Showing posts with label Ain Sabrina. Show all posts
Showing posts with label Ain Sabrina. Show all posts

Dec 31, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (50) Contengan Jalanan


Tajuk buku : Contengan Jalanan
Penulis : Hlovate
Keluaran : Jemari Seni


Ulasan Ain Sabrina :

Ada dua kisah dalam novel ini. Kisah pencarian makna hidup dalam diri Fend dan K². Bermula dengan kisah Fend. Dia lelaki biasa , ada kawan yang mempunyai sama minat juga ada keluarga dan saudara. Dalam erti kata mudah , seperti tiada yang kurang dalam kisah hidup Fend. Namun , Fend masih tidak puas , seakan ada benda yang hilang dalam hidupnya. Rasa itu makin selepas dia dipertemukan dengan Lia dan Dvd 11th hour. Benda itu dia luahkan pada Chad , sepupunya. Perbincangan mengenai kehidupan dan matlamat hidup semakin banyak dibahaskan. Namun tiada perubahan , rasa hilang itu masih ada.

Chad memulakan langkah pencarian yang ‘hilang’ itu dengan mengajak Fend ke Australia. ‘Percutian’ ke Australia itu ternyata berbeza. Masjid-hopping itu cara Chad untuk mencari erti hidup dan Fend hanya mengikut tanpa bantahan. Mula-mula kekok namun semua seakan kena. Iktikaf , itu yang mereka buat.

Amalan-amalan ibadah yang sebelum ini susah nak dibuat atau tidak pernah dijadikan ritual , seakan menjadi amalan wajib di sana. Dan Chad mahupun Fend tidak mahu ketinggalan dalam mengejar menaiki tangga ke syurga ALLAH. Dan dengan itu , ibadah jadi ringan dan mereka seakan-akan berlumba-lumba ke arah yang sama , iaitu mencari reda ALLAH.

Dan akhirnya mereka jumpa benda yang ‘hilang’ itu , mereka jumpa erti hidup mereka. Pelik , di negara yang bukan agama rasminya Islam , namun Islamnya lebih terasa.

Dan pengakhirannya kisah Fend , ada kisah sedih yang mendatang. Fend seakan hilang bahu untuk bergantung dan belakang untuk bersandar. Dan dia seakan merasa tanggungjawab untuk membawa K² ke arah jalan dan pemikiran yang sama seperti mana dia dan Chad.

Kisah K² bermula selepas itu. Dvd 11th hour selamat dia tonton , namun rasa yang dia rasa tak sama sepertimana Fend rasa. Namun Fend tidak kenal erti putus asa walaupun pada awalnya dia turut kecewa dengan respon K². Lalu sekali lagi Fend membuat ‘percutiannya’ ke Australia namun kali ini ditemani K². Tiada lagi Chad di sisi. Hati K² masih tidak disapa rasa yang sama dengan Fend. Pulangnya K² ke Malaysia , tiada perubahan. Namun serba sedikit dia seakan faham apa yang ingin disampaikan Fend.

Walaupun itu , dia terasa itu bukan dunia dia , dia terasa seperti seorang hipokrit.

Kerana pertemuan dengan Bapa Tono di Autralia , dia terasa seakan terpanggil-panggil untuk ke Jakarta. Negara jiran serumpun sebahasa namun ternyata banyak bezanya. Dunia Indonesia mengajar dia tentang kehidupan , susah dan senang. Dan dunia Indonesia juga menemukan dia dengan erti hidup sepertimana yang dirasa Chad dan juga Fend.


Komen Ain Sabrina :

Bagi saya , novel ini adalah novel yang paling berat yang pernah saya baca buat masa ini. Berat dalam definisi kamus saya adalah kerana terlalu banyak falsafah hidup juga ajaran agama cuba diterapkan Hlovate buat pembaca. Berat bagi saya adalah apabila saya mengambil masa berminggu untuk habiskan setiap helaian dalam novel ini.

Kisah Fend , Chad dan kisah K² adalah kisah kita , kisah manusia yang mencari erti hidup , itu fitrah manusia. Dalam masa kita manusia yang kebanyakkan bencikan peraturan hidup namun fitrah kita juga yang memerlukannya.

Fend , wataknya adalah watak remaja kebanyakkan. Pelajar yang hidupnya berlatarkan buku , belajar , assignment , kawan-kawan dan muzik. Remaja kebanyakkan yang hidupnya banyak mengenai dunia dan diselitkan amalan untuk akhirat yang tidak begitu terjaga. Fend bukan remaja atau manusia jahat yang berbuat onar di dunia , namun dia juga bukan manusia baik yang amalan ibadahnya terjaga. Dia seperti remaja kebanyakkan namun dia masih tidak tenang , masih mencari yang ‘hilang’. Dan pastinya yang ‘hilang’ itu adalah fitrah manusia yang perlukan DIA dan inginkan DIA dalam hidup sentiasa.

Kisah pencarian Fend , Chad dan K² membuatkan pembaca turut sama mencari erti hidup. Perubahan mereka sedikit demi sedikit turut sama memberi motivasi kepada pembaca untuk turut sama berubah. Manusia ini mudah alpa , perlukan pengerak dan kawan ternyata salah satu pengerak yang baik. Itu yang cuba dijalankan Fend buat K². Walaupun lambat prosesnya , namun akhirnya berjaya. Semangat Fend ini perlu kita ‘curi’ untuk diri kita sendiri dan juga buat saudara semuslim kita.

Kisah 11th hour : “ The man who decided to change his life on the 12th hour dies on the 11th .” Saya tidak pernah tengok tetapi namun daripada ayat di atas , kita dapat memahami sekilas apa yang ingin disampaikan dalam kisah 11th hour itu. jadi , mari berubah !!! ^^

Yang menarik lagi , mengenai buku ini , setiap pengakhirannya bab itu ada falsafah yang ingin disampaikan Hlovate. Ayatnya pendek namun ada kalanya ‘terkena’ sendiri. ^^


Beberapa kata-kata di akhir bab yang saya suka :

“ Yang nyata , kasih sayang memang melengkapkan bahagia. Tidak kisahlah dalam bentuk apaatau daripada siapa “

“ Cukupkah sekadar harta , kerja dan keluarga jadi sebab untuk berputih mata kalau hajat itu yang tak tercapai sebelum tinggalkan dunia? “

“ Hidup di dunia ini seperti perjalanan yang terlalu panjang dan terlalu banyak perhentian sementara , hingga kadang-kadang terlupa sebenarnya diri ni nak ke mana”

“ Peluang yang ada dalam hidup ini sama juga macam kereta api , perlu digapai waktu dia sekejap terhenti depan diri. Terlewat sesaat , makan asap “

“ Kena merancang masa depan kalau nak senang. Tapi duit itu bukan dibuat kiblat , hanya dibuat alat.”

“ kalau ada kemahuan dan usaha , ‘halangan’ adalah satu perkataan yang tak ada makna apa-apa”

“ masalah takkan hanya selesai dengan main falsafah “ – ini yang paling terkena (= =’)

“ hidup takda cita-cita tu namanya hidup sia-sia”

Dan banyak lagi, dah tak sanggup nak menaip . (>_<)

Lagi satu muka depan ( ada muka depan ke? ^^) novel ini sangat menarik. Memang lain dari yang lain. Tidak tahu dimana satu muka depan buku ini sepatutnya.

---
Ain Sabrina

Ain: Cabaran 50 Buku : (49)Kebun Mimpi


Tajuk buku : Kebun Mimpi
Penulis : Noor Suraya , Syud & Rynsa
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 536 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Tiga ceritera dalam sebuah Kebun Mimpi

Ceritera I : Kebun Mimpi

Kisah ini adalah kisah sambungan Keranamu Ain. Sambungan kisah Ain & Adam. Kisah cinta selepas perkahwinan ternyata lebih indah. Cinta yang sekadar bayang-bayang tampak lebih jelas lepas hubungan perkahwinan. Tenyata cinta pertama mereka masih mekar. Namun itu masih tidak cukup buat Ain , apabila Datin Nik Nora tidak pernah menerima sepenuhnya Ain sebagai menantunya . Sedih apabila usahanya berkali-kali masih tiada tanda menjadi. Selain itu , juga ada kisah Nik Durrah , dari luar nampak bahagia namun sebenarnya sengsara hingga dia mengambil langkah menjauhkan diri. Juga ada kisah Kamal , Fattah & Seera dari novel Biru Ungu Cinta , juga kisah Khalida , Zainur & Aqmar dari novel Nyanyian Tanjung Sepi.


Ceritera II : Tas Merah Jambu

Kisah muda remaja , kisah pelajar universiti yang saling memendam perasaan. Nisa seakan terkena panahan cinta tatkala melihat Adif sewaktu orientasi universiti. Sejak itu , Nisa jadi perindu yang setia namun selain kawan-kawan rapat , tiada siapa yang mengetahui rahsia hatinya lebih-lebih lagi Adif. Geram dengan cara Nisa , kawan-kawan Nisa , Nini & Lin mengambil langkah menghantar kad kepada Adif. Adif buat sikap endah tidak endah dengan pemberian kad itu pada awalnya sedangkan kawan-kawannya , Aiman , Fahim & Zaki sibuk menyiasatkan siapa pemilik kad @ Tas merah jambu itu. Di saat rahsia sudah pecah , ada watak ketiga , Zafran muncul sehinggakan Nisa keliru dan Adif pula salah faham.


