Showing posts with label Ramlee Awang Murshid. Show all posts
Showing posts with label Ramlee Awang Murshid. Show all posts

Dec 28, 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (48) MANDATORI

MANDATORI
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 505
Harga : RM 19.90
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1 - 2000
Cetakan 2 - 2001
Cetakan 3 - 2004
Cetakan 4 - 2005
Cetakan 5 - 2007
Cetakan 6 - 2008


Secara ringkas :

Pemandu Datuk Johari iaitu Tassan dijatuhkan hukuman Mandatori, mati di tali gantung kerana didapati bersalah berkaitan dengan dadah walaupun hakikatnya dia tak bersalah. Hukuman yang dijatuhkan kepada Tassan meninggalkan kesan besar kepada keluarganya terutamanya kepada anak-anaknya, Amran dan Nurimah yang masih bersekolah.

Amran sering dipulau dan dihina oleh rakan sekelasnya iaitu Juliana, Kevin dan Jane sehingga berlaku pergaduhan antara mereka akibat dari pergaduhan tu Amran dibuang sekolah. Selepas dibuang sekolah Amran nekad menjadi seorang nelayan bagi membantu mengurangkan beban ibunya, Bu Piah. Tetapi suatu hari kecelakaan menimpa Amran dan dia hilang apabila perahu mereka dipukul ombak.

Setelah beberapa tahun kisah kehilangan Amran dan kematian Tassan dilupakan begitu saja. Masing-masing meneruskan kehidupan mereka dan mereka berjaya dalam bidang masing-masing termasuklah Juliana, Kevin dan Jane. Semuanya berjalan dengan lancar sehinggalah muncul Carlos! Lelaki misteri itu seperti penegak keadilan yang memberi hukuman kepada pesalah. Dialah hakim dan dialah peguam! Hanya dia yang berhak membuat keputusan, dan hanya satu hukuman yang dia akan jatuhkan… MANDATORI.


Komen saya :

Seperti biasa karya Ramlee Awang Murshid tak pernah mengecewakan para pembacanya. Sangat-sangat berpuas hati dengan Mandatori. =)

Unsur suspen yang dimasukkan dalam novel nie memang menjadi! Seperti novel beliau yang sebelumnya mainan masa turut ada sampai kita kena ulang selak novel supaya faham dengan jalan cerita Mandatori nie. Tapi bagi saya benda tu perkara kecil dan tak membunuh langsung rasa teruja nak habiskan Mandatori sebab saya dah faham dengan gaya penulis beliau yang suka main dengan masa.

Watak-watak dalam Mandatori juga dikembangkan dengan baik dan sangat misteri! Di ulang sekali lagi… misteri ok. Kali nie ada banyak watak dalam satu watak. Bunyi macam mengelirukan bukan? Tapi percayalah, lepas baca novel nie anda akan faham dan boleh tersenyum puas sebab dapat habiskan novel nie dan tau siapa Carlos tu sebenarnya.

Apa yang boleh saya simpulkan rasa teruja tu mesti ada bila kita novel nie dan bila dah mula baca Mandatori rasa nak tau babak seterusnya membuak-buak tau… hehe


XX Quotes : Mandatori novel penuh suspen dan misteri! Suka cerita thriller yang buat kita teruja? Jawapannya Mandatori pilihan terbaik. =)

Dec 19, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (52) Fiksyen 302

Judul : Fiksyen 302
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Terbitan : Alaf 21
ISBN : 978-83-124-746-4



1. Usai membaca novel terbaru dan terakhir bagi tahun 2011 Ramlee Awang Murshid ini, saya telah memilih beberapa nama pelakon untuk diberi penilaian oleh pengarah, jika novel ini mahu diadaptasi ke filem.

2. Tetapi saya tak berjumpa dengan mana-mana nama pelakon tempatan yang cocok untuk watak Alias. Mungkin elok juga diambil pelakon luar, Indonesia ke, untuk watak itu supaya filemnya lebih internasional.

3. Pertengahan tahun 2011 dulu, saya ada menulis sikit tentang novel Fiksyen 302 ini. Lihat sini.

4. Pertama-tamanya marilah kita mengangkat kedua belah tapak tangan dan melakukan tepuk tepuk secara serentak. Tepuk-tepuk-tepuk. Tahniah untuk penulis yang berhasil melahirkan sebuah karya yang bagi saya sangat unik.

Dec 16, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (47) Igauan Maut

Igauan Maut
Ramlee Awang Murshid

ISBN: 9836245642
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tarikh Terbit: 1995
Halaman: 164
Harga: RM6.50

~ Rasaku… ~

Karya pertama RAM umpama masterpiece teragungnya. Di sini kita dapat melihat dan memahami bagaimana beliau memulakan langkah untuk terbang tinggi dalam bidang penulisan tanah air. Novel ini membuktikan bahawa tidak perlu mukasurat yang tebal untuk menjadi satu novel suspen thriller, cukup dengan gaya penceritaan dan pembentukan watak yang baik.

IM memaparkan kisah dendam akibat daripada tragedi ngeri yang berlaku pada September 1963. Kisah yang meragut seluruh keluarga Marlia yang terseksa kerana mengahwini Ali @ Miyakoto Sakurai. Ada pula segelintir penduduk kampung yang tak puas hati sebab masih ada lagi saki baki penjajah Jepun di kampung mereka. Akibatnya rumah Ali dan Marlia dibakar.

Oct 22, 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (26) Sutera Bidadari

SUTERA BIDADARI
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman :
Harga : RM
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1 - 20


Secara ringkas :

Sutera Bidadari adalah kesinambungan dari Cinta Sufi nie mengisahkan perjalanan Safudin atau lebih dikenali sebagai Laksamana Sunan dalam memburu Taghut setelah muncul semula dari Tasik Hulu Melaka selepas enam purnama berada di bawah pengawasan Hang Tuah.

Pelbagai cabaran dan dugaan yang dihadapi oleh Saifudin dalam memburu Taghut. Dia mungkin tangkas dalam melawan kejahatan tapi buntu apabila melibatkan soal hati. Mariam dan Luna berbeza watak tapi mempunyai satu persamaan iaitu merebut hati Saifudin! Kesinambungan dari Cinta Sufi, tetapi masih tidak dileraikan.

Dalam pada masa yang sama Raja Roman yang gagal menewaskan bangsa Polip bertambah sedih dengan kematian permaisuri yang dicintai sepenuh hatinya, Sutera. Sehinggakan kerajaannya yang gah hancur di telan waktu. Raja Roman yang dukacita tu menggengam dendam terhadap seseorang yang padanya adalah punca semua ini terjadi. Siapakah gerangan yang dimaksudkan itu?

XX : Cabaran 50 Buku : (25) Cinta Sufi

CINTA SUFI
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 509
Harga : RM 19.90
Terbitan : Alaf 21
Cetakan 1- 2010


Secara ringkas :

Catalina seorang balu berbangsa Portugis mempunyai misi tersendiri untuk ke Hulu Melaka iaitu untuk mencari ‘lelaki bertanduk dua’. Lelaki itu diperlukan bagi membantunya mencari seorang wanita bernama Maryam.

