Showing posts with label Imaen. Show all posts
Showing posts with label Imaen. Show all posts

Dec 21, 2011

Aimie:Cabaran 50 Buku: (80) Bohemian

Penulis: Imaen
Penerbit: Jemari Seni Publishing
ISBN 978-967-5118-03-6
Harga: RM20.00
M/S: 472
Cetakan 1 – Jun 2008
Cetakan 2 – Disember 2008


Blurb:

Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

Aku
pemain muzik jalanan
melayari malaysiakini.com
merambu-rambu cari duit
pakai seluar bertampal di lutut
berambut panjang cecah bahu


Dia
seorang peguam
baca Business Times
gaji ribu-ribu
pakai skirt nampak lutut
berambut copper blonde celup



Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah?

Siapakah dia berana merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini?

Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangannya?

Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku!
Tidak pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku!

Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan!


Kak Chik menukil:

Karya yang masih mendapati tempat di hati KakChik dari penulis ini walaupun bahasa@perkataan yang digunakan sesetengah memang susah KakChik nak hadam. Karya yang ada terselit unsur thriller dan ayat-ayat cinta yang masih sopan memang mampu menambat hati KakChik.

KakChik suka jalan penulis mengolah watak Fadlan walaupun di akhir-akhirnya kita bagaikan nampak dia sedikit terlalai dan memang melaras dengan apa yang dicetak pada rangkap pertama di kulit belakang buku ini.

Unsur thriller yang melibatkan Suhaimi yang buat KakChik sesak nafas dan kadang kala rasa macam nak main tipu belek dan baca muka surat terakhir. Hehehe. Walaupun pada KakChik rasa macam tak puas kerana plot thriller tu sedikit sahaja dan debarnya tidak sekencang ketika membaca Vendeta, karya penulis sebelum ini.

Penulis masih lagi menggunakan kaedah sindiran secara halus walaupun kadang-kadang rasa macam terpanar pijar muka macam kena cili giling. Kerana memang sudah lumrah manusia sukar untuk menerima sesuatu yang terjamin, apatah lagi kerjaya itu sesuatu yang amat penting dan bagai maruah bagi seorang yang bergelar lelaki

Kalau nak tahu kisah Fadlan dan Nadira dan peristiwa apa yang Suhaimi saksikan masa tunggu kekasih hati dalam gelap tu, silalah baca karya ini. Memang karya yang tidak mengecewakan kerana mengandungi pelbagai perkara dari pelbagai sudut yang diberi penjelasan dengan cara yang tersendiri.


P/S: Terima kasih pada JS untuk hadiah Jom Lomba Baca Julai 2011.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-

(^__^)

Dec 13, 2011

R: Cabaran 50 Buku (82) Blues Retro


Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan JS Adiwarna Si Manis 17
Editor: Noor Suraya bt. Adnan Sallehudin
RM17.00
Sabah/Sarawak: RM19.00
351 muka surat


"Empat semester yang indah..."


Walaupun Ghazi yang dibuang universiti dan tak dapat meneruskan hubungan kasih dengan Nik Farhana, aku lebih kesiankan Nik Farhana kerana ada bonda dan keluarga yang begitu mengagungkan status, mengongkong dan calon suaminya yang sombong, angkuh, bongkak dan pendengki bernama Tengku Nordin. Bayangkan jalan hidup yang bakal ditempuhinya apabila dikelilingi manusia-manusia sebegini.


Perjalanan untuk berkahwin lari dengan Ghazi telah membuka mata Nik Farhana bagaimanakah jalan hidupnya nanti jika dia memilih untuk bersama Ghazi. Tak semua orang dapat mengharungi segalanya sebaik Ghazi, mungkin Nik Farhana sendiri tidak akan mampu hidup bersama Ghazi walaupun cintanya setinggi gunung buat Ghazi.


Ghazi adalah jejaka yang menjadi matang berdasarkan perjalanan hidupnya bukan hanya bergantung kepada akademik semata-mata. Letaklah dia di mana sahaja, dia pasti akan menikmati hidup sebaiknya; with or without Nik Farhana. Aku rasa Ghazi yang dari keluarga miskin itu jauh lebih bertuah berbanding Nik Farhana yang berketurunan raja-raja.


Cerita yang membuat kita terfikir bertuahkah jika kita kaya raya dan malangkah jika kita miskin. Dari golongan mana pun kita datang, kita boleh mengubah nasib kita sendiri dengan usaha. Dugaan yang Allah kirimkan adalah untuk menguji keimanan kita. Blues Retro adalah cerita cinta yang penuh dugaan. Beginilah cara Ghazi mengharunginya...


sure fine whatever
rinn


blurb/sinopsis belakang buku


Nasi lemak buah bidara,
sayang selasih hamba lurutkan;
buang emak buang saudara,
kerana kasih hamba turutkan.



"Ghazi, kita kahwin lari!" kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
"Apa dia?"
"Kita kahwin lari." Suara Nik Farhana berbunyi serius.
"Hana jangan main-main!"
"Saya serius ni!"


Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?


****
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu 'memperkenalkan semula' sastera yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Nov 29, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (31) Gurindam

Tajuk buku : Gurindam Jiwa
Penulis : Hlovate, Imaen , Noor Suraya
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 496 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ada 3 kisah dalam Gurindam Jiwa yang berlainan temanya.

Ceritera I : Schubert’s Serenade karya Hlovate

Kisah pendek dari Hlovate membawa watak Ju’a dengan Shah. Kali ini tiada tema percintaan dibawa kerana Ju’a dan Shah adalah adik dan abang walaupun tidak seibu dan sebapa. Pada mulanya, Ju’a amat tidak menyenangi kehadiran Shah sedangkan tiada salah Shah pada Ju’a. Sehinggalah kerana minat yang sama dan kerana muzik, mereka mula ‘kamceng’. Namun di saat mereka menanti adik baru mereka, ada satu peristiwa berlaku. Dalam gembira, ada peristiwa sedih menjelma.

