Aug 2, 2011

KK: Cabaran 50 Buku: (24) Maaf, Saya Bukan Bibik!


Tajuk: Maaf, Saya Bukan BIbik!
Penulis: Nashmin
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 340 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-10-8
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)

Kata kulit buku:

bencinya pada mat ni...

Bahasa Melayu SPM tu ‘kacang’ baginya. Lalu dia luangkan masa baca majalah hiburan saja. Hasil: Bahasa Melayu – 9G. Dia nekad mahu ambil semula SPM, tapi dia kesian pada ibu yang sudah jadi balu. Mereka sekeluarga bukan orang berada, tinggal pun di rumah pangsa DBKL saja.

Dia perlu cari duit sendiri!

Peluang terbuka luas apabila ada kerja kosong jadi orang gaji di Selama, Perak. Tapi mampukah dia gadis Kuala Lumpur hidup jauh di pendalaman? Lebih-lebih lagi, anak lelaki majikan yang sudah bertunang itu sangat benci padanya.

Bibikkkk!!! siang ikan bersih-bersih ya!!!

Kerenah Zaki yang memang seperti mahu menghalaunya itu buat Suhana jadi geram bercampur sedih. Perlu terus bertahan? Atau dia mengaku kalah sahaja dan katakan pada Zaki: Maaf, Saya Bukan Bibik!

* * * *
Ini memang novel pertama NASHMIN. Namun karyanya sudah memperlihatkan kematangan; dia menulis daripada hati yang jujur lagi polos. Pemilik ijazah Sarjana Muda Pengajian Melayu ini garap bahasa Melayunya dengan baik sekali, menarik dan bersahaja. Prinsipnya, ‘segala usaha dan kerja yang dilakukan kerana Allah maka akan dinilai sebagai ibadah’.

Kata KK:

Ceritanya, banyak-banyak subjek SPM, subjek Bahasa Melayu sahaja dia gagal. Lalu, dia pasrah dan menerima hakikat. Namun, dia kembali nekad untuk mengulang SPM. Disamping mengulang SPM, dia bekerja. Bekerja sebagai pembantu rumah di rumah saudara sahabat baiknya di hujung negeri Perak, Selama. Sambil bekerja sambil dia belajar. Beruntungnya dia mendapat majikan seorang guru. Guru Bahasa Melayu. Guru yang garang tetapi membantunya. Membantunya sehingga cemerlang. Sampai dia keluar di surat khabar.

Isu Suhana gagal matapelajaran Bahasa Melayu satu isu yang saya tidak puas hati dari sudut pemikiran rasional saya. Tetapi kalau sudah rezeki Suhana gagal untuk subjek itu tiada apa yang harus dipertikaikan lagi. Malah, MSBB buat saya mengimbau kenangan waktu sekolah dahulu. Zaman SPM. Zaman kanak-kanak riang ria.

Hampir saja saya kecewa, takut-takut pengakhirannya tergantung seperti Blues Retro tetapi penulis berjaya buat saya rasa lega. Walaupun kes Suhana dan Cikgu Zaki tidak saya berkenan tapi apakan daya rasa hati bukan dapat di duga.

cinderella pun jadi bibikkan?

---
Khaulah Khalid

AMAL : Cabaran 50 Buku (13) : 25 Cerpen ‘Best’Remaja


Tajuk buku : 25 Cerpen ‘Best’ Remaja
Terbitan : Buku Prima
Muka Surat : 320
Koleksi Cerpen Pilihan Majalah Remaja.

Ulasan Buku

Buku terbitan ‘Buku Prima’ ini mengandungi 25 cerpen pilihan yang terbaik daripada koleksi cerpen-cerpen majalah remaja. Kesemua cerpen yang dipaparkan ini bertemakan persahabatan dan percintaan dan ia sangat sesuai bagi remaja. Buku ini juga sangat sesuai bagi mereka yang baru mengenal novel.

Cerpen-cerpen yang menjadi pilihan merupakan cerpen yang tersangat menarik dan mampu membuatkan pembaca berpuas hati apabila membacanya. Semua cerpen pilihan ini mempunyai jalan cerita yang berbeza dan pembaca pasti merasa pelbagai perasaan, ada jalan cerita yang sedih dan mencuit hati. Pembaca pasti tidak menyesal memiliki buku ini. Penulis-penulis 25 cerpen yang terdapat dalam buku ini antaranya terdiri daripada penulis yang diminati oleh saya seperti cerpen “Keranamu Masyitah”, “Jawapan Kasih”, “Indah Sekuntum Teratai”, serta cerpen bertajuk “Kemaafan” ditulis oleh Fizer Ismail. Selain Fizer Ismail ada juga karya daripada penulis-penulis lain yang tidak kurang hebatnya seperti karya daripada Hani Hamsyari iaitu “Mendamba Sakinah”. Begitu juga hasil karya daripada Nor Juhaida Ahmad iaitu “Harga Sebuah Kemaafan”.

