Showing posts with label Airina. Show all posts
Showing posts with label Airina. Show all posts

Dec 31, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (54) Awek Chuck Taylor

Awek Chuck Taylor
Nami Cob Nobbler

ISBN: 9789671078013
Penerbit: Lejen Press
Tarikh Terbit: 2011
Halaman: 248
Harga: RM20.00

~ Rasaku… ~

Ini blook pertama yang aku beli haha5 Memang kena masuk diari la :P

ACT bercerita tentang Hafiz. Dia bertemu dengan gadis hipster anarkis yang bernama Mira. Gadis ini lain daripada gadis-gadis yang dikenalinya sebelum ini. Mira ada wawasannya sendiri. Tak mudah mengikut rentak orang lain. Dia Mira gadis yang penuh pendirian. Garang tak bertempat, ganas, kasar dan outspoken.

Mengenali Mira membawa Hafiz mengenali Aiman dan Nana; adik beradik Mira. Dan hubungan mereka makin rapat. Aku senang dengan persahabatan yang terjalin antara Aiman dan Hafiz. Namun keakraban mereka terganggu apabila Nana menyimpan rasa pada Hafiz. Bila saja Mira tahu, hubungannya dengan Hafiz turut berkocak.

Hafiz sememangnya bukan watak hero terbaik. Dia mudah rasa insecure. Memerlukan pasangan sebagai pelengkap hidup. Daripada menjadi secret admirer Sheila. Kemudiannya awek cemburu buta bernama Fadilah, awek yang kaki cukur bernama Bella... semuanya sudah menunjukkan yang Hafiz tak suka berseorangan. Dia ada masanya kelihatan sangat terdesak untuk mendapatkan teman. Agak loser di situ.

Watak Mira pula kelihatan lebih dominan. Daripada segi gaya bahasa, gerak tubuh menunjukkan dia tak mudah dibayangi dengan watak-watak lain. Nana lebih natural. Malah rasanya watak Nana yang gagap itu lebih mudah diingati. Overall aku rasa ACT adalah satu bacaan yang menarik tetapi mungkin cukup hanya sekali aku membacanya.

Happy reading (^-<)
---
Airina

A&N : Cabaran 50 Buku : (53) Biarkan Ia Berlalu

Biarkan Ia Berlalu
Sha Ibrahim

ISBN: 9789675067860
Penerbit: Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Kedua – November 2011
Halaman: 1140
Harga: RM37.00

~ Rasaku… ~

Ini novel yang paling tebal pernah aku ada. Serius. Waktu nak beli mula-mula tu, hati memang berbolak-balik tetapi disebabkan komen yang bagus daripada ahli-ahli GR aku beli juga hehe2

Nadia gadis yang periang namun disebaliknya dia menyimpul dendam yang bukannya sedikit. Pengkhianatan Tan Sri Khalid mengubah kehidupannya. Dia terima tetapi apabila mengetahui dalang sebenar, dia sudah tak mahu berpaling. Suka atau tidak, keluarga Tan Sri Khalid perlu diajar supaya menghormati hak orang lain. Apatah lagi ketika itu Johan bertindak memutuskan hubungan mereka kerana beberapa keping gambar 'panas' hasil pakatan ibu Johan dan Erin.

Lima tahun Nadia berkelana di luar negara. Dia berjaya menubuhkan sebuah Friends Corporation dengan bantuan dua sahabat baiknya; Tiara dan Baby. Setelah mengetahui Johan akan berkahwin, Nadia tekad pulang bersama dendam yang membara. Kembali ke syarikatnya, Nadia merahsiakan identitinya sebagai pemilik sebenar Friends Corporation. Dia bekerja sebagai setiausaha Syafiq, akauntan hebat syarikat mereka.

Nadia dan Syafiq umpama anjing dengan kucing. Masing-masing ego dan keras kepala. Namun pada itu ada satu perasaan halus dalam diri masing-masing tetapi kedua-duanya menafikan. Bagi Nadia, Syafiq telah mempunyai seseorang yang istimewa yang bernama Mia Khaisarah manakala bagi Syafiq, terlalu banyak rahsia dalam diri Nadia yang membuatnya keliru.

Jadi apa kesudahan hubungan Nadia dan Syafiq? Bila pula Nadia akan menonjolkan dirinya sebenar? Apakah dendam Nadia terbalas? Atau apakah Nadia akan membiarkan semuanya berlalu? Mari dapatkan kesemuanya dalam BIB :D

Kisah ini mudah dan straight forward. Tak banyak konflik pun, cuma ada satu iaitu dendam Nadia. Apa yang membuatkannya tebal adalah penerangan penulis tentang sesuatu perkara. Begitu teliti dah ada macam gaya NB. Cuma ada beberapa plot aku kira terlalu meleret. Misalnya di bab-bab awal, aku rasa agak mendatar dan membosankan.

Happy reading (^-<)
---
Airina

Dec 29, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (52) Adam & Hawa

Adam & Hawa
Aisya Sofea

ISBN: 9831242165
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan 8 - 2008
Halaman: 496
Harga: RM19.90

~ Rasaku… ~

Jujurnya ini adalah antara bingkisan terbaik oleh AS. Sungguh, aku tak tipu sebab berbanding dengan novelnya yang lain, aku paling menyukai A&H.

