambai merangkap rakan sekerja sarah.

namun pertemuan pertama mereka adalah ketika ali cuba bertindak hero menyelamatkan beg sarah dari dirompak. malang sekali kerana bukan ali menyelamatkan sarah tetapi sebaliknya kerana sarah ada ilmu silat.

selepas itu ali dan sarah berkawan walaupun sarah berkelulusan dari al-azhar tetapi tidak menghalang ali dari terus berkawan dengan sarah.

seterusnya beberapa kejadian berlaku ke atas ali hanya demi sarah. kerana sayangkan sarah. kerana cintakan sarah. malah ali sanggup belajar buat karipap sedap untuk mendapatkan hati sarah. ha-ha.

semuanya hanya kerana sarah.

gaya bahasa yang penulis adalah seperti menulis blog. santai. sempoi. kadang-kadang sinikal .ada juga unsur humor tetapi entah kenapa saya tidak ketawa. hati batu betul.mungkin kerana penat.

apapun saya suka watak ali dan gengnya, kerana mereka mempunya misi dan wawasan walaupun misi dalam kisah ini adalah semuanya kerana sarah. hi-hi.

dapat maklumat karipap-karipap cinta telah difilemkan.



sumber: Khaulah Khalid

Mar 9, 2011

MB : Cabaran 50 buku : (10) Dunia Kartun


Judul : Dunia Kartun
Penulis : Alif Firdaus Azis
Terbitan : PTS Millennia Sdn Bhd
ISBN : 978-967-5564-32-1


1. Bila terasa bacaan pada buku-buku yang biasa dibaca sudah tidak menarik hati dan tertangkap di minda lagi, maka bermakna, perlu mengubah bahan bacaan.

2. 'Penat' menghadam buku-buku sastera, politik, kadang-kadang saya akan lari ke genre lain pula. Dan selalunya larian itu akan membawa saya ke dunia kartun. Majalah-majalah seperti Gila-Gila, Ujang, atau mana yang sempat mata memandang, akan menjadi pilihan untuk melegakan fikiran selepas membaca buku-buku 'berat'.

3. Kali ini perbuatan berlari itu telah membawa saya berjumpa dengan Dunia Kartun karya Alif Firdaus Azis.

4. Sedikit mengenai penulis. Menceburkan diri dalam dunia kartun seawal usia 13 tahun. Dicungkil bakatnya oleh bapa kartunis di Malaysia, siapa lagi kalau bukan Rejabhad. Yang juga merupakan idola kepada penulis sendiri. Komiknya yang pertama tersiar pada majalah Gila-Gila keluaran 1 Disember 1998, edisi Hari Raya Aidilfitri. Pernah menjual komiknya sendiri secara direct selling sebelum kini beliau bertugas sebagai pelukis komik di The Star. Selain menjadi editor pengurusan komik-M di PTS. Pengalaman bekerjanya banyak, juga dengan senarai karyanya, banyak. Boleh google kemudian. Masukkan kata 'cartoonrama' pada ruang pencarian. *perkataan cartoonrama mengingatkan saya pada Futurama-Matt Groening.

5. Buku Dunia Kartun ini diterbitkan kali pertamanya pada tahun 2010. Menghimpunkan sejumlah kartun-kartun lukisan Alif Firdaus sendiri.

6. Membaca kartun walaupun kelihatan 'mudah' tetapi memerlukan pemahaman dan kreativiti tersendiri dalam memahami cerita yang mahu disampaikan oleh penulis/pelukis. Walaupun kadang-kala ada beberapa kartun yang memang hanya pelukisnya sahaja yang faham.

7. Membaca kartun juga sama seperti membaca bahan bacaan yang lainnya. Setiap kartun punya mesej yang mahu disampaikan oleh pelukisnya. Dari situ kita boleh melihat apakah kartunis itu seorang yang matang fikirannya, sehingga kartun-kartunnya menjentik fikiran pembaca untuk berfikir, atau kartunis itu hanya sekadar melukis kartun-kartun yang tidak punyai maksud selain mahukan jenaka darinya yang kadang-kadang tak jenaka sedikit pun.

