Showing posts with label Azim. Show all posts
Showing posts with label Azim. Show all posts

Dec 21, 2011

Azim : Cabaran 50 Buku : (6) Lili Buat Najah

Tajuk Novel : Lily Buat Najah
Pengarang: Nazurah Aishah
Penerbit : Jemari Seni Publishing
ISBN : 978-967-5118-02-9

Ulasan :

Lili Buat Najah merupakan novel yang saya beli disebabkan hasutan kawan-kawan. Kata mereka, Lili Buat Najah merupakan sebuah novel yang akan membuatkan kita menitiskan air mata. Ya. Pernyataan itu benar sekali. Basah selimut dibuatnya.

Mula-mula membaca sudah terasa kemanisan novel ini. Namun, kehadiran watak ibu kepada Najah menimbulkan rasa geram dalam hati saya. Ibunya itu tidak mahu menerima kehadiran Tasha sebagai isteri Najah. Sebak juga tatkala membaca bahagian ibu Najah mengamuk sakan semasa Tasha mengandung (semasa itu belum tahu lagi Tasha mengandung).

Selain dari itu, sudah tidak ada lagi watak-watak yang membuatkan saya geram. Penceritaannya yang santai, memang menarik bagi pembaca seperti saya.

Tapi, tatkala sampai di penghujungnya, novel ini mula bertukar kepada sebuah novel yang sedih. Amat kontra dengan bab-bab sebelum itu, yang mempamerkan keriangan hidup berumah tangga Tasha dan Najah. Sehinggalah pada akhirnya, tidak kering air mata saya mengalir membacanya sehinggalah tamat pada muka surat terakhir.

Tatkala selesai membaca novel ini, barulah saya tahu maksud sebenar ‘Lili Buat Najah’.

---
Azim

Azim : Cabaran 50 Buku : (5)Suami Yang Kubenci

E-Man Sufi
Karya Seni


Ulasan :

Memang selalu kita dengar dan baca novel yang bertemakan kahwin dengan lelaki lain yang bukan pilihan. Ya, memang! Tema sebegitu memang banyak ditonjolkan oleh novelis-novelis di dalam karya mereka. Tak salah sebenarnya tema tersebut ditonjolkan, tapi biarlah berpada-pada, jangan sampai pembaca termuntah pulak nanti.

SYKB ini juga tak lari dari memaparkan tema tersebut. Namun begitu, keunikan yang terdapat di dalam novel ini memberi satu tarikan kepada pembaca untuk membeli.

Salah satu tarikannya ialah Mak Cik Sari. Ini watak yang paling digemari! Mak Cik Sari merupakan ibu kepada Uwais Ukasyah, watak lelaki utama novel ini. Mak Cik Sari digambarkan sebagai seorang yang sporting! Dan juga mempunyai perwatakan yang kelakar. Suka karaoke, memberi gelaran Romeo and Juliet kepada Uwais dan Hannah, dan banyak lagi lah.

Selain itu, pembaca juga tertarik dengan 'binatang penghisap darah' yang ditonjolkan dalam novel ini. Pendek kata, pacat! Aku ketawa terbahak-bahak apabila Fawaz menangis sebab takutkan pacat. Lucu! Tapi, disebabkan pacat inilah, Fawaz bertemu jodoh dengan Batrisya, anak Pak Imam. Mulalah operasi dia nak memikat. Curi selipar Jepunlah, mintak jahitkan baju Melayu. Macam-macam lagilah.

Pendek kata. Novel ini mempunyai kekuatan, keunikan. Jadi, jangan lupa dapatkan Suami Yang Kubenci. Anda tidak akan menyesal dengan novel ini!

---
Azim

Feb 28, 2011

Azim : Cabaran 50 Buku : (4) Coke and Sundae

Tajuk : Coke and Sundae
Penulis : Ilya Abdullah
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM 18.00

Sinopsis :

Boleh ke Coke dan sundae bercampur? Apa rasanya ye? Sedap ke? Boleh
telan ke? Itulah yang terjadi apabila Azyan bertemu dengan Syakir.

Mereka berdua tak ubah seperti anjing dan kucing. Pantang bersua,
pasti mereka akan berperang mulut. Cuma tak angkat senapang aje.