Jalan cerita ini mudah sahaja. Kisah Ain Hawani yang ditangkap basah dengan Adam Mukhriz. Mereka berdua dikahwinkan tanpa kerelaan Ain. Apa yang lagi menyedihkan, rayuan dan penjelasan Ain tidak dipeduli. Malah Adam diam membisu, seolah-olah membenarkan segalanya yang berlaku. Ain bertindak menyalahkan Adam yang pengecut. Kecewa dengan perkahwinan tanpa relanya, dia membawa diri jauh ke luar negara.

Setelah lapan tahun, Ain dan Adam dipertemukan di depan Masjidilharam. Pertemuan yang dianggap rahmat oleh Adam tetapi tidak pula Ain. Rasa sakit hati dan bencinya terhadap Adam masih terpendam. Lagipun Ain merasakan hubungan suami isteri yang mengikat mereka sudah lama berakhir. Dia tidak mahu berhubungan dengan Adam lagi.

Tetapi siapa yang tahu rahsia hati Adam. Setiap saat rindunya melimpah. Dibiar sepi tanpa berita, Adam tetap setia menanti Hawanya. Dan di sini bermulalah saat-saat Adam kembali mengejar cinta sang isteri. Dengan restu daripada kedua-dua belah keluarga, Adam jadikannya sebagai azimat. Bukan mudah untuk melunturkan rasa benci, namun Adam pasrah. Selagi dia berdaya, dia tak mahu melepaskan Ain buat kali kedua.

Sejak pertemuan itu, hati Ain mula berubah. Ada rasa yang mengintai, tetapi dia cuba menafikannya. Sampai bilakah dia harus berlari? Benarkah dalam hatinya tiada langsung rasa cinta buat Adam? Saksikan kesudahannya dalam novel romantis ini.

Secara peribadi, aku sangat menyukai setting yang menjadi pertemuan kembali pasangan ini. Begitu juga dengan kerjaya Adam sebagai juruterbang. Bukan mudah untuk penulis membuatkan para pembaca percaya dengan apa yang ditulisnya. Namun AS berjaya melakukannya.

Aku dah tak sabar menantikan saatnya kisah ini diaptasikan ke drama. Dengar cerita heronya sudah ada - Aaron Aziz. Untuk watak Ain tak pasti pula. Sejujurnya aku menggemari Tiz Zaqyah. Rasanya Tiz sesuai untuk membawa watak Ain daripada remaja, kemudiannya menjadi wanita dewasa. Daripada bertocang dua, kemudiannya memakai tudung. Apa pun mari kita sama nantikan saatnya. Bicara Hati pun dan nak keluar, Januari 2012 :D

My love for you dies when the last petal of these roses falls – Adam Mukhriz

Ada sesiapa nak berikan aku roses? Oh! Please... angau overload kih5

Happy reading (^-<)
---
Airina

Dec 22, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku - (51) Bisik-Bisik Gelora

Bisik-bisik Gelora
Fauziah Ashari

ISBN: 9789670184487
Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama 2011
Halaman: 598
Harga: RM25.90

~ Rasaku… ~

Percaya. Tuhan selalu punya rahsia – Faisal Tehrani

Aku tak ingat dalam buku apa petikan di atas tetapi ini sudah cukup aku gambarkan keseluruhan kisah BBG. Ya, ada masanya kita kalah dengan rasa hati. Cuba menidakkan takdir yang membelenggu. Hati-hati. Mungkin apa yang kita mahukan itu bukanlah yang terbaik untuk kita. Percaya. Tuhan memang selalu punya rahsia.

Banin Arumi anak tunggal dalam keluarga Tuan Akalil. Mungkin kerana terlalu dimanjai oleh isterinya, Arumi membesar menjadi gadis yang nakal dan lincah. Gagal mengawal anak sendiri, Tuan Akalil menghantar Arumi ke kampung. Mengharapkan suasana baru dapat mengubah perilaku Arumi.

Namun lain pula yang jadi. Arumi ditangkap basah bersama Jad Izzudin. Arumi dikahwinkan tanpa kerelaannya. Lagipun tiada siapa yang peduli akan kebenaran kata Arumi yang mereka berdua sebenarnya diperangkap. Namun perkahwinan dengan Jad umpama mala petaka. Lelaki itu ditahan polis sebaik saja akad dilafazkan. Lebih malang apabila ibu bapa Arumi meninggal selepas menghadiri pernikahannya. Akhirnya Arumi tekad membawa diri jauh daripada Jad.

Selepas 7 tahun Arumi kembali semula ke Malaysia. Sehabis mungkin dia mengelak daripada bertemu Jad. Bagaikan sudah ditakdirkan, Jad langsung tidak memberi peluang untuk Arumi melarikan diri. Masing-masing ego, membuatkan hubungan suami isteri makin dingin. Apatah lagi pertemuan pertama Jad-Arumi berlaku ketika Fakhri cuba menodai Arumi. Itu membuatkan Jad berprasangka yang Arumi gadis yang suka berpeleseran. Masih bersuami tetapi tetap keluar dengan lelaki lain.