Tetapi telah ditentukan yang Maha Kuasa, Laksamana Sunan adalah ‘lelaki bertanduk dua’ yang di cari Catalina. Catalina mengharapkan agar Laksamana Sunan membawanya berjumpa Maryam tetapi sayangnya Lakasamana Sunan sudah tidak berdaya. Dirinya sendiri telah ditawan oleh penjajah yang menjajah Negeri Melaka iaitu bangsa Portugis sendiri.

Tetapi Laksamana Sunan telah di selamatkan oleh Luna, seorang wanita dari bangsa Polip yang mencintai Laksamana Sunan secara diam-diam. Perjalanan mereka seterusnya menjadi lebih sukar dengan gangguan dan halangan oleh Taghut tetapi itu semua tak melemahkan iman Laksamana Sunan yang memang utuh itu.

Aug 23, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (30) Rayyan Fantasi


Rayyan Fantasi
Ramlee Awang Murshid

ISBN: 9789831245828
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Ogos 2010
Halaman: ~ 512
Harga: RM 19.90


~ Rasaku… ~

Membaca karya RAM ni seperti aku menonton filem Starwars je. Watak Aiddin/Rayyan dan Ibrahim/Mij-Gillion sememangnya memerlukan aku berfantasi luar biasa. Baik daripada segi watak, tempat dan laras waktu. Semuanya perlu seiring ketika sedang membelai naskhah ini. Mujur juga sudah biasa dididik dengan stail RAM yang akan bercerita dengan tidak mengikut susunan waktu, maka tidak terasa kejanggalannya. Tetapi ada masanya aku perlu juga membelek-belek halaman terdahulu sebab lost hik3 lalala5 :P

Aiddin dilihat sebagai anak muda yang punya segala-galanya. Ada ayah, ibu tiri yang begitu mengasihinya serta datuk yang amat menyenangi dirinya. Namun ada sesuatu yang dirahsiakan daripada Aiddin malah daripada semua isi keluarga Ibrahim. Rahsia susur galur Aiddin dan juga diri Ibrahim sendiri. Siapa mereka berdua dan bagaimana boleh tercampak ke dunia asing iaitu bumi, Malaysia khususnya.

Aug 19, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (22) Bagaikan Puteri


Tajuk buku : Bagaikan Puteri
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 574 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Bagaikan Puteri , kisah fiksyen yang ada dua zaman. Satu kisah di penghujung kurun ke-15 dan satu lagi kisah di abad-21. Kisah yang tak terjangkau akal.

Kisah di penghujung kurun ke-15, dikisahkan seorang laksamana hebat yang digelar Laksama Sunan yang nama sebenarnya adalah Saifudin. Di sebalik kehebatannya sebagai laksama, ada kisah lama yang tersembunyi. Kisah lalu yang menyebabkan dia membawa diri jauh dari kampung Punggor, Tanah Melayu ke Acheh. Namun, setiap yang berlaku ada hikmahnya, kerana kisah lalu yang menemukan dia dengan Wali Sufi dan menjadikan dia laksamana Sunan yang terkenal.

Rindu dengan kampung halaman dan setelah mendapat kebenaran dari Wali Sufi, Saifudin membawa langkah kembali ke Kampung Punggor. Di dalam perjalanan, dia dipertemukan dengan Haryani.

Jul 15, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (12) Mandatori


Tajuk buku : Mandatori
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 505 m/s

Sinopsis Kulit belakang :

Bermula dengan hukuman di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu, Carlos menyimpan dendam menuntut keadilan. Seorang demi seorang yang menzalimi akan terpaku di mahkamah keadilan yang dicipta oleh Carlos sendiri. Dialah pendakwa raya dan dia jugalah hakim.

Bagi Carlos, peguambela sudah tidak perlu lagi kerana pendakwaan membawa erti kesalahan telah terbukti. Sesiapa yang diadilinya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan. Dan hukuman yang pasti ialah hukuman mati mandatori!

Ulasan ainsabrina :

Semuanya bermula dengan kisah Taasan, pemandu kepada Datuk Johari yang dihukum mati di tali gantung berikutan kes penangkapan dengan dadah. Walaupun Taasan tidak bersalah, namun disebabkan hukuman itu, keluarga Taasan menerima impak yang besar setelah pemergiannya. Dia meninggalkan Bu piah, isterinya dan dua anak, Amran dan Nurimah. Amran dihina kawan sekelasnya Juliana,Kelvin dan Jane sehinggakan Amran dibuang sekolah manakala Nurimah bertukar sekolah. Memikirkan nasib keluarga yang asyik ditimpa malang, Amran akhirnya berkeputusan menjadi nelayan. Siapa sangka hanya pada hari pertama dia sebagai nelayan, Amran hilang pabila perahu mereka karam akibat rebut angin monsoon.

Kisah itu berlalu dilupakan begitu sahaja. Semua dengan kisah masing-masing. Juliana sudah berjaya dengan syarikatnya namun bermasalah dengan kisah cintanya yang membawa dia bertemu dengan Norman. Kevin sudah berjaya menjadi doktor Forensik manakala Jane berjaya menjadi seorang peguam. Di saat kehidupan mereka seakan tenang tanpa bahaya, mereka dikejutkan dengan jemputan yang menemukan mereka dengan Carlos. Carlos ibarat penegak keadilan yang memberi hukuman kepada pesalah tanpa peguam pembela mahupun hakim.

Komen ainsabrina :

Novel ini saya habiskan sepanjang berada di keretapi Butterworth-Bangkok. Saya bagaikan ternanti-nanti babak seterusnya yang berlaku,juga tertanya-tanya siapa Carlos yang sebenarnya.

Novel thriller Ramlee Awang Murshid memang membuatkan kita seperti berada di dimensi lain. Kisahnya banyak kisah ulang tayang dan banyak watak wujud yang membuatkan kita tertanya-tanya. Watak Carlos dari awal begitu rahsia dan beberapa lagi watak rahsia yang lain.

---
Ain Sabrina

May 25, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (12) Cinta Sufi

Tajuk buku : Cinta Sufi
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn. Bhd
Tahun Terbitan : Cetakan 1, 2 – 2010
Halaman : 509
Harga : RM19.90/ RM22.90

‘Siri Laksamana Sunan’ kali ini tidak lagi memerlukan watak Haryani dan Dani dalam pengembaraannya yang panjang. Malah watak Catalina yang lebih segar dan menawan telah memaksa Laksamana Sunan menemani wanita berdarah penjajah itu mencari Maryam di Hulu Melaka.

Angkatan Portugis kembali meneruskan perjalanan ke Hulu Melaka dengan semangat yang berkobar-kobar. Atas tujuan apa sehingga menyebabkan pejuang-pejuang tanah air berhempas pulas mempertahankan Hulu Melaka? Apa yang istimewa di Hulu Melaka?