Ceritera II : Vendetta karya Imaen

Kisah ini hanya membawa watak ‘aku’ tanpa nama. Kisah di awal meceritakan serba sedikit kebahagiaan ‘aku’ bersama Lia. Namun kebahagiaan itu tidak lama, apabila satu eksiden berlaku yang menyebabkan Lia pergi selamanya. Dan kerana itu, dia tekad untuk balas dendam. Penyiasatan dibuat dengan bantuan yang lain, membawa dia kepada misteri yang lebih besar. Membunuh seakan menjadi satu lumrah buatnya sampaikan tiada rasa bersalah yang terbit. Berjayakah dia membalas dendam atau ada yang menjadi penghalang? Apakah akhirnya, derita atau bahagia?

Ceritera III : Hati Adriyana karya Noor Suraya.

Kisah Hati Adriyana adalah kesinambungan kisah Tanah Adriyana yang pernah diterbitkan CESB sebelum ini. Kesinambungan kisah Aliya dan Hadi yang telah berkahwin setelah menghadapi musim cinta terlarang di dalam novel Tanah Adriyana sebelum ini. Dan di dalam novel ini, dihuraikan dengan lebih mendalam kisah cinta moyang mereka dahulu, Ku Ahmad Fitri dengan Raden Adriyana. Juga bagaimana keluarga Aliya akhirnya mendapat pembelaan setelah rahsia sebenar terbongkar.

Komen Ain Sabrina :

Ketiga-tiga kisah ini walaupun dikumpulkan dalam Gurindam Jiwa, setiap satunya ada kekuatan dan temanya masing-masing. Seakan tiada ikatan langsung antara cerita ketiga-tiga ini.

Watak Ju’a yang mempertahankan prinsip dan ajaran agama, menjaga aurat antara dia dan Shah amat saya hormati. Ini kerana saya tahu benda itu bukan mudah. Untuk menjaga aurat dengan sepupu pun saya rasa susah, tambah-tambah lagi dengan abang yang hidupnya hampir 24 jam serumah dengan kita. Kisah Schubert’s Serenade ada kekuatannya sendiri walaupun tidak membawa tema cinta sebagai temanya. Tema hubungan persaudaraan membuatkan saya turut rindu pada saudara saya sendiri walaupun realitinya pasti tidak seindah seperti dalam novel.

Kisah kedua agak berat. Kisah dendam, kisah nyawa manusia jadi taruhan. Saya ingin mengiakan kata-kata yang ada ditulis dalam novel ini, orang berdendam adalah orang yang paling sedih. Itu benar, kita akan pasti akan lebih gembira jika kita mudah melupakan dan mudah memaafkan. Tiada yang memberatkan fikiran, fikiran yang ringan membawa kepada kebahagian. Dan kerana itu watak ‘aku’ menjadi watak yang menyedihkan, walaupun dendamnya terbalas, hakikat ‘Lia’ telah pergi masih tidak berubah.

Kisah ketiga boleh buat saya tersenyum sendiri. Saya pernah ada buku Tanah Adriyana. Saya cakap pernah ada, sebabnya buku itu sudah hilang tiada ganti =( . Jadi apabila mengetahui ada kesinambungannya, cepat-cepat saya dapatkan buku ini. Ternyata ia tidak mengecewakan. Membaca kisah ini, seakan membaca kisah cinta 2 zaman, kisah cinta Ku Fitri dan Raden Adriyana, kisah cinta Hadi dan Aliya. Kedua-kedua kisah cinta saya suka.

---
Ain Sabrina

UA : Cabaran 50 Buku : (22) Seikat Kembang Merah

Judul : Seikat Kembang Merah
Penulis : Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn. Bhd.
Halaman: 495 m/s
ISBN : 978-967-5118-41-8
Cetakan kedua Julai 2010

Kulit belakang novel :

Ketika aku melangkah keluar, ada yang tertinggal di sini; angan-angan, harapan dan seluruh hati. Sebagai gantinya aku membawa bersama wajahnya, dan rindu padanya – Nur Tahani gadis bertudung labuh.

Aku memang telah jatuh cinta pada dia. ‘Bidadari’, versi dunia atau akhirat seperti dia hanya layak digandingkan dengan orang beriman.

Bagaimana mungkin perempuan cantik, berprofil tinggi dan terlahir dalam gedung Gucci seperti Nina mahukan aku? Dia hanya layak bersanding dengan lelaki kategori ‘arreviste-hooray henry’. Sedangkan aku hanya lelaki terbuang. Kelas kambing! Paria! Dalit!

Benarkah, kalaulah cantik itu pintu kepada cinta, setiap lelaki kena bertapa dalam gua dan jalan pejam mata?

Lalu aku melambung dadu terakhir. Kalau aku kalah sekalipun, aku sudah tiada apa-apa lagi untuk rugi. Sama ada aku lambung atau tidak dadu itu, aku tetap merana; merindukannya separuh mati dan mencintainya seumur hidup.


Bicara Ummu Ammar :

Sebetulnya, UA amat takut untuk membeli apatah lagi membaca penulisan karya penulis lelaki. Tetapi melihatkan kepada blurb di kulit belakang, timbul rasa ingin memiliki dan menghayati jiwa seorang lelaki.

Seikat kembang merah nukilan saudara Imaen ini tepat buat pembaca yang inginkan kelainan dalam sebuah karya. Imaen berjaya mengadun kisah hati seorang lelaki sejati dengan jitu sekali. Memberi cinta pada wanita yang baik dan solehah, itu lumrah.

Fitrah yang Allah titipkan dalam hati setiap hambaNya - suka pada sesuatu, seseorang yang baik. Itu yang terjadi pada Gary. Suka pada Tahani yang bertudung labuh, baik.. menggunakan perkataan lemah lembut saat berkata-kata. Ini kisah luar biasa yang penghujungnya tidak seperti yang saya jangka. Inti ceritanya punya segala rencah kehidupan yang membawa manusia kepada Tuhan melalui cinta. Tahani cuma menjadi asbab kepada perubahan Gary. Allah menghantar hidayahNya melalui Tahani untuk Gary turut sama melangkah seiring dengan Nina menuju syurga abadi.