8. Melukis kartun bukanlah perkara yang mudah. Maksudnya melukis kartun yang punyai mesej dan nilai. Bayangkan kita hanya diberi satu-tiga kotak/ruangan sahaja untuk memperkatakan sesuatu yang jenaka plus berilmu plus menjentik fikiran plus membuka minda. Bukan sedikit ide dan imaginasi yang diperlukan. Ruangan yang terhad untuk mesej yang perlu berkesan. *kadang rasa kagum dengan Zunar. Kartunnya ringkas, tersurat, tersirat, tajam, tepat, padat, pedas, dan yang penting, lucu.

9. Setiap kartun di dalam buku Dunia Kartun ini diceritakan melalui tiga kolum. Dan seperti yang ditulis tadi, tidak mudah untuk menzahirkan ide bernas dalam ruangan terhad. Tapi kartun-kartun Alif Firdaus di dalam buku Dunia Kartun ini tidak kurang menariknya. Ada yang membuat kita terfikir dan tergelak. Namun ada juga sebahagiannya yang membuat kita menggaru kepala, tak faham. Seperti yang dituliskan, kartun-kartun seperti itu, hanya penulisnya sahaja yang mengerti makna dan tujuannya.

10. Jika diperhatikan, kartun sebenarnya mendapat tempat di kalangan masyarakat kita. Akhbar-akhbar utama, selain pembaca melihat pada tajuk besarnya, ruangan kartun juga merupakan ruangan yang popular. Contohkan sahaja Senyum Kambing. Berapa ramai di antara pembeli akhbar Utusan yang kali pertama melihat akhbar akan membaca ruangan Senyum Kambing itu dahulunya. Walaupun diberi ruang yang kecil, tetapi sebenarnya disebalik tulisan-tulisan dan laporan-laporan akhbar itu, ruangan kecil kartun itu yang menjadi perhatian.

11. Cabaran sebenar kepada kartunis, bukan hanya untuk melepaskan lukisan kartun mereka ke media-media, atau ke penerbit-penerbit, tetapi lebih kepada kartun yang mendidik. Mendidik kanak-kanak, remaja, dewasa, orang tua.

12. Dan di dalam Dunia Kartun, walaupun tidak semua, tetapi unsur-unsur mesej berguna dan mendidik itu ada diselitkan.

13. Selain 'merehatkan' minda, Dunia Kartun juga sekali-sekali akan menggeletek pembaca. Buat yang ingin mencari kelainan dalam bacaan, boleh 'lari' sebentar ke Dunia Kartun.


sumber: melihat buku

Mar 8, 2011

UH: Cabaran 50 Buku: (2) Travelog Cinta Abadi


Tajuk: Travelog Cinta Abadi : Masa yang Berlalu
Penulis: Roza Roslan (Raudzah Roslan)
Genre: Islamik (rasanya)
Penerbit: PTS Islamika Sdn. Bhd
Penilaian:


Tiada kata-kata indah yang dapat aku nyatakan setelah selesai membaca buku ini. Ini kerana semua kata-kata indah itu telah tertulis di dalam buku ini. Kesemua 93 bab yang termuat di dalam buku ini memang memberi inspirasi dan tidak jemu dibaca. Memang tidak jemu kerana aku sudah membaca separuh dari buku ini sebanyak dua kali!

Aku mengagumi gaya bahasa Puan Roza sebagai penulis. Pengalaman hidup beliau semasa kecil dinukilkan dengan gaya bahasa yang mudah difahami, selamba dan sempoi. Semua yang tersurat dan tersirat masuk terus ke dalam jiwaku sebagai pembaca. Ditambah lagi dengan doa-doa ringkas bisikan hati seorang kanak-kanak yang melalui pelbagai pengalaman yang mendewasakannya. Wah, memang aku kagum dengan bakat menulisnya. Kalau aku berada di hadapan beliau, aku akan menunjukkan tanda bagus kepadanya. Bukan satu, tapi 2 jempol! Two thumbs up!

Penulis juga telah berjaya membuatkan kelopak mataku digenangi air semasa membaca coretan kenangan hidup beliau di bab-bab tertentu. Cerita penuh dengan suka, duka, tangis dan tawa dapat aku selami. Aku perasan, ada satu hobinya yang dekat denganku - memanjat pokok. Sama tapi tidak serupa kerana Puan Roza handal memanjat pokok yang tinggi. Aku hanya suka memanjat pokok jambu batu yang rendang di sebelah rumah nenek jika aku pulang ke kampung.