May 20, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (11) Hijab Sang Pencipta

Tajuk buku : Hijab Sang Pencinta
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun Terbitan : Cetakan 4 – 2010
Halaman : 510
Harga : RM19.90/ RM22.90

Kesinambungan novel Cinta Sang Ratu ini masih mengekalkan Saifuddin yang lebih dikenali sebagai Laksamana Sunan sebagai tunjang penceritaan dengan dibantu oleh Dani dan Haryani.

Setelah menempuh pelbagai halangan dan rintangan dalam perjalanan pulang untuk berbakti kepada orang tua di Kampung Punggor, takdir melontarkan Laksamana Sunan ke zaman abad ke 21.

Sukar untuk mempercayai, tetapi keluarga Haryani terpaksa dan harus mempercayainya demi keselamatan Haryani yang menjadi tebusan untuk menghidupkan baka awal Manggala.

May 10, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (19) Sutera Bidadari

Judul : Sutera Bidadari
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Terbitan : Alaf 21
ISBN : 978-983-124-679-5


1. Sebuah novel terbaru daripada novelis prolifik Alaf 21, Ramlee Awang Murshid. Merupakan sambungan dari kisah Laksamana Sunan pada novel-novel beliau sebelum ini.

2. Antara novel yang mendapat sambutan hangat di pesta buku 2011 yang berlangsung baru-baru ini di PWTC.

3. Apa lagi yang hendak pembaca katakan terhadap novel RAM ini? Mendebarkan, membuat pembaca tertanya-tanya, kejutan yang tak terduga, mainan masa yang kemas, plot yang mengujakan, watak yang pelbagai, penceritaan yang bersahaja, penuh drama.

4. Mungkin keterlaluan memuji pula dengarnya. Tapi begitulah yang dirasa apabila membaca Sutera Bidadari ini. Ya, barangkali ada juga jalan ceritanya yang telah dapat diduga, kejutan yang tak terkejut lagi, klise-klise yang biasa terdapat dalam novel RAM sebelum ini, tetapi semua itu hilang apabila saya, sebagai pembaca, dibawa masuk RAM ke dalam dunia imaginasinya yang sungguh tinggi.

5. Sutera Bidadari mengisahkan mengenai Laksamana Sunan yang mengembara ke Negeri Atas Angin untuk memburu Taghut. Wakil dari dunia kejahatan yang sering melakukan kedurjanaan. Pengembaraan Laksamana Sunan ini berlaku pada tahun 1511 dengan ditemani oleh beberapa orang rakannya yang setia.

6. Selain 1511, Sutera Bidadari juga membawa pembaca ke abad 21 dengan memaparkan kisah Saifullah yang diamanahkan untuk menjaga Keris Nanggroe dan Catatan Maryam yang telah disimpan sejak dari tahun 1511 lagi.

7. Kemahiran RAM bercerita sambil bermain dengan faktor masa sangat dikagumi. Beliau berkisah dalam dua dimensi yang berbeza, dengan latar dan juga watak yang berbeza, yang semuanya terikat pada watak utamanya, Laksamana Sunan, yang diuraikan pada pengakhiran novel.

8. Jika watak Laksamana Sunan pada tahun 1511 dilihatkan dalam pengembaraannya, watak Saifullah pula mewakili abad kini, yang memburu kejahatan dengan menjadikan Keris Nanggroe dan Catatan Maryam sebagai umpan menjejaki Vlad The Impaler.

9. Sebagai pembaca yang telah sering membaca novel-novel RAM, saya tentunya mengharapkan sesuatu yang lain dari novel-novel beliau sebelum ini. Sesuatu yang bersifat lebih mencabar daya kemampuan membaca pembaca. Dan, walaupun tidak keseluruhannya, Sutera Bidadari tetap menawarkan kelainan dan memerlukan daya tumpuan yang tidak sedikit untuk mengikuti setiap penceritaannya.

10. Sekalung tahniah buat RAM yang berjaya membuat imaginasi saya terbuai-buai melalui adegan-adegan yang dipaparkan. Bertanya-tanya, tiadakah penerbit-penerbit filem yang mahu membawa salah satu novel RAM ke layar perak?

11. Sedikit yang mengecewakan saya, apabila RAM sekali lagi menggantungkan novelnya di akhir bab. Tiada simpulan mati yang diberikan di dalam Sutera Bidadari ini melainkan potongan tali yang sengaja digantung, yang mana harus disambungkan semula buat memperkemaskan perjalanannya.

12. Ini seakan memberi andaian bahawa akan terdapat sambungan lagi untuk kisah Laksamana Sunan ini. Bukan tak setuju ia disambung lagi, tetapi saya berasakan sudah terlalu panjang dan lama kisah Sunan ini diceritakan, masih belum bertemu penamatnya. Cukuplah, jika berlebihan risau akan membosankan pula.

13. Novel ini boleh didapati dengan harga RM 22.00. Sudah dinaikkan sedikit harganya. Jika sebelum ini novel-novel RAM terbitan Alaf 21 rata-ratanya berharga RM 19.90 tetapi untuk Sutera Bidadari ini agak tinggi dari biasa sikit. Kenapa terdapat kenaikan, itu kena ditanya sendiri kepada Alaf 21.

14. Secara keseluruhan Sutera Bidadari ini menarik bagi saya. Kecuali penamatnya yang tidak ditamatkan setamat-tamatnya. Ditanya mengenai novel terbaru, RAM menjawab, "Fiksyen 302."

---
Melihat Buku

Apr 25, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (9) 9 Nyawa

Tajuk:9 Nyawa
Pengarang: Ramlee Awang Murshid
Terbitan: Alaf21 SDN BHD
Harga: RM 19.90
ISBN: 978-983-124-487-6
Halaman: 512 muka surat


kata kulit buku:

INTAN SURYANI

Berkali-kali dia koma dan kemudian sedar semula... menyebabkan mamanya percaya bahawa dia mem punyai 9 nyawa berdasarkan sebuah mimpi. Dihitung jumlah ‘nyawa’ yang diambil daripadanya, lalu mengundang trauma. Sungguh dia tidak percaya... ketika koma, rohnya menyaksikan jasad sendiri yang terbujur kaku.

HAKIM

Si buta lagi yatim piatu ini menyara adiknya dengan penuh tanggungjawab. Hatinya sungguh luhur. Sesiapa saja akan terusik melihat keikhlasannya. Anugerah TUHAN... mata hatinya lebih ‘celik’. Dia bisa mendengar suara mereka yang berada di sempadan, antara hidup dan mati. Mereka berdua bertemu jua... di alam paranormal. Pertemuan
itu merungkai sebuah kisah di sebalik cerita. Kejutan demi kejutan yang tidak disangka-sangka ter ungkai. Dan satu persoalan lain pula muncul - mengapa mereka tidak dipertemukan lebih awal?

sumber: alaf 21

kata KK:

Saya mengakui kata penulis “ ini bukan stail baru, Cuma diaplikasikan dalam persembahan novel..”