Azyan mendambakan seorang kekasih yang lebih gagah daripada pujaan
hatinya, The Rock. Sementelah dia merupakan juara tae kwan do
peringkat sekolah dan daerah. Tambahan pula, dengan didikan ala-ala
tentera daripada ayahnya, Mejar Idris, Azyan merupakan seorang gadis
yang tough dan maskulin.

Tentulah dia mahukan seorang pria yang gagah perkasa, laksana pahlawan
zaman dahulukala. Azyan dalam diam-diam menaruh hati terhadap Haziq,
sepupu musuhnya, Syakir. Dia pernah melayangkan surat cinta buat Haziq
tetapi tersalah ‘landing’ kepada Syakir pula. Dan itulah modal utama
yang Syakir gunakan untuk memaksa Azyan menyertai kelab teaternya.

Syakir telah lama jatuh hati pada Azyan. Malangnya dia bukanlah mat
jiwang karat. Dia sendiri geli untuk mengucapkan perkataan ‘I love
you’ mahupun ‘sayang’ kepada Azyan. Satu sahaja caranya menarik
perhatian Azyan: melalui kata-katanya yang pedas lagi berbisa.

Yang Azyan pula, slow nauzubillah! Dah banyak kali Syakir bagi hint,
dia langsung tak perasan. Sedangkan semua orang tahu yang Syakir ada
hati pada Azyan.

Bila agaknya Azyan yang gemarkan air Coke boleh ngam dengan Syakir
yang sukakan aiskrim sundae?

Sebuah kisah cinta kelakar yang rugi jika tidak dimiliki!

Ulasan :

Coke and Sundae merupakan kisah paling kelakar yang pernah saya baca.
Perlakuan Syakir langsung tidak menampakkan kasihnya pada Azyan. Ada
sahaja pergaduhan yang terjadi. Seorang bagai anjing, seorang lagi
bagai kucing. Selain kisah mereka berdua, kisah abang Azyan juga
membuatkan saya tergelak besar. Demi mengelakkan seorang perempuan,
dia sanggup mengaku gay. Innalillah.

Konklusinya, Coke and Sundae merupakan sebuah novel yang patut dibeli
dan dibaca. Apa tunggu lagi? Segera berlari ke kedai buku berhampiran
bagi mendapatkannya!

~Azim~

Azim : Cabaran 50 Buku : (3) Lovin' You

Tajuk : Lovin’ You
Penulis : Haruno Hana
Penerbit : Kaki Novel
Harga : RM 18.00

Sinopsis :

Kira yang digelar ‘putera’ di sekolahnya bersikap dingin kerana
memendam perasaan akibat cita-citanya untuk menjadi pemain piano
profesional telah ditentang habis-habisan oleh ayahnya. Ayahnya
mahukan dia meneruskan legasi perniagaan keluarga mereka yang
berkembang pesat di seluruh dunia. Kira hampa kerana mendiang datuknya
yang mencintai muzik pernah memberikan galakan kepadanya untuk bermain
piano. Sementelah, kawan karibnya sejak kecil iaitu Setsuna telah
berjaya menjadi bintang pujaan ramai dan mendapat sokongan padu
daripada keluarganya.

Perjalanan hidup Kira berubah dengan kehadiran Kotomi. Kotomilah
satu-satunya gadis yang berani memarahinya dan membuka matanya tentang
warna-warni kehidupan di dunia ini. Dengan dorongan dan sokongan yang
diberikan, Kira mula membuka hatinya terhadap kemanisan hidup bercinta
dan keindahan melodi simfoni yang beralun dari piano.

Namun… kecelakaan yang menimpa Kira telah mengubah kisah mereka berdua.

Bagaimanakah mereka mengharungi badai takdir yang menghempas mereka?
Berjayakah mereka mengharunginya bersama-sama?

Ulasan :

Lovin’ You sesuai dibaca oleh mereka yang meminati drama Jepun. Novel
yang ala-ala Jdrama ini begitu menyentuh hati. Taktala Kotomi dihalau
oleh Kira, air mata saya mengalir keluar. Selain itu, novel ini juga
mempunyai bahagian yang menggembirakan. Contohnya semasa Kotomi dan
Kira serta kawan-kawan mereka bercuti di pantai. Di samping itu, ayat
serta percatan yang digunakan tidaklah begitu puitis sehingga anda
tertanya-tanya maksudnya. Huraian penulis tentang sesuatu tempat amat
jelas sehinggakan anda dapat membayangkan perkara yang ingin
ditonjolkan.