Buku ini juga menyedarkan aku betapa indahnya pengalaman kita semasa kecil. Sesungguhnya setiap yang berlaku dalam hidup kita ada hikmahnya tetapi sebagai seorang anak kecil, amat payah untuk kita menemui hikmah itu tetapi penulis berjaya 'berfikir di luar kotak'. Beliau menjadikan setiap yang datang sebagai cabaran dan batu loncatan untuk mematangkan fikirannya. Ada satu bab yang telah membuatkan aku ketawa berdekah-dekah semasa habis membacanya. Bab 29: Taekwando. Berikut adalah sebahagian coretan penulis di bab itu.

"Bxxx tidak berhenti-henti mengejek walaupun Ustazah Sifa' sudah berada di dalam kelas. Ejekannya semakin lama semakin kesat dan pedih. Dia seperti sudah tidak mempedulikan sesiapa lagi. Seolah-olah langsung tidak mahu menghormati guru.

Lalu saya meluru ke arah Bxxx, menyinsing kain uniform baju kurung sekolah dan terus memberi satu flying kick ala-ala taekwando. Sepakan terbang itu hinggap ke badan Bxxx. Saya asak dia ke dinding dan pulas tangan kirinya ke belakang."


Buku ini mempunyai nilai yang tinggi padaku. Aku sangat menyukai buku ini. Semoga sesiapa sahaja yang membaca buku ini akan menyukainya. Tahniah Puan Roza. =))

--

sumber: Qatrunnada a.k.a uMMu_Hakeem

Mar 6, 2011

MA : Cabaran 50 Buku : (2) Namaku Bukan Maria


Namaku Bukan Maria, karya Azman Al-Kurauwi mengangkat kembali kisah sejarah
Natrah, wanita Belanda yang dibela oleh seorang wanita melayu Islam iaitu
Che Aminah.

Kisah yang berlatarbelakangkan kemulusan bahasa penulisnya, kegemilangan
Islam dahulu dan bagaimana Natrah dibesarkan dengan keimanan ini sejujurnya
menjentik naluri saya untuk menghabiskan masa membacanya. Nama sebenar
Natrah adalah Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama
Natrah di Malaya. Melalui hasil carian saya di internet
Natrah meninggal dunia ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda
kerana leukimia.

Sejarah Natrah di dalam novel ini memang tidak diperincikan sehingga habis
perjalanannya, namun lebih menceritakan mengenai Islamnya Natrah,
perjuangan Che Aminah bersama kasih sayang seorang anak walaupun Natrah
adalah anak angkatnya. Juga bagaimana bermulanya seorang lelaki Belanda
datang melihat Natrah dan mahu Che Aminah mengembalikan Natrah kepada
negara asalnya.

Seperti kata pengarang novel sejarah PTS, 'Namaku Bukan Maria tidak lagi
mengungkap kisah tragedi dan air mata. Sebaliknya menyuntik intuisi
terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah. Di tangan Ibnu
Ahmad al-Kurauwi, sejarah dimuhasabahkan agar tidak hanya hidup membetuli
ketentuan pada tradisi angka dan rakaman peristiwa semata'
. – Abdul Latip
Talib, Novelis Sejarah.

Natrah bersama teman-temannya yang penuh warna-warni di dalam novel ini
membawa kepada erti persahabatan dan sedikit rencah cinta membawa kita
menyelami jiwa anak muda seorang lelaki dan wanita yang penuh adab sopan.
Penuh tertib dan penuh rasa.
Benar, Azman Al-Kurauwi membawa lembaran penulisannya yang mulus untuk saya
terus mengikuti dirinya sebagai seorang penulis lelaki pilihan selepas
Faisal Tehrani.

Ketika Che Aminah berada di Indonesia, kebencian terhadap Belanda amat
memuncak sekali. Che Aminah akhirnya menerima tanggungjawab dari ibu
Natrah, Adeline dan nenek Natrah, Nor Louisyen. Che Aminah menerima Natrah
dan menerima Natrah sebagai anak kandung malah menjaga, membawa amanah itu
dengan sungguh mulia bersama didikan budaya melayu, mengenali Islam dan
cintanya kepada Islam melebihi segala-galanya.

