Showing posts with label info sastera. Show all posts
Showing posts with label info sastera. Show all posts

Jul 3, 2009

Siapa penulis pilihan anda

Siapa penulis pilihan anda



Kategori Fiksyen dan Bukan Fiksyen Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009

BAGI memungkinkan pembaca Dunia Buku, Sastera membuat pemilihan pengarang pilihan mereka muncul sebagai pemenang Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, diperturunkan beberapa maklumat mengenai mereka.

Dr Danial Zainal Abidin yang dicalonkan dalam Kategori Bukan Fiksyen menerusi bukunya, Minda Muslim Super adalah Pengarah Urusan Danial Zainal Consultancy Malaysia Sdn Bhd dan juga Pengurus dan Pengamal Perubatan di Klinik Syifa Glugor, Pulau Pinang.

Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, pemegang Ijazah Kejuruteraan Sumber Mineral daripada Universiti Sains Malaysia dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) Kejuruteraan Perlombongan dari Queensland, Australia, pengasas kursus Motivasi Alihan Pelajar, mempertaruhkan Teknik Memotivasikan Anak Cara Positif.

Dr HM Tuah Iskandar yang sudah menghasilkan lebih 50 buku dalam pelbagai bidang, sudah menerima 28 anugerah dalam bidang penulisan termasuk kreatif, dicalonkan menerusi dua bukunya, Fikir-fikirlah dan Membina Cinta Sayang.

Datuk Dr Mohd Fadhilah Kamsah adalah Pengarah Urusan Excel Training & Consultancy (M) Sdn Bhd menerima ijazah PhDnya dari Universiti Wisconsin, Amerika Syarikat, menerima pencalonan menerusi bukunya, Langkah Bijak Usahawan Terbilang.

Muhd Kamil Ibrahim adalah profesor perakaunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM), sudah menulis beberapa buku termasuk karya laris di pasaran dan lebih 400 rencananya diterbitkan dalam pelbagai media massa, ‘memperjudikan’ Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman.

Muhsin Labib yang dilahirkan di Jember, Jawa, menerima ijazah sarjana mudanya di Iran dan PhD dari di Universiti Islam Negeri Hidayatullah, banyak menghasilkan buku agama dan dicalonkan menerusi bukunya, Ahmadinejad: Singa Baru Dunia Islam.

Datuk Siti Nor Bahyah Mahmood adalah lulusan Pengajian Islam dan Bahasa Arab, Universiti al-Azhar, Mesir, sudah melahirkan lebih 40 album ceramah agama, motivasi dan petua dalam bentuk CD, VCD dan kaset, menguji peluangnya lewat Hadiah Untuk Muslimah.

Azahar Abdul Rahman, penulis berpengalaman luas dalam bidang keusahawanan internet dan sistem perakaunan adalah akauntan bertauliah Thames Valley University, London, dicalonkan menerusi bukunya, Rahsia Buat Duit dengan Ebay.

Ramlee Awang Murshid yang dicalonkan dalam Kategori Fiksyen adalah wartawan penyiaran di RTM Angkasapuri, menerima empat anugerah penulisan kreatif peringkat kebangsaan, dicalonkan menerusi Hijab Sang Pencipta.

Aleya Anessa, Penolong Pegawai Perancang Bahasa, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, sudah menulis Semusim Rindu, Kasih Antara Kita, Janjiku Bersamamu, Hanya Dia Tahu dan novelnya, Segalanya Untukmu, memasukkan namanya dalam senarai Kategori Fiksyen.

Anis Ayuni, lulusan Sarjana Perancangan dan Pentadbiran Pendidikan dari Universiti Malaya dan berkhidmat sebagai Penyelia Petang SMK Seri Saujana, Bandar Baru Petaling, Kuala Lumpur muncul sebagai penerima anugerah tahun lalu, dicalonkan kali ini lewat Seribu Kali Sayang.

Damya Hanna yang baru saja menamatkan pengajian perakaunan di UKM adalah penulis Bicara Hati, Sepi Tanpa Cinta, Saat Cinta Bersemi, Ilham Hati, Senafas Rindu dan novelnya, Ternyata Cinta, melayakkannya termasuk dalam senarai Kategori Fiksyen.

Norhayati Berahim yang mempunyai penerbitan sendiri dicalonkan menerusi novelnya, Kembalikan Cintaku juga penulis Andai Semalam Ku Miliki, Biarkan Aku Menangis, Bunga Kasih, Chinta Cinta dan Tidak Aku Bersuara.