Ceritera III : Albatros : Antara langit dan bumi.

Ada 2 kisah digarap dalam kisah Albatros. Ada kisah Izzah dan Ehsan , juga ada kisah Taqi dan Adriena. Kisahnya berkait kerana Taqi adalah junior universiti Izzah. Kisah Izzah dan Ehsan , kisah mereka terberhenti seketika untuk memberi laluan kepada cita-cita. Cita-cita mereka tinggi dan mereka seakan memahami impian masing-masing. Di saat Ehsan jauh , ada yang datang , Asri sepupu kepada Taqi. Jawapan Izzah hanya Izzah yang tahu. Kisah Taqi dan Adriena , pertemuan mereka adalah hanya berdasarkan projek university , namun tanpa sedar ada rasa buat Taqi pada Adriena. Namun perjalanan itu nyata tidak mudah kerana ada insan yang lebih awal datang pada adriena, Rasydan namanya. Dan Rasydan tenyata pencabar yang bukan calang-calang orangnya. Namun , ternyata jawapan hati Adriena hanya Adriena yang tahu.


Komen Ain Sabrina :

Novel Kebun Mimpi ini saya pinjam dari perpustakaan universiti. Selesai sahaja ‘exam’ semalam , saya cepat-cepat pinjam 2 buku fiksyen ( ikut hati nak pinjam 3 buku fiksyen tetapi tak boleh ), bersemangat nak habiskan azam 50 buku. ^^

Novel ini menjadi pilihan setelah memilih beberapa buku di ‘library’ . Kisah sambungan Keranamu Ain ternyata mengoda saya untuk terus membaca di ‘library’ sebelum saya akhirnya berkeputusan untuk meminjam buku ini. Ye , mungkin kerana watak utamanya bernama Ain dan mungkin juga kerana saya ingin sekali mengetahui kisah kesinambungan cinta pertama mereka berdua.

Ternyata tidak mengecewakan !! Puas hati betul walaupun pengakhirannya masih dalam kesedihan dan tanda tanya. Kisah Adam dan Ain , seakan menunjukkan kisah cinta pertama yang berjaya. Dan saya Ain Sabrina yang agak konservatif seperti mana watak Ain Najwa dalam kisah ini (>_<) seakan menyetujui dan mengangguk sahaja setiap kali membaca baris kata dalam novel ini. Saya memang sentiasa sukakan kisah cinta yang setia dan konservatif , tidak perlu romantik berlebihan. Dan dengan itu , saya sebagai pembaca sudah berpuas hati ^^

Kisah kedua , ternyata rasa lebih ‘muda’ jika dibandingkan dengan kisah Kebun Mimpi. Kisah pelajar universiti , ada rasa bermusim namun tiada keberanian untuk meluahkan. Kisah ini kisah normal , kisah yang selalu kita dengar namun ada kelainan yang Syud garap dalam kisah ini. Ada kisah Kad menjadi perantara , juga ada kisah kawan-kawan Adif yang berlagak detektif membuatkan saya tersenyum sendiri tatkala membacanya. Juga ada kisah Adif dan Nisa yang buat saya senyum sampai ke telinga (^_^). Mereka berdua pemalu yang amat dan juga pendiam. Siapa dulu yang memulakan langkah? Ternyata kawan-kawan yang banyak jadi pengerak. Terima kasih pada mereka ^^. Di saat hujung kisah ini , penantian jawapan dan luahan masing-masing , saya sebagai pembaca turut sama-sama berdebar. Haha ok lawak. ^^

Kisah ketiga , ternyata agak berat jika dibandingkan dengan kisah pertama dan kedua. Ada dihuraikan serba sedikit tentang ilmu fauna atau dalam erti kata mudah , ilmu haiwan. Ternyata banyak kajian Kak Rynsa buat untuk menjayakan kisah dan untuk itu usaha Kak Rynsa dipuji. Kisah Albatros buat saya teruja , ingin sekali melihat albatros. Juga kisah lesen selam, terjun dan kapal terbang membuatkan saya juga teringin juga ada pengalaman begitu. Kisah ini patut dipuji, kerana terlalu banyak ilmu baru boleh didapat kerana Kak Rynsa ternyata membawa kita ke demensi lain. Kisah cintanya tidak diangkat terlalu tinggi , banyak kisah cita-cita dan impian digarap lebih. Lastly , tahniah kak Rynsa , juga tahniah pada Kak Suraya & Syud.

---
Ain Sabrina

Ain: Cabaran 50 Buku : (48) Julia


Tajuk buku : Julia
Penulis : Abu Hassan Morad
Keluaran : Utusan Publication & Distributors
Halaman : 244 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Julia , anak gadis Datuk Bakar dan Datin Maznah. Kerana terpengaruh dengan kawan-kawan, dia jadi anak gadis yang sudah terpesong pada awalnya. Dia jadi gadis liar. Risau dengan keadaan itu , akhirnya mama dan abah Julia menghantar Julia jauh ke luar negara. Hasrat mereka ingin menjauhkan Julia daripada kawan-kawannya yang liar itu , lebih-lebih dari Rasyid , teman lelaki Julia.

Dia dihantar ke Perth ,Australia untuk belajar tentang pengajian Islam di Hidayah Islamic College. Di sana dia dipertemukan dengan ramai kawan baru yang lebih baik tidak seperti kawan-kawan liarnya di Kuala Lumpur. Dan di sana , dia lebih mengenali Islam dengan sebenarnya.

Dalam kapal terbang ke Perth , dia diperkenalkan dengan jejaka cina , Jun namanya. Dan sejak itu mereka menjadi sahabat walaupun tidak selalu berjumpa.

2 tahun di Perth , dia menerima suatu kejutan. Mama dan abahnya pergi meninggalkan mereka apabila ditimpa kecelakaan. Sedih namun dia harus tabah untuk adik-adiknya , Adi , Fatin dan Sufi.

Sebagai anak sulung , Julia terpaksa mengalas segala tanggungjawab , menjadi penganti mama dan abah buat adik-adik. Tidak cukup dengan itu , dia turut mengambil alih jawatan ayahnya , Julia terpaksa mengambil alih perniagaan bapanya iaitu Syarikat BMPRO Holding Sdn Bhd .

Bermulalah kisah baru dalam hidup Julia. Dia bukan lagi gadis cilik yang bergantung sepenuhnya pada mama dan abah , kini dia pulak menjadi tempat bergantung buat adik-adiknya. Dia bukan lagi pelajar yang hanya belajar , kini dia peneraju utama Syarikat BMPRO Holding Sdn Bhd .

Dek kerana jerebu yang melanda negara waktu itu , Syarikat BMPRO Holding Sdn Bhd mengalami beberapa masalah. Walaupun masih mentah dalam bidang korporat, Julia tetap menguatkan hati dan gigih berusaha untuk memulihkan perniagaan BMPRO Holding selepas kematian bapanya. Pada masa itulah, Jun sentiasa berada di sisi Julia dan sentiasa menggalak dan mengambil berat terhadap diri Julia.

Ketika ingin memulihkan syarikat, bapa saudaranya, Syed Mustaffa ingin merampas Butik BMPRO Sdn Bhd. Julia juga menghadapi kemerosotan perniagaan BMPRO Transport dan perletakan jawatan oleh pengurus besar BMPRO Holding, Encik Hashim yang memberi tamparan besar kepada Julia.

Dengan usaha yang gigih, Syarikat BMPRO Holding Sdn Bhd akhirnya dipulihkan Julia dengan kerjasama syarikat milik keluarga Jun, Syarikat Cinta Sejati Travel and Tours untuk melancarkan projek Homestay di Felda Guar Napai. Ketika Julia dan keluarga menziarahi pusara ibu bapanya, muncullah Jun yang lengkap berpakaian baju Melayu . Jun melamar Julia dan memberitahu Julia bahawa dia sebenarnya seorang Muslim. Akhirnya, mereka telah berkahwin sempena pelancaran Homestay.


Komen Ain Sabrina :

Buku Julia adalah salah satu komponen sastera semasa saya di zaman sekolah dulu. Jadi membaca novel ini sekali lagi membawa saya kembali ke memori zaman sekolah dahulu.

Kisah Julia memberi impak yang agak besar. Semangatnya dan kerana wataknya sebagai seorang gadis itu sendiri dapat menaikkkan semangat pembaca semua terutamanya perempuan. Watak anak sulung mahu atau tidak turut memberi impak kepada saya , si anak sulung. ^^

Ketabahan dan semangatnya boleh dijadikan pengajaran dan contoh buat gadis-gadis di luar sana. Menjadi seorang perempuan bukan lesen untuk jadi lemah.

Kisah perjuangan Julia dalam menyelamatkan syarikat ayahnya amat mengangumkan. Idea-idea syarikat dan kisah perjalanan syarikat tampak ia lebih menarik. Pujian boleh diberikan kepada pembantu setia Julia juga pada Jun yang sentiasa setia membantu.

Watak Jun pastinya menarik hati sesiapa sahaja yang membaca. Wataknya yang sentiasa ada untuk Julia juga wataknya yang agak ‘gentleman’ adalah watak hero idaman.