Arumi sendiri sukar memaafkan Jad dengan apa yang berlaku. Sementelah kata-kata nista yang sering keluar daripada mulut Jad. Malah kehadiran Akif Alaudin membuatkan Jad makin sakit hati. Dia tak mahu mengaku Akif itu anaknya walaupun Arumi bertegas yang itu anaknya bersama Jad.

Lalu di manakah penghujungnya rumahtangga mereka yang suram itu? Mungkinkah bertambah sukar dengan kehadiran Nada? Mampukah Akif mendapat kasih seorang ayah? Kenalah baca novel ini untuk tahu kesudahannya.

Sejujurnya aku tak begitu menggemari BBG. Plot cerita yang melompat tahun menyebabkan rasaku pun ‘terlompat-lompat’ juga. Nampak seperti penulis kekurangan idea dan mahu cepat menamatkan kisahnya. Padaku OR lebih menyerlah. Namun buat peminat setia FA, jangan lepaskan peluang mendapatkan buah tangan terbaru beliau.

Mengambil terlalu banyak masa untuk aku menamatkan pembacaan. 12 hari, lama kan? Tak tahu sama ada novel ini atau pun mood membaca aku yang jatuh merundum.

Happy reading (^-<)
---
Airina

Dec 21, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku - (50) Kasino

Kasino
Saifullizan Tahir

ISBN: 9789671038444
Penerbit: Buku Fixi
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama Julai 2011
Halaman: 280
Harga: RM20

~ Rasaku… ~

Memetik kata-kata Fixi penerbitan yang memberi tumpuan kepada karya-karya baru yang bersifat urban dan masa kini. Judulnya pun hanya satu perkataan sahaja. Bikin ia gempak dan nampak boombastik. Dan jujurnya bila salah satu terbitannya ada di genggaman, aku mengharapkan sesuatu yang lebih 'luar biasa'.

Kasino membawa kisah Dato Narcissus; seorang usahawan Bumiputera yang cukup berpengaruh. Dia berkebolehan, kacak serta selesa dengan gaya hidup yang mewah dan hedonis. Tetapi apabila tampuk pimpinan bertukar, dia sedikit tersepit. Lebih parah apabila satu projek meganya sudah ditarik balik. Akibatnya dia kini terhutang lebih kurang RM3.8 juta dengan kerajaan negeri. Dalam masa 2 minggu, dia perlu melangsaikannya atau dia akan dihadapkan ke badan pencegah rasuah.

Dan dalam setiap bab yang mewakili satu hari [14 hari] yang dilalui oleh Dato Narcissus dalam usahanya mencari wang bagi membayar hutang tersebut. Dia perlu mencuba sehabis daya dalam menyelamatkan reputasinya. Dan ikhtiar terakhirnya adalah dengan mencuba nasib di gelanggang judi antarabangsa. Berjayakah Dato Narcissus mengumpul RM3.8 juta dalam masa 14 hari? Hanya Kasino ada jawapannya.

Mungkin cerita ini jujur dalam maksiat, jujur dalam perkara dosa yang dibuat. Ada 'hero' yang berpersonaliti unik - usahawan berjaya, suka minum arak, main perempuan tetapi tak tinggal solat. Nampak hampeh tapi jujur aku katakan, watak sebegini akan memberi kesan kepada para pembaca sepanjang mereka menghadam naskah ini. Apa pun tahniah penulis kerana menghidupkan watak Dato Narcissus dengan jayanya. Dia bukanlah hero pujaan Malaya romantis seperti Seth Tan dalam Kasih Yang Suci, tetapi awas karismanya tetap dapat mencairkan hati wanita. *smirk*

Kesalahan ejaan yang bukannya sedikit membunuh setiap rasa yang ada. Mungkin pihak editor perlu 'bekerja keras' sekiranya ada cetakan kedua.

There should be a 'break' before and after this para, to mark a new location [page 205] – apa relevannya ayat ini?

Happy reading (^-<)
---
Airina

Dec 19, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (49) Antara Dendam dan Rindu


Antara Dendam dan Rindu
Rabihah Nur Ridhuan

ISBN: 9789670184685
Penerbit: Buku Prima Sdn Bhd
Tarikh Terbit: 15 Mei 2011
Halaman: 528
Harga: RM19.90

~ Rasaku… ~

Sweet tak cover ni? Sweet kan? Sebab tu tertarik dengan novel ni. Nasib baik juga ceritanya ok :D

Mariam Qistina tak pernah menduga hidupnya penuh derita. Sebaik sahaja kehilangan kedua ibu bapanya, dia dan adiknya; Irdina bukan sahaja menjadi yatim piatu tetapi hilang saudara dan harta. Andai sebelum ini hidupnya dilimpahi kemewahan tetapi semua itu lenyap dalam sekelip mata setelah permergian orang tuanya. Pak Long Sahak rupa-rupanya hanya berselindung di sebalik topeng kemanusiaannya. Semuanya menjadi mimpi ngeri sebaik sahaja Sahak mengambil alih hak penjagaan Qistina dan adiknya.