Kerana kisah semalam mereka bertemu kembali. Intan Suryani dan Hakimi sendiri terlupa tentang kejadian tersebut tetapi hakikatnya sejarah tetap menghantui mereka. Intan mengidapi sakit jantung dan hakim buta kerana kemalangan. Dalam dunia paranormal intan bertemu hakimi. Hakimi seperti membuka pintu hakikat sebenar kepada haryani. Dunia paranormal itulah yang merungkai segalanya.

Saya bersetuju dengan penulis. Biasa. Tidak sehebat trilogi novelnya tetang laksamana susan yang lebih lekat dihati saya. 9 nyawa mengingatkan kita bahawa kita – orang melayu masuh percaya kepada mitos dari Islam sendiri. Pada penghayatan saya, penulis seolah cubamenyampaikan mesej salah satu ciri-ciri peribadi muslim iaitu aqidah yang sejahtera. Kenapa tidak kita teguhkan hati dengan rukun iman. Sahabat-sahabat nabi dulu disiksa hanya mempertahankan uman kenapa tidak kita? mungkin inilah yang penulis mahu sampaikan.

--
-khaulah khalid-

Apr 15, 2011

MQ : Cabaran 50 Buku : (10) Cinta Sang Ratu

Tajuk : Cinta Sang Ratu
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Penerbit : Alaf 21 Sdn Bhd
Tahun terbitan : 2010 (cetakan 8)
Halaman : 554
Harga : RM19.90/ RM22.90

Kesinambungan novel Bagaikan Puteri ini masih mengekalkan watak Laksamana Sunan sebagai tunjang utama dengan dibantu oleh Haryani dan Dani, bagi melancarkan jalan cerita yang mempertemukan dua zaman berbeza.

Novel ini sarat dengan mesej ketuhanan sedari zaman sebelum penciptaan manusia pertama Adam a.s. Keingkaran syaitan sujud kepada Nabi Adam disertai peluang yang diberi untuk menyesatkan manusia sehingga tibanya hari kiamat digunakan dengan sebaik-baiknya.

Penulis berjaya mengetengahkan unsur sihir, mistik dan kepercayaan karut segelintir masyarakat di muka bumi ini dalam penceritaan yang begitu memukau dan penuh debaran sesuai dengan gelaran novelis thriller no.1 di Malaysia.

Justeru novel ini mengingatkan manusia akan kelebihan ayat kursi, unsur ikhlas dalam kehidupan dan bertawakal kepada Allah setelah berusaha selain mengangkat tema cinta fitrah sesama manusia dalam diri seorang pejuang kebenaran yang meletakkan cintanya kepada Allah melebihi cinta kepada makhlukNya.

Membaca novel ini ada debaran, ada manis, ada cinta, ada air mata, ada ketabahan dan ada kesedihan yang dipendam. Syabas kepada penulis kerana membuatkan pembaca berfikir kembali dan merenung diri sendiri.

sumber: Mariah

Mar 14, 2011

XX : Cabaran 50 Buku : (1) RAYYAN FANTASI


Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 556
Harga : RM19.90
Terbitan : Alaf 21 Publications
Cetakan 1 - 2011

Secara ringkas :

Rayyan Fantasi mengisahkan tentang kehidupan makhluk asing yang lari dari planetnya akibat peperangan dan mendarat di bumi tanpa disengajakan. Mereka kemudiannya telah dibantu oleh Pak Markum. Ibrahim dan Aiddin menjalani kehidupan sebagai manusia di bumi dan berteduh di rumah Pak Markum dan anak perempuannya, Supinah. Ibrahim kemudiannya berkahwin dengan Supinah. Perkahwinan Ibrahim dan Supinah tidak dikurniakan cahaya mata dan Aiddin kekal menjadi anak tunggal. Masa berganti masa Aiddin akhirnya memasuki universiti. Kehidupan mereka sekeluarga bahagia sehinggalah Aiddin disahkan menghidapi barah otak peringkat empat. Doktor mengandaikan Aiddin hanya boleh bertahan selama tiga bulan. Tetapi hakikatnya Aiddin sedang mengalami proses yang akan dialami setiap makhluk Yukka yang akan memasuki alam dewasa. Hakikat itu Ibrahim sahaja yang mengetahuinya. Dalam pada masa yang sama Ibrahim diburu oleh ‘musuh’nya!

Aiddin yang menganggap bahawa masanya sudah semakin suntuk ingin menawan Gunung Kinabalu. Ketika ekspidisi tersebut Aiddin telah hilang. Cerita menjadi semakin menarik apabila Aiddin sebenarnya diculik oleh Mika puteri dari planet Yukka. Kehilangan Aiddin menyebabkan ramai orang bersedih terutamanya ibunya, Supinah dan juga tunangnya, Feena. Sepanjang ‘kehilangan’ Aiddin banyak perkara telah berlaku.

Aiddin diculik kerana dia diperlukan untuk memimpin bangsa Rayyan dalam peperangan menawan Kota Yukka kembali yang telah ditawan oleh Sanggora yang juga bapa kepada Mika. Ketika ini pembaca di bawa menyusuri ke planet Yukka dan adegan peperangan di sana. Terjadi pelbagai adegan menarik dan ketika ini kita seolah-olah berada di sana!

Kemuncaknya, adakah Aiddin berjaya menawan Kota Yukka kembali? Mengapa Mika hendak menentang bapanya sendiri dengan membantu Aiddin? Siapa Rayyan dan Mij-Gillion? Adakah Feena akan terus setia dengan Aiddin? Adakah Aiddin akan kembali ke pangkuan keluarganya? Siapa yang memburu Ibrahim? Banyak persoalan yang perlu dirungkaikan dan hanya dengan mendapatkan RAYYAN FANTASI semua kekusutan dapat dileraikan.

Tunggu apa lagi dapatkan Rayyan Fantasi sekarang..=D

Komen saya :

Ramlee Awang Murshid (RAM) novelis yang sangat sinonim dengan gaya penulisan thriller. Dari gaya penulisannya yang sangat unik dan lain daripada yang lain tidak hairanlah beliau mendapat gelaran novelis thriller nombor 1 Malaysia. Sebagai salah seorang peminat tegar karyanya sudah pasti saya tidak ketinggalan memiliki novel Rayyan Fantasi (RF). Hampir separuh koleksi novelnya saya ada. RF adalah novel terbaru buat masa sekarang dan bakal menyusul Sutera Bidadari iaitu sambungan sekual Bagaikan Puteri yang juga menarik kisahnya.

Tak keterlaluan kalau saya katakan novel ni dah macam cerita alien.. hehe. Namapun novel bercirikan sains fiksyenkan. Watak Aiddin dan bapanya, Ibrahim merupakan makhluk asing dari planet Yukka. Pernah dengar nama planet ni? Tak pernahkan. RAM memang berimiginasi tinggi. Makhluk Yukka digambarkan fiziklnya seperti manusia tetapi memiliki perbezaan DNA dan juga udara penafasan. Kalau manusia di bumi memiliki darah jenis A, O, AB dan B tetapi makhluk Yukka memiliki molekul-molekul darah yang berlainan disebabkan faktor ini Ibrahim dan Supinah tidak memiliki anak kerana DNA makhluk Yukka sangat kompleks. Manusia di bumi bernafas melalui gas oksigen tetapi makhluk Yukka bernafas menggunakan gas karbon monoksida. Gas karbon monoksida merupakan racun pada manusia tapi ‘udara’ bagi makhluk Yukka! Sangat kreatif bukan cara pemikiran RAM.