---
Ain Sabrina

Ain: Cabaran 50 Buku : (47) Ya Allah, Diakah Jodohku


Tajuk buku : Ya Allah, Diakah Jodohku
Penulis : Burhan Sodiq
Keluaran : Kemilau Publika Sdn. Bhd.
Halaman : 221 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Buku ini membicarakan soal yang selalu dibincangkan sejak akhir-akhir ini – hal jodoh. Benda fitrah yang bagi saya yang paling kompleks.

Pada awal buku , penulis banyak menceritakan perihal perkahwinan itu sendiri. Menceritakan tentang fitrah perkahwinan, penulis menekankan tentang anjuran untuk berkahwin. Diselitkan suatu hadis dimana ada seorang sahabat bertanya pada Rasulullah“ Wahai Rasulullah , sebaiknya kita membujang?”, namun Rasulullah melarang. Dan Allah melarang hamba-Nya mengharamkan apa yang sudah dihalalkan Allah. Itu pendahuluan yang disampaikan penulis.

Kemudian , bermula perbincangan mengenai “jodohku yang mana satu? “. Suka saya berkongsi suatu ayat dalam buku ini yang terkesan bagi saya :

“ Jodoh itu ditentukan oleh Allah. Lalu apakah bererti kita tidak mempunyai pilihan? Tentu sahaja ada. kita tidak pernah dipaksa memilih apa yang ALLAH telah tentukan. Dengan kehendak dan keinginan peribadi , kita berhak memilih siapa sahaja untuk menjadi jodoh kita. Tetapi dengan ilmu ALLAH Yang Maha Luas , Allah sudah tahu siapa yang akan kita pilih”

Menarik kan? Kita tidak pernah dipaksa tapi kita pasti akan ‘terpilih’ pasangan yang telah Allah tentukan pada kita.

Penulis turut berkongsi tips mencari jodoh buat mereka yang masih belum bertemu jodoh. Antaranya adalah berdoa padaNya dan dengan itu penulis turut berkongsi adab-adab berdoa. Selain itu , penulis ada juga berkongsi tanda-tanda seseorang itu mungkin jodoh kita. Tanda –tanda ini lebih kepada psikologi semata-mata.

Juga buku ini ada dikongsikan mengenai tahap keserasian dengan pasangan di mana penulis menghuraikan tentang beberapa teori psikologi untuk mengenali peribadi pasangan.

Juga penulis menghuraikan serba sedikit ciri-ciri pasangan yang perlu dicari sepertimana yang diceritakan dalam hadis Rasulullah iaitu carilah yang cantik parasnya , baik keturunannya, banyak hartanya dan yang paling baik agamanya. Namun pilihlah calon yang beragama kerana ia lebih baik daripada seluruh isi dunia.

Turut diselitkan dalam buku ini , kisah –kisah unik berkenaan jodoh. Ada kisah Nabi Musa yang bertemu jodoh dengan anak gadis Nabi Syu’aib. Juga kisah Andriej Ivanov dan Maria Petrova yang bertemu jodoh ketika mahu membunuh diri dan akhirnya ada kisah Julailib , kisah pemuda ansar di zaman Rasulullah.

Di akhir muka surat buku ini , penulis turut berkongsi beberapa doa dan juga mengenai solat istikharah itu sendiri.


Komen Ain Sabrina :

Untuk menulis serba sedikit mengenai buku ini , saya rasa susah. Malu pun ada dan dalam masa yang sama agak susah. Namun , saya cuba buang semua halangan untuk berkongsi juga serba sedikit.

Buku ini saya beli di saat saya rasa masalah emosi membelengu saya. Rasa malu untuk berkongsi dengan kawan mahupun keluarga , jadi saya lebih tegar simpan sendiri masalah itu dan berkongsi denganNYA. Namun persoalan masih tidak terjawab dan pastinya ia tidak datang begitu sahaja. Jadi apabila terpandang buku ini di kedai buku , tanpa banyak fikir saya terus ambil dan bayar di kaunter.

Pendapat saya , masalah ini pasti akan hinggap di hati semua dan hanya cara kita menghadapinya buat kita berbeza. Saya suka membaca dan rasa malu nak bercerita , jadi usaha saya menghadapinya adalah dengan membaca.

Bagi saya masalah emosi ini , adalah dugaan Allah buat saya. Rasa bercampur-campur , letih jadi cepat-cepat saya ingin keluar dari belenggu ini dan mencari penyelesaian. Buku ini adalah salah satu cara sahaja. Bagi saya cara ini lebih baik , daripada saya mendengar pendapat yang lain , yang rata-ratanya masih juga belum bertemu jodoh. ^^ Dan cara yang paling baik sebenarnya adalah kita kuatkan hati kita dan iman kita. Namun , tak mudah , ia perlukan masa.

Dan ada seorang pernah kata pada saya , masalah ini takkan selesai selagi kita tak kahwin. Walaupun bercinta bertahun-tahun , selagi hubungan itu tidak halal , selagi itu masalah emosi ini akan membelengu dan ketenangan itu tidak akan datang . Jadi , secara jujurnya cara paling baik nak ‘handle’ masalah ini adalah dekatkan diri pada NYA dan apabila sudah bersedia , dirilah ‘masjid’ itu. sekian. ^^

---
Ain Sabrina

Ain: Cabaran 50 Buku : (46) 10 Powerful Phrase for Positive People.


Tajuk buku : 10 Powerful Phrase for Positive People.
Penulis : Rich Devos
Keluaran : Center Street
Halaman : 169 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Seperti tajuknya , buku ini cuba menyalurkan unsur-unsur positif melalui perkataan-perkataan mudah yang sering juga keluar dari mulut kita.

Perkataan pertama : “ I’m wrong” – saya bersalah. Menurut penulis , dia mulakan dengan I’m wrong kerana perkataan ini paling susah untuk diluahkan. Ia seakan menjatuhkan ego diri sendiri. Penulis sebagai orang besar ( ‘founder amway’) berkata dengan perkataan ajaib ini kita mampu membuatkan orang di sekeliling kita lebih hormat kita sebenarnya.

Perkataan kedua : “I’m sorry”- saya minta maaf. Kata penulis lagi , perkaatan pertama dan kedua saling berkait rapat. Untuk berkata “I’m wrong” anda juga mungkin akan berkata “I’m sorry” juga. Dengan dua perkataan , suatu pergaduhan boleh terlerai dengan mudah.

Perkataan ketiga : “ you can do it” – Anda boleh . penulis pernah ditanya seorang anak muda mengenai apakah perkara paling penting yang dia perlu tahu , dan jawapan penulis tentulah – “ u can do it”. ini adalah kata hikmah yang mampu menyalurkan satu semangat kepada setiap orang yang mendengar. Penulis turut berkongsi kisah hidupnya sebelum menjadi pengerusi Amway.

Perkataan keempat : “ I believe in you “. Perkataan ini lebih ajaib daripada perkataan ketiga. Kepercayaan kepada seseorang yang dia boleh melakukannya lebih kuat impaknya berbanding memberi semangat kepada seseorang itu.

Perkaatan kelima : “ I’m proud of you “. Satu lagi perkataan ajaib yang mudah. Manusia ini kadang-kadang perlukan penghargaan dan penghargaan tak perlu kan kos yang tinggi , cukup dengan kata-kata. Penulis mengulas perkataan ini lebih kepada peranan ibubapa kepada anak ataupun antara suami isteri.

Perkataan keenam : “ thank you “ – terima kasih. Satu lagi bentuk penghargaan. Ia sebagai petanda kita menghargai segala pertolongan mahupun bantuan dia.

Perkataan ketujuh : “ I need you “- saya perlukan awak. Perkataan mudah menunjukkan kita memerlukan satu sama lain. Dan untuk hidup , kita perlukan kebergantungan ini.
Perkataan kelapan adalah “ I trust you” – saya percaya awak tetapi “trust” lebih daripada perkataan “believe” itu sendiri. Ajaibnya lebih.

Perkataan kesembilan : “ I respect you ” dan perkataan terakhir : “ I love you” . Dua perkataan ini besar maksudnya. Kedua-dua ini diucap pada orang yang telah memberi impak besar pada kita.

Komen Ain Sabrina :

Buku motivasi ini ditulis oleh orang kuat ‘Amway’. Saya pinjam buku ini dari seorang doktor di saat saya aktif dalam ‘Amway’ . Buku ini kadang-kadang saya buat teman lebih-lebih dikala saya rasa ‘negative wave’ menghimpit saya. Ia mungkin tak berjaya sepenuhnya namun ia membantu. ^^

---
Ain Sabrina

Dec 19, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (45) Seredup Kasihmu

Tajuk buku : Seredup Kasihmu
Penulis : Nia Azalea
Keluaran : Alaf 21

Ulasan Ain Sabrina :

Lea Haryani , gadis yang kurang bersosial dan lebih suka menyendiri. Bukan kerana sombong , tetapi kerana ada kisah silam yang menghantuinya. Dilahirkan tanpa ayah, menjadi dia dibenci dan dihina ahli keluarganya sendiri. Namun Lea Haryani pandai membawa diri , dia berjaya sampai ke menara gading. Tidak cukup itu , dia antara pelajar cemerlang yang seringkali mendapat anugerah dekan.

Dan siapa sangka kerana pencapaian itu , Lea dirisik Emir Safwan. Bukan untuk dijadikan teman berkasih tetapi Emir memerlukan Lea sebagai teman belajar. Keputusan Emir yang merundum memaksa Emir membuat keputusan drastik itu.