Novel ini tidak menceritakan pergelutan sebenar antara Natrah, Belanda,
Tanah Melayu dan Islam sendiri. Namun, kredit kepada Azman Al-Kurauwi
kerana jiwa, hati, iman, diri dan segala-gala di dalam diri Natrah adalah
untuk berada di Tanah Melayu, mahu berada di Kemaman, juga mahu bersama
teman-temannya yang berpaksikan Islam, Iman dan tawakal, Natrah seorang
wanita yang diangkat dengan penuh berani, cekal, tekal dan hatinya penuh
keindahan.

Jika ada bintang, maka saya letakkan novel ini untuk 7 bintang!

Ustaz Azman Al-Kurauwi benar-benar membuatkan saya cemburu. Kerana mahu
menulis sepertinya pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya bersama
latihan, bahan bacaan dan segalanya perlu saya gigihkan selepas ini.

sumber : Mardihah Adam

Mar 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (4) Bendera Di Atas Bukit & Rumah Rahsia

Kedua-dua buah buku ini adalah terbitan PTS Fortuna Sdn Bhd yang mana edisi asalnya adalah terbitan Wira Bukit yang diterbitkan dalam tahun 2008.

Kehadiran dua buah buku ini, dengan tampilan yang lebih 'mesra remaja', adalah suatu usaha yang patut dipuji. PTS memang dikenali dengan buku-buku keluaran mereka yang memiliki kualiti 'luaran' mahupun 'dalaman'. Sesuai benar dengan 'slogan' mereka, 'memandaikan bangsa'.

Secara peribadi, saya pernah bersemuka dengan orang yang disebalik syarikat PTS ini, Puan Ainon Muhammad di kediamannya di Janda Baik, Pahang. Seorang yang memiliki wawasan dan pandangan yang jauh, juga sangat memotivasikan.

Menerbitkan semula kedua buah karya Pak Samad ini boleh dilihat sebagai suatu usaha beliau dan tim PTSnya bagi membawa tulisan-tulisan yang bermutu dari penulis-penulis hebat negara kepada khalayak, lebih-lebih lagi kepada para remaja.

Agar bahan bacaan yang dibaca remaja kita akan mematangkan, meluaskan, dan mencabar daya fikiran mereka, sambil memberikan contoh-contoh teladan yang baik untuk diikuti.

Selain itu, usaha ini juga akan merapatkan lagi hubungan antara sasterawan negara dengan para remaja. Bermula dengan dua buah buku ini, para remaja akan mula mengenali Pak Samad, dan perlahan-lahan akan mencari karya-karya beliau yang lainnya, yang lebih besar.

Buku ini mengisahkan kehidupan sekumpulan remaja. Bersahabat baik dan sering melakukan aktiviti bersama. Pada buku Bendera Di Atas Bukit, kumpulan remaja itu, yang diketuai oleh Abu, melakukan penyiasatan mengenai kes kecurian di kawasan mereka. Manakala buku Rumah Rahsia, mereka cuba merungkaikan rahsia yang terdapat pada sebuah rumah lama.

Kira-kira kedua buah buku ini berkisah tentang siri penyiasatan remaja. Menarik. Lebih-lebih lagi untuk remaja. Buku ini mengusik rasa ingin tahu dari bab ke bab tentang penyiasatan para remaja itu. Juga dengan watak-watak di dalam novel itu yang belia remaja semuanya, Abu sebagai ketua berusia 14 tahun.

Secara keseluruhan, kedua buah buku ini memang wajar dimiliki. Lebih-lebih lagi oleh ibu bapa untuk dijadikan bacaan kepada anak mereka.

Cuma, satu perkara yang agak mengecewakan saya. (Harap orang-orang PTS membaca ini)

Terdapat sekalian banyak kesalahan dan kesilapan ejaan di dalam kedua-dua buah buku ini. Bukan satu atau dua, tetapi lebih.

Seolah tergambarkan buku ini tidak diedit dengan sempurna sebelum dicetak. Seolah juga membayangkan bahawa buku ini dipandang 'sebelah mata' kerana ini bukanlah karya yang besar dari Pak Samad. Janji siap.