Qistina dilayan tak ubah seperti hamba abdi di rumahnya sendiri setelah Sahak sekeluarga pindah ke banglonya. Esah; isteri Sahak bukan main lagi bertukar watak. Terus jadi singa betina. Mendera Qistina dan adiknya tanpa belas kasihan. Sudahnya Irdina yang didera fizikal dan mental telah menjadi gila. Kemuncak episod penderitaan dua beradik ini apabila Qistina dipaksa menandatangani surat penyerahan harta kepada pak longnya. Kemudian, dengan rela hati si Sahak membenarkan Qistina membawa adiknya ke hospital dan mereka kemalangan. Tragis!

Dec 16, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (48) Ingat Janji Kita

Ingat Janji Kita
Murni Aqila
ISBN: 9789831247211
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: September 2011
Halaman: 528
Harga: RM21

~ Rasaku… ~

Nampaknya MA suka bereksperimen dengan watak heroinnya. Dan kali ini dengan membangunkan watak perempuan tomboy. Kiranya MA tak mahu setiap novelnya dihidangkan dengan watak yang stereotaip. Jadi para pembaca pun tak akan mudah muak.

Raimi dan Adi berkenalan di stesen minyak milik makcik Adi. Hubungan mereka bertambah rapat daripada hari ke hari. Lagipun Raimi umpama escapism buat Adi dalam menempuh hidupnya di bawah kawalan makciknya yang garang dan kejam. Adi dilayan seperti hamba abdi, bekerja 24 jam 7 hari seminggu di stesen minyak. Upahnya pun tak setimpal dengan pekerjaan yang dilakukan tetapi Adi tiada jalan lain, makcik itulah satu-satunya saudara yang dia ada.

A&N : Cabaran 50 Buku : (47) Igauan Maut

Igauan Maut
Ramlee Awang Murshid

ISBN: 9836245642
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Tarikh Terbit: 1995
Halaman: 164
Harga: RM6.50

~ Rasaku… ~

Karya pertama RAM umpama masterpiece teragungnya. Di sini kita dapat melihat dan memahami bagaimana beliau memulakan langkah untuk terbang tinggi dalam bidang penulisan tanah air. Novel ini membuktikan bahawa tidak perlu mukasurat yang tebal untuk menjadi satu novel suspen thriller, cukup dengan gaya penceritaan dan pembentukan watak yang baik.

IM memaparkan kisah dendam akibat daripada tragedi ngeri yang berlaku pada September 1963. Kisah yang meragut seluruh keluarga Marlia yang terseksa kerana mengahwini Ali @ Miyakoto Sakurai. Ada pula segelintir penduduk kampung yang tak puas hati sebab masih ada lagi saki baki penjajah Jepun di kampung mereka. Akibatnya rumah Ali dan Marlia dibakar.

A&N : Cabaran 50 Buku : (46) Sembang Kencang 2

Sembang Kencang 2
Fdaus Ahmad

ISBN: -
Penerbit: Dubook Press
Tarikh Terbit: Edisi Pertama Cetakan 2011
Halaman: 125
Harga: RM20

~ Rasaku… ~

Ini blook yang kedua selepas Catatan Nizam Sani yang aku kira paling menyengat. Kiranya yang memang ‘masuk’ dengan jiwaku. Ditambah pula dengan gaya dan teknik penceritaan yang mudah dan senang untuk dihadam.

Aku tak pernah membaca edisi pertamanya: Sembang Kencang 1. Jadi tiada apa yang boleh dibandingkan dengan edisi pertamanya, malah setelah menghabiskan SK2, aku sudah meletakkan batu aras untuk blook yang seterusnya. Makanya, blook seterusnya haruslah lebih baik daripada SK2 atau pun sekurang-kurangnya menyamai standard yang telah aku tetapkan. Cewahh :P

Dec 1, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (45) Kuseru Rindu Itu

Kuseru Rindu Itu
Hanni Ramsul

ISBN: 9789675067839
Penerbit: Kaki Novel Enterprise Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama September 2011
Halaman: 729
Harga: RM26

~ Rasaku… ~

Ada masanya memang sukar untuk mengukur bahagia itu bagaimana. Dalam membina keluarga yang bahagia, mungkinkah kita terlupa tentang aspek perhubungan hati antara dua pasangan? Aku rasa itu yang cuba dirungkaikan dalam naskhah terbaru Hanni Ramsul.

Perkahwinan antara Hisyam dan Idayu memang bahagia walaupun pada mulanya perkahwinan ini adalah aturan dua keluarga. Apatah lagi dengan kehadiran Syafiq, si anak lelaki yang cukup keletah bagaikan sudah melengkapi konsep bahagia di mata Idayu. Namun tidak bagi Hisyam. Ada sesuatu yang masih kosong di hatinya.

Kehadiran Maisara bagaikan mengisi kekosongannya itu. Maisara mengajar Hisyam erti rindu. Maisara juga berjaya membawa debar di hatinya. Yakin dengan hatinya, Hisyam cuba mengejar cinta yang dicarinya. Dia nekad mahu bersama-sama dengan Maisara.