Lea yang sudah biasa keseorangan, terang-terangan menolak. Namun Emir tidak kenal erti putus asa. Dengan bantuan pensyarah mereka, Lea terpaksa menjadi guru merangkap teman belajar Emir.

Ain: Cabaran 50 Buku : (44) Merahnya Ceri

Tajuk buku : Merahnya Ceri
Penulis : Zulina
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 613 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Aina Marsilla , salah seorang gadis yang pernah kecewa dengan cinta pertamanya. Tidak mudah Aina melupakan kisah duka itu. Kehadiran Khairil Bustami tidak mampu menjadi penganti Yaseer , kisah cinta pertamanya. Malah sikap Khairil yang lebih mementingkan reputasinya daripada kisah cinta mereka menjadikan Aina ragu dengan ketulusan cinta Khairil. Dalam masa yang sama ada watak lain yang muncul , watak Norman , duda yang cuba mengambil hati Aina , juga watak Aida Melissa , jurutera baru bawah selian Khairil yang mengoda turut menimbulkan rasa cemburu dan pertingkahan antara mereka.

Akhirnya Aina mengaku kalah , membiarkan Khairil berlalu pergi dengan yang Aida , adiknya sendiri. Mereka berkongsi ayah yang sama. Perkara itu diketahuinya pada saat yang sama dia tahu Khairil terang-terangan curang padanya.

Ain: Cabaran 50 Buku : (43) Mencari – Suami @ JS.com

Tajuk buku : Mencari – Suami @ JS.com
Penulis : Normaslina Masri
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 617 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Dari tajuknya , dah boleh agak kisah awal novel ini. Watak utama kisah ini , namanya klasik – Sofea Saloma namun kisahnya takda glamor pun. Apa tidaknya , umur sudah 33 tahun , namun masih tiada insan bergelar suami . Ekoran itu , emak Sofea Saloma membuat keputusan drastik , memberi kata dua pada Sofea , jika masih tiada calon , dia akan menjodohkan Sofea dengan jejaka pilihannya , Yusuf.

Terdesak , Sofea meminta bantuan kawannya , Su . Dan siapa sangka , Su memeberi cadangan yang agak pelik iaitu mengiklannya tentang pencariannya suami di surat khabar.

Ni iklannya :

Tarikh Iklan: Jumaat, Sabtu & Ahad
Saiz: 2Rx10cm
Edisi (keluaran): Edisi Utara, Tengah, Selatan, Sabah & Sarawak.
Wanita Melayu, beragama Islam, berperwatakan sederhana, 33 tahun, berpelajaran, ingin mencari calon suami yang mempunyai kriteria seperti;

(a) bekerja tetap
(b) berumur sekurang-kurangnya 33 tahun ke atas
(c) bujang/duda sahaja
(d) beragama Islam

Sesiapa yang berminat sila e-mel maklumat peribadi kepada mencarisuami@yahoo.com sebelum 15 Oktober 2010.


Pelik dan siapa sangka ia menjadi.

Nov 30, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (42) Orang Miskin Dilarang Sekolah

Tajuk buku : Orang Miskin dilarang sekolah
Penulis : Wiwid Prasetyo
Keluaran : Global Aksara Communication Sdn. Bhd.
Halaman : 580 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Dari tajuk , sudah dapat kita imbas serba sedikit kisah dalam halaman buku ini. Kisah dimulakan dengan watak ‘aku’ , anak muda bernama Faisal , yang sudah di kelas tahun 3 di SR Kartini. Dia anak dari keluarga sederhana yang berkesempatan untuk ke sekolah. Dan dengan ilmu yang baru hijau itu , dia berimpian mengajak sahabat-sahabat yang tinggal di lading lembu untuk turut sama bersekolah. Namun jalannya tidak mudah. Mereka , Pambudi , Pepeng dan Yudi, anak miskin yang hidupnya kais pagi makan pagi , kais petang makan petang.

Namun hati anak miskin ini dahagakan ilmu. Lalu mereka berusaha ke arah itu. Memujuk dan menyakinkan ibu dan ayah mereka dan mereka sendiri menampung perbelanjaan sekolah mereka. Walaupun miskin , akhirnya mereka berupaya sekolah , dengan baju yang lusuh dah terkoyak di celah ketiak, bergalaskan beg guni, beralaskan selipar getah yang kaki nya penuh dengan debu lumpur. Lantas mereka seringkali di pandang hina di kelas mereka. Namun tidak semua begitu, ada yang menolong , namanya Kania, gadis cilik molek yang menarik hati muda mereka.

Turut sama diselitkan dalam novel ini , kisah penduduk-penduduk di Kampung Faisal , masih mundur dan masih percaya pada bomoh dan pawang yang hanyalah tiruan semata-mata. Juga dikisahkan tentang Faisal menjadi guru muda buat penduduk-penduduk tua di kampungnya , dia mengajar mereka mengira dan membaca.

Diakhirkan cerita dengan kisah perjuangan dan usaha gigih mereka untuk menghadapi peperiksaan akhir tahun. Dan ternyata ‘ happy ending’ apabila Faisal terpilih sebagai pelajar cemerlang. Namun pengakhiran sebenar bukan di situ kerana banyak lagi yang perlu ditempuh pelajar-pelajar SK Kartini secara amnya dan secara khusunya buat 4 sekawan ini , Faisal, Yudi , Pambudi dan Pepeng.


Komen Ain Sabrina :

Novel ini saya beli di saat motivasi belajar saya agak rendah. Saya tertekan dengan diri sendiri yang asyik malas jadi saya berkeputusan untuk ‘ambil angin’ di kedai buku Popular di KB Mall. Terpandang buku ini dan tajuknya , saya dapatkan rasakan buku ini boleh menaikkan semangat belajar saya dan dalam masa yang sama mensyukuri nikmat ‘dapat belajar’ yang saya ada.

Watak Faisal patut dipuji. Disaat dia bersahabat dengan Yudi , Pepeng dan Pambudi, dia tidak terpengaruh dengan mereka malah dia yang mempengaruhi mereka. Budak-budak , semangat bermainnya kadang-kadang lebih tinggi dari semangat belajar , namun berbeza bagi Faisal malahan dia berjaya pula mengajak sahabat yang lain untuk turut belajar. Semangatnya itu bukan hanya pada sahabatnya, juga turut pada penduduk kampung , sehinggakan dia sanggup menawarkan diri menjadi pengajar buat penduduk kampung.

Watak Pambudi , Yudi , Pepeng dan Kania juga perlu dipuji. Walaupun susah , pagi perlu bekerja kemudian ke sekolah , baliknya kembali bekerja, namun mereka tegar demi mencari sesuap ilmu. Semangat mereka mencari ilmu membuatkan saya sebagai pembaca termalu sendiri. Peluang belajar sudah ada di depan mata , duit tidak perlu berusaha atau meminta-minta kerana biasiswa sudah diberi kerajaan , jadi apa lagi masalahnya – hanya kuatkan tekad , belajar dan belajar. Namun saya ini , asyik melayan emosi dan rasa malas sahaja. Kecewa dengan diri sendiri pabila melihat semangat anak-anak miskin ini.

Dan kita sebagai rakyat Malaysia amnya patutnya bersyukur kerana keadaan kita tidak seteruk keadaan negara jiran. Majoriti anak-anak Malaysia semuanya bersekolah , paling kurang bersekolah hingga ke sekolah rendah. Namun kenapa kita masih leka , masih tidak berusaha. Di saat rasa malas menyelubungi , kita patut muhasabah diri kembali , syukuri nikmat diberi dan teruskan berusaha.

Dan saya suka falsafah yang diterapkan dalam novel ini :

“ Jangan takut untuk berimpian besar kerana orang yang tidak punya impian bererti tidak punya cita-cita dan masa depan “

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (41) Kemilau Mutiara Raudhah

Tajuk buku : Kemilau Mutiara Raudhah
Penulis : Saidatul Saffaa
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 616 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ia dimulakan dengan kisah Jack atau nama sebenarnya Ahmad Izzat Mubasyir yang sudah terpesong jauh dari agama, solat bukan lagi jadi aktiviti harian malahan kelab malam jadi tumpuan. Namun sampai disitu saja kepesongannya, tidak sampai air syaitan diteguk mahupun dibawa perempuan ke bilik tidur. Ketenangan ingin dicari lalu dia akhirnya sampai ke Pulau Selasih yang membawa lembaran baru dalam hidupnya. Di sana dipertemukan dengan hidayah untuk kembali ke jalan Allah juga dipertemukan dengan bidadari bernama Raudhah.

Raudah digambarkan sebagai gadis muslimah yang cukup ciri muslimahnya juga tidak kurang dari segi paras rupanya. Wajahnya yang saling tak tumpah seperti gadis eropah seringkali menarik hati kaum adam untuk melamarnya. Namun dia tegas soal hati dan perasaannya sehinggalah redup mata itu membuatkan dia seakan lari dari prinsip hatinya.

Pertemuan pertama di Pulau Selasih tidak berakhir begitu sahaja. Asyik ada sambungan pertemuan sehinggakan Izzat tidak mampu lagi memendam rasa. Akhirnya kasih diluahkan namun tiada jawapan kasih dari bidadari hati. Namun siapa sangka , Allah perancang terbaik , walaupun seakan tiada pilihan , Izzat adalah pilihan terbaik buat Raudhah, begitu juga sebaliknya.