Jika ditanya pada UA mengapa anda perlu menjadikan Seikat Kembang Merah sebagai salah satu koleksi anda, jawapannya mudah sahaja. Novel ini luar biasa. Cinta, thriller, ekonomi semasa, dunia, akhirat semuanya diadun menjadi satu dalam seikat kembang merah.

---
Ummu Ammar

Aug 19, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (37) Sigaraning





Judul : Sigaraning
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni
ISBN : 978-967-5118-13-5



1. Pertama kali yang terlintas adalah, apakah 'sigaraning' itu?

2. Kedua kali yang terlintas adalah, sedap ke?

3. Menurut penulisnya, Imaen, lewat blognya, sigaraning bermaksud belahan jiwa dalam bahasa Jawa. Dan menyoal dirinya sendiri, adakah novel ini berkisahkan cinta dan jiwang? Beliau menjawab, tidak. Tetapi setiap orang punya pandangan tersendiri, terserahlah.

4. Keseluruhan novel ini adalah mengenai watak Ali Imran. Yang mengusahai sebuah kedai runcit bernama Pasar Mini MusliMart. Dijadikan cerita, Ali dilanda masalah kewangan, lalu terjumpa beg yang mengandungi duit RM 2 juta, dan mengambilnya.

Aug 2, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (23) Blues Retro


Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 351 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-14-6
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)

Kata kulit buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kata KK:

Kisah cinta Ghazi dengan Nik Farhana. Cinta zaman 90-an. Kisah perniagaan Ghazi. Kisah cinta dua darjat. Ghazi anak miskin manakala Nik Farhana anak orang kaya. Ghazi anak muda bersama temannya membuka gerai burger untuk mendapatkan wang untuk terus sambung belajar. Perniagaan makin maju tetapi kisah cinta tidaklah semaju perniagaannya. Ada saja halangannya. Sedihnya, apabila Ghazi dibuang kolej kerana ikut demonstrasi. Sedihnya, Ghazi dan Nik Farhana tidak kahwin lari. Sedihnya, pengakhirannya tergantung.

Menariknya, idea innovatif dari Ghazi dan temannya dalam mempertingkatkan mutu burger mereka. Ghazi kata burger mereka burger orang kampung. Dijual hanyalah di gerai bukan restoran berhawa dingin seperti A&W ataupun Mc Donalds. Walaupun begitu burger mereka orang suka. Burger mereka masak ramai yang beli.

Kesimpulannya, saya terkedu. Terkedu sebab beli buku ini dari penulisnya sendiri. Ha-ha. Perasan. Ya, saya beli ketika di pesta buku waktu tu penulisnya yang jaga kaunter bayaran. Jadi, saya hilang kata-kata untuk membuat ulasan lebih-lebih untuk Blues Retro. Yang pasti, seronok mengimbau zaman belajar dulu-dulu sebab zaman sekarang sudah makin moden. Makin maju. Makin canggih.

Saya juga ada kenangan yang menarik di UM!

---
Khaulah Khalid

Aug 1, 2011

HN : Cabaran 50 Buku : (3) Labyrinth





Tajuk Buku : Labyrinth
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni





1. Sekali lagi saya mahu mengulas buku Imaen dan kali ini, Labyrinth. Saya terjumpa buku ini di sebuah kedai buku yang bagai hidup segan mati tak mahu dan merasakan itu perkara yang luar biasa kerana buku Imaen yang selalu ditemui di kedai buku hanyalah Seikat Kembang Merah dan Bohemian. Cerita yang lain, saya menutup mata dan membeli juga buku ini dengan wang saku yang tinggal nyawa-nyawa ikan kerana tidak mahu melepaskan peluang membaca karya Imaen yang terawal ini.

2. Kali ini saya perlu menukar minda saya untuk berfikiran kritikal kerana Labyrinth berunsur romantic-thriller. sudah tentu gaya Imaen berlainan dari Blues Retro yang gila-gila atau Sigaraning yang separuh mencemaskan (ya, kerana separuh lagi kisah cinta.) setakat ini novel thriller melayu yang pernah dibaca hanyalah karya Ramlee Awang Murshid dan saya mencuba menghayati rentak imaen pula. Bukan mudah untuk menulis tentang thriller kerana plot cerita perlu dirancang dengan teliti supaya tidak kelihatan seperti terlalu klise atau mudah diteka oleh pembaca.

3. Labyrinth membawa saya masuk ke dalam dunia penyiasatan polis. Detektif Kamal, Hanani dan Salman ditugaskan untuk mencari pembunuh bersiri yang telah membunuh dua mangsa dengan kejam. Si mati ditikam dan kepalanya ditukul ( bukan dipukul) sehingga bersepai dan bercerai dari badan. Mereka sukar untuk mencari petunjuk kes kerana pembunuh cekap menyembunyikan dan menghilangkan segala jejak. Dia cuma meninggalkan nota bertulis tangan di tepi mayat, lantas mereka meminta kerjasama Doktor Dani, pakar dalam bidang linguistic forensik dan mempunyai latar belakang dan kepakaran dalam menganalisis tulisan dan simbol.

4. Saya cukup teruja menghayati helaian demi helaian kerana tidak sabar-sabar untuk mengetahui bagaimana polis-polis tersebut mencari pembunuh. Yang anehnya, berdasarkan kesimpulan yang dibuat oleh doktor yang melakukan ‘post mortem’ terhadap mayat mangsa, kesemua orang yang dibunuh ialah lelaki homoseksual. Pada mulanya jalan cerita agak perlahan kerana saksi-saksi yang boleh membawa kepada pembunuh kesemuanya mati dibunuh atau mati kerana kemalangan sehinggalah Dani menemukan suatu hipotesis mengenai sifat pembunuh. Itu anda harus dapatkan Labyrinth untuk kejutannya!

