Jul 15, 2011

AMAL : Cabaran 50 Buku (10) : Magnet Cinta


Tajuk Buku : Magnet Cinta
Penulis : Zamri Mohamad
Terbitan : PTS Millennia Sdn. Bhd
Muka Surat : 146


Ulasan Buku

‘Magnet Cinta’ hasil tulisan Zamri Mohamad sangat sesuai bagi mereka yang sedang dilamun cinta. Selain itu, ia juga sesuai bagi pasangan suami isteri yang mahu menyemarakkan lagi rasa cinta antara satu sama lain. Zamri Mohamad memberi beberapa tips yang boleh diamalkan oleh pembaca untuk lebih mengenali dan memahami pasangan masing-masing. Selain tips-tips yang dikongsikan bersama pembaca, penulis juga berkongsi pengalaman-pengalaman pasangan yang boleh dijadikan contoh dan teladan untuk diikuti seperti kisah Rasulullah s.a.w dan isterinya Khadijah yang begitu setia di sisi Nabi s.a.w samaada dalam keaadaan susah mahupun senang. Bukan itu sahaja, penulis juga menyelitkan kata-kata perangsang atau motivasi cinta yang dapat menyemarakkan lagi rasa cinta dalam diri pencinta.

Buku terbitan PTS ini membimbing pembaca mencapai cinta sejati. Pembaca dapat mempelajari cara mengatasi masalah-masalah yang memang tidak lari daripada setiap pasangan yang bercinta. Penulis membuat susunan mengikut bab-bab dan tajuk-tajuk kecil yang sangat menarik diikuti dengan kata-kata cinta. Tulisan yang digunakan oleh penulis menggunakan warna coklat dan kemerah-merahan berikutan dengan tema cinta menarik hati saya untuk menghabiskan bacaan dengan masa sehari sahaja. Terima kasih dan tahniah kepada Zamri Mohamad kerana berkongsi ilmu cinta yang sangat membantu pembaca untuk meraih cinta yagn sejati. Hidup ini indah dengan hadirnya cinta yang sejati! Bayangkanlah kehidupan tanpa cinta, sudah tentu tiada serinya dunia ini, tiada keamanan dalam kehidupan kerana cinta itu suatu keperluan dan kemestian untuk hidup. Cinta kepada Tuhan. Cinta kepada keluarga. Cinta kepada Negara dan cinta hati bagi pasangan yang jodohnya telah ditetapkan Tuhan.

Petikan Pilihan 1

Hargai perkara-perkara kecil yag dilakukan oleh pasangan. Sikap menghargai pasangan menggambarkan sikap kita yang menghargai tindak tanduk pasangan dalam menggembirakan kita.

Pamerkan dengan kata-kata dan bahasa badan untuk beliau melihat tanda penghargaan kita. Setiap perkara kecil mempunyai nilai dan pengaruh dalam hidup masing-masing. Ia seperti nilai sekeping syiling sepuluh sen. Tanpa sekeping syiling sepuluh, ia tidak melengkapkan nilai wang yang lebih besa waima sepuluh juta sekalipun.

Petikan Pilihan 2

Ada lelaki yang mempunyai masalah rendah diri pada pasangan. Sikap rendah diri membawa kepada rasa cemburu dan ingin bersaing dengan pasangan sendiri. Tindakan yang sesuai bagi kita adalah dengan tidak menggambarkan diri sebagai pesaing tetapi sebagai sebahagian daripadanya.

Kata-kata lelaki yang mempunyai perasaan rendah diri bunyinya seperti mencabar pasangan. Tindakan kita secara berhikmah dan bijaksana akan menyedarkan lelaki pasangan bukanlah pencabar ataupun musuh tetapi pendorong.

Belakang Buku

Cinta mungkin dilihat temeh. Realitinya cinta banyak mengubah sejarah dunia. Kerana cinta yang bersahut sentiasa mendamaikan dan memberi semangat dalam melalui hidup penuh bermakna.