Jikalau anda masih belum mendapatkan Lovin’ You, segeralah ke kedai
buku berhampiran bagi membeli novel yang pernah mengungguli carta
terlaris Popular. Novel ini juga merupakan novel Pilihan Popular Wadah
Bangsa. Selamat membaca!

~Azim~

Feb 25, 2011

Azim : Cabaran 50 Buku : (2) Dibius Cinta

Penulis : Qash Irdina
Penerbit : Fajar Paker
ISBN: 978-967-365-052-1
Sem. Malaysia: RM19.90
Sabah/Sarawak: RM22.90

Sinopsis

“Eh, kau ni gila ke apa? Dahlah kau langgar aku tadi. Lepas itu, kau
hempuk pula aku dengan beg Bangla kau tu. Hah, sekarang kau panggil
aku perogol pula.”


Pertemuan pertama mencipta pengalaman memalukan apabila pemuda yang
cuba membantunya diserang dengan beg Bangla miliknya. Saat itu ingin
sahaja dia berlari 1000 meter tanpa henti dan tak tahu mana nak
sorokkan mukanya. Pertemuan demi pertemuan tercipta dengan sendirinya
seolah-olah takdir sengaja mempertemukan dua insan tanpa perasaan
cinta.

Tanpa disangka, takdir telah menyatukan mereka apabila Adam Syafiq dan
Cazlin Amalina disatukan atas rencana tersembunyi. Mungkinkah ikatan
yang dibina tanpa perasaan cinta mampu menggapai istilah happy ever
after? Mampukah kedua-dua mereka menghindari bius-bius cinta yang mula
menghampiri? Akan adakah badai yang melanda untuk menguji kesetiaan
mereka?


Kenapa anda perlu membaca novel ini?

- Ayat yang digunakan sempoi dan mudah difahami

- Jalan cerita yang mudah, tidak rumit

- Anda tidak perlu membaca beratus-ratus muka surat untuk menantikan
saat pergaduhan mereka terlerai

- Memaparkan nilai kasih sayang yang utuh

- Mempunyai pengajaran


Watak :

Adam Shafiq - Berkahwin dengan Cazlin Amalina kerana tidak mahu
kesihatan mamanya terjejas. Seorang anak yang patuh.

Cazlin Amalina - Kehilangan abangnya semasa mencuba menyelamatkan mama
Adam Shafiq. Dia kemudiannya diambil sebagai anak angkat dan
menantu;isteri kepada Adam Shafiq. Cazlin gugur akibat diracun oleh
Hana, seorang aktor terkenal dan juga bekas kekasih Adam Shafiq. Anda
pasti akan mengalirkan air mata apabila membaca saat Cazlin Amalina
keguguran.

Hana - Aktor terkenal dan bekas kekasih Adam Shafiq. Pada permulaan
cerita, dia mengalami kemalangan dan mukanya punah. Namun, baginya itu
bukan satu masalah. Plastic surgery jalan penyelesaian. Dia menghasut
adik Adam Shafiq, Ayuna untuk bersubahat dengannya menggugurkan
kandungan Cazlin Amalina.

Danial Hariz - Seorang yang menginginkan Cazlin Amalina. Semasa Cazlin
Amalina gugur, dia membantu Cazlin Amalina lari dari hospital setelah
dirayu olehnya.

Ayuna & Ayuni : Pasangan kembar;adik kepada Adam Shafiq. Ayuna seorang
yang liar manakala Ayuni seorang yang baik hati. Ayuna pernah
mengandung suatu ketika dahulu dan meminta bantuan Hana untuk
menggugurkannya. Hana pula licik, menggunakan alasan tersebut untuk
mengajak Ayuna bersubahat meracun kandungan Cazlin Amalina.

