Showing posts with label Mardihah Adam. Show all posts
Showing posts with label Mardihah Adam. Show all posts

Mar 6, 2011

MA : Cabaran 50 Buku : (2) Namaku Bukan Maria


Namaku Bukan Maria, karya Azman Al-Kurauwi mengangkat kembali kisah sejarah
Natrah, wanita Belanda yang dibela oleh seorang wanita melayu Islam iaitu
Che Aminah.

Kisah yang berlatarbelakangkan kemulusan bahasa penulisnya, kegemilangan
Islam dahulu dan bagaimana Natrah dibesarkan dengan keimanan ini sejujurnya
menjentik naluri saya untuk menghabiskan masa membacanya. Nama sebenar
Natrah adalah Maria Heberania Hertogh atau lebih dikenali dengan nama
Natrah di Malaya. Melalui hasil carian saya di internet
Natrah meninggal dunia ketika berusia 72 tahun di Huijbergen, Belanda
kerana leukimia.

Sejarah Natrah di dalam novel ini memang tidak diperincikan sehingga habis
perjalanannya, namun lebih menceritakan mengenai Islamnya Natrah,
perjuangan Che Aminah bersama kasih sayang seorang anak walaupun Natrah
adalah anak angkatnya. Juga bagaimana bermulanya seorang lelaki Belanda
datang melihat Natrah dan mahu Che Aminah mengembalikan Natrah kepada
negara asalnya.

Seperti kata pengarang novel sejarah PTS, 'Namaku Bukan Maria tidak lagi
mengungkap kisah tragedi dan air mata. Sebaliknya menyuntik intuisi
terhadap nilai iman kemudian disenyawakan dalam diri Natrah. Di tangan Ibnu
Ahmad al-Kurauwi, sejarah dimuhasabahkan agar tidak hanya hidup membetuli
ketentuan pada tradisi angka dan rakaman peristiwa semata'
. – Abdul Latip
Talib, Novelis Sejarah.

Natrah bersama teman-temannya yang penuh warna-warni di dalam novel ini
membawa kepada erti persahabatan dan sedikit rencah cinta membawa kita
menyelami jiwa anak muda seorang lelaki dan wanita yang penuh adab sopan.
Penuh tertib dan penuh rasa.
Benar, Azman Al-Kurauwi membawa lembaran penulisannya yang mulus untuk saya
terus mengikuti dirinya sebagai seorang penulis lelaki pilihan selepas
Faisal Tehrani.

Ketika Che Aminah berada di Indonesia, kebencian terhadap Belanda amat
memuncak sekali. Che Aminah akhirnya menerima tanggungjawab dari ibu
Natrah, Adeline dan nenek Natrah, Nor Louisyen. Che Aminah menerima Natrah
dan menerima Natrah sebagai anak kandung malah menjaga, membawa amanah itu
dengan sungguh mulia bersama didikan budaya melayu, mengenali Islam dan
cintanya kepada Islam melebihi segala-galanya.

Novel ini tidak menceritakan pergelutan sebenar antara Natrah, Belanda,
Tanah Melayu dan Islam sendiri. Namun, kredit kepada Azman Al-Kurauwi
kerana jiwa, hati, iman, diri dan segala-gala di dalam diri Natrah adalah
untuk berada di Tanah Melayu, mahu berada di Kemaman, juga mahu bersama
teman-temannya yang berpaksikan Islam, Iman dan tawakal, Natrah seorang
wanita yang diangkat dengan penuh berani, cekal, tekal dan hatinya penuh
keindahan.

Jika ada bintang, maka saya letakkan novel ini untuk 7 bintang!