Jarak bumi dan Planet Yukka mengambil masa berjuta-juta cahaya. Tak terbayang rasanya..huhu. Makhluk Yukka juga digambarkan memiliki kecanggihan teknologi yang sememangnya berlipat ganda lagi maju berbanding di bumi. Senjata peperangannya, kapal angkasa yang dipanggil kapsul dan juga bangunan yang digambarkan sangat canggih! Betul-betul dah rasa macam menggembara ke dalam filem Zathura! Bahkan lagi hebat rasanya.

Bagi peminat setia RAM pasti sudah boleh mengagak gaya penyampaiannya. Tiada urutan cerita atau kronologi. Pembaca akan dibawa merentasi masa tanpa mengira waktu, sekejap di tahun 2005 tiba-tiba kembali ke tahun 1995! Tapi jangan risau, RAM bijak membawa pembaca menyusuri masa mungkin pada mulanya kita akan terasa pelik tapi perincian masa yang diberi kemudiannya akan menguraikan kekusutan kita.

Karya-karya RAM juga mempunyai banyak watak tidak seperti novel biasa dan watak-watak yang digambarkan walau muncul sekejap tetapi meninggalkan kesan. Tetapi yang pasti nama watak dalam RF sememangnya unik. Contohnya, Ramos, Sanggora, Na’in, Janir, Mij-Gillion, Saher, Sulus, bangsa Aloi dan banyak lagi. Nak tau kena la baca. Hehe.

Penulisan RAM tidak pernah mengecewakan, RF yang digarap penuh unsur suspen dan debaran pasti membuatkan rasa ingin tahu dan minat pembaca untuk terus membaca bab demi bab sehingga ke penghujungnya!

Senang cakap.. bila dah mula pegang tu payah la nak letak balik. Dia nak baca sampai habis terus!

XX Quotes : Tak rugi beli.. tapi, rugi tak baca.. sebab ilmu bertambah.=D

sumber: Xana

Mar 7, 2011

WA : Cabaran 50 Buku : (5) Rayyan Fantasi

Penulis : Ramlee Awang Murshid
Halaman : 512
Tahun : Disember 2010
Terbitan : Alaf 21
Harga : RM19.90

Sinopsis

RAHSIA susur galur Aiddin sengaja dirahsiakan oleh ayahnya, Ibrahim. Justeru... dia memiliki sebuah keluarga yang bahagia. Bagaimanapun kehidupan manusianya yang gembira dan ceria, tercalar apabila disahkan menghidap barah otak tahap empat. Doktor meramalkan Aiddin hanya mampu hidup dalam tempoh yang sangat singkat. Jiwanya terganggu dan sejak itu, Aiddin suka bersendirian.

Aiddin yang berduka cita ditenteramkan oleh tunangnya, Feena yang berjanji akan setia pada ikatan cinta mereka. Impian terakhir sebelum kematian meragut kehidupannya adalah untuk mendaki Gunung Kinabalu. Impian itu terlaksana, tetapi Aiddin hilang di kawasan hutan pergunungan. Selepas lima tahun berlalu, Aiddin muncul semula di kawasan tersebut. Sejak itu, beberapa siri pembunuhan ngeri berlaku. Manakala Aiddin sendiri sering mendengar bisikan suara perempuan.

RAMLEE AWANG MURSHID berjaya mewujudkan sebuah rahsia dalam lingkaran saspens, seram dan misteri dalam novel ini. Faktor cinta pula adalah pengikat, tetapi tidak semestinya tersimpul mati. Rayyan Fantasi merupakan genre yang berbeza dalam karya Ramlee kali ini. Ketika membaca novel ini, pastikan di sekeliling anda adalah realiti kerana fantasi begitu bijak menipu fikiran.

* * * *

Sebagai penggemar karya fiksyen Ramlee Awang Murshid (RAM), sememangnya naskhah ini menjadi pilihan saya untuk dibaca untuk cabaran 50 buku saya. Kali ini RAM tampil dengan genre SaiFai (Sains Fiksyen).

Rayyan Fantasi, kisah bermula di suatu malam yang sunyi. Kemunculan Ibrahim yang menumpang teduh daripada basah hujan di teratak Pak Markum bersama anak kecil yang menangis kesejukkan dan kelaparan, penuh misteri. Aiddin, si anak yang baru kematian ibu membuatkan Pak Markum dan Supinah anak daranya jatuh belas. Bermula hidup Ibrahim bersama anaknya Aiddin di Lembah Kundasang atas ehsan Pak Markum sebagai ‘keluarga’ baru. Apatah lagi Ibrahim tidak punya tempat yang hendak di tuju. Daripada kasihan menjadi kasih, akhirnya dengan restu Pak Markum, Supinah dikahwinkan dengan Ibrahim.

Aiddin membesar menjadi anak yang sangat pintar. Supinah mengasihi Addin bagaikan anak kandung. Daripada Aiddin kecil hinggalah usianya 10 tahun, hidup mereka sekeluarga tenang-tenang sahaja. Hinggalah di suatu hari Aiddin yang selama hidupnya tidak pernah sakit, jatuh pengsan. Ada sebab yang menyebabkan Aiddin pitam, hanya Ibrahim yang tahu.

Peredaran masa membuatkan Aiddin tumbuh menjadi anak muda yang bijak lagi pintar. Melayakkan dia menyambung pelajarannya di UKM Bangi. Peluang terbuka ini membawa kepada perpindahan Ibrahim dan Supinah ke Semenanjung. Ada alasan lain juga kenapa Ibrahim berpindah ke Semenanjung.

Malangnya kegembiraan mereka tergugat apabila Aiddin disahkan mengidap barah otak tahap empat. Kecewa dengan penyakit yang dideritainya Aiddin ingin melunaskan impian terakhirnya, mendaki Puncak Gunung Kinabalu. Di temani teman-teman seuniversiti, Feena yang telahpun menjadi tunangannya, Suhaila, Mei Long dan Zaidan, Aiddin memulakan pendakiannya. Malang menimpa apabila Aiddin hilang tanpa jejak ketika menuruni puncak gunung.

Kehilangan Aiddin penuh misteri. Tiada siapa yang dapat merungkai kehilangannya. Ibrahim yang tidak sanggup melihat Supinah derita kehilangan anak, membongkar rahsia siapa mereka sebenarnya. Malangnya Supinah yang tidak dapat menerima hakikat, dengan tega menghalau Ibrahim daripada rumahnya (dan dari hidupnya juga).