Terima Kasih kepada Buku Prima kerana menerbitkan buku koleksi cerpen. Cerita-cerita yang terdapat dalam buku ini merupakan cerita-cerita santai. Buku begini memang sangat dinantikan oleh peminat-peminat buku.

Kulit Belakang

25 Cerpen ‘Best’ Remaja merupakan koleksi terbaik daripada Majalah Remaja. Cerpen-cerpen terpilih ini merupakan cerpen ter’hot’ bertemakan cinta dan persahabatan. Gaya penceritaan yang santai dan mencuit hati ini sesuai dengan konsep ‘inspirasi remaja kini’ khas untuk para remaja.

Ruangan cerpen Majalah Remaja sememangnya mendapat sambutan hangat di kalangan pembaca. Dari itu, Buku Prima mengambil peluang dengan kerjasama Majalah Remaja membawakan koleksi cerita-cerita pendek lagi menarik ini untuk santapan anda.

Jadi, kepada anda, jangan ketinggalan memiliki buku intimewa ini sama ada untuk diri sendii ataupun hadiah kepada seseorang.

---
Nur Amalina

KK: Cabaran 50 Buku: (23) Blues Retro


Tajuk: Blues Retro
Penulis: Imaen
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Muka surat: 351 halaman
ISBN: 978- 967- 0201-14-6
Harga: RM 17 (Sem M’sia) / RM 19.00 (S&S)

Kata kulit buku:

... empat semester yang indah...
Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.


“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

* * * *
IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu memperkenalkan semula sastera remaja yang indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kata KK:

Kisah cinta Ghazi dengan Nik Farhana. Cinta zaman 90-an. Kisah perniagaan Ghazi. Kisah cinta dua darjat. Ghazi anak miskin manakala Nik Farhana anak orang kaya. Ghazi anak muda bersama temannya membuka gerai burger untuk mendapatkan wang untuk terus sambung belajar. Perniagaan makin maju tetapi kisah cinta tidaklah semaju perniagaannya. Ada saja halangannya. Sedihnya, apabila Ghazi dibuang kolej kerana ikut demonstrasi. Sedihnya, Ghazi dan Nik Farhana tidak kahwin lari. Sedihnya, pengakhirannya tergantung.

Menariknya, idea innovatif dari Ghazi dan temannya dalam mempertingkatkan mutu burger mereka. Ghazi kata burger mereka burger orang kampung. Dijual hanyalah di gerai bukan restoran berhawa dingin seperti A&W ataupun Mc Donalds. Walaupun begitu burger mereka orang suka. Burger mereka masak ramai yang beli.

Kesimpulannya, saya terkedu. Terkedu sebab beli buku ini dari penulisnya sendiri. Ha-ha. Perasan. Ya, saya beli ketika di pesta buku waktu tu penulisnya yang jaga kaunter bayaran. Jadi, saya hilang kata-kata untuk membuat ulasan lebih-lebih untuk Blues Retro. Yang pasti, seronok mengimbau zaman belajar dulu-dulu sebab zaman sekarang sudah makin moden. Makin maju. Makin canggih.

Saya juga ada kenangan yang menarik di UM!

---
Khaulah Khalid

KK: Cabaran 50 Buku: (22) 3 Kali Seminggu


Tajuk: 3 Kali Seminggu
Penulis: Dr. Faisal Tehrani
Terbitan: Ameenbooks
Muka surat: 198 halaman
ISBN: 978- 967-362-058-6
Harga- RM 19.00 (Sem M’sia) / RM 21.00 (S&S)

Kata kulit buku:

Tiga Kali Seminggu memperihalkan seorang ustaz kacak lagi petah yang mengajar kuliah tafsir, tajwid dan fiqah sebanyak tiga kali seminggu di sebuah kampong. Ramai yang tertarik dan terpesona. Ramai yang khuysuk sungguh-sungguh, ramai juga yang berpura-pura khsyuk, tidak kurang yang menggeliang-geliut tergedik-gedik cuba menarik perhatian

“ustaz, haramkah kalau saya memeluk-meluk bantan dan mengandaikan ia suami saya?”
Ustaz Agil semacam gamam sekejap. Serasa dada berdebur akan pecah. Belum pernah dia ditimpa soalan fiqah seperti ini.