Aisyah Sofea yang dicalonkan menerusi Selagi Ada Dia adalah juga penulis novel Adam & Hawa, Buatmu Kekasih, Far Away, Gelora Jiwa, Jauh, Jendela Hati, Kau Untukku dan Sehangat Asmara.

Zaid Akhtar peserta Program Penataran Sastera Mastera (genre novel) di Bogor, Indonesia pada 2006 dan penulis Sesegar Nailofar (2001), Rona Bosphorus (2003) dan Justeru Impian di Jaring (2007).dicalonkan menerusi novelnya, Salju Sakinah.

Mimie Afinie yang bermula dengan Bisikan Rindu pada 2004, menggarap Masih Ada Rindu, Maafkanku … Sayang, Tinggallah Pujaan, dicalonkan menerusi novelnya, Kalau Ada Jodoh.

Siti Rosmizah, peguam yang menerima ijazahnya dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) boleh berbangga dengan novel sulungnya, Andai Itu Takdirnya yang sudah tujuh kali dicetak ulang dan melayakkannya untuk disenaraikan dalam Kategori Fiksyen anugerah ini.

Fauziah Ashari yang bermula dengan novel sulungnya, Pergilah Sepi dan Ombak Rindu yang mencatat kejayaan cemerlang sehingga mendorongnya tampil sebagai usahawan dalam bidang penerbitan, dicalonkan menerusi Rindu Cintaku.

Borang asal penyertaan yang akan diterbitkan lagi pada 10 Julai ini dan alamatkan penyertaan kepada Anugerah Pilihan Pembaca Popular - Berita Harian 2009, Marketing Department, Popular Book Co (M) Sdn Bhd, No: 8, Jalan 7/118B, Desa Tun Razak, 5600, Kuala Lumpur.

Mar 11, 2008

Sekadar Renungan Bersama...

Dipetik dari sini.

Apabila Sasterawan Negara dipinggirkan...
Amin Iskandar Jan 22, 08 7:43am

12 Januari lalu Berita Harian melaporkan bahawa tiada karya Sasterawan Negara (SN) tersenarai sebagai buku teks baru Komponen Sastera Dalam Mata Pelajaran Bahasa Melayu (Komsas) bagi sekolah menengah yang disemak semula dan dijangka digunakan pada tahun 2010.

Selain daripada itu Pusat Perkembangan Kukurikulum (PPK), Kementerian Pelajaran turut tidak menyenaraikan puisi, cerpen, novel dan drama penerima Anugerah Penulisan Sea dan pemenang Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM), hadiah sastera peringkat negeri dan swasta, baik bertema Islam mahupun kemerdekaan, meskipun diberi perhatian panel pemilih.

Menurut Laporan Berita Harian tersebut, alasan yang diberikan oleh PPK, Kementerian Pelajaran ialah karya-karya SN terlalu berat dan sarat dengan pemikiran, oleh kerana itu ianya sangat sukar difahami oleh pelajar. Jesteru, PPK memilih penulis popular dan teks yang mendapat sambutan bagi menarik minat pelajar dalam Komsas.

Penulis-penulis popular yang akan diangkat karya mereka untuk menjadi teks sastera oleh PPK ialah Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Mohamad Yazid Abdul Majid a.k.a Zaid Akhtar. Daripada tiga penulis ini, hanya karya Zaid Akhtar yang pernah memenangi hadiah sastera.

PPK juga turut tidak melantik sarjana sastera dan pengarang sebagai sebagai ahli Jawatankuasa Pemilih Buku Teks Komsas, sebaliknya melantik guru pakar bahasa Melayu dan guru pakar sastera untuk mengeluarkan senarai pendek teks untuk penilaian akhir.

Tindakan PPK ini telah mengundang bantahan daripada beberapa pihak termasuk beberapa orang SN. Setiausaha Agung Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Syed Mohd Zakir Syed Othman mempersoalkan alasan yang diberikan oleh PPK bahawa sebab utama adalah karya-karya SN terlalu berat.



Mantan Sasterawan Negara

Katanya: “Soal berat atau tidak, tidak harus timbul kerana ia bergantung kepada pendekatan pengajaran oleh guru yang seharusnya kreatif. Mata pelajaran lain yang kelihatan sukar seperti sains dan matematik juga dipelajari. Kementerian perlu beri pertimbangan agar Komsas mengambil hasil sastera bermutu sebagai teks."

Prof Dr Syed Othman Syed Omar atau S Othman Kelantan yang juga merupakan seorang SN mengatakan bahawa Jawatankuasa Pemilih Buku Teks perlu pandai menilai dan tahu hasil sastera yang boleh membangunkan minda pelajar. Beliau turut kecewa karya-karya SN yang telah mendapat anugerah tertinggi sastera Negara tidak disenaraikan sebagai buku teks.