Selepas 5 tahun berlalu, kehilangan Aiddin tidak lagi diambil endah. Hinggalah dia muncul di kaki Gunung Kinabalu bersama Ibrahim dalam keadaan yang penuh tanda tanya. Muncul bersama misteri pembunuhan yang mengerikan.

Siapakah Ibrahim dan Aiddin yang sebenarnya? Apa rahsia yang diselindungkan oleh Ibrahim hatta anaknya sendiri tidak mengetahuinya? Ada musuh yang memburu, tapi siapakah musuh itu dan siapa pula yang diburu? Ada suara yang berbisik di telinga Aiddin menyeru Rayyan agar kembali. Tapi siapakah Rayyan? Dan suara siapakah yang menghantui Aiddin? Segalanya penuh tanda tanya dan perlukan penjelasan.

Teruja? Ingin tahu apa rahsianya? Anda harus baca dan selongkar sendiri. Cari jawapan pada setiap persoalan yang berlegar dibenak anda. Dan yang pastinya setiap persoalan, jawapannya hanya ada dalam naskhah Rayyan Fantasi ini.


Rasa Saya:

Kali ini RAM membawa kita menjelajah ke dua dunia yang berbeza. Dunia Realiti dan Dunia Fantasi. Membaca Rayyan Fantasi ini saya dibawa ‘mengembara’ ke dunia yang tiada titik temu. Dunia yang dinamakan dunia Fantasi. Dunia makhluk asing? kalau boleh saya andaikan begitu. Dunia yang pada realitinya sangat mustahil untuk kita terokai. Saya cuba membayangkan saya berada di dunia bunian. Walau hakikatnya saya sendiri tidak tahu bagaimana rupa bentuknya dunia bunian itu.

Sebagai pembaca, adakalanya kita akan cuba mencipta ‘layar perak’ kita sendiri berdasarkan daya imaginasi kita ketika membaca. Namun saya terasa bagaikan tersesat. Kecanggihan teknologi beserta keadaan rupa bumi yang digambarkan di alam fantasi itu terlalu fiksyen... terlalu tinggi jika dibandingkan dengan dunia realiti. (hehehe dah namanya buku fiksyen, apalah wan nih!!)

Sebagai penggemar karya RAM dan hampir kesemua novel tulisan RAM menjadi koleksi saya, saya bagaikan boleh terima keadaan itu walaupun secara peribadinya saya lebih gemar gaya RAM ketika berkarya menerusi sekual Bagaikan Puteri. Yang berkisah di zaman Kesultanan Melayu Melaka atau sezaman dengannya. Mungkin kerana faktor bahasa yang memainkan peranan. Pada saya, bahasa RAM agak kaku ada kalanya. Walau bagaimanapun ini tidak menjadi masalah besar bagi saya kerana RAM bijak mengatur strategi yang memaksa saya baca, baca dan baca (lupakan bahasanya) untuk sampai ke garisan penamat dan merungkai setiap persoalan yang menjerat minda saya. Saya ingin tahu kesudahannya!

Sebagaimana biasa, RAM bercerita tanpa kronologi. Sesuka hatinya mengatur cerita. Jangan terkeliru apabila anda tiba-tiba berada di dunia Fantasi tanpa anda sedari. Dan jangan terpinga-pinga apabila anda tiba-tiba berada di 10 tahun yang lalu atau sekelip mata anda berada di zaman yang beribu-ribu tahun akan datang. Selalunya RAM akan memberi klu sebagai panduan agar pembaca tidak tersasar jauh.

Jadi nasihat saya, baca jangan berhenti...

Selamat membaca moga pembacaan ini memberi inspirasi pada anda.
Dan jangan biarkan hidup anda diselubungi, misteriiii... hehehehe


Mar 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (2) Rayyan Fantasi

Novel paling kini daripada penulis prolifik Alaf21, Ramlee Awang Murshid. Sangat prolifiknya sehingga ketika anda sedang menghabiskan bacaan pada novel terbarunya ini, beliau sudah merangka sebuah novel yang lebih baru lagi. Sutera Bidadari. Lanjutan kisah Laksamana Sunan.

Novelis thriller nombor 1 Malaysia ini, (gelaran yang saya tidak tahu daripada siapa) sekali lagi telah berjaya dengan penceritaan berunsurkan saspen dan seram dan menjentik rasa ingin tahu para pembaca dari awal sehingga ke akhir bab.

Sebenarnya saya tidak patut bocorkan rahsia mengenai kisah Rayyan Fantasi (RF) ini di sini. Para pembaca patut membacanya sendiri untuk merasai debaran dan kejutan-kejutan yang disajikan dalam RF. Oleh kerana penulisnya telah menyusun bab demi bab bagi mewujudkan debaran dan suasana saspen itu, maka ia menjadi tidak menarik lagi jika pembaca telah terlebih dahulu tahu mengenai RF sebelum membaca RF.

Oleh itu saya nasihatkan, kepada yang sedang membaca novel ini, dan tidak mahu kehilangan perkara saspen itu dalam bacaan kalian, boleh alih kepada entri saya yang lain.

Rayyan Fantasi berkisah mengenai dunia makhluk asing. Ya benar, makhluk asing. UFO. Piring terbang. Tapi RF ini bukan sekadar novel makhluk asing yang tersesat jatuh ke bumi, bahkan imaginasi penulisnya lebih jauh lagi. Beliau membawa para pembaca ke planet makhluk asing itu sendiri!

Melalui watak Aiddin (nama watak di planet bumi), seorang anak yang dibesarkan di negeri Sabah, penceritaan novel ini dikembangkan. Bermula dengan kehidupannya yang seperti kanak-kanak lain, bermain, membesar, bersekolah, beruniversiti, sehinggalah Aiddin yang disahkan menghidap barah otak tahap empat, kemudian hilang di atas Gunung Kinabalu, yang sebenarnya beliau telah diculik makhluk asing dan dibawa ke 'negeri' asalnya, kerana pencarian yang tidak berhasil ke atas dirinya, Aiddin disangkakan telah meninggal dunia oleh mereka yang di bumi.

Namun ayahandanya telah mengetahui kejadian sebenar yang menimpa anaknya itu, kerana beliau juga sebenarnya makhluk asing!

Ayah Aiddin bernama Ibrahim (nama di planet bumi) dahulunya merupakan seorang pemimpin di dunia makhluk asing. Namun kerajaannya telah digulingkan melalui satu rampasan kuasa oleh orang kanannya sendiri. Lantaran itu Ibrahim melarikan diri ke planet bumi bersama dengan anaknya. Dan beliau berkeputusan untuk terus menetap di planet bumi serta melupakan segala peristiwa dan asal usulnya di planet sana.

Seperti mana yang para pembaca setia tulisan RAM ketahui, RAM sememangnya sangat gemar bermain dengan masa di dalam setiap novelnya. Beliau akan bercerita dengan tidak mengikut susunan. Bermula dengan masa kini, lalu dialih kepada masa silam, sebelum memasuki masa hadapan, dan kembali semula ke masa kini. Bagi yang telah sering membaca novel-novel RAM, stail seperti ini memang tidak akan berasa kejanggalannya.