Kepahitan memenjarakan kehidupan, cinta membebaskan,
Kepahitan melumpuhkan kehidupan, cinta memberi kekuatan,
Kepahitan mendukakan kehidupan, cinta memaniskan,
Kepahitan menyakitkan kehidupan, cinta menyembuhkan,
Kepahitan membutakan kehidupan, cinta mencelikkan
.
Harry Emerson Fosdick

Magnet Cinta : Membuatkan sesiapa pun tertarik hati setiap hari setiap waktu

Dipenuhi dengan idea-idea kreatif dan praktikal bagi menyemarakkan kembali tautan cinta dalam perhubungan.

• Fahami rentak bahasa badan yang menggambarkan perasaan pasangan anda.
• Teknik-teknik melihat dunia dari kaca mata si ‘dia’
• Kenali strategi bagi mempromosikan kempen pilihan raya cinta
• Tip-tip mengharungi halangan-halangan dalam percintaam… dan banyal lagi dalam….

Alami sentuhan ajaib magnet cinta yang menyentuh jiwa… Anda pasti terpesona!

---
Nur Amalina

Ain : Cabaran 50 Buku : (13) Denyut Kasih Medik


Tajuk buku : Denyut Kasih Medik
Penulis : Dr. Farhan Hadi
Keluaran : Telaga Biru
Halaman : 390 m/s


Sinopsis kulit belakang :

Denyut Kasih Medik merupakan sebuah kisah perjuangan seorang doktor muda mengaplikasikan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih (houseman). Ia juga kisah masyarakat kerana menyentuh isu-isu perubatan dalam kehidupan masyarakat. Bukan itu sahaja, ia kisah seorang pemuda yang hidupnya sarat impian dan cita-cita. Lebih menarik ia bukan hanya menyentuh fiqh perubatan bahkan turut menyelitkan fiqh wanita dan fiqh cinta.

Berjayakah misi seorang doktor muda dalam memperjuangkan syariat di hospital ketika bergelar doktor pelatih?

Ulasan ainsabrina:

Watak utamanya Dr Muslih , doktor Houseman atau lebih mudah dipanggil sebagai HO di Hospital Selayang. Denyut Kasih Medik memuatkan kisah perjuangan Dr Muslih dalam menegakkan islam dalam kerjaya perubatan serta dalam kehidupannya. Ia mengabungkan Fiqh perubatan, fiqh wanita dan juga fiqh cinta.

Dalam novel ini diselitkan beberapa permasalahan di dalam setiap posting yang Dr Muslih lalui, antaranya :

- Isu penggunaan ubat yang mengandungi unsur khinzir ( Clexane VS heparin)
- Kisah mat rempit
- Kisah doktor yang ketinggalan solat apabila perlu bertugas dalam dewan bedah. Rupanya solat itu boleh dijamakkan jika dalam kes-kes begini. (info ini saya baru tahu apabila baca buku ini)
- Kesan arak
- Kisah penagih dadah
- Antara sibuk bekerja dengan solat, antara tanggungjawab kita pada manusia dengan tanggungjawab kita pada Allah.
- Hak pada Allah walaupun sakit. Isu wuduk dan solat ketika sakit.
- Kisah ‘needle prick’, proses mencucuk atau mengambil darah pesakit yang mempunyai penyakit HIV ataupun Hepatitis yang boleh merebak melalui darah.
- Kisah remaja putus cinta menelan 20 biji panadol. (kisah ini pernah saya lihat di HUSM dulu)
- Isu perancangan keluarga, merancang mengunakan ubat dan lain-lain.
- Isu penguguran anak.
- Isu berkhatan anak.
- Isu air selusuh

Dan macam-macam lagi isu diperbincangkan di dalam novel ini. Selain mengenai perubatan, novel ini juga menyelitkan kisah cinta Dr Muslih dengan tunangan yang akhirnya menjadi isterinya dan juga kisah sahabat Dr Muslih, Dr Nazir dan Dr. Neezam kembali ke jalan yang benar.

Komen ainsabrina :

Novel ini memberi saya pendedahan mengenai kehidupan HO yang akan saya tempuh lebih kurang setahun lagi, insyAllah. Kehidupan HO secara umumnya diketahui semua sebagai fasa doktor yang sangat memeritkan. Kehidupan yang hampir 100% tertumpu di hospital dan juga kisah lambakan tugas HO. Membaca novel ini membuatkan semangat saya untuk menjadi doktor melonjak naik walaupun dalam masa yang sama, ada rasa cemas dan cuak dengan kehidupan HO yang bakal terjadi.