Tindakan PPK meminggirkan karya-karya SN turut melukakan hati A Samad Said yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad. Dalam satu program Acara Baca Puisi anjuran Galeri R.A pada 20 Januari yang lalu, Pak Samad menyatakan bahawa “saya sekarang mantan Sasterawan Negara” ketika memberi komen tentang tindakan PPK tidak menyenaraikan karya-karya SN tetapi mengangkat karya-karya penulis popular.

Seluruh hadirin tergamam dengan kenyataan Pak Samad. Kesedihan jelas terlihat di mata SN yang terkenal dengan karya-karya seperti Salina, Langit Petang, Sungai Mengalir Lesu, Hujan Pagi, Adik Datang, Cinta Fansuri dan banyak lagi. Pak Samad yang sering mendekatkan diri dengan anak-anak muda ini tidak mahu lagi menggunakan gelaran Sasterawan Negara. Baginya gelaran tersebut sudah tidak lagi bernilai.

Tindakan PPK tidak menyenaraikan karya-karya SN sebagai buku teks bermula 2010 dan menyenaraikan karya-karya penulis popular seperti Ahadiat Akashah, Sharifah Abu Salem dan Zaid Akhtar sebagai buku teks adalah penghinaan tertinggi yang pernah diberi kepada SN. Maka sebab itulah Pak Samad merasa malu untuk menggunakan lagi gelaran SN.

Apakah yang boleh dipelajari oleh pelajar Malaysia pada masa akan datang bermula 2010 daripada karya-karya seperti “Budak Rap”, “Lagenda Budak Setan” dan “Untuk Tiga Hari” tulisan Ahadiat Akashah? Karya-karya ini langsung tidak mengandungi nilai kesusasteraan Melayu. Ia juga hanyalah berkisar kepada kisah-kisah cinta remaja semasa dan kosong dengan pemikiran.

Berbeza dengan karya-karya SN yang sarat dengan pemikiran, mempunyai nilai-nilai kesusasteraan yang tinggi dan berkisar tentang zaman masing-masing. Karya-karya Shahnon Ahmad banyak berkisar mengenai kemiskinan di kampung-kampung manakala karya-karya A. Samad Said banyak menceritakan tentang kehidupan di zaman peperangan dan Usman Awang pula banyak menghasilkan karya-karya yang bersangkut paut dengan peristiwa besar yang melanda negara.



Unsur rasuah?

Tindakan terancang PPK ini, tidak mustahil jika dibiarkan, pada masa akan datang, majalah-majalah hiburan seperti Mangga, Media Hiburan dan URTV juga akan dijadikan sebagai buku teks sekolah dengan menggunakan alasan ianya mampu menarik minat pelajar. Tindakan PPK ini bercanggah Falsafah Pendidikan Kesusasteraan Melayu.

Pendidikan Kesusasteraan Melayu di Malaysia bertujuan untuk menjana minda, rohani dan emosi, mengukuhkan jati diri, menyuburkan budaya bangsa, dan memupuk sikap berdaya saing kearah pembinaan insan bestari.

Apakah terdapat unsur rasuah dalam isu ini? Siapakah yang akan mendapat kontrak untuk mencetak buku-buku tulisan penulis popular yang akan dijadikan buku teks nanti? Bayangkan jika 500,000 buku yang akan dicetak, berapa banyakkah keuntungan yang akan diperolehi?

Ia harus ditolak oleh semua pihak. Jika alasan karya-karya SN terlalu berat, mengapa tidak diharamkan sahaja matapelajaran Sains dan Matematik? Bukankah pelajar-pelajar sering merungut bahawa matapelajaran Sains dan Matematik susah dan berat?

Jikalau mempelajari kesusasteraan Inggeris kita wajib belajar karya-karya Shakespeare, pada masa akan datang pelajar-pelajar kesusasteraan Melayu hanya akan kenal penulis-penulis novel remaja dan tidak lagi Usman Awang, A. Samad Said, Shahnon Ahmad, S Othman Kelantan dan ramai lagi SN.

Jika langkah PPK Kementerian Pelajaran ini tidak dihentikan, tidak mustahil satu hari nanti rakyat Malaysia akan menangisi kepupusan Kesusasteraan Melayu. Sastera Melayu akan pupus seperti pupusnya “Dinosaur” di muka bumi.



Lain-lain pautan yang berkaitan:

Nota: n3 Ini adalah sekadar petikan untuk dikongsi bersama rakan-rakan sekalian.