Namun desakan Maisara yang mahukan Idayu disingkirkan di antara mereka, telah membuka satu dilema baru. Walaupun Hisyam yakin hubungannya dengan Idayu hanya berlandaskan rasa tanggungjawab, satu kenyataan yang paling dia takuti adalah dia tidak mampu untuk berpisah dengan Idayu. Benarkah dia mencintai Maisara, dan benarkah juga hubungannya dengan Idayu hanya kerana tanggungjawab semata-mata?

Scene yang paling aku suka bila si Syafiq jadi posmen ketika Hisyam cuba memujuk Idayu. Lagi sweet masa Hisyam dan Idayu tulis-tulis surat senyum-senyum padahal duduk sebelah-menyebelah. Aku juga suka dengan cara penulis yang tak sewenang-wenangnya mematikan watak Maisara. Ia bukanlah stereotaip dengan mencipta satu adegan accident atau pun penyakit kronik. Kiranya memang ada ending yang cukup berbeza untuk watak annoying sebegini.

Jika anda peminat PAM, rasanya memang tiada masalah untuk menikmati KRI ini kerana novel ini menarik walaupun ceritanya agak klise. Apa yang pasti tulisan dan gaya penceritaan Kak Hanni makin mantap. Meletup wa cakap sama lu... :P

Happy reading (^-<)
~Airina~

A&N : Cabaran 50 Buku : (44) Aku Bukan Mistress

Aku Bukan Mistress
Acik Lana

ISBN: 9789675067846
Penerbit: Kaki Novel Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Ketiga Disember 2011
Halaman: 671
Harga: RM22

~ Rasaku… ~

Ini kisah yang menarik perhatianku sebaik sahaja membelek helaian pertama. Kelainan yang dibawa oleh penulisnya memang mengujakan. Malah jarang sebenarnya watak-watak utama yang mempunyai sisi hitam diterjemahkan dengan baik dalam sesebuah novel. Tajuk ABM sudah menggambarkan isi cerita novel ini. Jadi seeloknya novel ini dijauhkan daripada mereka yang berusia 18 tahun ke bawah.

Mya Arlissa punya nama indah yang tak seindah kisah hidupnya. Terperangkap dalam dunia kotor itu bukan kehendak hatinya tetapi apakan daya. Mujur ada sang penyelamat, si ‘hero’ yang muncul dalam kelam. Tetapi siapa sangka, Mikail sama saja seperti yang lain, hidup bertunjangkan nafsu dunia.

Hampir dua tahun bersama-sama Mikail, Mya mula menyedari sesuatu. Apatah lagi dengan kematian neneknya, umpama satu wake up call buat Mya. Sudah terlalu lama bertemankan dosa, apakah ada jalan pulang buatnya? Di saat ini, Mya mula berubah, menjauhkan diri daripada Mikail. Dia perlu mencari arah hidupnya kembali.

Namun bagi Mikail, bukan senang untuknya melepaskan Mya. Dia tak mahu teman lain selain Mia. Ego tingginya dibuang begitu saja bila Mya bertekad untuk pergi daripada dunia palsu mereka. Dia akur yang dia kini sudah jatuh cinta pada perempuan yang di’bela’nya. Pelbagai cara dilakukan untuk memenangi hati Mya semula.

Untuk membina kembali hubungan baru antara mereka bukan mudah. Kehadiran Adam yang kejam, Shamil yang tiba-tiba hadir menuntut janji dan Suzanne yang menyakitkan hati benar-benar menyukarkan hidup Mya. Apatah lagi dengan penolakan Datin Adiba; ibu Mikail yang begitu membenci perempuan seperti Mya. Apa kesudahan kisah Mya dan Mikail? Berjayakah mereka membina semula hubungan yang direstui dan halal di sisi agama? Mari saksikan dalam kisah ABM ini.

Pujian memang harus diberikan pada Acik Lana kerana menjanjikan sesuatu yang berbeza dalam kisahnya ini. Aku juga harus memuji cara penulis ‘memutihkan’ kembali watak Mya dan Mikail. Kredit kepada Kaki Novel juga kerana membawa variasi dalam novel-novel keluarannya, bukan lagi santai tetapi sudah ada novel yang disampaikan dalam nada berat dan dramatik.

Setiap manusia itu diberi pilihan. Memilih jalan putih atau kekal bergelumang dalam dosa. Dan bila saja pilihan dibuat, kita harus menempuh segala yang merintanginya. Suka dan duka itu rencahnya. Lived with bless guys~~

Happy reading (^-<)
~Airina

Nov 29, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (43) Cinta Aku Seadanya

Cinta Aku Seadanya
Murni Aqila
ISBN: 9789831245965
Penerbit: Alaf 21 Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Oktober 2011
Halaman: 512
Harga: RM19.90

~ Rasaku… ~

Kata bidalan; ‘Dari mata turun ke hati.’ Tetapi bagaimana kalau yang dilihat oleh sang mata tak seindah apa yang ada dalam hati? Mungkinkah kita boleh menidakkan mata kasar yang sering saja suka pada keindahan dan jijik pada keburukan?

Penulis bijak bermain dengan emosi para pembacanya. Mahu kita merasai betapa hibanya menjadi Syifa yang sering saja dicaci hanya kerana mempunyai tanda lahir di pipi. Dengan kekurangan yang ada bukannya mengundang rasa simpati tetapi sebaliknya. Dia menjadi bahan mainan, cercaan dan hinaan. Sungguh rasa simpati akan jatuh mencurah-curah kepada Syifa apabila anda menyelami perasaan gadis suci ini.