5. Kisah yang lain, Kamal jadi lekas akrab dengan Dani kerana mereka sama-sama berkongsi minat membaca dan menonton dokumentari walaupun kedua-duanya dari dunia yang berbeza. Kamal yang menghadapi masalah rumahtangga sudah lama mengetepikan Tuhan kerana putus asa dan Dani, mungkin seorang yang sangat memahami karakter manusia lewat tulisan dan perbuatan, tetapi jadi kaget apabila mahu melamar gadis pujaan. Bukanlah mudah untuk seorang lelaki meluahkan masalah yang mengganggu jiwa dan mereka ditakdirkan Tuhan untuk berkongsi masalah dan sama-sama menasihati.

6. Sebenarnya kekuatan Imaen terletak pada bahasanya dan tulisannya yang begitu dekat dengan masyarkat. Saya cukup suka menghayati segala falsafah hidup yang ditulis Imaen dan kadangkala tergelak kerana ‘masuk’ dengan situasi yang dihadapi sekarang tetapi kadang-kadang juga boleh jadi sayu dan menikam kalbu. Malah di bawah prolog Imaen mencatatkan ‘kepada yang mengetuk, pintu tidak pernah tertutup.’ Langsung tiada kaitan dengan apa yang ditulis seterusnya tetapi cukup untuk menarik minat pembaca bagi menyelak helaian seterusnya.

7. Imaen selalu menggambarkan kehidupan manusia yang biasa tetapi apa yang membuatkannya unik ialah cara manusia itu berfikir dan menguruskan kehidupannya. Semua karakter yang dicipta Imaen membawa kita kembali merenung posisi kita sebagai hamba Allah yang sangat lemah. Contohnya di sini, Kamal seorang detektif yang tegas tetapi jadi lemah di depan mertuanya kerana dia begitu takut untuk menegakkan haknya sebagai suami. Lantas, Tuhan mentakdirkan dia untuk bertemu Dani dan kembali mencari kekuatan dari Tuhan. Begitu juga dengan pembunuh dan kesemua watak antagonis, ia memberi kita kesedaran bahawa manusia melakukan kejahatan bukan kerana pilihan sendiri dan bahana mengikut hawa nafsu dan bisikan syaitan.

8. Keseluruhannya , buku ini cukup menarik untuk dibaca. Pada pandangan saya, Imaen berjaya menjadikan Labyrinth ‘hidup’ kerana pembunuh hanya meninggalkan bukti yang sangat samar dan kelihatan begitu mustahil untuk polis menemukan petunjuk kes . Dan mungkin pening-pening lalat sedikit dengan karakter pembunuh yang sangat ironis!Tidak banyak kejutan tetapi penuh ironis!

9. Nah, sedikit petikan dari nota pembunuh,
‘ Akulah angsa yang terbang ke syurga, mengintai di sebalik daun awan memerhati manusia dalam rakus menelanjangi bumi merompak hartanya memperkosa!’

Selamat menjejaki pembunuh homoseksual!

---
Nur Hannan

Jul 18, 2011

HN: Cabaran 50 Buku : (1) Sigaraning

Penerbit- Jemari Seni
Tahun terbit - 2009


1. Ini novel Imaen yang keempat yang saya baca. Macam-macam kata yang didengari mengenai novel ini. Kata teman yang ini, Sigaraning agak ‘berat’. Teman yang lagi satu mengatakan Sigaraning lebih seronok dari Bohemian. Macam-macam. Tetapi ingat, tak kenal maka tak cinta dan penilaian itu berbeza bagi setiap individu.

2. Soalan yang selalu ditanyakan orang apabila melihat buku ini ialah maksud Sigaraning itu sendiri. Saya bertanya sendiri dengan seorang rakan dari Indonesia yang merupakan orang Jawa tulen. Wah, betapa bersemangatnya saya! Dia ketawa dan menerangkan Sigar/Sigaran bermaksud separuh atau belahan. Jadi, memandangkan Ali Imran memanggil Salina ‘Sigaraning Nyawa’, saya kira maksudnya ialah belahan jiwa atau kekasih atau teman yang sangat rapat.

3. Kali ini Imaen menceritakan tentang Ali Imran, pemilik pasar mini Muslimart. Ali seorang yang bercita-cita tinggi kerana dia mahu mengembangkan perniagaannya seluas-luas mungkin dan menjadi standing dengan pengusaha pasar raya besar.

Jul 4, 2011

Arirada : Cabaran 50 Buku : [14] Blues Retro (Imaen)

Tajuk : Blues Retro
Penulis : Imaen
Penerbit : JS Adiwarna Sdn. Bhd
Muka surat : 351

Sinopsis belakang buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan
.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Apa kata saya:

Saya sangat suka buku ini! Jalan ceritanya ringkas, bahasanya ‘mantap lagi tajam’ (pinjam kata-kata di blurb buku), ada adunan pelbagai rasa (sedih, lucu, geram, simpati) dan paling penting – ada mesej yang berguna untuk disampaikan kepada pembaca.

Jun 23, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (27) Bohemian

Judul : Bohemian
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni
ISBN : 978-967-5118-03-6



1. Rata-rata pembaca yang saya google, berpuas hati dengan novel ini.

2. Ada yang kerana jalan ceritanya, ada yang kerana watak-wataknya, dan ada juga kerana gaya penulisan penulisnya.

3. Tetapi saya belum berjumpa satu ulasan yang menerangkan siapa sebenarnya Bohemian di dalam novel ini dan apakah yang cuba diketengahkan melalui Bohemian itu?