Hubungan halal sudah terjalin namun seakan ada sengketa yang masih belum pulih. Hubungan mereka dingin. Raudhah yang degil dan sukar memaafkan menjerutkan lagi perasaan Izzat. Sehinggalah satu peristiwa buruk berlaku yang menyedarkan Raudhah. Namun saat dia tersedar , Izzat sudah pergi demi mengejar niat menjadi syahid fisabilillah.


Komen Ain Sabrina :

Cerita ini banyak latar belakangnya , dari Malaysia ke Scotland , juga ke Palestin dan Israel. Terkesima saya memikirkan betapa jauhnya pengalaman penulis sehingga dia boleh menulis cerita dengan latar belakang begini.

Kisah ini seakan kisah klise, namun tetap saya suka. Klise bagi saya, adalah dari awal saya dapat kesan tunang Izzat itu adalah Raudhah dan begitu juga sebaliknya. Namun, kejutannya masih jelas dan ada , saat mereka mahu dinikahkan. Ada rasa kurang pasti di situ, risau pengantin lelaki bagi Raudhah adalah orang lain. ^^

Disaat Izzat menunggu Raudhah 2 tahun dan juga kisah kedinginan Raudhah terhadap Izzat selepas perkahwinan menginggatkan saya dengan kisah Adam & Hawa karya Aisya Sofea keluaran Alaf 21. Walaupun penantian Izzat tidak sehebat Adam , namun iras-iras nya masih ada. Dan kerana iras itu , saya seakan geram sangat dengan watak Raudhah yang agak degil. Watak Izzat ternyata nampak ‘charming’ di situ. Kesabaran Izzat membuatkan kita sebagai pembaca turut jatuh hati.

Watak Raudhah digambarkan sebagai gadis yang cantik dalam dan luar. Kecantikan luarnya digambarkan sebagai gadis eropah bermata hijau. Kecantikan luarannya nampak terlalu tinggi sehinggakan saya sebagai pembaca terasa sukar ‘to be in her shoes’. Wataknya saya bayangkan sebagai satu watak puteri dalam cerita –cerita dogeng. Cantik , mempersonakan tetapi ‘untouchable’ .

Selama penantian Izzat selama 2 tahun diisikan dengan perubahan diri Izzat menjadi yang lebih baik. Tetapi sayang , penulis tidak mengambarkan bagaimana dan apakah yang dilakukan oleh Izzat untuk berubah. Hanya diilustrasikan perubahannya disaat Izzat mendengar bacaan Al-Quran Raudhah. Akan lebih manis jika diilustrasikan dengan lebih jelas bagaimana ia berlaku , kerana ia turut boleh memberi inspirasi buat pembaca untuk turut juga berubah menjadi lebih baik sepertimana penulisan Hlovate.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (40) Arjuna Mencari Cinta

Tajuk buku : Arjuna Mencari Cinta
Penulis : Adlinz Alexandria
Keluaran : JS Adiwarna
Halaman : 345 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Kisah ini berlatarbelakang zaman persekolahan dan menjadikan ia lebih menarik ia berlatarbelakangkan pelajar-pelajar sekolah agama. Dikisahnya pada awalnya kisah persediaan pelajar-pelajar tingkatan 5 untuk menghadapi SPM. Dalam pada persediaan itu , Nejad turut mengalas tanggungjawab sebagai ketua pelajar. Dia dibelenggu masalah-masalah sekolah dan salah satunya masalah adalah Nur Dalilah. Nur Dalilah , pelajar baru yang dilantik melalui undi untuk menjadi AJK Tertinggi Majlis Perwakilan Sekolah, yang memberontak apabila dipaksa menjadi ketua disiplin. Perdebatan seringkali berlaku sehinggakan akhirnya Nur Dalilah mengambil keputusan untuk mengalas tanggungjawab itu.

Watak Nejad yang berwibawa membuatkan ramai pelajar perempuan terpikat antaranya Siti Ezrina , penolong Ketua pengawas yang Nejad anggap sebagai TTM (teman tapi mesra). Namun siapa sangka , gadis pujaan ramai Vilma Faira , turut sama terpikat. Dari email , ke telefon bimbit hingga akhirnya mereka berani bersua muka. Nejad seakan lupa dengan tanggungjawabnya hanyut bersama kasih buat Vilma Faira.

Siapa sangka , kasih yang disangka ikhlas , ada niat buruk di sampingnya. Bagi Vilma Faira , ada dendam yang perlu dia tunaikan buat Nejad. Azamnya biar Nejad jatuh tersungkur. Siti Ezrina yang mengetahui cuba menyelamatkan keadaan.

Semuanya sudah terlambat , di saat kebenaran itu sampai , Nejad sudah hilang kawan , sudah hilang kewibaannya dan sudah tersasar jauh. Pencapaiannya dalam SPM ternyata tersasar jauh , terkesima , lama dia membawa diri. Sehinggalah tiba-tiba , Nur Dalilah muncul dalam ingatan dan Nur Dalilah dijadikan semangat untuk kembali ke jalan kejayaan.

Komen Ain Sabrina :

Kisahnya mudah, saya boleh habiskan novel ini dalam masa setengah hari. Kisahnya yang berlatarbelakangkan zaman persekolah boleh membuatkan pembaca terimbau zaman persekolahan masing-masing.

Saya suka watak Nur Dalilah. Walaupun dilahirkan dalam keluarga yang tidak senang , namun semangat belajarnya harus dipuji. Juga semangatnya turut dia turunkan buat sahabat-sahabat yang berdekatan antaranya Nejad. Kata-kata yang keluar dari mulut Siti Dalilah juga menunjukkan kematangannya.

“ Tuhan bukan macam manusia , selalu nak tunaikan apa saja hasrat orang yang disayangi secara membabi buta. Ustazah aku pernah beritahu , kegagalan juga salah satu bentuk kasih sayang Allah pada kita. Orang yang tak pernah gagaltentu tak tahu erti sebenar kejayaan. Bayangkan kalau di dunia ini hanya ada matahari. Tentu kita tak tahu bagaimana rupa bulan. kalau tidak ada neraka, tentu tidak ada syurga. Tentu ada hikmahnya engkau dapat keputusan yang tidak cemerlang." – Nasihat Nur Dalilah buat Nejad-

Watak-watak lain seperti Nejad dan SitI Ezrina , adalah watak biasa pelajar sekolah. Ada keinginan untuk mencintai dan dicintai sedangkan usia masih hijau. Cinta di zaman sekolah adalah cinta monyet semata-mata. Kebanyakkannya tahu tetapi sengaja butakan hati hanya kerana ingin melayan rasa hati itu. Dan terbukti dalam novel ini ,bahana cinta monyet itu. Kecewanya sehinggakan peperiksaan terjejas teruk dan kesannya sehinggakan putus kawan dan cederakan orang. Semua antara kita ada pendapat dan pengalaman masing-masing , yang pasti salah satu mengakui cinta monyet ini adalah cinta sia-sia.

Dan watak Sufi , sahabat Nejad patut dipuji. Dia berusaha menyedarkan sahabatnya walaupun hasilnya tidak menjadi , usaha itu patut dipuji. Sahabat , ikatannya lebih utuh selepas pertelingakan dan kesatuan bersama di kala susah mahupun senang.

Usaha Nejad untuk berjaya selepas kecundang juga boleh dipuji. Bukan mudah untuk kembali bangkit selapas kegagalan. Ia lebih sukar apabila sahabat-sahabat sekeliling sudah berjaya ke menara gading sedangkan kita masih di takuk lama. Ia perlukan keazaman dan kekuatan yang tinggi. Itu yang ada dalam diri Nejad dan turut dibantu sahabat yang seringkali memberi semangat, Siti Dalilah.

---
Ain Sabrina

Nov 29, 2011

Ain: Cabaran 50 Buku : (39) Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab

Tajuk buku : Anda bertanya Ustaz Azhar Idrus menjawab berkenaan permasalahan semasa
Penulis : Ustaz Azhar Idrus
Keluaran : PTS
Halaman : 180 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Seperti mana tajuknya , buku ini membicarakan persoalan yang sering dibangkitkan dalam masyarakat kita. Persoalan-persoalan ini dikumpulkan Ustaz Azhar Idrus dan disusun secara menarik. Jawapan yang diberi mudah difahami umum dan Ustaz Azhar turut menulis di mana sumber fikhnya di sudut bawah jawapannya.

Persoalan-persoalan yang dibangkitkan dari semudah-mudah hukum mengenai adab hinggalah ke peraturan wajib mengenai mandi wajib juga solat dibicarakan secara ringkas dan tersusun dalam buku ini.

Setiap persoalan Ustaz Azhar telah susun dalam beberapa kategori. Kategori-kategori yang terdapat adalah persoalan dari segi Taharah , Wuduk , Solat ,Puasa , Zakat , Haji , Umrah , Aurat , Jual Beli , Nikah kahwin , Alquran , Halal haram dan juga mengenai isu semasa. Semua dihuraikan secara mudah. Secara umumnya , kebanyakkan persoalan ini memang diketahui berlegar dalam pemikiran masyarakat , namun jawapan yang kita terima hanya dari mulut ke mulut, tiada bukti dalam bentuk cetakan. Jadi dengan adanya buku ini , orang umum seperti saya sendiri mudah membuat rujukan.