Selain dari itu, banyak ilmu fiqh perubatan yang saya dapat dari novel ini. Kebanyakannya adalah isu-isu yang sering saya lihat mahupun dengar di HUSM.

Akhir kata, saya nak kongsikan dengan semua satu dialog dalam Denyut Kasih Medik yang bagi saya menarik :

Dialog ini berlaku setelah Dr Muslih menerangkan mengenai solat jama’

“Ooh, baru saya faham. Terima Kasih banyak ya doktor. Doktor ni macam ustazlah. Doktor sekolah agama ke dulu “, kata MA Rahim

“Eh, saya biasa-biasa saja. Bukan apa, kan kewajipan kita untuk mengetahui tentang agama kita,. Perkara ini Fardu ain, Abang Rahim. Walaupun kita kerja bidang lain, kita juga kena tahu soal-soal hukum fiqah ni”, kata Dr. Muslih.

“Hmm, ya ta ya juga. Bukan golongan ustaz saja nak masuk syurga, kita semua pun nak masuk syurga. Jadi ilmu Fardu ain ni bukan ustaz saja yang kena pandai, kita pun kena pandai juga”, simpul MA Rahim.

---
Ain Sabrina

Ain : Cabaran 50 Buku : (12) Mandatori


Tajuk buku : Mandatori
Penulis : Ramlee Awang Murshid
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 505 m/s

Sinopsis Kulit belakang :

Bermula dengan hukuman di tali gantung yang dikenakan ke atas seorang pemandu, Carlos menyimpan dendam menuntut keadilan. Seorang demi seorang yang menzalimi akan terpaku di mahkamah keadilan yang dicipta oleh Carlos sendiri. Dialah pendakwa raya dan dia jugalah hakim.

Bagi Carlos, peguambela sudah tidak perlu lagi kerana pendakwaan membawa erti kesalahan telah terbukti. Sesiapa yang diadilinya pasti akan menerima hukuman dengan sekali perbicaraan. Dan hukuman yang pasti ialah hukuman mati mandatori!

Ulasan ainsabrina :

Semuanya bermula dengan kisah Taasan, pemandu kepada Datuk Johari yang dihukum mati di tali gantung berikutan kes penangkapan dengan dadah. Walaupun Taasan tidak bersalah, namun disebabkan hukuman itu, keluarga Taasan menerima impak yang besar setelah pemergiannya. Dia meninggalkan Bu piah, isterinya dan dua anak, Amran dan Nurimah. Amran dihina kawan sekelasnya Juliana,Kelvin dan Jane sehinggakan Amran dibuang sekolah manakala Nurimah bertukar sekolah. Memikirkan nasib keluarga yang asyik ditimpa malang, Amran akhirnya berkeputusan menjadi nelayan. Siapa sangka hanya pada hari pertama dia sebagai nelayan, Amran hilang pabila perahu mereka karam akibat rebut angin monsoon.

Kisah itu berlalu dilupakan begitu sahaja. Semua dengan kisah masing-masing. Juliana sudah berjaya dengan syarikatnya namun bermasalah dengan kisah cintanya yang membawa dia bertemu dengan Norman. Kevin sudah berjaya menjadi doktor Forensik manakala Jane berjaya menjadi seorang peguam. Di saat kehidupan mereka seakan tenang tanpa bahaya, mereka dikejutkan dengan jemputan yang menemukan mereka dengan Carlos. Carlos ibarat penegak keadilan yang memberi hukuman kepada pesalah tanpa peguam pembela mahupun hakim.

Komen ainsabrina :

Novel ini saya habiskan sepanjang berada di keretapi Butterworth-Bangkok. Saya bagaikan ternanti-nanti babak seterusnya yang berlaku,juga tertanya-tanya siapa Carlos yang sebenarnya.

Novel thriller Ramlee Awang Murshid memang membuatkan kita seperti berada di dimensi lain. Kisahnya banyak kisah ulang tayang dan banyak watak wujud yang membuatkan kita tertanya-tanya. Watak Carlos dari awal begitu rahsia dan beberapa lagi watak rahsia yang lain.