4. Bohemian seperti yang tertulis pada helaian awal novel ini bermaksud, orang (terutamanya orang seni) yang cara hidupnya tidak mengikut adat kebiasaan masyarakat di sekelilingnya. Juga bermaksud, insan seni yang selalunya mempunyai pandangan politik dan sosial yang tidak ortodoks dan anti-establishment.

5. Ok, saya tuliskan sedikit mengenai novel ini, seringkas dan sepadat yang mungkin. Supaya entri ini tidak menjadi panjang dan berjela, kerana saya pun bukannya suka membaca entri yang beribu patah perkataannya, jadi saya sedaya upaya akan mengelak daripada menjadikan entri ini entri yang panjang, entri yang jenuh untuk dihabiskan bacaannya.

Jun 16, 2011

ABB: Cabaran 50 Buku: (6) Gurindam Jiwa

Gurindam Jiwa Yang Mengasyikkan.

'Gurindam Jiwa’ yang ini sememangnya mampu membuai rasa yang sedang bermalas-malas sepanjang waktu terluang. Rentak ‘pop’ Schubert’s Serenade (Hlovate), Heavy Metal Vendetta (Imaen) dan Balada Hati Andriyana (Noor Suraya), gurindam kisah yang membuai tiga rasa pada jiwa.

Schubert’s Serenade karya Hlovate mengalun lagu remaja. Tunas-tunas cinta yang tumbuh dalam ruang rasa sayang kepada seorang abang tiri. Ceritanya mengajar kita tentang adab hidup dalam keluarga yang punyai abang tiri- lelaki bukan ajnabi.

Vendetta karya Imaen mengalun pula gurindam yang berentak ‘kasar’ dalam dunia gansterism. Dunia yang dikelasifikasikan sebagai dunia lelaki –maskulin. Vendetta menyelami hati AKU yang penuh dengan marah yang membentuk api dendam yang melangit tinggi kepada perompak kedai emas. Di mana peluru mereka yang tersesat, masuk ke dalam jasad isteri aku.

Jun 1, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (23) Blues Retro


Judul : Blues Retro
Penulis : Imaen
Terbitan : Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN : 978-967-0201-14-6


1. Antara kesukaran yang meresahkan adalah apabila berada di toko buku, dan mahu mencari buku yang dirasakan menarik.

2. Tambahan pula di alaf mesin cetak dan pereka kulit buku makin kreatif dan inventif serta imaginatif, menghasilkan reka bentuk sesebuah kulit bagi buku, novel khususnya, kelihatan sungguh menarik.

3. Lebih-lebih sukar apabila kita sebagai pembaca, tidak mengenali penulisnya. Mungkin kulit luar boleh menggoda sehingga memperdaya kita membeli, kerana cantiknya kulit luar, tetapi hampanya isi dalam, namun jika kita mengetahui cara dan gaya seseorang penulis itu, perkara kesukaran yang meresahkan apabila hendak membeli buku itu, boleh diatasi.

May 20, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (39) Blues Retro

Penulis: Imaen
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN978-967-0201-14-6
Harga: RM 17.00
M/S: 351
Cetakan 1 – 2011

… empat semester yang indah…

Blurb:

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

Apr 3, 2011

ABB: Cabaran Buku 50: (4) Sigaraning

Sigaraning Dunia Maskulin.

Sigaraning karya Imaen membawa saya ke dunia Ali, tauke pasar mini yang masih bujang. Ali yang ‘dibuang’ Salina dan Ali yang ‘diburu’ Vivian. Cerita yang berlatarkan dunia peniaga Melayu yang dipaut kisah gansterism mafia Melayu. Kisah Ali yang terlalu memuja Salina dan cerita Ali yang tersesat masuk ke alam gangsterism.

Sigaraning merungkai kisah ‘lelaki’. Ceritanya kisah ‘maskulin’. Kisah Ali yang terjerat di dalam bayangan cinta Salina dan tersepit dalam pergelutan dua kumpulan mafia Melayu. Cerita dialun seperti ombak di laut. Sekejap tenang kemudian berombak deras. Yang tenang itu kisah cinta Ali dengan Salina dan kisah rasa Ali pada Vivian. Yang berombak deras itu kisah Ali menentang lawan dan serang dua kumpulan mafia Melayu.

Saya tidak sedih bila Salina membuang Ali dengan ‘kasar’. Pada saya Vivian lebih ‘layak’ berada di sisi Ali, menjadi heroin Sigaraning ini. Pendapat saya ini berasaskan kepada pencirian yang ada pada Vivian, wartawan bahagian jenayah. Tentu orangnya berjiwa kental dan berani. Apatahlagi bila seorang Islam dibesarkan dalam keluarga dan ruang masyarakat bukan Islam. Vivian pada pendapat saya adalah seorang perempuan yang berfikiran terbuka tetapi bertepi dan punyai prinsip diri yang tegas.

Justeru itu latar psikologi dan sosiologi begini membentuk konsep seorang VIVIAN yang sesuai dalam ‘dunia’ Sigaraning ini. Dunia lelaki yang penuh cabaran ‘kelakian’. Maka dengan itu kewujudan VIVIAN yang diangkat melalui unsur –unsur perwatakan ‘maskulin’ seorang perempuan adalah perlu untuk dunia Sigaraning.

Berbanding Salina, seorang guru, yang digambarkan sebagai perempuan yang mementingkan diri sendiri dan punyai pandangan yang negatif terhadap kemampuan pasar mini Ali dan meminta Ali menjadi cikgu seperti dia. SALINA pada saya seorang yang lemah jiwa dan prinsip. Konsep seorang SALINA pasti dengan mudah akan tewas dalam cabaran dunia Sigaraning ini.

Konsep seorang SALINA secara konotasi menjurus kepada representasi pandangan masyarakat Melayu kita terhadap kemampuan orang ‘kita’ dalam bidang perniagaan. Juga anggapan bahawa menjadi guru adalah suatu pekerjaan yang menjamin masa depan dan senang.