Ustaz Azman Al-Kurauwi benar-benar membuatkan saya cemburu. Kerana mahu
menulis sepertinya pasti memakan masa bertahun-tahun lamanya bersama
latihan, bahan bacaan dan segalanya perlu saya gigihkan selepas ini.

sumber : Mardihah Adam

Feb 2, 2011

MA : Cabaran 50 Novel (1) : Sayalah Puteri Raja

Hari Isnin malam, ketika suami bekerja syift dan saya menyambar peluang yang ada untuk membaca sebuah novel. Bukanlah tiada masa ketika suami ada di rumah untuk membaca. Soalnya, saya akan rasa bersalah apabila membaca atau menulis ketika suami ada. Jadinya, membaca hanya ketika suami bekerja syift malam dan di dalam tren. Buku ini saya beli ketika Book Sale BNM di MPH. Borong sakanlah sambil suami menjeling-jeling!

Satu malam sahaja, saya berjaya menghabiskan membaca ‘Sayalah Puteri Raja!’

Hahahaha. Saya memang tergelak ketika membaca novel dari penulis Aizam Aiman ini. Hari ini terus saya ‘add’ beliau di laman FB nya.

Sambil mata melihat televisyen, mengunyah kek coklat yang yummy! Novel ini berjaya dilunasi dan cabaran membaca 50 buah buku sedang saya kejari. *Insya-Allah. Sejujurnya saya merasakan tidak mampu kerana kegiatan menulis juga sedang berjalan seiringan sekarang ini. Namun perlu diingat, jika mahu menulis maka hendaklah membaca, membaca dan membaca.
Ceritanya lebih kurang begini :

Kisah ini bermula di negara kecil yang terletak antara Malaysia dan Brunei. Armani nama diberi.
Watak utamanya adalah Zara Bin Muhammad, memang berangan menjadi puteri raja. Kemudian dia amat memusuhi jirannya, Munir Bin Musa. Plot berkembang dengan sungguh menghiburkan hati dan gelak ketawa. Zara juga seorang yang adakala sombong dan adakala membikin saya ketawa!

Ajaibnya, Mak Da (pembantu rumah) dan mamanya juga turut sama melayan angan-angan Zara menjadi nyata. * Isk, kalaulah saya juga dipanggil Puteri Mardihah, alangkah bagusnya. Berbeta dan berpatik-patik di rumah. Mahu saya meloncat keliling dunia. Haaa..perasan-perasan!

Okey, dijadikan cerita jiran baru Zara berpindah berhampiran rumah mereka. Secara kebetulan nama jiran baru mereka adalah Adam bin Muhammad. Berkongsi tarikh lahir yang sama dan bersekolah dan sekelas dengannya. Rupa-rupanya, mama dan papa Adam mahu Zara dan Adam berkawan rapat. Semestinya ada rahsia di sebalik semua ini. Adam menjadi pesaing dalam pelajaran Zara di dalam kelas. Semestinya membuatkan Zara amat cemburukan Adam.

Ada rahsia yang tersimpan di antara mama Zara dan papa Adam. Dipendekkan cerita, mereka sebenarnya adalah adik beradik kembar yang terpisah semenjak 15 tahun dahulu. Melalui perdana menteri Negara Armani, Adam memaklumkan kepada Zara bahawa Zara adalah kakak kandungnya!

Wah, sudah semestinya Zara akan menjadi puteri raja! Namun mereka harus merahsiakan pengetahuan pertama mereka mengenai status adik beradik dari mama dan papa mereka.
Mereka menyamar menjadi sepasang kekasih dan membuatkan mama dan papanya sampai pitam kerana mereka menjadi ‘kekasih’ walhal sebenarnya mereka adalah adik beradik.

Pengakhir cerita, pastinya mereka disahkan status oleh mama dan papa mereka. Rahsia akhirnya dibongkarkan kepada mereka dan Zara menjadi puteri raja seperti angan-angannya. Munir bin Isa yang menjadi musuh Zara pula rupa-rupanya adalah 'bodyguard' Adam dan pemerhati Adam. Pstt : macam ada bau-bau cinta antara Zara dan Munir!

Zara? Lantas dibawa ke Istana Mawarni. Jeng jeng jeng. Jangan ingat mudah menjadi puteri raja ya!
* saya tidak sabar membaca sambungan, 'Sayalah Putera Mahkota!'

sumber : Mardihah Adam