---
Ain Sabrina

MB : Cabaran 50 Buku : (31) Kuntum Cinta Di Taman Syurga






Judul : Kuntum Cinta Di Taman Syurga
Penulis : Thoyba Mursyidah
Terbitan : PTS Litera Utama Sdn Bhd
ISBN : 978-967-5783-54-8








1. Tahniah buat penulis muda ini di atas kelahiran novel pertamanya bersama PTS Litera Utama Sdn Bhd.

2. Kuntum Cinta Di Taman Syurga sebagai buah tangan pertama yang saya kira berjaya buat penulisnya, Nuraini Ruzi atau nama penanya Thoyba Mursyidah.

3. Novel ini berkisah tentang dunia dakwah para guru pelatih di sebuah institusi, yang berjuang dalam menegakkan agama Islam dalam persekitaran mereka.

4. Menyentuh mengenai bagaimana dakwah itu harus berjalan di kalangan umat, kesedaran betapa pentingnya ingat-mengingatkan dalam perkara kebaikan, di samping beberapa perbincangan dan wacana mengenai isu semasa, antaranya ideologi yang makin membarah di dalam masyarakat Islam, liberalisme. Islam liberal.

5. Selain itu novel ini juga berlegar sekitar makna persahabatan, kasih sayang sesama teman, jalinan ukhuwah yang terbina atas nama cinta Ilahi disentuh dan dibawa sepanjang pengisahan novel ini.

6. Apa yang saya suka mengenai novel ini apabila penulis menulis mengenai golongan 'pendakwah' yang tersasar jalannya sehingga mengakibatkan perkara mengajak mendekati Tuhan itu telah berubah wajah sehingga melahirkan generasi-generasi yang skeptis dan sinis pandangannya terhadap usaha dakwah ini.

7. Watak Syaidi diambil sebagai contoh. Dia merupakan seorang anak yang membesar dalam suasana bapanya tiada di sisi kerana sering berpergian bersama rakan-rakannya dalam menjalani kerja dakwah. Kadang berhari, kadang berbulan. Keadaan itu menyebabkan ibunya terpaksa menanggung semua pekerjaan dalam mencari rezeki mereka sekeluarga yang sewajibnya menjadi tanggungjawab si bapa.

8. Melihat ibunya bersusah bekerja demi membesarkannya membuatkan Syaidi benci kepada bapanya. Bapanya dipandang sebagai tidak bertanggungjawab sehingga melepaskan semua beban keluarga kepada ibu, dan bapa hanya sibuk ke sana ke sini berdakwah, bahkan meminta wang daripada ibu pula.

9. Semua itu menyebabkan Syaidi membenci orang yang kononnya ingin berdakwah, sehingga dia menjadi anti kepada rakan-rakan guru pelatih yang giat menjalankan kerja dakwah ini.

Kebingungan yang menyesakkan ruang mindanya sedikit demi sedikit bertukar menjadi kemarahan. Kemarahan itu lalu berubah menjadi kebencian. Kebencian yang amat pada ayahnya, pada cara hidupnya, pada perkataan yang bernama dakwah! (ms 173)

Ayah sering berjubah dan berserban ke mana-mana sahaja dia pergi. Dahulu, ayahnya bekerja di sebuah kilang, tetapi selepas menyertai kumpulan dakwah, dia berhenti kerja dan tidak mahu ambil tahu lagi hal rumah tangga.

"Aku benci ayah!" (ms 213)


10. Lalu sepanjang novel ini diberikan pandangan dan pedoman bagaimana kerja mulia dakwah itu harus dijalankan melalui watak-watak guru pelatih tersebut. Sambil di bantu oleh watak Amir Hamizan yang menjadi mentor kepada mereka.

11. Sebuah novel yang menarik. Walaupun sebagai penulis muda, masih ada di sana sini ruang yang boleh diperbaiki, juga saya merasakan plot serta konfliknya yang cuba ditonjolkan tidak seberapa 'drama', tetapi kalau mahu mengikut apa yang dipanggil Gagasan Persuratan Baru, plot serta jalan cerita sesebuah penulisan sudah tidak menjadi keutamaan lagi. Yang penting, nilai ilmu yang diperolehi pembaca di saat menghabiskan sesebuah novel itu yang harus ditekankan.