Sigaraning secara ringkasnya adalah cerita Ali Imram, graduan ekonomi. Cerita yang diangkat dalam ruang ekonomi Melayu dalam era moden dan kapitalis. Cerita tentang ‘perjuangan’ golongan Melayu Baru ini dalam mempertingkatan status dan taraf hidup masyarakat Melayu.

Mar 21, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (22) Labyrinth

Penulis: Imaen
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM 18.00
M/S: 418
Cetakan 1 - Ogos 2007
Cetakan 2 - Disember 2007

Blurb:

Dunia Kamal dan Dani berbeza. Namun takdir telah mempertemukan mereka. Pembunuhan bersiri adalah 'lantai' untuk mereka saling mengenali; mencari jalan keluar dari labyrinth yang membelunggu mereka!

Kamal
Cinta dan rindu seperti kopi... pahit! Setia pula adalah gulanya. Kopi dan gula adalah kepahitan yang manis. Kenapakah cintanya sudah tidak bergula lagi?

Dani
Kadang-kadang dalam riuh di luar, di dalam begitu sepi. Seperti ada tembok yang memisahkan. Seperti gagalnya laut menakluki sungai dengan masinnya. Riuh itu laut dan Dani itu sungai... dan Maira?

Maira
Cintaku kepada-Mu adalah laut tanpa pantai... hujan tanpa awan. Rinduku kepada-Mu adalah mabuk tanpa anggur...makan tanpa kenyang!

Bahasa diamlah bahasa yang paling sukar. Dalam diam ada seribu pengertian. Dalam diam ada seribu jawapan. Dan dalam diam ada seribu tafsiran. Dengan diam orang boleh berkata, aku cinta padamu. Dan dalam diam juga orang boleh berkata, kita tidak lagi sehaluan.

lalu diam yang bagaimanakah aku dan Maira?
lalu diam yang bagaimanakah aku dan Natasya?

Seorang diri dia memasuki labyrinth...berjalan dan terus berjalan: jalan yang berselirat. Dia harus memilih, namun setiap pilihan adalah halangan, lalu dia mencipta jalannya sendiri. Dia tahu, pembunuh itu berada dekat dengannya. Siapa?


Kak Chik menukil:

Akhirnya...selepas 5 hari Kak Chik mengelek novel ini ke hulu ke hilir. Mencuri-curi waktu yang bagaikan begitu cemburu dengan lambakan kerja dan tuntutan tanggugjawab lain, Kak Chik berjaya juga sampai ke titik yang terakhir. Sungguh, bukan kisahnya tidak menarik tetapi masa yang terlalu cemburu.

Bagi Kak Chik yang teramatlah jarang membaca genre thriller dan fiksyen, keterujaan sedikit merudum kerana rasa Kak Chik sudah terlalu lama disogok dengan genre romantik. Namun romantic thriller yang dijelmakan penulis mampu membuat Kak Chik sentiasa gatal tangan untuk membeleknya di setiap waktu yang terluang sehingga ketika menaip tugasan di ofis juga masih memikirkan apa yang bakal terjadi terhadap penyiasatan Kamal dan Dani.

Kamal dan Dani, dua karektor kerjaya yang sungguh jauh dan juga dua karektor personaliti yang sungguh berbeza tetapi pertemuan pertama untuk tugasan merungkai pembunuhan bersiri itu menjadi titik mula keakraban sehingga akhirnya Kamal menaiktarafkan Dani di sisinya dari kawan kepada sahabat. Mungkin juga faktor kenegerian itu begitu kuat.

Aduh! Membaca Labyrinth yang penuh dengan pelbagai kotonasi baru dan pelbagai perkara baru yang bagi Kak Chik membuatkan Kak Chik kadang-kadang terpaksa membaca berulang-ulang kali untuk memahami sesuatu situasa. Namun kerana kekuatan 'kata-kata' penulis membuatkan Kak Chik lebih bersemangat berlumba dengan pembunuh bersiri tersebut.

Dani, pensyarah bahasa yang bergelar doktor itu sungguh sopan orang. Sungguh menjaga agamanya. Sungguh mencintai bahasa. Dan kerana kepakaran yang dimiliki menjadi titik tolak kepada keterlibatan dalam penyiasatan polis. Dani yang memendam rasa pada Maira, anak gadis yang sedang kembang mekar. Tapi diam Maira itu, bagaimana tafsirannya? Maira yang terlalu sopan dan sentiasa cuba menjaga pergaulan sehingga Bashir, budak Usuluddin boleh hilang malu kerana cintakannya. Tindakan Bashir sungguh mempamerkan bahawa orang bisa hilang malu kerana cinta. Kerana Bashir juga membuatkan Dani memberi sajak selamat tinggal buat Maira, ratna hati yang dipuja ketika gadis itu masih hingusan lagi.

Kamal, detektif yang sudah terlalu lama melupakan agamanya. Kehidupan dan kerja yang sentiasa menghimpit sehingga rumahtangga yang dibina dengan pujaan hati ketika sama-sama di dunia kampus dulu, hilang wangi bahagia. Kenapa Natasya bisa berubah dalam masa 5 tahun sahaja? Diam Natasya itu, bagaimana pula tafsirannya? Lalu pelbagai dugaan yang dihadapi kerana dia memilihi untuk memasuki labyrinth...

Sebenarnya, siapa pembunuh bersiri itu sudah Kak Chik telah selepas pendedahan Doktor Nurin Batrisya tetapi kenapa Kamal tidak dapat menghalusinya selepas setiap kali mereka hampir mendapat maklumat, pasti pembunuh bersiri itu berada selangkah di depan mereka.

Labyrinth memang penuh dengan segala ilmu. Bukan setakat isu romantik thriller sahaja. Penuh dengan ilmu bahasa dan peradaban, sejarah, hiburan malah yang penting keagamaan yang diserapkan secara santai.

Pengkahiran yang sungguh manis. Kak Chik teramat la suka dengan pengakhirannya. Dan glosari di belakang sungguh memberi input baru buat Kak Chik!