Kadang, sakit jiwa membaca buku yang dibuat dengan sambil lewa ini. Mari saya contohkan 'sedikit' apa yang mengecewakan saya itu.

1. "Ingat apa kata Cikgu Musa? Kalau tak berjaya kita tak harus mungkir janji. Saya tak akan mungkir janji," kata Abu. (seharusnya : NAK)-Rumah Rahsia (ms 13)

2. Dia memberitahu juga dalam masa cuti ini kawannya Yusuff akan belajar kesal isi hutan, ... (seharusnya : KENAL)-Rumah Rahsia (ms 22)

3. "Esah, sekarang awak jadi tukang tengok saja. Nanti awak ikut bergaduh nama," kata Yahaya. (seharusnya : SAMA)-Rumah Rahsia (ms 27)

4. "Saya dengar ke mana awak bawa sampai saya yang dipinjam dulu. Sulaiman yang memberitahu." (seharusnya : SAMPAN)-Rumah Rahsia (ms 30)

5. "Maafkan saya," kata Majid. "Saya yang bersalah." Sekurang-kurangnya saya datang bawa bendera ni. Lambat tapi ada yang dibawa. Saya cepat, tapi tak bawa apa-apa." (seharusnya : AWAK) -Rumah Rahsia (ms 33)

6&7&8. Tidak berapa jauh dari lembut-lembu itu kelihatan pula dua orang budak sedang meniup harmonika lagi India. "Tengok senangnya jaga lembut," kata Rukiah. (seharusnya : LEMBU-LEMBU), (seharusnya : LAGU?), (seharusnya : LEMBU)-Rumah Rahsia (ms 51)

9. Dan lain-lain.

Itu antara yang rajin untuk saya catitkan di sini. Ada beberapa lagi kesilapan, namun saya rasa cukuplah saya menulis dll itu.

Kesilapan-kesilapan kecil begini tidak patut berlaku. PTS bukan sebuah syarikat penerbitan yang baru hendak bertapak, sudah memasuki tahun ke-11 pun sejak Puan Ainon menubuhkan PTS Publications & Distributors pada tahun 2000.

Menolak kesemua kesalahan ejaan itu, kedua buah buku ini adalah menarik. Dengan reka kulitnya yang begitu 'menyeronokkan' jika dipandang menjadi tarikan utama selain nama A. Samad Said itu sendiri.

Lama kemudian baru saya sedari, bahawa kedua buah buku ini jika dicantumkan sebelah-menyebelah, akan menjadi satu design yang menyempurnakan kulit depan dan belakangnya. Menarik juga.

Buku ini boleh diperolehi di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 9.00 bagi semenanjung dan RM 10.00 bagi Sabah dan Sarawak.

sumber: Melihat-Buku

Feb 27, 2011

MB: Cabaran 50 Buku : (1) Buat Duit Dengan Blog

Buat Duit dengan Blog

Dahulu, semasa zaman Sasterawan Negara, Abdullah Hussain masih remaja, (sengaja saya menggunakan nama Abdullah Hussain sebagai contoh kerana beliau sangat dikenali kini) sewaktu awal-awal penglibatan beliau di dalam bidang penulisan ini, beliau bermula dengan menulis berita-berita sekitar perlawanan bola sepak yang berlangsung di sekolahnya untuk di hantar ke sebuah syarikat penerbitan pada waktu itu.

Tulisan-tulisan beliau itu...
telah diterima dan disiarkan di dalam akhbar tersebut. Tetapi beliau tidak dibayar atau diberi sebarang honorarium di atas berita-berita yang beliau kirimkan itu. Namun, sekalipun tidak berbayar, Abdullah Hussain menyatakan bahawa beliau cukup berasa gembira apabila tulisannya itu disiarkan di dalam akhbar dan dapat dibaca oleh khalayak umum.

Itu yang penting menurut beliau. Tulisannya itu dapat dibaca oleh orang ramai.