Tiga Kali Seminggu merupakan salah satu cerita pendek dalam buku ini.

15 buah cerita pendek Faisal Tehrani –mengundang rasa syahdu,lucu,pilu- membawa sindiran, peringatan, kekuatan semangat dan tanda Tanya.

Kata KK:

Dikulit buku tertulis 15 cerpen yang mencabar minda. Ya, sungguh mencabar minda dari Dr. Faisal Tehrani. Setiap cerpen mempunyai isu yang diketengahkan seperti isu Bahasa Melayu, isu ekonomi, isu kekerasan dan anti-kekerasan dan sebagainya. Kerana isu-isu yang berat ini buat saya lambat untuk menghabiskan 3 Kali Seminggu ini. Setiap satu cerpen itu saya perlu hadam terlebih dahulu sebelum melangkah ke cerpen yang lain. Bagi saya, Faisal Tehrani pandai mengolah sesuatu isu di dalam cerpennya. Contoh isu memperjuangkan Bahasa Melayu diolah sebagai sebuah kisah cinta antara dua darjat. Ada juga isu yang berat diolah dalam keadaan santai. Di samping itu juga ada unsure sinis yang tidak keterlaluan dalam cerpennya.

Antara cerpen yang member impak kepada saya adalah cerpennya yang terakhir iaitu gawat. Cerpen yang mengisahkan gempa bumi yang berlaku di Malaysia walaupun ia agak mustahil dengan kedudukan geografinya namun Faisal Tehran menjadikan situasi ini benar-benar berlaku dan saya dapat membayangkan bagai menonton berita sahaja.

Selain itu, ada satu cerpen yang menarik dan saya rasa ia comel iaitu cerpen tentang haiwan menulis surat kepada khalifah tentang kerosakan yang dilakukan ke atas bumi.

Setiap cerpen FT dirasakan saya seperti mengembara dari satu tempat ke satu tempat dari Malaysia hingga Negara lain kemudian kembali ke Malaysia. Dari sebelum merdeka hingga selepas merdeka seperti menaiki mesin merentasi masa kepunyaan Doraeman sahaja. Hi-hi.

Segala maklumat setiap cerpennya sangat padat merangkumi semua aspek sepertinya FT sangat pakar setiap apa yang disampaikan di dalam cerpennya.

Macam sebuah ensiklopedia!

---
Khaulah Khalid

Aug 1, 2011

Arirada: Cabaran 50 Buku [16] : TINTA




Tajuk : Tiga Ceritera Dalam Sebuah TINTA
Penulis : Nasron Sira Rahim, Syud, Pingu Toha
Penerbit : Jemari Seni Sdn. Bhd.
Muka surat :



Sinopsis kulit buku :

Ceritera 1 - Wajah Ketiga ~ Nasron Sira Rahim

Hatinya ditusuk rasa sedih, kecewa dan amarah yang tidak berkesudahan. Bagaikan ditusuk sembilu, kebahagiaan mereka menatijahkan luka yang pedih dan mendalam dalam sanubarinya. Keperitan yang terpaksa dia pendam sehingga membuahkan pohon kesengsaraan yang bercambah rendang.

Apakah maksud di sebalik jujukan kod-kod nombor itu?
Mungkinkah dia salah seorang mangsa Pembunuh Obituari?

Ceritera 2 - Dia, dalam Ramai... ~ Syud

Ramai orang kata, kadang-kadang, perkara yang paling kita tak jangka itulah yang akan terjadi pada diri kita.

“Sufiy.”
“Ya?”
“Nama saya Ameer.”
“Oh. Jumpa lagi, Ameer.”


Siapa sangka, kan? Siapa sangka orang yang dia sangka hilang atau memang dah tak akan jumpa itu... muncul lagi di hadapan matanya?

Ceritera 3 - Ada & Evan ~ Pingu Toha (seperti diceritakan oleh Kiki Abu Zain)

Boleh ke kita hidup pakai hukum ‘and they live happily ever after’?
Ada; yang sudah penat dengan cinta. Evan; yang begitu naif tentang cinta. Mereka cuba disatukan oleh ‘janji tadika’ abah dan ibu. Mereka bertemu di ruang maya. Di realiti, mereka mencari. Demi ‘Katakan Tidak kepada Kahwin Paksa’, mereka berjanji.

