Showing posts with label Saifullizan Tahir. Show all posts
Showing posts with label Saifullizan Tahir. Show all posts

Dec 21, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku - (50) Kasino

Kasino
Saifullizan Tahir

ISBN: 9789671038444
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama Julai 2011
Halaman: 280
Harga: RM20

~ Rasaku… ~

Memetik kata-kata Fixi penerbitan yang memberi tumpuan kepada karya-karya baru yang bersifat urban dan masa kini. Judulnya pun hanya satu perkataan sahaja. Bikin ia gempak dan nampak boombastik. Dan jujurnya bila salah satu terbitannya ada di genggaman, aku mengharapkan sesuatu yang lebih 'luar biasa'.

Kasino membawa kisah Dato Narcissus; seorang usahawan Bumiputera yang cukup berpengaruh. Dia berkebolehan, kacak serta selesa dengan gaya hidup yang mewah dan hedonis. Tetapi apabila tampuk pimpinan bertukar, dia sedikit tersepit. Lebih parah apabila satu projek meganya sudah ditarik balik. Akibatnya dia kini terhutang lebih kurang RM3.8 juta dengan kerajaan negeri. Dalam masa 2 minggu, dia perlu melangsaikannya atau dia akan dihadapkan ke badan pencegah rasuah.

Dan dalam setiap bab yang mewakili satu hari [14 hari] yang dilalui oleh Dato Narcissus dalam usahanya mencari wang bagi membayar hutang tersebut. Dia perlu mencuba sehabis daya dalam menyelamatkan reputasinya. Dan ikhtiar terakhirnya adalah dengan mencuba nasib di gelanggang judi antarabangsa. Berjayakah Dato Narcissus mengumpul RM3.8 juta dalam masa 14 hari? Hanya Kasino ada jawapannya.

Mungkin cerita ini jujur dalam maksiat, jujur dalam perkara dosa yang dibuat. Ada 'hero' yang berpersonaliti unik - usahawan berjaya, suka minum arak, main perempuan tetapi tak tinggal solat. Nampak hampeh tapi jujur aku katakan, watak sebegini akan memberi kesan kepada para pembaca sepanjang mereka menghadam naskah ini. Apa pun tahniah penulis kerana menghidupkan watak Dato Narcissus dengan jayanya. Dia bukanlah hero pujaan Malaya romantis seperti Seth Tan dalam Kasih Yang Suci, tetapi awas karismanya tetap dapat mencairkan hati wanita. *smirk*

Kesalahan ejaan yang bukannya sedikit membunuh setiap rasa yang ada. Mungkin pihak editor perlu 'bekerja keras' sekiranya ada cetakan kedua.

There should be a 'break' before and after this para, to mark a new location [page 205] – apa relevannya ayat ini?

Happy reading (^-<)
---
Airina

Nov 29, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (49) Kasino

Judul : Kasino
Penulis : Saifullizan Tahir
Terbitan : Buku Fixi
ISBN : 978-967-10384-4-4



1. Tak sering kita (saya) dapat membaca sebuah novel yang ditulis penuh dengan kejujuran.

2. Entah, tapi itu yang saya rasakan usai membaca novel Kasino, jujur dalam maksiat, jujur dalam perkara dosa yang dibuat.

3. Satu yang membuatkan saya suka kepada Kasino adalah aliran saspens dan debaran yang diwujudkan di dalamnya. Ia simple, senang, tapi menjadi.

4. Berkisah tentang seorang Dato, yang berhutang sekian jumlah wang, yang terpaksa membayarnya kembali dalam sekian tempoh hari yang ditetapkan. Mudah. Jalan ceritanya sangat mudah.

5. Setiap bab mewakili satu hari yang dilalui Dato tersebut dalam usaha mencari wang bagi membayar hutang tersebut. Satu bab ke satu bab, hari demi hari diceritakan sehingga pembaca merasakan tekanan sama seperti Dato tersebut apabila menghampiri hari terakhirnya (bab terakhir) untuk melangsaikannya.

6. Bagi yang telah membacanya, pasti akan terkesan dengan watak utamanya. Dato Mohd Narcissus Yussof. Seorang usahawan yang berpengaruh, suka minum arak, main perempuan, sesekali berjudi, dan kuat sembahyang (fardhu dan sunat).

7. Namanya sahaja telah unik. Ditambah pula dengan personalitinya di dalam novel ini, ia bakal menjadi antara watak yang boleh kekal lama dalam ingatan saya sebagai pembaca.

8. Akan ramai yang bertanya tentang watak ini. Lepas meneguk arak, dia solat. Sesuatu yang pelik, janggal dan ironik sekali. Tapi saya merasakan persekitaran yang telah menjadi watak ini sebegitu, seperti yang dinyatakan penulisnya.

"Sejak hari itu, aku kurang bertanya. Semua yang aku mahu tahu aku cari sendiri dari buku-buku. Masa aku kecil dulu mana ada Google. Benih kesangsian aku kepada masyarakat berputik pada hari itu." ms 79

"Semenjak dari hari itu juga aku kurang percaya dengan ustazah-ustazah, ustaz-ustaz, tok guru-tok guru, malahan semua orang yang mengaku tahu tentang agama. Bila mereka tak dapat jawab, mereka marah kita balik. Salahkan kita, kononnya nak ikut Yahudi. Bodoh." ms 79

9. Bercakap mengenai sebuah naskhah yang jujur, apa yang saya maksudkan adalah tentang cara penulis menvisualkan setiap wataknya, terutama watak hero. Ideologi, pemikiran, fahaman, mazhab hidup, serta pegangan watak tersebut haruslah benar-benar diri watak itu, bukan sekadar penulis menyalin semula fikirannya ke dalam setiap watak yang diciptakan dalam sesebuah novel itu. Yang bila disusun-susun kembali, watak-watak tersebut akan membentuk diri penulis itu akhirnya. Yang mana kesannya, watak-watak itu bagai robot yang hidup dalam kematian. Tidak punya kebebasan dan kemerdekaan dalam menentukan perjalanan hidupnya sendiri.

10. Kenapa Kasino? Kerana Dato Narcissus punyai falsafah bahawa kehidupan ini adalah satu perjudian. Kita duduk dalam satu permainan judi, risiko menang kalahnya adalah 50-50. Tak ada pilihan lain, terpaksa teruskan mainan dan berharap untuk menang. Kalau kalah, beralih pula ke satu lagi permainan yang baru.

"Begitulah kehidupan, pilihan, bagai perjudian, banker atau player?" ms 241

11. Kerana itu juga penamatnya bagaikan tidak menoktahkan segala cerita yang telah dimulakan. Kerana hidup bagai perjudian, Dato Narcissus telah menamatkan satu game dan akan meneruskan pula game seterusnya. Yang dia perlu membuat pilihan lagi, berjudi lagi.

12. Namun novel ini agak 18 tahun ke atas juga. Sediakan minda, bukakan ruang fikir supaya dapat menekuni novel Kasino ini dengan semaksima mungkin. Selamat membaca.

---
Melihat Buku