Tapi itu adalah kisah dahulu. Sungguhlah pula berlainan dengan zaman teknologi kini. Boleh dikatakan rata-rata anak muda (dan anak tak muda) sekarang mempunyai blog masing-masing. Mempunyai ruangan untuk menulis pandangan-pandangan peribadi terhadap sesuatu. Blog telah menjadi medium untuk mereka mencurahkan segala yang diingini.

Namun sebenarnya konsepnya adalah hampir sama sahaja seperti zaman Abdullah Hussain tadi. Kita menulis, karya kita dibaca, dan kita tidak dibayar apa-apa oleh siapa-siapa.

Tapi jika kita melakukan sedikit carian dan kajian, kita akan temui cara-cara mudah untuk mendapatkan duit hasil dari penulisan anda di blog!

Kita masukan entri baru hari ini, tulis tentang gambar seksi artis Malaysia di Bali (sekadar contoh) sedar-sedar akaun bank kita telah bertambah angkanya pada keesokan hari! Ajaib!

Sebelum ini perkara ini menjadi rahsia di kalangan orang-orang tertentu. Tetapi kini ia tidak lagi rahsia! Buku Buat Duit dengan Blog ini menerangkan segalanya dari A sampai Z, dari alif sehingga ya.

Ditulis dengan bahasa yang cukup mudah, dan bisa difahami juga dicerna oleh sesiapapun. Ditambah lagi dengan reka kulitnya yang ringkas tetapi menarik. Sangat mesra dipandang.

*Mengucapkan tahniah kepada orang yang bertanggungjawab dalam reka kulit dan grafik buku ini. (kalau di facebook, kita akan klik butang 'like')

Satu tip yang ingin saya kongsikan bersama yang terdapat di dalam buku ini. Untuk menjadikan blog kita sebagai sumber pendapatan yang lumayan, kita harus menarik minat pengunjung untuk ke blog kita. Bermakna, makin ramai pengunjung yang melawati blog kita, peluang untuk menjana duit daripadanya adalah lebih besar.

Dan salah satu cara untuk membuatkan blog kita dikenali dan popular serta kerap dilawati, adalah dengan merajinkan diri untuk meletakkan komen di blog-blog mereka yang lain. Cara ini adalah cara yang paling basic untuk memberitahu pengguna internet yang lain mengenai blog kita.

Banyak lagi tip dan panduan di dalam buku ini yang telah dikongsikan oleh penulisnya, Tuan Yazid Yahaya. Lawati beliau di blognya. http://strategiblog.com/

Tidak rugi untuk memiliki buku ini. Sama ada anda seorang blogger atau belum mempunyai sebarang blog. Buku ini akan memberikan anda ilham dan ide-ide sehingga anda berasakan membuat blog itu adalah harus bagi setiap orang! Lebih-lebih lagi pada zaman yang semuanya serba naik kini (kecuali gaji dan air hujan).

Buku terbitan PTS Professional ini boleh didapati di toko-toko buku berhampiran dengan harga RM 14.50 sahaja. Atau boleh melayari www.bookcafe.com.my untuk membelinya dengan harga diskaun!

sumber : Melihat Buku

Feb 21, 2011

UH : Cabaran 50 Novel : (1) Jutawan 3R


Tajuk buku: Jutawan 3R
Penulis: A. Razak Adam
Kategori: Kanak-kanak (Remaja boleh juga..)

Penerbit : PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Ketebalan: 192 muka
Penilaian:


Sedikit sinopsis:
Buku ini mengisahkan tentang dua orang sahabat baik Anandan dan Riduan membina perniagaan mereka melalui jualan barangan terpakai seperti kertas, tin aluminium dan besi buruk. Semuanya bermula apabila mereka didenda oleh Cikgu Hanifah, guru disiplin di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Kasturi. Sejak dari hari itu, mereka berkenalan dengan usahawan barangan terpakai, Encik Mansor. Ikuti kisah dua sahabat memulakan perniagaan bahan-bahan terpakai.