Walaupun Syifa cuba menjadi kuat tetapi ada masanya dia tewas juga. Apatah lagi kakak kandungnya sendiri, Zahra sering saja mengutuknya. Ada saja perkara yang membuat kakaknya itu sakit hati. Namun, tak siapa tahu Zahra berlaku sedemikian kerana perangai suaminya yang tak serupa orang. Dia seperti mahu melindungi adiknya yang polos daripada dipermainkan oleh orang lain. Nampaknya penulis berjaya ‘memutihkan’ watak Zahra dengan baik.

Takdir Tuhan membawa Syifa berkenalah dengan Nafisah. Ibu berhati tulus ini begitu menyenangi Syifa, melihat Syifa membawa damai ke dalam hatinya. Padanya, Syifa adalah anugerah istimewa dari Tuhan yang hadir dalam hidupnya. Dia berhajat untuk menyunting Syifa menjadi isteri buat anaknya; Muszahri. Namun apa yang lebih mengejutkan Syifa apabila Muszahri sendiri setuju menerimanya sebagai isteri.

Duka dan malang datang bertimpa. Entah apa silapnya, Muszahri langsung tidak menyentuhnya selepas mereka diijabkabulkan. Mungkinkah Muszahri benar-benar bercinta dengan Luna? Dan itu menyebabkan Muszahri tak mampu berpaling dari Luna? Kasihan Syifa. Apa lagi yang tinggal untuknya?

Ada sesuatu yang aku tak faham. Muszahri ada mengatakan sebab mengapa dia menghindarkan diri daripada Syifa, tetapi aku gagal mengesan sebabnya. Mungkin ada yang tertinggal. Kena baca lagi nampaknya kih5 :P

Happy reading (^-<)
~Airina

Nov 17, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (42) Terlanjur Mencintaimu

Terlanjur Mencintaimu
Syamnuriezmil

ISBN: 9789670246000
Penerbit: KaryaSeni Enterprise
Tarikh Terbit: Mac 2011
Halaman: 441
Harga: RM18

~ Rasaku… ~

Dah lama rasanya aku tak membaca kisah cinta-kahwin yang ditetapkan oleh keluarga ini. Selalunya asyik cerita kahwin paksa je kih5 :P

Kali ini kerana wasiat, dua insan yang tak pernah ada rasa cinta ini perlu berkahwin. Johan Iskandar yang ketika itu sedang enak berkasih dengan Intan terpaksa memilih Tengku Hanis sebagai isteri. Lagipun bukan hanya kerana wasiat, tetapi Johan begitu terdesak ingin mengetahui apa yang berlaku di antara ayah dan datuknya sehingga mereka keluar daripada STH sehelai sepinggang.

Mengahwini Tengku Hanis bukan kerana cinta tetapi menjadi suami Tengku Hanis amat membahagiakan. Walau mungkin hanya dia yang bertepuk sebelah tangan, tetapi dia tetap rasa bahagia. Bagai dilambung-lambung ke langit.

Tengku Hanis bukannya menidakkan kehadiran Johan Iskandar cuma entah mengapa hatinya sedikit keras. Bukan tidak terasa akan kasih sayang yang dicurahkan, malah hatinya sudah lama bergelora. Menyembunyikan rasa sayang yang mula bercambah dalam hati.

Wasiat yang ditinggalkan oleh nenda ada masa luput. Syaratnya Tengku Hanis dan Johan perlu mempunyai anak dalam masa 2 tahun. Seandainya itu tidak ditepati, segala harta peninggalan nendanya akan diserahkan kepada anak-anak yatim. Jadi berjayakah Johan Iskandar melumpuhkan kubu pertahanan hati Tengku Hanis? Mari kita saksikan dalam novel comel ini :D

Cerita ini disampaikan dengan mudah. Sangat teratur daripada satu babak ke satu babak, itu yang aku suka. Juga tiada konflik yang memeningkan kepala. Simple. Jadi anda akan hanya meniti rasa-rasa indah orang yang baru belajar bercinta.

Selamat jatuh cinta!

Happy reading (^-<)
---
Airina

A&N : Cabaran 50 Buku : (41) Kitab Terfaktab

Kitab Terfaktab. Definisi Cinta #1
Aqram, Penulis.Sahaja, Mr.K, Elena Reeney, Amoi, Lord Zara, TheBentPencil, BraderLeplep, Bukan Penggoda, Cob Nobbler, Shahirah Khairudin, Hellioz, Ulii Azman

ISBN: -
Penerbit: Lejen Press
Tarikh Terbit: Edisi Pertama Cetakan Terakhir 2011
Halaman: ~ 114
Harga: RM 20

~ Rasaku… ~

Kalau kau takde makwe atau pakwe. Maknanya kau memang power! [page 112]

Tersengih-sengih sendirian ketika aku meneliti petikan ayat di atas. Power tang mana tu? hik3 lalala5 :P

Well at last, kitab cinta yang dinanti-nanti ini menjengah pasaran. Tak sangka pula aku berkesempatan membacanya. Credit to Ajib :))

Ini rangkuman kisah-kisah cinta daripada 15 orang penulis tegar blog terfaktab. Disampaikan dengan santai tetapi masih ada isinya. Terselit juga komik-komik yang buat aku ketawa. Cubaan yang sangat kreatif.