Jadi pada pendapat saya, setiap muslim mahupun muslimah , patut dapatkan buku ini sebagai panduan kepada kita dalam menjalani kehidupan seharian yang penuh tanda tanya hukum hakamnya.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (38) Sukma Rindu

Tajuk buku : Sukma Rindu
Penulis : Fariza Zuliani
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 312 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Kisahnya bermula dengan pertemuan Dianza dengan Azril di suatu acara sukan dimana Dianza wakil bola jaring dan Azril pemain ragbi. Kebetulan yang mempertemukan mereka itu menjadi mereka sahabat baik. Bagi Azril, perasaan dia buat Dianza bukan hanya kawan biasa namun lebih dari itu. Dia meluahkan rasa namun secara baik Dianza menolak. Bagi dia mereka hanya kawan biasa.

Di universiti , Dianza dipertemukan pula dengan dengan Fredie. Mereka dipertemukan apabila mereka diberi tanggungjawab untuk menguruskan satu program masyarakat. Ini menyebabkan mereka seringkali perlu berjumpa yang membibitkan rasa antara mereka berdua. Namun tidak mudah bagi lelaki seperti Fredie meluahkan rasa. Jadi rasa itu mereka sama-sama simpan. Namun pertemuan Fredie dengan Azril , membibitkan rasa cemburu dalam hati Fredie. Lalu Fredie dan Dianza, membicarakan dengan serius bicara hati masing-masing dan mereka bersepakat untuk berlagak biasa selepas ini dan cuba melupakan rasa hati masing-masing.

Di saat Dianza menghadapi masalah hati dengan Fredie , Azril dipertemukan kembali dengan Tania. Di saat Tania kembali dengan imej baru , imej bertudung. Pertemuan demi pertemuan menjadikan mereka berdua rapat dan akhirnya dari status sahabat ke status tunangan orang. Di saat bahagia baru menjelma , Azril dikejutkan dengan berita yang dia mempunyai ketumbuhan di otak. Akhirnya hubungan pertunangan yang baru terbina , diputuskan. Kecewa , akhirnya Tania membawa diri jauh ke Australia.

Zaman universiti akhirnya berakhirnya , memulakan kisah di zaman pekerjaan yang menemukan kembali Dianza dengan Fredie. Rasa itu masih ada , namun tersimpan kejap dalam hati masing-masing sehinggalah hubungan persahabatan Azril dan Dianza sekali lagi mencetuskan rasa cemburu dalam hati Fredie. Dan kerana pasti dengan perasaan itu , akhirnya Fredie memulakan langkah , meluahkan rasa.

Komen Ain Sabrina :

Novel ini antara novel terawal dalam koleksi novel saya. Walaupun novel ini novel lama, novel ini adalah antara novel yang saya masih ingat jalan ceritanya dan beberapa falsafah yang disampaikannya.

Kisahnya mudah seakan kehidupan ini juga mudah. Tiada banyak konflik. Dan Dianza , wataknya seperti seakan pasti dengan setiap keputusan yang dibuat. Saya suka watak Dianza, keputusannya pasti dan tegas, tiada berpatah balik. Contohnya, keputusan awalnya yang pasti yang Azril hanyalah sahabat di saat Azril meluahkan rasa dan keputusannya waktu dia bertekad mahu melupakan segala rasa buat Fredie pada pengakhir zaman university mereka. Dianza tegas dengan dirinya sendiri juga pada orang di sekelilingnya. Ini menyebabkan orang di sekelilingnya turut sama dengan keputusan itu. Dia seakan membina garis yang lurus membezakan hubungan persahabatan dengan hubungan percintaan itu sendiri.

Watak Azril digambarkan sebagai sahabat terbaik. Dia seakan memahami luar dan dalam Dianza. Dan dalam masa yang sama dia turut memahami hati lelaki Fredie. Walaupun dari awal lagi , Dianza mengariskan perhubungan mereka sebagai hubungan persahabatan, namun Azril masih tetap dengan rasa cintanya buat Dianza. Dan yang menariknya , dia tidak pernah memaksa Dianza, dia masih kekal di sisi sebagai sahabat Dianza.

Watak Fredie digambarkan sebagai watak yang ‘cool’ memanjang. Dia sangat mementingkan keluarganya sehinggakan dia takut memberi komitmen cinta buat Dianza. Ini menyebabkan dia lebih rela memendam rasa. Namun dia tidak berjaya menrahsiakan perasaannya apabila seringkali perasaan cemburunya mengetuk saat dia melihat perhubungan Azril dengan Dianza.

Pengakhirannya Dianza dengan Fredie, saya sebagai pembaca , saya pun tidak pasti saya puas hati atau tidak. Watak kedua-duanya baik jadi pengakhirannya dengan yang mana satu pun , saya puas hati rasanya. ^^

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (37) Ombak Rindu

Tajuk buku : Ombak Rindu
Penulis : Fauziah Ashari
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 563 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ombak Rindu mengisahkan tentang Izzah , gadis yang dijaga oleh Pak cik Taha setelah kematian ibu dan ayahnya. Disebabkan hutang Pak cik Taha , dia sanggup menjualkan anak saudaranya kepada seorang tauke kelab malam.

Di situ , dia bertemu dengan Hariz. Atas permintaan Izzah , Hariz akhirnya membeli Izzah dan akhirnya mengahwini Izzah. Namun kehidupan perkahwinan Izzah tak seindah yang lain. Walaupun perkahwinan mereka sah, ia adalah rahsia dan Izzah dilayan tak ubah seperti perempuan simpanan. Kadang-kadang , dia disayangi dan kadang-kadang dia diherdik dan dipukul tanpa sebab.

Namun sekejam mana pun Hariz , masih ada sayang dalam hatinya buat Izzah. Dia juga turut memberi peluang kepada Izzah untuk menyambungkan pelajaran. Namun kerana cemburu, izzah diberhentikan dari kolej itu. Tidak lama selepas itu , tawaran universiti pula menjelma. Hariz memberi kebenaran dengan beberapa syarat. Dan dengan itu , mereka berpisah buat sementara waktu.

Kemunculan Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan yang juga model menjadi orang ketiga dalam hubungan mereka. Dia adalah calon isteri yang dipilih Datuk Sufiah buat anaknya.

Akhirnya perkahwinan antara Hariz dengan Mila Amylia terjadi walaupun hati Izzah tak rela. Walaupun di dada berita, perkahwinan mereka dikatakan bahagia tetapi realitinya tidak. Hati Hariz masih tetap pada Izzah. Ini menyebabkan Datuk Sufiah mula mengambil langkah , cuba memutuskan hubungan Izzah dan Hariz. Dan kerana fitnah yang dibuat, Hariz meninggalkan Izzah. Pak Dollah cuba menjernihkan kembali dan turut sama meluahkan satu rahsia yang mengejutkan.

Komen Ain Sabrina :

Novel Ombak Kasih adalah novel zaman saya di sekolah menengah dahulu , maksudnya sudah lebih dari 5 tahun. Novel ini antara novel yang agak popular pada zaman itu. Saya terasa macam nak mengulang baca novel ini sekali lagi disebabkan filem Ombak Rindu yang akan keluar pada 1 December 2011 ini. Apabila tengok ‘review’ filem Ombak Rindu yang ditayangkan di TV , ada rasa kecewa yang timbul dengan pemilihan pelakonnya. Mungkin ada yang tak setuju dengan pendapat saya tapi saya sebagai pembaca tegar ingin juga memberi komen.

Watak Hariz yang akan dilakonkan oleh Aaron Aziz, itu bagi saya sudah sesuai. Tiada yang mahu dikomen. Watak Izzah dilakonkan Maya Karin, itu yang ingin saya komen. Watak Izzah diibaratkan gadis muda dari kampung yang sepatutnya dilakonkan oleh ‘gadis yang lebih bercirikan kekampungan’ bukannya dilakonkan oleh ‘wanita yang dialeknya pun bukan melayu’. Watak Mila dilakonkan Lisa Surihani, itu walaupun tidak berapa sesuai namun masih boleh diterima.

Aik, ini sudah jadi semacam ulasan filem pula. Apa-apa pun, membaca novel Ombak Rindu sekali lagi seakan membawa kembali kenangan di zaman sekolah dulu. (^_^)

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (36) Ketika Cinta Bertasbih 2


Tajuk buku : Ketika Cinta Bertasbih 2
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Keluaran : aR
Halaman : 663 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ketika Cinta Bertasbih lebih berlatarbelakangkan negara Indonesia itu sendiri meandangkan watak utamanya Azzam sudah pulang ke tanah air. Ini menemukan kita dengan watak-watak adik Azzam , Husna, Lia dan Sarah.

Dan Ketika Cinta Bertasbih 2 banyak menceritakan bagaimana Azzam menabur bakti pada keluarga sendiri juga pada masyarakat umumnya. Dia turut meneruskan perniagaan baksonya dengan memperkenalkan Bakso Cinta.

Dalam masa yang sama, turut diselitkan kisah Anna dan Furqan. Akhirnya perkahwinan terjadi walaupun ada peristiwa yang berlaku pada Furqan yang sekiranya diketahu boleh menghalang ia daripada berlaku. Perkahwinan yang terjadi menandakan pada Azzam yang dia perlu jauhkan niatnya pada Anna dan siapa sangka turut menemukan Husna dengan Ilyas. Kisah Husna dan Ilyas juga diselitkan dalam kisah percintaan yang mudah dan murni.