Komen:

Buku ini memberikan banyak ilmu berguna untuk semua pembacanya terutama jika anda tidak mempunyai asas sains. Ia boleh juga dikategorikan sebagai sebuah buku motivasi. Motivasi perniagaan untuk kanak-kanak kerana terdapat idea-idea yang boleh digunapakai jika pembaca mempunyai minat untuk memulakan perniagaan. Penulis bijak menggunakan bahasa-bahasa mudah supaya senang difahami serta penceritaan yang menarik membolehkan pembacanya melekat dan terikat dengan buku ini. Selain itu, terdapat informasi ringkas mengenai alam sekitar, keperluan untuk mengitar semula bahan-bahan terbuang, alternatif dari bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk mengurangkan penggunaan plastik, bahan kimia dan penjimatan elektrik. Buku ini memang tidak rugi untuk dibaca. S
aya pasti, sesiapa yang membaca buku ini pasti teruja untuk menjadi tauke perniagaan kecil yang berasaskan bahan buangan.

Sumber : Ummu Hakeem

Feb 2, 2011

MA : Cabaran 50 Novel (1) : Sayalah Puteri Raja

Hari Isnin malam, ketika suami bekerja syift dan saya menyambar peluang yang ada untuk membaca sebuah novel. Bukanlah tiada masa ketika suami ada di rumah untuk membaca. Soalnya, saya akan rasa bersalah apabila membaca atau menulis ketika suami ada. Jadinya, membaca hanya ketika suami bekerja syift malam dan di dalam tren. Buku ini saya beli ketika Book Sale BNM di MPH. Borong sakanlah sambil suami menjeling-jeling!

Satu malam sahaja, saya berjaya menghabiskan membaca ‘Sayalah Puteri Raja!’

Hahahaha. Saya memang tergelak ketika membaca novel dari penulis Aizam Aiman ini. Hari ini terus saya ‘add’ beliau di laman FB nya.

Sambil mata melihat televisyen, mengunyah kek coklat yang yummy! Novel ini berjaya dilunasi dan cabaran membaca 50 buah buku sedang saya kejari. *Insya-Allah. Sejujurnya saya merasakan tidak mampu kerana kegiatan menulis juga sedang berjalan seiringan sekarang ini. Namun perlu diingat, jika mahu menulis maka hendaklah membaca, membaca dan membaca.
Ceritanya lebih kurang begini :

Kisah ini bermula di negara kecil yang terletak antara Malaysia dan Brunei. Armani nama diberi.
Watak utamanya adalah Zara Bin Muhammad, memang berangan menjadi puteri raja. Kemudian dia amat memusuhi jirannya, Munir Bin Musa. Plot berkembang dengan sungguh menghiburkan hati dan gelak ketawa. Zara juga seorang yang adakala sombong dan adakala membikin saya ketawa!

Ajaibnya, Mak Da (pembantu rumah) dan mamanya juga turut sama melayan angan-angan Zara menjadi nyata. * Isk, kalaulah saya juga dipanggil Puteri Mardihah, alangkah bagusnya. Berbeta dan berpatik-patik di rumah. Mahu saya meloncat keliling dunia. Haaa..perasan-perasan!

Okey, dijadikan cerita jiran baru Zara berpindah berhampiran rumah mereka. Secara kebetulan nama jiran baru mereka adalah Adam bin Muhammad. Berkongsi tarikh lahir yang sama dan bersekolah dan sekelas dengannya. Rupa-rupanya, mama dan papa Adam mahu Zara dan Adam berkawan rapat. Semestinya ada rahsia di sebalik semua ini. Adam menjadi pesaing dalam pelajaran Zara di dalam kelas. Semestinya membuatkan Zara amat cemburukan Adam.

Ada rahsia yang tersimpan di antara mama Zara dan papa Adam. Dipendekkan cerita, mereka sebenarnya adalah adik beradik kembar yang terpisah semenjak 15 tahun dahulu. Melalui perdana menteri Negara Armani, Adam memaklumkan kepada Zara bahawa Zara adalah kakak kandungnya!

Wah, sudah semestinya Zara akan menjadi puteri raja! Namun mereka harus merahsiakan pengetahuan pertama mereka mengenai status adik beradik dari mama dan papa mereka.
Mereka menyamar menjadi sepasang kekasih dan membuatkan mama dan papanya sampai pitam kerana mereka menjadi ‘kekasih’ walhal sebenarnya mereka adalah adik beradik.