Tetapi untuk novel RF ini pula, RAM tidak hanya bermain dengan perkara masa itu, bahkan beliau bermain dengan permainan masa yang berlebihan pula!

Jika anda telah membaca novel ini anda akan mengerti maksud saya. Bagi para pembaca yang dari jenis membaca cara 'perlahan', satu hari satu bab, maka kalian akan berasa kehilangan dan sedikit keliru dengan gaya RF ini yang sekejap ke depan, sekejap ke belakang, dan ke depan semula dari perihal masanya. Namun bagi yang membaca satu malam satu novel, ini tidak menjadi masalah.

Cuma bersedia sahajalah untuk membelek-belek semula muka surat belakang jika anda berasa kehilangan itu.

Secara tidak menipunya saya katakan, novel terbaru Ramlee Awang Murshid ini bukanlah novel terbaik yang pernah saya baca dari tulisan beliau. Sebelum ini saya telah membaca hampir kesemua novel-novel beliau bermula dari Tombiruo (1998), Ranggau, Mandatori, Semangat Hutan, ADAM, Satu Janji, Tombiruo Terakhir, Rahsia Perindu, Bagaikan Puteri, Hatiku Di Harajuku, Cinta Sang Ratu, Ungu Karmila, Hijab Sang Pencinta, Mikhail, 9 Nyawa, dan terbaru sebelum ini Cinta Sufi (2010). Bahkan novel beliau yang jarang diketahui seperti Anugerah Pertama-Kasihnya Tercicir Di Perjalanan Masa terbitan Creative Enterprise Sdn Bhd (2000) juga saya miliki dan membacanya.

Dan saya dapat melihat RAM 'membesar' dalam setiap novelnya. Perlahan-lahan gaya beliau lebih teratur dan menjadi enak dihadam. Plot-plotnya akan berkembang cantik dengan watak-watak yang selalunya kita akan berasa dekat sekali dengan diri dan persekitaran.

Namun pada novel RF ini saya rasakan sedikit berlebihan. Membawa kisah misteri makhluk asing terasa seperti terkeluar dari kebiasaan RAM. Yang selalunya akan dekat dengan realiti. Perkara berlebihan dalam berimaginasi inilah yang membuatkan novel ini sedikit menghampakan saya. Mungkin benar ia suatu yang lain, suatu percubaan yang berbeza RAM dari novel-novel sebelumnya, tapi bagi saya ia sedikit 'berlebihan'.

Tapi itu bukan alasan untuk tidak membeli novel ini.

Apa yang berlaku kepada Aiddin setelah diculik itu? Dan mengapa pula dia diculik? Apakah pula tindakan ayahnya, Ibrahim setelah anaknya diculik?

Soalan-soalan itu akan dijawab sendiri oleh Rayyan Fantasi. Boleh dibeli di toko-toko buku berhampiran. Atau jika berasa malas-malasan untuk keluar ke kedai membelinya di musim hujan-hujan begini, kita ada brother-brother posmen yang sedia membantu. KLIK.

Semoga memperolehi manfaat dari bacaan.

sumber: Melihat-Buku

Feb 27, 2011

R: Cabaran 50 Buku: (13) Mandatori


Mandatori
Penulis: Ramlee Awang Murshid
Editor: Wan Rohana Wan Abdul Manaf & Sa'adiah Mohamad
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90
501 mukasurat
9789831240397
Cetakan Pertama 2000
Cetakan Ketujuh 2010


"Case Closed"


Cerita ini tidak semudah ABC, tetapi Amran, Bogart dan Carlos (ABC) menjadi penggerak rentak misteri thriller kisah ini. Setiap bab menaburkan kepingan2 jigsaw puzzle yg memberi klu-klu kepada pembaca. Setiap klu membuat kita memikir arah cerita ini. Di awal cerita yg kerap menginjak time frame dari past-present-future membuat pembacaan aku jadi berhati-hati kerana aku tak mahu keliru. Nyata garapan RAM sangat kemas menarik.


Mulanya aku sangka aku akan jadi pening sepertimana aku pening semasa membaca Rahsia Perindu yg sangat berbelit kisah dan character nya. Mandatori nyata berbeza. Walaupun melayarkan kisah konflik jiwa, ianya kemas dan mencemaskan. Walaupun tidak susah utk kita meneka di mana letaknya Norman dalam ABC, tetapi cara RAM menyingkap kisah hidup Norman membuat ianya kelihatan menarik utk diikuti.


Cerita bermula dgn matinya seorg lelaki yg tidak bersalah di tali gantung. Beberapa tahun kemudian, lelaki2 yg menjatuhkan hukum kepada Tassan mati terbunuh secara misteri. Amran adalah anak Tassan yg dibuang sekolah kerana terlibat dlm pergaduhan di sekolahnya kerana rakan2 yg lancang mengata dirinya sbg anak pengedar dadah. Kesabaran ada hadnya tetapi natijah yg diterimanya amat mengecewakan ibunya. Demi membantu keluarga, Amran ke laut mencari rezeki. Tetapi jejak pertamanya ke laut membawanya karam dalam dunia kecelaruan personaliti. Dalam dunia itu dia mengenal dendam, dia menjadi jaguh, dia menjadi penyayang, dia menjadi penegak keadilan yg sentiasa menjatuhkan hukuman mati mandatori di muncung pistolnya.

Kelvin, Juliana dan June yg pernah menghina Amran berjaya dalam kerjaya masing2. Sekali sekala kenangan kenakalan mereka dulu membuat mereka menyesal. Adakah penyesalan mereka boleh menerima pengampunan di mahkamah yg sentiasa menjatuhkan hukuman mati mandatori? Jika perlu memilih antara menyulam cinta atau melunaskan dendam, mana yg kita akan pilih?


Sangat banyak watak dlm kisah ini tetapi setiap satunya ada impact tersendiri. Bagi yg kurang gemar dgn watak yg banyak, mungkin akan sedikit pening :)

sumber: AlongSide

Jan 31, 2011

WA : Cabaran 50 Novel : (2) Cinta Sufi

Buku 2 : Cinta Sufi : Ramlee Awang Murshid : Alaf 21

Buku kedua yang telah selesai saya baca adalah buku ini, Cinta Sufi karya Ramlee Awang Murshid. Novel terbitan Alaf 21 ini adalah sequel Bagaikan Puteri selepas Hijab Sang Pencinta, Cinta Sang Ratu dan Bagaikan Puteri sendiri sebagai pelengkap pada kisah Laksamana Sunan atau Saifudin.

Sinopsis belakang kulit

PILU hati saat dikhabarkan suaminya gugur di medan perang, Catalina rebah tidak sedarkan diri. Sebaik terjaga, dia membicarakan hajatnya ke Hulu Melaka. Ingin mencari lelaki bertanduk dua.

