Tajuk: Cinta Yang KurasaPenulis : Anis Ayuni
Penerbit: Alaf21
638 Mukasurat
Harga: RM25 (SM)/RM28 (SS)
Cinta Yang Kurasa merupakan karya kedua novelis popular ini yang saya baca. Selesai membaca helaian terakhir, hati saya masih tidak puas hati dengan penamat cerita ini. Mungkin perlu dilanjutkan sedikit lagi kisah Laila Nabila & Mir Shahriman. Menggunakan kata ganti ‘aku’ ( saya selalu terpaksa lebih beperasaan setiap kali membaca novel yang menggunakan kata ganti ‘aku’ untuk mendapatkan rasa dan menyelami watak-watak ) yang merujuk kepada Laila Nabila, tapi cinta yang Laila Nabila rasa tidak sampai menyentuh hati.
Walaupun perasaan ‘aku’ iaitu Laila Nabila yang sepatutnya saya lebih fahami, namun begitu saya lebih memahami Mir Shahriman dan turut merasa rasa cinta Mir Shahriman yang cuba dia sampaikan kepada Laila. Terlalu mengetahui perasaan Laila membuat saya kadang-kala merasakan bahawa cinta Laila kepada Mir Shahriman tidak seteguh mana. Malah ketika hatinya kosong ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata perpisahan menyebabkan dia membuka ruang untuk Raid walau dia memang mengatakan hatinya telah terisi sepenuhnya. Kekadang saya merasakan Laila terlalu mementingkan perasaan diri sendiri kerana pada mulanya dia sukar untuk memahami perasaan Mir selepas kemalangan yang menimpa Mir Shahriman. Apa yang dia fikirkan adalah perasaannya yang terluka ditinggalkan oleh Mir Shahriman tanpa kata.