Pengakhir cerita, pastinya mereka disahkan status oleh mama dan papa mereka. Rahsia akhirnya dibongkarkan kepada mereka dan Zara menjadi puteri raja seperti angan-angannya. Munir bin Isa yang menjadi musuh Zara pula rupa-rupanya adalah 'bodyguard' Adam dan pemerhati Adam. Pstt : macam ada bau-bau cinta antara Zara dan Munir!

Zara? Lantas dibawa ke Istana Mawarni. Jeng jeng jeng. Jangan ingat mudah menjadi puteri raja ya!
* saya tidak sabar membaca sambungan, 'Sayalah Putera Mahkota!'

sumber : Mardihah Adam

Jan 16, 2010

Akan datang : PTS


RM 20 / RM 23 (Sabah & Sarawak)
978-983-3892-70-9;
Tarikh Terbit: 15 February 2010 ;
Jumlah Muka Surat : 616 halaman


Sebuah kisah yang sarat makna kasih sayang sesama manusia. Ia menawarkan keharuan ikhlasnya perhubungan antara Weera dan Ray, dua sahabat yang disalah erti hubungan hanya kerana mereka lelaki. Namun pada mereka setiap manusia boleh berbicara soal keteguhan hati, kasih dan keikhlasan asalkan ia kerana Allah.

Ujian Tuhan akhirnya menyentuh Weera. Fitnah tidak malu-malu menghambur namun Weera tetap teguh kerana dia percaya ujian mendatangkan kebahagian untuk sesiapa yang mengertikannya.

Pengertiannya, menitis lembut pada kata Wasilah Cinta Weera.

Nov 26, 2009

Buku bulan Disember 09 daripada PTS


Sinopsis:

Kisah pengajian tinggi pada masa hadapan. Pada waktu itu, yuran pengajian perlu dibayar lumpsump bagi seluruh tahun pengajian. Pada waktu itu pelajar juga semakin ramai cemerlang dan perlu bersaing. Kolej-kolej baru juga banyak yang dibina termasuk sebuah kolej baru yang dibina di Sarawak ‘Kolej Melayu Tinggi’ yang menggunakan Bahasa Melayu Tinggi.

Dijadikan cerita, Kamarul seorang yang lurus bendul dan takut dengan perempuan, antara mereka layak menyambung pelajaran di KMT. Kamarul terlewat mendaftar dan penempatan di dalam kolej sudah penuh. Dia terpaksa menyewa dengan seorang lagi pelajar kolej yang pendiam dan murung.

Pada suatu hari teman serumahnya hilang, diganti pula dengan seorang lelaki yang tegap, berwajah ganas dan suka mengarah. Lelaki itu menetap di rumah sewanya tanpa kebenaran. Lalu bermulalah kisah Kamarul, mencantumkan semua yang terjadi bagi menjawab persoalan yang datangnya tiba-tiba, di mana terangnya bulan.

* * * *

Info lanjut sila lawati sini takpun sini

Mar 19, 2009

Temui Mereka Di.........


Program:
Sesi Bertemu Peminat dan Tandatangan Autograf

Penulis:
Ain Maisarah, Faizal Dzasrik, Majidah Mat Jusoh, Nor 'Aini Mohamed Noor, Shamsuddin Kadir dan Kak Ann

Tarikh & Masa:
Ahad 22 Mac 2009 Jam 12.30 - 2.30 petang

Tempat:
Booth nombor 1, Karnival Rakyat, Stadium Malawati, Shah Alam

Mar 13, 2009

Jom beramai-ramai ke MPH One Utama


Sep 12, 2008

Akan Datang Daripada PTS

Satu lagi novel terbitan PTS akan menemui anda.


Sinopsis:

Yasmin Zulaikha Basri, graduan Syariah universiti tempatan kembali ke kampungnya, Desa Sempadan selepas tamat pengajian di Universiti Malaya kerana gagal beroleh kerja di kota. Dia menyertai program homestay yang diusahakan di desa. Yasmin Zulaikha, wanita muda yang digambarkan bersemangat waja, berani menongkah arus, tidak mahu ketinggalan dalam aspek kepimpinan dan pada masa sama berusaha sedaya upaya untuk terus tekal istiqamah di landasan syarak.

( Tak sabar nak baca karya terbaru Salina Ibrahim kerana aku adalah salah seorang penggemar karya-karya beliau bersama Creative..!! )