Lalu, yang mengikat mereka itu apa? Janji atau cinta?
_________________________________________________________


Apa kata saya :

Sebab paling utama saya membeli buku ini adalah kerana ada karya SYUD! Di antara ketiga-tiga penulis yang bergabung dalam buku ini, Syud lah yang paling saya minati, dan tidak ingin ketinggalan memiliki karya-karyanya. Nasron Sira Rahim juga saya senangi karya beliau, setelah mencuba karya pertama beliau dengan JS iaitu Nama Atas Kertas, dan ada sedikit rasa teruja untuk membaca Wajah Ketiga kerana ada disebut tentang ‘Pembunuh Obituari’ pada sinopsis kulit buku. Saya jadi tertanya-tanya, adakah Wajah Ketiga ini kesinambungan Nama Atas Kertas? Pingu Toha pula bagi saya penulisan beliau kurang sesuai dengan selera bacaan saya, apabila saya mencuba karya pertama beliau – L.U.V.E – dan saya tak pernah khatam buku itu hingga ke hari ini…tapi oleh kerana Ada & Evan turut sama ‘terselit’ di dalam buku ini, saya baca juga, lagipun ceritanya tidaklah panjang sangat.

Dan akhirnya, usai membaca ketiga-tiga ceritera, telahan awal saya ternyata tidak semuanya benar. Karya Syud seperti biasa, tetap unggul menjuarai carta citarasa saya (untuk perbandingan 3 cerita ini). Syud masih mengekalkan gaya penceritaan yang sama; santai dan menghiburkan, ada beberapa watak yang telah ‘dikenali’ daripada karya-karya beliau yang terdahulu seperti Azril dan Lisa, menjadikan cerita ini lebih dekat di hati pembaca-pembaca setia Syud. Ada beberapa bahagian yang sangat kuat ‘melekat’ pada hati dan fikiran saya (termasuk kawan-kawan yang turut membaca cerita ini) seperti adegan Ameer menjeritkan kepada Sufiy “nama saya Ameer” kemudian diolok-olok oleh Farhana dengan nada ucapan Rain dalam iklan syampu Clear, dan yang paling membuatkan saya tergelak besar ialah ucapan tuju lagu oleh Ameer kepada Sufiy dengan lirik lagu Dayangku Intan, Semakin Rindu Semakin Sayang (padahal adik Ameer yang buat naya kat dia), siap dengan kata-kata: sufiy, di sini abang setia menunggu…huhu, setiap kali dengar lagu tu kat radio, saya tak dapat tahan diri daripada senyum sorang-sorang!

Wajah Ketiga, karya Nasron Sira Rahim masih mengekalkan genre suspense thriller seperti sebelumnya. Saya mengharapkan cerita ini berkisar tentang beberapa watak Nama Atas Kertas seperti Aswadi Hamzah, Inspektor Faiz dan Hanim, tapi hanya watak Inspektor Faiz sahaja yang ‘dibawa’ ke Wajah Ketiga. Pun begitu, ceritanya tetap menarik, misterinya tetap ada untuk diselesaikan.

Ada & Evan mengubah persepsi saya hampir 100% terhadap Pingu Toha! Tahniah Pingu, Ada & Evan benar-benar ‘menarik’ hati dan mata saya untuk menoktahkan pembacaan hingga ke titik yang terakhir! Biarpun kandungan ceritanya hanyalah kiriman emel antara Ada dan Evan, tapi saya rasa cukup puas membacanya. Watak Ada dan Evan ada mirip watak-watak dalam drama Korea yang menonjolkan watak hero yang agak ‘lembik’ tapi ‘cute’ manakala watak heroinnya seorang yang selamba dan tahan diuji tapi masih tetap berjiwa sentimental. Adegan berbalas makanan menggunakan khidmat kurir dan karipap bapa Evan yang berubah inti benar-benar mencuit hati, ‘cute’ sungguh idea Pingu ni, hahaha! Selesai membaca Ada & Evan, saya terfikir untuk menyempurnakan bacaan naskhah L.U.V.E yang sudah lama terperuk dalam laci almari rumah di kampung, entahkan sudah jadi apa ya buku tu agaknya? ^_^

---
Arirada