12. Sekali tahniah buat penulisnya, pada novel kedua harapnya lebih segar dan matang serta lebih sampai ke akar, tuntas jika mahu membawakan sesuatu perkara seperti Islam liberal itu. Tahniah sekali lagi, semoga bermanfaat buat semua.

---
Melihat Buku

NH : Cabaran 50 Buku : (26) Ranting Cinta Si Plato

Ranting Cinta Si Plato
Norhayati Berahim
Penerbit: NB Kara
terbitan 2010

Ranting cinta si Plato adalah hasil garapan yang cukup indah dari Norhayati Berahim. Mengisahkan kehidupan seorang doktor muda yang mencari rezeki di rantauan. Doktor muda tersebut bernama Muaz.

Kisah ini juga terselit juga tentang peluang kedua dalam percintaan. Pertemuan Muaz dengan Sofea membenihkan rasa cinta di hati masing-masing. Ketika pertemuan tersebut, Sofea masih bergelar seorang pelajar manakala Muaz sudah bekerja di sebuah hospital dimana tempat Sofea menjalankan latihan praktikalnya. Pertemuan Muaz dengan Sofea, telah menyebabkan perasaan dan jiwa Muaz mengalami satu perubahan yang sukar digambarkan oleh mata kasar.

Muaz berasa sangat teruja setiap kali dapat meluangkan masa bersama Sofea. Mereka selalu berkongsi cerita tentang kerenah pesakit, masalah-masalah pembelajaran yang di hadapi oleh Sofea dan mereka sering makan tengahari bersama. Kehadiran Sofea dalam hidup Muaz membuatkan Muaz berasa sangat terhibur kerana Muaz sendiri sudah lama menetap di negara orang. Muaz terlalu merinduinya adiknya, Dian.

Setelah tamat belajar, Sofea kembali ke tanah air. Setibanya di Malaysia, Sofea yang sememangnya telah mempunyai teman lelaki yang bernmama Alfian. Alfian menagih janji, iaitu mengambil Sofea sebagai isteri. Sofea dan Alfian telah lama menyulam kasih. Setelah perkahwinan terlaksana, barulah Sofea sedar, antaranya dengan Alfian, terdapat terlalu banyak ketidakserasian. Sentiasa saja berlaku perkara-perkara yang menyakitkan hati masing-masing. Sofea banyak menyimpan syak wasangka terhadap Alfian kerana Alfian lebih mementingkan kerjayanya daripada kebajikan Sofea sebagai isterinya. Setiap hari hujung minggu pun, Alfian selalu keluar bekerja. Bermacam-macam perkara yang bukan-bukan telah bermain di fikiran Sofea. Sofea mengesyaki Alfian berlaku tidak jujur di belakangnya, namun, Sofea hanya pendamkan seorang diri masalah yang di hadapinya.

Kerana kesibukan kerja yang melampau, Alfian jarang meluangkan masa bersama Sofea. Akhirnya, kecekalan hati Sofea diuji dengan ujian yang cukup berat. Ketika Sofea masih mengharapkan belaian dan layanan yang sewajarnya dari seorang lelaki yang bergelar suami, Sofea ditinggalkan oleh lelaki tersebut untuk selama-lamanya. Alfian terlibat dalam kemalangan sehingga meragut nyawanya semasa dalam perjalanan ke tempat kerja di luar daerah.

Sofea terlalu kecewa dengan kehilangan Alfian. Sofea belum mengecapi kebahagian bergelar seorang isteri. Sofea betul-betul rasa kehilangan. Setiap saat, Sofea akan meratapi kemergian Alfian. Sofea seperti tidak dapat menerima takdir yang telah ditentukan padanya. Sofea terasa kehilangan yang teramat sangat, sememangnya Sofea tidak dapat menerima kenyataan yang dia telah kehilangan Alfian buat selama-lamanya. Setiap petang, Sofia akan menziarahi kubur Alfian. Menangis dan meratap di sisi batu nisan milik Alfian.

Muaz juga telah kembali ke Malaysia setelah lama menetap di luar negara. Kerinduannya pada adik kesayangan tidak dapat dibendung lagi. Selain merindui adiknya, Dian, Muaz juga bertekad untuk mencari satu nama yang sentiasa terlintas di fikirannya. Tapi, bagaimana untuk menemui tuan empunya nama tersebut kerana Muaz tidak mempunyai apa-apa info tentangnya.

