Showing posts with label Ramlah Rashid. Show all posts
Showing posts with label Ramlah Rashid. Show all posts

Mar 14, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (21) Qaseh Qaisy


Penulis: Ramlah Rashid
Penerbit: Buku Prima
Harga: RM19.90
M/S: 559
Cetakan 1 - 2007
Cetakan 2,3 - 2008
Cetakan 4 - 2009

Bukan mudah memadam kenangan semalam,
tidak semudah melewati kebahagiaan yang berlalu.


Kak Chik menukil:
Ohhhhhhh...Kak Chik tidak rajin untuk menaip semula blurb kulit belakang kerana ini kali kedua Kak Chik menulis review Qaseh Qaisy. Tadi dah taip, dah siap dan bila nak publish, internet problem dan review Kak Chik terus hilang...huhhuhuhu...jadi untuk tidak hilang idea yang sudah ditaip tadi Kak Chik mahu terus menukil saja...

Kak Chik sudah dapat menelah pengakhiran Qaseh Qaisy apabila membaca sajak pada halaman sebelum muka surat pertama. Sajak itu bagaikan menjadi pembawa angin semilir pada kisah mereka berdua. Namun telahan Kak Chik tidak semudah yang disangka. Memang pengakhiran dapat ditelah tetapi pengolahan jalan cerita langsung tidak Kak Chik terduga.

Ramlah Rashid bagaikan menulis dua rasa dalam karya ini, permulaan yang sudah dapat dimaklumi selepas membaca blurb belakang buku tetapi pada separuh novel ini Kak Chik bagaikan membawa kisah thriller pula. Persoalan demi persoalan yang timbul menaikkan semangat Kak Chik untuk tahu penyudahnya. Adakah bahagia yang bakal direntasi Qaseh-Qaisy atau hempedu yang terpaksa ditelan setelah mereka tega menidakkan larangan orang tua mereka?

Isu darjat dan keturunan yang ditimbulkan pada Kak Chik merupakan kisah biasa-biasa yang sudah biasa Kak Chik baca. Namun, cara dan kontanasi kata yang diolah oleh penulis merupakan satu keunikan untuk Kak Chik terus mengulit Qaseh Qaisy. Kenapa Tengku Nazim terlalu tega sehingga satu-satunya anak lelaki sanggup dibunuh kebahagiaannya? Satu isu yang Kak Chik tertanya kepada perasaan hormat Puan Satirah pada suami yang berdarjat itu bagaikan patuh seorang hamba sehingga bagaikan ada suatu garis yang menghalang perhubungan sebagai suami isteri seperti bergurau senda. Kak Chik terbayang mesti bosankan kalau hidup sebegitu!

Terujaan Kak Chik bagaikan disemarakkan saat rasa bahagia Qaseh dan pada suatu ketika saat Qaseh hilang 'rasa'. Penulis menggarap watak Qaseh yang berlainan sekali. Dalam diam dan tenangnya, masih ada sesuatu yang perlu diteliti oleh seorang lelaki.

Kewujudan watak Tengku Zurin sungguh menambah bebanan pada Kak Chik ketika melewati perhubungannya dengan Tengku Iskandar. Saat-saat tertentu Kak Chik bagaikan hampir putus nafas apabila membaca gerak geri mereka apatah lagi Qaseh yang memang sudah termeterai janji yang halal itu. Watak Tengku Zurin merupakan sesuatu yang tidak Kak Chik terduga begitu. Namun watak pengakhirannya bagi Kak Chik bagaikan angin semilir yang kurang deruannya.

Kepuasan dengan senyuman selepas menutup helaian terakhir novel ini walaupun masih tertanya-tanya bagaimana penerimaan Tengku Nazim dan Puan Satirah terhadap Qaseh? Apa tindakan yang diambil terhadap Roslan. Penutup yang sedikit 'tergesa-gesa' pada pembacaan Kak Chik. Namun begitu semua rasa dapat diselami sepanjang menyusuri kisah Qhalida Qaseh dan Tengku Qaisy Iskandar yang dicorak dalam pelbagai suasana yang tidak terduga dan disangka.

Tahniah buat Ramlah Rashid!


LiFe iS a LoNG JouRNeY!!!
-Kak Chik-
(^_^)

Feb 23, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku (6) : Tak Kuduga


Tak Kuduga
Ramlah Rashid

ISBN: 978983366906
Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd
Tarikh Terbit: 7 Jan 2006
Halaman: ~ 496
Harga: RM18.90

~ Rasaku… ~

Between love and gratitude, Siti Atilia has to choose between Datuk Firzat and his son's love, Farami. [Blurb taken from website]

Kalau baca blurb di atas dah terang-terang ini seperti kisah cinta 3 segi. Tapi apabila baca aku tak letak ia dalam kategori itu. Sebabnya cinta yang ada tidak dilafazkan. Lantas teringat pada novel Samudera Indah Nian yang mengatakan cinta itu bukannya cinta selagi ia tak dilafazkan. Eh, benarkah? hahaha :p

Siti Atilia Husna [Lia]; gadis muda yang lari dari kampungnya kerana tak mahu berkahwin dengan sepupunya sendiri. Lia yang ketika itu mendapat tawaran ke universiti tidak disokong oleh ibu saudaranya sebaliknya makciknya itu mahu mengikat Lia dengan anak tunggalnya yang memang tak boleh diharap. Lia tekad untuk melarikan diri di hari perkahwinannya. Ni memang kerja gila!

Kali pertama menjejak kaki ke Kuala Lumpur tidak mudah. Apatah lagi untuk gadis mentah seperti Lia. Ditipu oleh Nayli dan nyaris-nyaris saja dia dijadikan pelacur. Mujur Lia ni bijak dan berani juga. Kalau tak memang habis! Dalam episodnya melarikan diri daripada Nayli dan konco-konconya, dia bertemu dengan Datuk Firzat. Lia menumpang teduh di kondominium mewah Datuk Firzat. Di saat itu barulah dia tahu siapa Datuk Firzat sebenarnya.

Ketegasan Lia wajar dipuji. Tidak mudah diperdaya dan dengan perlahan-lahan juga dia berjaya membawa Datuk Firzat kembali ke jalan yang benar. Namun hati Lia berkocak juga apabila berdepan dengan Datuk Firzat. Gaya, kemanjaan disertai dengan budi jasa Datuk Firzat membuatkan Lia teringat-ingat, lantas terjatuh cinta! Kuat penangan Datuk Firzat sehingga Lia yang teguh hatinya turut tewas meladeni rasa cinta yang baru bertunas.

Kemunculan Nik Norman Farami [Farami]; yang merupakan anak angkat Datuk Firzat turut menggugat hati Lia. Kenakalan dan ketampanan lelaki itu acap kali menyebabkan jantung Lia bergetar lebih hebat daripada biasa. Sudahnya Lia bingung. Cintanya itu pada siapa? Datuk Firzat atau anak angkatnya?

Semasa terpandang saja penulisnya, aku dah terus ambil. Kredit kepada penulisnya yang membawa isu pelacuran-perempuan simpanan dalam cerita ini. Ada banyak yang boleh dikutip. Antara dianiayai atau menganiayai, antara kita yang rela atau dipaksa rela untuk memilih jalan sendiri. Memang takdir itu telah ditetapkan tetapi kita berhak dan seharusnya memilih jalan yang mana kita lalui - hitam atau putih. Tepuk dada, tanya hati… bertemankan iman pasti ada jalannya!

Ps: Aku beli novel ni semasa Karnival Alaf hari tu dengan potongan 50%!

Happy reading (^-<) sumber : Airina