Daripada kisah putus cinta, baru nak bercinta dan sebagainya telah dikongsikan di dalam kitab ini. Ada juga pengalaman bercinta yang dirungkaikan. Dan kebanyakan kisahnya pernah dibaca di laman mereka sebelum ini.

Aku tak tahu apa definisi orang tentang cinta. Bagiku cinta itu sesuatu yang luhur, hasil daripada hati yang sangat dalam. Ia datang bersama dengan rasa sakit, kecewa dan luka. Mungkin ada orang boleh jatuh cinta sampai 4-8 kali, tetapi ia tetap cinta. Orang yang jatuh cinta saja yang tahu kenapa boleh terjatuh cinta banyak kali begitu :P

Jujurnya aku rasa masih ada yang belum dikeluarkan oleh geng terfaktab ini. Mungkin kerana ini adalah edisi pengenalan. Jadi tak boleh la nak cerita semua kan?

Mungkinkah akan ada edisi kedua, ketiga dan seterusnya? Mari kita nantikan.

Kenal diri sendiri setulus-tulusnya, sebelum mengundang orang lain untuk mengenali diri kita [page 112]

Happy reading (^-<)
---
Airina

Nov 1, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (40) Grrr… Geramnya!

Feeza

ISBN: 9789675118661
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama Ogos 2011
Halaman: 527
Harga: RM 21

~ Rasaku… ~

Tak sangka pula dengan sikap geram boleh dijadikan penggerak utama dalam sesebuah cerita. Nothing is impossible right? hehe2 Buah tangan pertama penulis baru ini membawa dimensi yang lain kepada para pembacanya. Sedikit lari daripada cerita cinta yang berlambak di pasaran, jadi pada mereka yang inginkan sesuatu yang santai boleh cuba membaca novel ini.

Sheila [Ila] mungkin gadis biasa. Workaholic, pandai cari duit, hormat pada ibu bapa tetapi ada satu masalah. Dia cepat marah, mudah geram. Tak salah kalau dikatakan yang marah dan geram itu umpama teman akrabnya. Salah sikit pun boleh mendatangkan amarahnya. Bahaya!

Disebabkan rasa marah dan geramnya dia buat keputusan melulu. Misalnya ketika kenaikan gajinya yang kurang 5% daripada kakitangan lain dan dia tidak dipilih untuk mengikuti kursus di Taiwan, dia tak senang duduk. Gagal mengawal rasa geramnya, dia menulis surat berhenti kerja. Datang pula si penyibuk Chan, terus saja Chan berikan suratnya kepada majikan. Malu untuk berpatah balik, Ila meneruskan jua langkahnya walaupun ada rasa terkilan.

Oct 25, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (39) Nuansa Kota Merah

Nuansa Kota Merah
Khairyn Othman

ISBN: 9789675118623
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama Jun 2011
Halaman: 511
Harga: RM 20

~ Rasaku… ~

Seperti mengembara ke tanah Andalusia. Ya, memang ini satu pengembaraan. Bersama-sama penulis mengenali erti makna pejuang. Kagum kerana semangat penulis yang mahukan para pembacanya turut mengenali erti ‘pejuang’ yang sebenarnya wujud dalam diri kita.

Kisah Dina pada awalnya agak tipikal. Kisah si gadis bebas bersosial yang kemudiannya mengalami rasa rusuh dalam jiwa setelah pemergian neneknya. Dina didatangi mimpi aneh berulang kali menyebabkan dia mula rasa tak tenteram. Bersama-sama temannya; Najihah mereka merancang percutian ke Sepanyol dan di sini, persepsi Dina tentang hidup mula berubah.

Dina bertemu dengan Aaron yang tiba-tiba menjadi ‘pemandu pelancong’nya kerana kenalan mereka, Joaquin ditimpa kemalangan. Najihah pula yang sudah jatuh hati pada Joaquin memutuskan untuk menjaga si buah hati. Tinggallah Dina dengan Aaron yang ‘sombong’ dan ‘menjengkelkan’.

Oct 14, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (38) Happiness Now

Andrew Matthews

ISBN: 9780975764275
Penerbit: SeaShell Publishers
Tarikh Terbit: 8th reprint April 2010
Halaman: ~ 124
Harga: RM 48

~ Rasaku… ~

Semua orang berhak bahagia dan gembira. Seboleh-bolehnya peluang yang ada ini ingin digunakan sebaik-baiknya untuk meraih bahagia dan menikmati kegembiraan. Kita boleh bahagia dan gembira dengan cara kita sendiri. Namun, beringatlah yang kegembiraan dan kebahagiaan yang kita lalui itu tidak berpunca daripada kesengsaraan orang lain.