Apabila perniagaan yang dijalankan sudah terkenal dan berjaya , ibunya memulakan langkah mencari calon isteri buatnya. Dari satu calon ke satu calon , ada saja yang menghalang hinggalah dia dipertemukan dengan Vivi, gadis yang bekerja sebagai doktor. Di saat perkahwinan hampir menjelma, ada satu kemalangan berlaku yang memutuskan hubungan yang terbina. Dalam kedua-duanya tidak rela dengan apa yang berlaku , namun itu juga yang mereka hadapi.

Dalam masa yang sama, perkahwinan Anna dan Furqan juga terputus yang diketahui sebabnya oleh mereka sendiri. Jodoh yang dulunya tertolak , kembali menjemput. Apa jawapan yang mereka ada?

Komen Ain Sabrina :

Sengaja saya ulaskan buku ini dalam 2 ulasan yang berbeza kerana memang saya ada 2 bukunya, episode 1 dan episode 2. Buku ini sudah selamat saya beli sebelum filem KCB keluar lagi. Jadi sebagai pembaca , saya pasti memilih buku jika dibandingkan dengan filem. Dari pembacaan, kita ada bayangan yang lebih bagus berbanding ia difilemkan.

Watak Anna itu sendiri , jika dibaca dalam novel terpancar kelembutan gadis muslimah itu. Namun bila ditayangkan dalam filem, watak Anna itu tampak lebih tegasnya daripada kelembutannya. Juga tindakbalasnya mengetahui rahsia Furqan agak berlebihan jika dibandingkan apa yang diceritakan dalam novel itu sendiri.

Novel ini ternyata mengangkat erti takdir dan jodoh itu sendiri. Pernah kita dengar , kalau benar itu jodoh kita , walau kita biar ia pergi , ia akan datang kembali. Ternyata itu yang berlaku pada Azzam dan Anna. Tak perlu jodoh itu dicari atau ditangisi , kerana ia akan datang sendiri dengan doa kepadaNYA dan keberkatanNYA.

Watak Azzam ternyata abang yang bertanggungjawab. Dia tegar mengalami segala susah payah demi kebahagian keluarganya di Indonesia. Dan kerana dia si abang , dia memberi contoh terbaik buat adik-adiknya.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (35) Ketika Cinta Bertasbih 1

Tajuk buku : Ketika Cinta Bertasbih 1
Penulis : Habiburrahman El Shirazy
Keluaran : aR
Halaman : 451 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Azzam, jejaka Indonesia yang belajar di Mesir dan kerana itu novel Kerana Cinta Bertasbih 1 lebih banyak berlatarbelakangkan kehidupannya di Mesir. Azzam dikisahkan pelajar yang sudah lama menetap di Mesir, masih tidak habis pengajian kerana sibuk berniaga. Kebenarnnya, dia terpaksa membuat kerja sambilan berniaga temped an bakso untuk menampung perbelanjaan keluarga di Indonesia. Dalam masa yang sama, keinginannya untuk pulang ke kampung halaman membuak-buak namun terpaksa dia tahan.

Di saat yang sama, dia dibelungi dengan rasa terpesona dengan seorang gadis Indonesia yang bertaraf tinggi bernama Eliana. Eliana diakui cantik namun jauh dari cirri gadis muslimah itu sendiri. Masalah ini hanya dia bicarakan pada seorang pak cik bernama Pak Ali yang banyak memberi nasihat padanya. Lalu , suatu hari Pak Ali mencadangkan dia untuk mencuba nasib merisik seorang gadis Indonesia yang cantik dan ada ciri muslimahnya yang pada hemat Pak Ali , Anna itu sesuai dengan Azzam.

Azzam mencuba tanpa melihat mahupun mengenali Anna itu sendiri. Namun dia ditolak secara baik memandangkan Anna sudah dirisik sahabatnya sendiri , Furqan.

Tanpa dia sendiri mahupun Anna sendiri sedar , mereka telah bertemu di suatu eksiden yang berlaku. Ada rasa bercambah dalam hati mereka berdua walaupun tidak mengenali nama mahupun peribadi masing-masing.

Setelah bertahun di Mesir , akhirnya tiba masa untuk Azzam pulang. Dan siapa sangka di dalam kapal terbang , dia menemui seseorang yang sekali lagi menguji keimanannya.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (34) Jendela Hati

Tajuk buku : Jendela Hati
Penulis : Aisya Sofea
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 334 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Jendela Hati membawa kisah kisah hati Farah. Siapa sangka dia akan ‘terjatuh’ cinta dengan abang iparnya sendiri. Peninggalan kembarnya, Sarah agak mengejut. Sebelum peninggalannya, Sarah sempat mengirimkan surat seakan wasiat berharap Farah akan menjaga suaminya, Lukman Hafizi dan juga anaknya Zahin, dia seakan mengetahui dia akan pergi dulu.

Pertemuan pertama Lukman dan Farah terjadi tidak terduga. Tiada orang ketiga yang bertindak untuk mengenalkan mereka berdua. Yang paling terkesan dengan pertemuan itu semestinya Lukman. Mana taknya, wajah Farah memang seiras dengan muka arwah isterinya di saat dia masih belum mampu melupakan kekasih hatinya itu. Dari serabut dan hanya diam tanpa kata, Lukman kembali menjadi yang dulu.

Walaupun ada Nazim yang asyik cuba menarik hati Farah, namun entah kenapa dia masih tertarik pada duda anak satu itu merangkap abang iparnya. Lalu apabila emak Lukman meminang dia, tanpa fikir panjang Farah terus menerima. Lukman ternyata berang. Lalu dia mengeluarkan kata yang tanpa dia sedar menghiris perasaan Farah. Disebabkan penerimaan itu juga, lama mereka tidak bertegur sapa hinggalah ke hari bersejarah mereka disatukan.

Setelah disatukan, lukman makin jauh dan Farah dianggap seperti orang asing. Hinggalah satu peristiwa berlaku yang menandakan Lukman dan Farah berkongsi rasa yang sama. Namun tidak mudah bagi Lukman mengaku rasa itu dan sekali lagi Farah dilukai.

Kali ini lukanya terlalu dalam lalu Farah membawa diri jauh. Di saat, dia rasa hidupnya kembali stabil, Lukman muncul kembali.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (33) Versus

Tajuk buku : Versus
Penulis : Hlovate
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 432 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Kisah versus ada sangkut-paut dengan kisah ked’s story dala kombinasi novel Pelangi. Kisah Versus membawa watak utama Minn (adik kepada Ked dalam Ked’s Story). Dari awal kisah menceritakan bagaimana pengorbanan Minn untuk melupakan minatnya dalam skaters setelah diwasiatkan oleh atuknya. Kerana urusan kolej, Minn dipertemukan dengan Asyraf Omar yang lebih ingin dikenali sebagai AO. Dan AO seakan membawa Minn kembali ke dunia skaters. Minn geram, kerana bukan mudah hendak dia melupakan minatnya yang satu itu.

Dalam masa itu, ada satu pertelingkahan hati dalam jiwa AO sehinggakan dia berani pecah masuk bilik Minn. Dan pada masa itu, AO terus meluahkan rasa.

“I tak memaksa. I cuma meminta. I like u. I really really like u. I want to give us a chance. Permintaan I bukan untuk you terima I yang sekarang, tapi I yang akan change for good for you and for me. For us. Boleh you bagi peluang tu?”

Dan dia membuktikan setiap perkataan yang diluahkan. Dan perubahan itu lebih berjaya setelah dia ‘fly’ ke Australia. Pelik, namun itulah yang terjadi, lebih mudah bagi dia, AO berubah menjadi lebih baik di negara luar yang bukan agama rasminya Islam.
Percutian keluarga Minn ke Australia secara kebetulan, menemukan mereka kembali. Itu semua jasa along @ Ked yang sibuk menjadi ‘cupid’ mereka. Kekok, itu yang mereka rasa.

Cuti musim panas memberi peluang untuk Asyraf pulang ke tanah air. Mereka bertemu kembali setelah 2 tahun tidak bertemu. Pertemuan itu tidak sia-sia begitu sahaja, AO mengajak Minn untuk menghadiri satu program yang memberi satu kesedaran baru buat Minn. Dan terdetik dalam hati Minn yang dia bukan perempuan yang baik yang tercipta untuk AO lalu dia dengan sengaja menjauhkan dirinya dari AO.

Ingin lari dari AO, dia membawa diri jauh ke Australia, berharap yang AO sudah kembali ke Malaysia. Namun siapa sangka, itulah yang menemukan mereka dan terus merapatkan mereka kembali.

Komen Ain Sabrina :

Yeah..Hlovate lagi. Macam saya cakap di atas, novel ini ada sangkut paut dengan Ked’s story, jadi bila tahu novel ini dah keluar jadi saya rasa tak sabar-sabar nak dapatkannya.

