Showing posts with label Azizi Abdullah. Show all posts
Showing posts with label Azizi Abdullah. Show all posts

Oct 6, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (41) Harga Sebuah Maruah

Judul : Harga Sebuah Maruah
Penulis : Azizi Hj Abdullah
Terbitan : Dewan Bahasa dan Pustaka
ISBN : 978-983-62-9647-4



1. Perkara pertama yang kita faham dari novel ini adalah, menjadi rakyat yang miskin sentiasa ada harga untuk maruahnya dijual beli, sekali pun ia tidak mahu dijual.

2. Walaupun bermati-matian mempertahankan sawah dan padi mereka, namun kepandaian pihak yang berkuasa bermain dengan undang-undang telah memaksa para petani untuk menyerahkan sawah mereka, dengan sedikit bayaran sebagai pampasan, harga untuk sebuah maruah.

3. Novel ini mengisahkan penduduk di sebuah kampung yang majoritinya adalah kaum tani. Menguruskan sawah bendang yang diwariskan turun-temurun.

4. Sehingga datang suatu khabar memberitahu bahawa ada sebuah projek yang bakal dijalankan di kampung mereka. Dan projek itu akan dibina di atas tanah sawah kebanyakan daripada mereka.

5. Dari situlah penulis merangka penentangan-penentangan para petani terhadap projek tersebut. Dan kehampaan demi kehampaan yang dihadapkan ke atas mereka kerana yang ditentang itu adalah orang-orang besar yang tahu selok-belok undang-undang.

6. Bercerita berkaitan sawah bendang, pembaca akan dihidangkan dengan lambakan ilmu serta istilah kepadian yang jarang pada telinga orang-orang bandar.

"Kira hari hendak menabur sebelum merendam benih. Kalau hendak menabur lapan hari bulan, rendam benih hendaklah tetap hari menaburnya. Kalau hendak menabur lapan hari bulan, rendam hendaklah tiga hari bulan. Tepung tawarkan sikit. Giling daun-daun dengan tepung dan daun sirih, campur dengan daun rusa, daun cekur, daun jerangau, daun duit-duit. Buat seperti hendak sintuk limau padi benih itu kerana hendak buang geruhnya." (ms 52)

7. Juga sarat dengan adat dan tradisi bersawah yang makin dilupakan oleh generasi kini, termasuk mereka yang mengerjakan sawah itu sendiri.

" Macam kita hari ni, siapa yang ikut tradisi?" katanya dengan suara yang agak tinggi. "Dulu, kalau macam kita hari ni, kena cari petak semai dulu di sebelah mana pintu langit terbuka. Arah pintu langit terbukalah kita kena hadap betul-betul ketika hendak tabur. Genggam pun genggam kejap-kejap tanda kita sangat yakin dengan usaha kita. Tabur pun tabur bersopan," katanya. (ms 53)

8. Banyak kayu ukur dalam menentukan kejayaan sesebuah novel. Salah satu daripadanya yang dapat saya kesan di dalam novel ini adalah kesan emosi yang ditinggalkan buat pembaca.

9. Emosi pembaca, atau paling tidak, emosi saya sebagai pembaca merasa sungguh geram, marah, dan benci terhadap mereka yang terlibat dalam merampas petak-petak sawah milik masyarakat petani itu.

10. Namun apabila saya melihat kembali, ia adalah sebuah realiti sebenar yang berlaku. Masyarakat yang tidak berkemampuan, miskin, sentiasa akan menjadi mangsa, korban pada suatu perkara yang dipanggil arus kemodenan, pembangunan.

11. Semoga bacaan dan manfaat yang saya peroleh dari novel ini, akan dikurniakan pahalanya oleh Allah azzawajalla kepada arwah penulisnya, Azizi Hj Abdullah. Semoga gemulah berada di tempat-tempat bersama mereka yang diredhaiNya di sana.

---
Melihat Buku

Sep 22, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (28) Zikir Rindu

Judul: Zikir Rindu
Pengarang: Azizi Abdullah
Penerbit: Alaf 21
Muka surat : 198 halaman
ISBN: 978-983-124-419-7
Harga: RM 10.00 (Sem M’sia) / RM 13.00 (S&S)

Kata kulit buku:

“sudah puluhan novel saya hasilkan, tetapi hati ini masih terasa kekurangan. Masih lagi tidak terasa nikmat bercinta, rindu dan kasih sayang. Jiwa tetap terlohong.

Tiba-tiba, dengan Zikir Rindu ini, saya mula merasainya. Adakah perasaan ini bagaikan ilusi? Tidak! Bagaikan halimunan malam? Juga tidak! Tetapi ia adalah satu reality hidup…agar anda dengan penuh rasa tanggungjawab bisa memahami gelodak rasa seorang tua dalam mencari erti kasih abadi…”

Azizi Abdullah, penerima anugerah SEA Write Award dan penerima anugerah MASTERA 2007 ini mengajak anda berkongsi rasa, bertingkah kata dalam karya terbarunya ini.