Tanpa diduga, takdir menentukan Laksamana Sunan lelaki yang dicari Catalina. Malangnya, Laksamana Sunan bukan lagi wirawan. Kudratnya lenyap dan ditawan penjajah yang menakluk Melaka. Hampir dibunuh musuh, dia diselamatkan oleh cinta yang dipendam Luna.

Laksamana Sunan, Catalina dan Luna... bukan sekadar terperangkap dalam perjalanan yang berliku, malah terkurung dalam cinta segi tiga yang terlafaz dan tersembunyi. CINTA SUFI Sebuah kesinambungan trilogi Bagaikan Puteri, dipenuhi aksi pengembaraan dan pertembungan antara kebaikan dan kebatilan, yang nyata dan mistik. Disemarakkan lagi dengan rasa cinta dan pengorbanan.

Rasa Saya:

Cinta Sufi ini adalah kesinambungan kisah Saifudin yang dikenali dengan gelaran Laksamana Sunan. Kali ini, Saifudin yang telah kembali dari zaman akan datang terdampar lemah tidak berdaya selepas 'merentasi masa'. Dia yang lemah dijadikan tawanan/hamba sahaya oleh Yang Mulia Catalina balu Aryas Do Lopo bangsawan Portugis yang terkorban ketika berperang dengan tentera Turki.

Catalina yang kehilangan suami, belayar ke Tanah Melayu semata-mata ingin mencari Maryam yang muncul dalam mimpi-mimpinya tatkala dia tak sedarkan diri. Sebagai seorang bangsawan yang punya nama dan kedudukan, serta balu kepada wira Aryas Do Lopo yang terkorban ketika berperang, memberi kelebihan padanya mendapatkan perkenan Raja Portugal untuk menyertai armada perang ke Melaka. Tapi tak siapa yang tahu bahawa misinya yang sebenar adalah untuk mencari 'Maryam'.

Bermula kisah perjalanan pencarian mereka ke Hulu Melaka...

Pembacaan awal saya agak perlahan memandangkan saya punya masalah ‘ingat-ingat lupa’ pada kisah-kisah Laksamana Sunan dalam naskhah yang terdahulu. Antara pembacaan dan cubaan saya untuk ingat kembali, saya jadi bercelaru. Jadi saya membaca bagaikan jasad tanpa ruh! Mujurnya rentak saya bertambah lancar hanya selepas beberapa bab kemudian.

RAM sinonim dengan genre fiksyen/thriller bahkan dijoloki dengan gelaran Penulis Thriller No. 1 di Malaysia oleh para penggemar dan peminatnya. Begitu juga kisah ini, di mana tanah Melaka yang berdaulat menjadi salah satu lokasi utama. Pencarian 'Maryam' membawa Catalina ke Hulu Melaka yang bergolak. Sepanjang perjalanan, secara simboliknya 'Laksamana Sunan' menjadi jurupandu mereka walaupun ketika itu dia adalah hamba/tawanan perang.

Kali ini sejarah kependudukan Portugis di tanah melayu, Melaka khususnya difiksyenkan. Saya jadi keliru adakah ini fakta atau ‘auta’. Ops! jangan silap tafsir. Apa yang saya maksudkan ‘auta’ di sini adalah tokoh-tokoh yang termuat dalam buku sejarahnya betul tetapi insiden yang berlaku di kota Melaka di abad ke 15 itu benarkah begitu kisah yang berlaku di sebaliknya? Saya jadi keliru. Antara pemahaman saya tentang asal-usul penjajahan Portugis di Melaka dengan kisah yang berlaku di sebaliknya. (Huhuhu susunan ayat saya tulis ini pun dah jadi berbelit-belit seperti kepala saya yang pening... hahahaha)

Maafkan saya andai saya khilaf. Maklumlah pemahaman tentang sejarah Tanah Melayu saya sudah tumpul. Mata pelajaran Sejarah yang saya belajar dulu sudah menjangkau lebih 20 tahun yang lalu. Dan rasanya saya perlu cari balik buku-buku sejarah tentang tanah air saya yang tercinta ini supaya saya tidak lupa.

Ok berbalik pada cerita ini, Cinta Sufi ini juga sarat dengan tazkirah. Penulis bijak mentarbiah saya sebagai pembaca melalui tulisannya ini. Segala kelebihan surah-surah Al-Quran serta amalan-amalannya diperincikan dengan baik sekali. Amalan zikir dengan 99 nama-nama Allah (Asma’Ul Husna) dijadikan teras dalam naskhah ini. Pendek kata saya tidak membaca ‘kosong’ buku ini. Ada ilmu dan pengajaran yang boleh saya kutip melaluinya.

Selain itu juga dalam naskhah ini diceritakan juga tentang bangsa Polip. Serius, saya memang tidak tahu tentang kewujudan kaum ini. Dan sehingga saat ini saya masih tertanya-tanya siapakah sebenarnya kaum Polip ini?

Kesimpulannya, bagi penggemar RAM yang sentiasa mengikuti sekuel Bagaikan Puteri, pasti anda tidak akan lepaskan peluang membaca Cinta Sufi ini. Kisah yang berlatarbelakangkan Tanah Melayu di kurun ke-15 ini menggunakan bahasa ‘lama’. Tapi tetap mudah difahami, jangan risau!! Dan saya paling suka dengan penggunaan kata ganti diri ‘kita’ yang digunakan oleh Laksamana Sunan. Cute aje! hehehe

TAPI saya sangat kecewa dengan penamatnya. RAM suka membuatkan saya tertanya-tanya... apa yang berlaku pada Laksamana Sunan selepas dia ditembak (di dada) oleh Kapten Leandro dan kemudian dibawa oleh Laksamana Hang Tuah ke ‘dasar tasik’? Dan bab terakhir bagaikan klu bahawa akan ada lagi sambungannya selepas ini... Benarkan begitu?? Hanya RAM yang ada jawapannya...

Apa-apapun, saya suka cerita ini...

Feb 5, 2009

JOM Temui Penulis RAM di Putrajaya.......

Salam semua,

Dibalik timbunan kerja-kerja pejabat yang tidak pernah sudah ni, wan sekadar nak memanjangkan jemputan daripada adik Akim yang menjemput wan/kakwan ke majlis yang akan diadakan di Putrajaya pada tarikh 28 Februari nanti. Tapi malangnya pada tarikh tersebut wan/kakwan akan berada di 'luar kawasan' tidak memungkinkan wan/kakwan untuk menghadirinya, walaupun dalam hati membuak-buak perasaan ingin turut serta memeriahkan majlis tersebut!! apatah lagi wan/kakwan tidak pernah menemui RAM secara dekat sebegitu... tentu menarikkan??.

Walau bagaimanapun, sebagai tanda sokongan wan/kakwan ingin menguar-uarkan pada rakan-rakan yang tidak punyai sebarang aktiviti dan masih lagi tercari-cari nak buat apa dihujung minggu tersebut... apa kata, luangkan masa anda ke majlis tersebut. Dan jangan lupa khabarkan pada wan/kakwan tentang kemeriahan majlis tersebut boleh??