Tahniah buat penulis!

LiFe iS a LoNG JouRNeY!!!
-Kak Chik-
(^_^)

Mar 6, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (18) Seikat Kembang Merah

Penulis: Imaen
Penerbit: Jemari Seni Publishing
Harga: RM20.00 / RM23.00
M/S: 495
Cetakan 1 - Jun 2010
Cetakan 2 - Julai 2010
ISBN 978-967-5118-41-8

Cinta itu resah gelisah bercampur rindu
Kelesah dan renyah bercampur mahu



Blurb:

Lalu siapakah harus dipilih kalau di sana cantik di sini menawan?

Ketika aku melangkah keluar, ada yang tertinggal di sini;
angan-angan, harapan dan seluruh hati. Sebagai gantinya aku
membawa bersama wajahnya,
dan rindu padanya - Nur Tahani gadis bertudung labuh.

Aku memang telah jatuh cinta pada dia.
'Bidadari', versi dunia atau akhirat seperti dia hanya layak
digandingkan dengan orang beriman.

Bagaimana mungkin perempuan cantik, berprofil tinggi dan
terlahir dalam gedung Gucci seperti Nina mahukan aku?
Dia hanya layak bersanding dengan lelaki kategori
'arreviste-hooray henry'. Sedangkan aku hanya lelaki terbuang.
Kelas kambing! Paria! Dalit!

Benarkah, kalaulah cantik itu pintu kepada cinta, setiap lelaki
kena bertapa dalam gua dan jalan pejam mata?

Lalu aku melambung dadu terakhir. Kalau aku kalah sekalipun,
aku sudah tiada apa-apa lagi akan rugi. Sama ada aku lambung
atau tidak dadu itu, aku tetap merana; merindukannya separuh
mati dan mencintainya seumur hidup.

**************

Terimalah Seikat Kembang Merah daripada IMAEN;
yang tetap menulis novel action-romantic,
tetapi kali ini nadanya berbeza.


Kak Chik menukil:

Terasa macam memegang novel kanak-kanak pula apabila melihat cover SKM ni. Dengan 2 orang kanak-kanak lelaki dan perempuan seperti berkejaran di taman kembang merah yang luas walaupun lukisannya tidak terlalu 'terang benderang'.

Perjalanan hidup Gary yang mempunyai kelulusan ijazah perniagaan dengan kelas dua daripada universiti tertua di negara kita tidak pernah diambil pusing oleh mana-mana majikan yang pernah dia mohon kerja kerana peristiwa hitam yang terjadi ketika dia masih bergelar pelajar dulu. Bagi Gary kalau sudah tiada yang mahu memberi kerja kepadanya, lebih baik dia bekerja sendiri. Dia bebas apabila bekerja sendiri dan dia lebih mewah dari makan gaji.

Bisnes apa yang Gary lakukan sehingga dia dibuang keluarga bertahun lamanya? Gary juga turut hanyut dengan kehidupan duniawi sehingga dia bagai sudah melupakan Tuhan dan agama yang dipegangnya. Dia terus hanyut dan hanyut dan hanyut, sehinggalah dia bertemu 'dia'. Yang telah membuat dia bagaikan nanar pada pandangan pertama. Tapi sanggupkah 'dia' menerima dia siapa-siapa itu?

Gary sanggup melakukan sesuatu yang nampak drastik untuk menawan hati dia yang berkali-kali menolak salam perkenalannya. Namun selepas peristiwa di farmasi itu, Tahani dengan senang hati membuka pintu hati untuk mengenali Amir. Dan betul pepatah yang mengatakan jika kita berkawan dengan penjual minyak wangi, sedikit sebanyak haruman itu akan terpalit juga kepada kita. Kerana Tahani Amir berubah kepada yang lebih baik...

Namun ketika Amir sedang mula meraih sepenuh kepercayaan Tahani...Nina pula merosakkannya. Kenapa Nina tega begitu? Kenapa abah Nina sanggup melakukan apa sahaja demi anak sulungnya itu? Kerana tidak mahu menurut permintaan abah Nina, Gary dimasukkan ke lokap?...

Dan betul...pengakhiran yang sungguh menyebab Kak Chik terkejut. Sungguh klise Imaen menamatkan tintanya pada SKM. Memang penamat yang tidak terduga tetapi pada Kak Chik sesuai sangat... kerana kisah silam itu tidak akan diungkit bagi kedua mereka.

Selepas lambungan dadu yang terakhir, siapa pilihan Gary? Nak tahu?...Baca sendiri, ok...:)

Terujaan Kak Chik pada SKM tidak setanding ketika membaca Vendetta yang rasanya penuh dengan kejutan dan persoalan. Vendetta lebih kuat jalan ceritanya walaupun pendek. Tapi tahniah buat Imaen yang menggarap SKM dengan jalannya sendiri.


LiFe iS a LoNG JouRNeY!!!
-Kak Chik-
(^_^)

Feb 8, 2011

R: Cabaran 50 Novel: (7) Seikat Kembang Merah


Seikat Kembang Merah
Penulis: Imaen
Editor: Noor Suraya binti Adnan Sallehudin
cetakan pertama jun 2010
RM20.00
sabah/sarawak: RM23.00
9789675118418
495 mukasurat


"Cinta itu resah gelisah bercampur rindu kelesah dan renyah bercampur mahu"


Tetiba jer aku rasa mcm ada persefahaman yg ketara antara Imaen dan Bahrudin Bekri sejak buku pertama diorang ni. Buku Imaen aku baca semua tapi buku che Din, tak terkejar aku nak baca semua. Produktif sungguh! Tapi aku akan cari masa dan buku2 tu utk dibaca insyallah :) Penulis2 ini menyampaikan kisah cinta thriller yang terselit mesej2 teguran dan kadang2 terasa sinis mematuk hidung walaupun kita tersenyum atau tergelak. Gaya Imaen lebih serius (walaupun ada komedi) berbanding Che Din yang menceritakan kisah2nya dalam irama komedi sepenuhnya. Apa2pun karya kedua-dua penulis ini sentiasa membuat otak kita berfikir. Bukan cerita kosong semata-mata.