Dalam buku ini banyak memberikan kita panduan tentang bagaimana hendak mencapai kebahagiaan dan kegembiraan secara jujur melalui usaha sendiri. Tak dapat dinafikan yang mencipta kebahagiaan bukanlah mudah tetapi ia boleh dimulakan. Mulakan dengan membahagiakan diri sendiri dahulu. Umpamanya:

The first trick to happiness – and success – is to appreciate what we’ve already got [page 119]

Ya, untuk mencari kebahagiaan bukanlah mengangankan yang kita ini begini, kita ini begitu. Apa yang lebih penting menghargai apa yang kita ada. Ada masanya less is more. Tak perlu jadi kaya untuk bahagia. Tak perlu cantik untuk rasa gembira. Yang lebih penting adalah menenangkan hati sendiri dengan memberi santapan spiritual dan rohani. Carilah peace of mind dalam diri, moga kebahagiaan anda akan lebih berpanjangan. Syukur itu asasnya!

Oct 6, 2011

A&N : Cabaran 30 Buku : (37) Di Bawah Pohon Hawthorn

Marita Conlon-Mckenna
Penterjemah: Ramlah Muhamad

ISBN: 9789834606251
Penerbit: The O’Brien Press Ltd. Karya Terjemahan Dewan Bahasa dan Pustaka
Tarikh Terbit: 1990 & Cetakan Pertama 2010 [DBP]
Halaman: ~ 208
Harga: RM14

~ Rasaku… ~

Membaca kisah tiga beradik ini begitu mengesankan. Entah bagaimana mereka menghadapi hari-hari yang berlaku dengan penuh ketabahan, sedangkan kanak-kanak seusia mereka ketika ini sedang enak bersenang-lenang menghadap televisyen dan internet. Ironis.

Kisah pengembaraan Elly, Michael dan Peggy adalah kisah hidup yang sebenar di zaman kebuluran di Ireland yang berlaku pada akhir 1880-an. Kebuluran yang teramat teruk hingga memusnahkan hampir keseluruhan penduduk Ireland khususnya.

Kembara tiga beradik ini bermula di saat penantian kepulangan ayah dan ibunya bagaikan sudah tiba di noktahnya. Keyakinan bahawa kedua-dua orang tuanya akan pulang beransur-ansur hilang. Apatah lagi ketika itu mereka telah disuruh untuk berpindah ke rumah perlindungan. Elly tak mahu berpisah dengan adik-adiknya. Akhirnya dia tekad untuk melarikan diri, membawa pergi Michael dan Peggy jauh daripada rumah mereka. Cuba menjejaki nenek-nenek saudara mereka yang hanya diketahui ceritanya melalui ibu mereka.

Entah di mana semangat juang mereka itu hadir. Tetapi ia bagaikan penyuluh kepada tiga beradik ini untuk terus berjuang menempuh perjalanan yang jauh dan sukar. Menyelusuri langkah-langkah mereka, aku sendiri terfikir bagaimana agaknya jika aku di tempat mereka. Seandai hidup dilanda badai, seandai hati dirundum malang, cukup kuatkah untuk menghadapi segala-galanya? Entah aku nanti bisa bangkit kembali atau tidak?

Cerita ini memang wajar [baca: wajib] dibaca oleh anak-anak muda kini supaya mereka tahu erti kesyukuran. Kita hidup di Malaysia dengan penuh rukun dan damai. Tidak menghadapi saat-saat sukar seperti tiga beradik ini. Wajarlah kita mensyukuri nikmat yang Tuhan pinjamkan kepada kita.

Tuhan ada caranya sendiri mengatur hidup kita dan tak tahulah kenapa hidup ini begitu sukar. Kita kenalah berusaha yang terbaik dengan apa yang kita ada, menyayangi satu sama lain dan meneruskan hidup ini [page 42]

Dan itulah hakikat kehidupan ini. Kita diuji dengan pilihan. Berusaha dan kemudian bertawakal. Tiada yang lebih berkuasa daripada-Nya. Yakin dan redha. Dia tak akan menghampakan hamba-hamba-Nya. Percayalah.

Ps: Book swapping with Pei Pan. Thanks dear :D

Happy reading (^-<)
---
Airina

Sep 26, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (36) Buku Conteng2


Buku Conteng² (Edisi Kedua)
Fadhli Hamdan

ISBN: -
Penerbit: www.contengconteng.com
Tarikh Terbit: -
Halaman: ~ 52
Harga: RM 25



~ Rasaku… ~

Comel.

Comel.

Comel.

Senyum. Ketawa. Senyum. Ketawa... Eh! Macam orang gila *hantuk kepala ke dinding*

A&N : Cabaran 50 Buku : (35) Buku Conteng2


Buku Conteng² (Edisi Pertama)
Fadhli Hamdan

ISBN: -
Penerbit: www.contengconteng.com
Tarikh Terbit: -
Halaman: ~ 54
Harga: RM 25

~ Rasaku… ~

Seni itu subjektif. Kreativiti pula sesuatu yang unik. Dengan hanya bermodalkan kertas sticky note yang berwarna-warni, contengan menggunakan pensil dan pen biasa mampu menghasilkan sesuatu yang unik. Semuanya nampak indah di mataku. Sungguh. Contengannya nampak raw dan ori. Ada masanya ada kesan lipatan lagi. Kagum. Ya, aku kagum dengan kreativiti pelukis/penulis ini.