Dian, telah memilih untuk berumahtangga dalam usia yang muda. Muaz menentang keras kehendak adiknya itu. Dian mahu berkahwin dengan Kyrel, iaitu salah seorang pensyarah di tempat dia belajar. Walaupun mendapat tentangan hebat dari Muaz, Dian tetap bertekad mahu berkahwin dengan Kyrel. Pelbagai cara Dian lakukan untuk menyakinkan Muaz tentang perkahwinan yang bakal dilangsungkan bersama Kyrel. Melihat pada kesungguh yang ditunjukkan oleh Dian, akhirnya Muaz terpaksa mengalah kerana turut mendapat sokongan persetujuan perkahwinan Dian oleh Mak Uda nya. Setelah Dian selamat menjadi isteri kepada Kyrel, Mak Udanya sibuk menyuruh Muaz berumahtangga juga. Bermacam-macam helah Muaz berikan pada Mak Uda kerana Muaz masih mengharapkan kehadiran Sofea untuk menyinari hidupnya.

Kesian Dian, rupanya harapan untuk mengecapi rumahtangga yang bahagia bersama kekasih hati tidak kesampaian kerana suami Dian telah berubah laku setelah beberapa bulan memasuki alam perkahwinan. Terlalu banyak keperitan yang dihadiahkan oleh Kyrel kepada Dian. Hidup Dian tidak pernah kenal erti bahagia setelah bergelas isteri Kyrel. Kyrel hidup dengan penuh kepuraan. Kyrel berlaku curang dibelakang Dian. Disebabkan kesengsaraan hidup yang di tanggung, Dian menemui ajal pada usia yang terlalu muda. Muaz menerima dengan redha kemergian adik tersayangnya.

Sofea pula, setiap petang akan menziarahi pusara Alfian. Mungkin takdir telah tertulis, menemukan kembali Sofea dan Muaz. Sofea menyedari, ada insan lain yang baru menzirahi pusara berhampiran pusara Alfian. Muaz juga sedang menyedekahkan ayat-ayat suci di pusara adiknya. Apabila Muaz terpandangkan Sofea yang berada tidak jauh dari tempatnya, Muaz seperti mengenali wanita tersebut.

Pertemuan kedua yang tidak disengajakan antara Muaz dan Sofea umpama satu anugerah yang paling berharga dalam hidup Muaz. Muaz terlalu mengharapkan kehadiran Sofea untuk menyinari kehidupan yang dan Muaz terlalu merindui setiap celoteh Sofea.

Akhirnya Muaz telah kembali menjadi pendengar setia untuk semua masalah yang melanda hidup Sofea. Hampir 5 tahun mereka terpisah. Jangka masa yang agak lama itu, tidak sedikit pun melunturkan perasan yang telah lama bercambah di hati Muaz untuk Sofea. Rupa-rupanya, terlalu banyak peristiwa tragis yang telah Alfian tinggalkan untuk Sofea. Setelah pemergiannya, satu persatu kebenaran yang cukup mengguris hati wanita Sofea muncul di hadapan Sofea. Nasib baik, dengan kehadiran Muaz, Sofia berjaya menempuhi segala-galanya dengan tenang. Akhirnya, Muaz berjaya menyunting Sofea untuk menjadi suri di hatinya buat selama-lamanya.

Akhirnya, Muaz berjaya menemui ranting cintanya yang telah lama di cari. Pada awalnya Sofea tidak memberi respon yang positif pada Muaz. Bermacam-macam cara yang Muaz lakukan untuk memikat hati Sofea. Kebahagian berjaya menjadi milik Muaz dan Sofea.

Ranting Cinta si Plato adalah satu falsafah tentang cinta. Falsafah itu dihuraikan dengan begitu teliti. Jalan penceritaan yang menarik. Watak utama yang terlalu baik. terdapat beberapa watak yang terlalu kejam. Saya harap dengan sedikit ulasan tentang Ranting Cinta Si Plato ini dapat menarik minat pembaca-pembaca novel.

---
Noor Hekmat