Imaen bercerita tentang Gary dalam kisah ini. Seorg jejaka yg memilih jalan hidup yg kelabu, gelap utk menyara hidupnya. Pekerjaannya telah membuat dia tersingkir dari keluarga. Di kelab malam dia bertemu Nina yg jatuh cinta padanya. Bagi Nina, Gary adalah sebutir permata dalam kumbahan. Lelaki yg cocok utk dirinya. Macam susah pulak nak percaya, seorg lelaki yg minum2 sampai mabuk2 langsung tak pernah terlanjur dgn Nina yg memang gilakannya. Tapi Nina tu memang pura2 jual mahal kerana mahu Gary menganggapnya seorg yg menjaga maruah diri.


Gary jatuh cinta pandang pertama pd Tahani, gadis bertudung labuh yang manis. Gary tahu serta merta, itulah bakal isterinya. Macam2 cara dia cuba ngorat Tahani tpi tak berjaya. Dia siap jumpa bomoh utk tundukkan Tahani tapi sebaliknya yg berlaku, dia yg bertambah2 gilakan Tahani. Dgn bantuan rakan2 penjenayah dia merancang satu rompakan di farmasi tempat Tahani bekerja dan berlagak hero menyelamatkan maruah Tahani. Rancangan itu menjadi kerana Tahani sudah mahu berbaik2 dan bersembang2 dgnnya. Gary jugak merapati ayah Tahani, sorang ustaz.


Gary cuba meninggalkan dunia penyeludupan tetapi mendpt halangan. Ketika Tahani sudah membuka hatinya buat Gary, Nina muncul membuka cerita gelap Gary kepada Tahani. Gary terus kena reject 100%. Dendam telah membuat Tahani menjadi mangsa lagi tapi masa kejadian tu Tahani tu pulak macam rilek jer sampai tension Datuk Kazar tu nak gertak Tahani. Tahani ingat tu lakonan Gary and the gang lagi. hehe.


Di hujung2 cerita aku terasa keseluruhan cerita akhirnya menumpu kepada Nina. Semua ini berlaku adalah utk membentuk Nina yang lebih baik.


Cerita ni jadi amat menarik selepas Gary berjaya 'melarikan diri' dari berkahwin paksa dgn Nina. Memang tak sabar2 nak abiskan tambah2 pula rentak cerita menjadi 'fast phase' sehinggalah ke akhir cerita :)

Jun 10, 2010

Akan Datang daripada Jemari Seni


Lalu siapakah harus dipilih kalau di sana cantik di sini menawan?

Ketika aku melangkah keluar, ada yang tertinggal di sini; angan-angan, harapan dan seluruh hati. Sebagai gantinya aku membawa bersama wajahnya, dan rindu padanya – Nur Tahani gadis bertudung labuh.

Aku memang telah jatuh cinta pada dia. ‘Bidadari’, versi dunia atau akhirat seperti dia hanya layak digandingkan dengan orang beriman.

Bagaimana mungkin perempuan cantik, berprofil tinggi dan terlahir dalam gedung Gucci seperti Nina mahukan aku? Dia hanya layak bersanding dengan lelaki kategori ‘arreviste-hooray henry’. Sedangkan aku hanya lelaki terbuang. Kelas kambing! Paria! Dalit!

Benarkah, kalaulah cantik itu pintu kepada cinta, setiap lelaki kena bertapa dalam gua dan jalan pejam mata?

Lalu aku melambung dadu terakhir. Kalau aku kalah sekalipun, aku sudah tiada apa-apa lagi untuk rugi. Sama ada aku lambung atau tidak dadu itu, aku tetap merana; merindukannya separuh mati dan mencintainya seumur hidup.

* * * *

Terimalah Seikat Kembang Merah daripada IMAEN; yang tetap menulis novel action-romantic, tetapi kali ini nadanya berbeza.


ISBN: 978-967-5118-41-8
Harga: RM20.00 (Sem. M'sia)/RM23.00 (Sabah/Sarawak)
Harga pembelian melalui pos/pesanan online: RM18.00 (mulai 20 Jun 2010)

May 26, 2008

Novel Bulan June daripada Jemari Seni


Cinta membuat kita tidak memandang apa-apa yang datang daripada kita, walaupun ia sebesar mana sekalipun. Sebaliknya, kita hanya akan memandang apa-apa yang datang daripada orang yang kita cintai, walau sekecil mana pun. Cinta membuat kita membuang sifat sendiri, dan mengambil sifatnya sebagai ganti.

Aku
pemain muzik jalanan

melayari malaysiakini.com
merambu-rambu cari duit
pakai seluar bertampal di lutut
berambut panjang cecah bahu

Dia

seorang peguam
baca Business Times
gaji ribu-ribu
pakai skirt nampak lutut
berambut copper blonde celup

Siapakah dia yang berani mencuri tenang dan damaiku, lalu menggantikan ia dengan resah gelisah? Siapakah dia berani merampas hening bening malam dengan huru-hara yang tidak keruan ini? Siapakah dia yang berani mengusik lenaku dengan bayangnya?


Dia, yang tidak pernah ada dalam senarai bidadari anganku! Tidak pula pernah sekalipun wujud dalam daftar mimpiku! Dia, yang dari hujung kaki hingga hujung rambut bukanlah perempuan yang aku mohon lewat doa-doaku kepada Tuhan.


**~**


Setelah Vendetta (Gurindam Jiwa) dan Labyrinth, IMAEN melakarkan risalah pemuzik jalanan – busker – berbicara tentang cinta antara Fadlan & Nadira, dengan bahasa mantap penuh falsafah, namun disajikan dalam nada manis cara Bohemian.