Konklusinya, Dibius Cinta mempunyai kekuatan yang tersendiri. Tidak
hairanlah penulisnya, Qash Irdina dilamar oleh Fajar Paker untuk
menerbitkan Dibius Cinta setelah berbulan ianya muncul di laman
Penulisan2u. Bagi anda yang belum mendapatkan Dibius Cinta, segeralah
dapatkannya di kedai buku berhampiran.


~Azim~

Feb 24, 2011

Azim : Cabaran 50 Buku : (1) Single Unavailable

Tajuk : Single Unavailable
Pengarang : Nurina Izzati
Penerbit : Galeri Ilmu Sdn Bhd
ISBN :978-983-097-268-8
Mukasurat : 240 Halaman


Taqiah, 17 tahun, merupakan gadis miskin yang juga seorang ketua pengawas di SMK Syed Ahmad. Rakan baiknya bernama Arina. Taqiah sering mendapat tempat pertama dalam setiap kali peperiksaan dan terkenal dengan kecantikan serta ketegasannya. Bakal menghadapi SPM tetapi tidak ingin menekan diri sendiri sebaliknya belajar dengan cara yang sistematik dan proaktif serta sentiasa beribadah.

Melalui insiden di sebuah pusat beli-belah, dia bertemu dengan Latif Marwan Rusydi. Pertemuan itu berbaur pertengkaran kerana telefon bimbit kedua-duanya tertukar. Saling membenci satu sama lain. Mereka bertemu di sekolah apabila Marwan mendaftar sebagai pelajar baru.

Kedua-duanya lambat laun mulai menjalinkan persahabatan, terutama setelah jejaka itu menolong Taqiah yang diganggu samseng jalanan. Sifat Marwan yang hanya tahu bersenang-lenang jauh sekali berbeza dengan Taqiah yang gigih dan baik. Perlahan-lahan, Marwan mula menaruh hati kepada Taqiah. Sifatnya yang selalu ingin mempertahankan kebenaran berjaya merembat hati jejaka itu. Meskipun Marwan hidup dalam kemewahan, dia suka membantu orang yang kesusahan.

Mutharah, adik kepada Taqiah, sangat menyayangi kakaknya. Setelah mengetahui dia menghidap kanser, dia merahsiakannya dari pengetahuan kakaknya. Dia tabah menerima takdir Allah. Sedar dirinya miskin, dia hanya membiarkan penyakitnya itu. Menyukai Marwan tetapi akhirnya sedar bahawa jejaka itu mempunyai perasaan sebaliknya. Apabila Mutharah meninggal dunia, Taqiah begitu sebak dan sedikit terkilan kerana Mutharah merahsiakan penyakitnya tetapi akhirnya sedar tentang kasih sayang adiknya yang begitu mendalam dan setiap hari terpaksa menanggung kesakitan yang amat.

Kehadiran Bang Rifqi sering menghalang Marwan dalam melaksanakan apa pun kerana abangnya jauh lebih pintar dan disayangi ibu bapanya. Meskipun begitu, Bang Rifqi sering alpa terhadap ajaran agama dan sentiasa ingin mendapatkan apa yang dimahukan. Berlagak dengan nikmat duniawi yang diperoleh tetapi sering bersandiwara di hadapan Taqiah. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan membuatkan mereka sering dilanda konflik.

Setelah kematian Mutharah, muncul seorang gadis yang mirip sekali dengan Mutharah. Rentetan senario, Taqiah cuba memenangi hati gadis yang keras itu walaupun dilanda pelbagai cabaran. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan kerana menuruti syariat Islam.

Kenapa anda perlu baca novel ini?

Novel ini berlandaskan motivasi dan syariat Islam. Ia mengisahkan perjalanan anak muda yang menghadapi konflik kehidupan, pelajaran dan cinta. Selain itu, Single Unavailable juga menunjukkan bagaimana caranya untuk anda mengatasi cabaran serta dugaan yang datang berlandaskan hukum hakam agama. Buku ini amatlah sesuai dibaca oleh remaja-remaja dan juga ibu bapa yang mempunyai anak di peringkat awal dan pertengahan remaja.

Konklusinya, bagi anda yang ingin mendekatkan diri kepada Allah, bacalah Single Unavailable. Tidak rugi anda melapangkan sedikit masa untuk membaca buku yang berlandaskan agama Islam.

Sumber : Azim