Di Ked’s story, lebih membicarakan watak Ked itu sendiri manakala Versus lebih kepada watak Minn itu sendiri. Namun watak Ked juga cukup sama penting, kalau tiada Ked mungkin perhubungan antara Minn dan Asyraf lambat prosesnya. ^^

Dalam novel ini, dititikberatkan fungsi usrah dan ukhwah dalam kehidupan seharian. Bagi saya sendiri, usrah dan ukhwah itu penting. Untuk jadi baik itu tidak mudah namun untuk bertahan menjadi baik itu lebih susah. Oleh itu, usrah dan ukhwah yang membantu kita terus ke arah itu. Seperti pernah dibicarakan Asyraf dan Hairi dalam novel ini, semua secara umumnya mengetahui tentang syurga dan neraka, namun berapa orang yang berusaha kearah syurga itu dan jauh dari neraka itu. Dan juga dibicarakan tentang fungsi individu muslim itu dan tentang aktiviti harian atau mingguan yang perlu diisi dengan bacaan al-quran, bacaan mathurat, solat sunat dan qiamulail.

Watak Minn dan Asyraf, kedua-dua watak utama ini membawa pengorbanan seseorang itu untuk berubah menjadi lebih baik. Pengorbanan itu sukar, namun dengan adanya keazaman, benda itu pasti. Saya sebagai pembaca sendiri seperti terdorong untuk turut berubah menjadi yang lebih baik !! insyALLAH.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (32) Pelangi

Tajuk buku : Pelangi
Penulis : Syud , Hlovate , Noor Suraya
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 630 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ada 3 kisah dalam novel pelangi.

Ciretera I : Pelangi karya dari Syud.

Kisahnya mudah. Perkenalan Iman Aisyah dan Usamah Razif juga mudah. Perkenalan yang sekejap sudah menoktahkan kasih antara mereka. Pertemuan Mama Usamah Razif dengan Iman Aisyah di suatu kenduri tahlil membuahkan idea buat Mama Usamah untuk menyatukan Iman dengan anak lelakinya. Siapa sangka, Usamah cepat sahaja memberikan persetujuan. Beberapa pertemuan dibuat lalu mereka berkeputusan ke jinjang pelamin. Di saat hubungan perkahwinan mereka masih baru, muncul Syaz, kekasih lama Usamah membuat onar. Membuat fitnah yang hampir-hampir memecahbelahkan rumahtangga mereka.

Ciretera II : Ked’s story karya Hlovate.

Ibarat tajuknya, kisah ini membawa watak utamanya Ked (watak abang kepada Minn, watak utama dalam novel Versus). Ked, budak skate. Kisah awalnya berkisah tentang skate memperkenalkan watak-watak wrath, Fudge, Am, Rage, Sun, Miju dan juga Minn. Sehinggalah ke bab ketiga, Ked dipertemukan dengan Nawal, yang digelarkan budak felda pada awalnya. Pertemuaan awalnya pahit namun seterusnya mula diwarnakan dengan kisah indah. Setelah bertahun tak ‘terjumpa’, akhirnya mereka ‘terjumpa’ kembali di Florida. Jadi peneman orang berjumpa, akhirnya mereka yang terjumpa. Beberapa pertemuan sering berlaku, membibitkan rasa Ked buat Nawal. Di tengah-tengah kisah Ked dan Nawal baru bermula, ada kisah Minn dan AO yang tanpa sedar turut mendewasakan Ked. Pulangnya Nawal ke Malaysia, Ked berkeputusan meluahkan rasa. Luahan rasa dibuat namun reaksi Nawal mengecewakan. Berhari-hari Nawal hilang tanpa berita sehinggalah sesuatu berlaku. Nawal menerima panggilan telefon yang mengubahkan segalanya.

Ciretera III : Rumah Kecil di Ujung Padang karya Noor Suraya.

Durrah, anak gadis yang dipelihara Haji Hambali dan Hajah Halima. Keluarga asalnya dari Bandung. Ada kisah yang berlaku pada awalnya sehingga dia dijadikan anak angkat mereka. Bersama itu , dia dikurniakan 3 orang abang angkat, Haiqal, Mubis dan Nabil. Semua mereka pernah ada kisah dengannya kecuali Haiqal pada awalnya. Mubis, abangnya itu pernah ditunangkan dengan Durrah sebelum akhirnya terputus begitu sahaja apabila Mubis berkahwin dengan orang lain di luar negara. Nabil pula, kisahnya pada awal novel ini apabila arwah che’ mewasiatkan Nabil untuk menjadikan Durrah sebagai isterinya. Serabut dengan keputusan yang lain terhadapnya, akhirnya Durrah membuat keputusan untuk kembali ke Bandung untuk bertemu dengan ayah kandungnya. Di sana dia dipertemukan pula dengan Doktor Heru, doktor veteriner yang berkerja di ladang ayah kandungnya. Kecewa dengan cinta bertepuk sebelah antaranya dengan Doktor Heru, akhirnya Durrah pulang kembali ke Malaysia. Di saat itu, Mubis kembali mengintai kasih Durrah dan dalam masa yang sama, tanpa disangka, Haiqal turut sama meluahkan rasa. Di saat hati Durrah seakan pasti buat Haiqal, Haiqal pula membawa berita tentang perkahwinannya. Bagaimanakan pengakhirannya? Bahagia atau derita? Atau patut pergi sahaja pada yang setia menunggu?

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (31) Gurindam

Tajuk buku : Gurindam Jiwa
Penulis : Hlovate, Imaen , Noor Suraya
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 496 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ada 3 kisah dalam Gurindam Jiwa yang berlainan temanya.

Ceritera I : Schubert’s Serenade karya Hlovate

Kisah pendek dari Hlovate membawa watak Ju’a dengan Shah. Kali ini tiada tema percintaan dibawa kerana Ju’a dan Shah adalah adik dan abang walaupun tidak seibu dan sebapa. Pada mulanya, Ju’a amat tidak menyenangi kehadiran Shah sedangkan tiada salah Shah pada Ju’a. Sehinggalah kerana minat yang sama dan kerana muzik, mereka mula ‘kamceng’. Namun di saat mereka menanti adik baru mereka, ada satu peristiwa berlaku. Dalam gembira, ada peristiwa sedih menjelma.

Ceritera II : Vendetta karya Imaen

Kisah ini hanya membawa watak ‘aku’ tanpa nama. Kisah di awal meceritakan serba sedikit kebahagiaan ‘aku’ bersama Lia. Namun kebahagiaan itu tidak lama, apabila satu eksiden berlaku yang menyebabkan Lia pergi selamanya. Dan kerana itu, dia tekad untuk balas dendam. Penyiasatan dibuat dengan bantuan yang lain, membawa dia kepada misteri yang lebih besar. Membunuh seakan menjadi satu lumrah buatnya sampaikan tiada rasa bersalah yang terbit. Berjayakah dia membalas dendam atau ada yang menjadi penghalang? Apakah akhirnya, derita atau bahagia?

Ceritera III : Hati Adriyana karya Noor Suraya.

Kisah Hati Adriyana adalah kesinambungan kisah Tanah Adriyana yang pernah diterbitkan CESB sebelum ini. Kesinambungan kisah Aliya dan Hadi yang telah berkahwin setelah menghadapi musim cinta terlarang di dalam novel Tanah Adriyana sebelum ini. Dan di dalam novel ini, dihuraikan dengan lebih mendalam kisah cinta moyang mereka dahulu, Ku Ahmad Fitri dengan Raden Adriyana. Juga bagaimana keluarga Aliya akhirnya mendapat pembelaan setelah rahsia sebenar terbongkar.

Komen Ain Sabrina :

Ketiga-tiga kisah ini walaupun dikumpulkan dalam Gurindam Jiwa, setiap satunya ada kekuatan dan temanya masing-masing. Seakan tiada ikatan langsung antara cerita ketiga-tiga ini.

Watak Ju’a yang mempertahankan prinsip dan ajaran agama, menjaga aurat antara dia dan Shah amat saya hormati. Ini kerana saya tahu benda itu bukan mudah. Untuk menjaga aurat dengan sepupu pun saya rasa susah, tambah-tambah lagi dengan abang yang hidupnya hampir 24 jam serumah dengan kita. Kisah Schubert’s Serenade ada kekuatannya sendiri walaupun tidak membawa tema cinta sebagai temanya. Tema hubungan persaudaraan membuatkan saya turut rindu pada saudara saya sendiri walaupun realitinya pasti tidak seindah seperti dalam novel.

Kisah kedua agak berat. Kisah dendam, kisah nyawa manusia jadi taruhan. Saya ingin mengiakan kata-kata yang ada ditulis dalam novel ini, orang berdendam adalah orang yang paling sedih. Itu benar, kita akan pasti akan lebih gembira jika kita mudah melupakan dan mudah memaafkan. Tiada yang memberatkan fikiran, fikiran yang ringan membawa kepada kebahagian. Dan kerana itu watak ‘aku’ menjadi watak yang menyedihkan, walaupun dendamnya terbalas, hakikat ‘Lia’ telah pergi masih tidak berubah.

Kisah ketiga boleh buat saya tersenyum sendiri. Saya pernah ada buku Tanah Adriyana. Saya cakap pernah ada, sebabnya buku itu sudah hilang tiada ganti =( . Jadi apabila mengetahui ada kesinambungannya, cepat-cepat saya dapatkan buku ini. Ternyata ia tidak mengecewakan. Membaca kisah ini, seakan membaca kisah cinta 2 zaman, kisah cinta Ku Fitri dan Raden Adriyana, kisah cinta Hadi dan Aliya. Kedua-kedua kisah cinta saya suka.

---
Ain Sabrina