May 9, 2011

AS: Cabaran 50 Buku : (20) Mencari-Suami@JS.com

Tajuk Mencari-Suami @JS.com
Penulis: Normaslina Masri
Penerbit: Jemari Seni (April 2011)
617 Mukasurat
Harga: RM22 (SM)/RM25 (SS)

Mungkin benarlah kata orang, kita jarang sekali menghargai orang yang ada depan mata kita. Hanya selepas ketiadaannya baru kita terasa. Tidakkan tindakan sebegitu boleh dianggap sebagai tidak mensyukuri apa yang kita miliki?

Disebabkan jasa baik seorang teman, 3 novel terbaru dari Jemari Seni sudah di tangan. Manakan mungkin untuk saya yang jauh dapat menjejak kaki ke KLIBF yang berlangsung baru-baru ini. Terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau.

Memang tidak dapat disangkal, kulit-kulit novel Jemari Seni semakin menarik, dengan warna-warna yang memukau. Begitu juga dengan Mencari-suami@JS.com, berkali-kali saya membelek kulit novel ini sebelum memulakan bacaan.

Sejujurnya, saya mengambil masa agak lama untuk mula menyukai jalan cerita dalam novel ini. Pernahkah anda mempunyai pelbagai rasa ketika membaca sesebuah novel?

Itulah yang saya rasa sepanjang pembacaan saya. Peringkat permulaan yang agak lambat untuk saya rasakan sehinggakan saya hampir meletakkan kembali novel ini tetapi saya tidak meneruskan niat tersebut kerana terasa sayang. Mungkin:

i) Saya memang tidak mudah serasi dengan cerita yang menggunakan kata ganti ‘aku’ untuk watak utama dalam satu-satu novel. Hal ini demikian kerana, sukar untuk saya selami watak-watak lain secara mendalam selain watak utama. (Ialah masing-masing ada selera yang berbeza )

ii) Bahagian awal saya rasakan kurang pengisian. Saya cuma mula berasa seronok meneruskan pembacaan selepas habis Bahagian I.

Antara 4 watak penting ( menurut sayalah ) Sofea Saloma, Aliff, Yusuf dan Sham, entah mengapa perasaan saya lebih kepada Yusuf. Mengagumi dan menghargai segala-galanya tentang Yusuf. Tiada satu pun perlakuan atau tutur kata Yusuf menimbulkan perasaan tidak puas hati. Yusuf, saya anggap hampir sempurna sebagai seorang calon suami tetapi mengapa Sofea tidak pernah melihat semua kelebihan Yusuf? Hinggakan selepas ketiadaan Aliff pun Sofea begitu berat untuk menerima Yusuf kalau tidak mengenangkan masa depannya dan anak-anak. Begitu setiakah, Sofea kepada Aliff?

Namun selepas berusaha menyelami watak Sofea, saya tetap tidak berapa setuju dengan beberapa tindakannya yang dianggap tidak rasional( menurut pandangan saya ). Mengiklankan diri untuk mencari suami dan mengamanahkan kawannya untuk menandatangani kontrak bagi pihaknya seolah-olah menyerahkan masa depannya untuk sesuatu yang sangat berisiko. Nasib baik orang yang dinikahi adalah lelaki yang pernah singgah dalam hidupnya suatu ketika dulu. Selepas berkahwin dengan Aliff, sekali lagi saya berasa terkilan dengan perlakuan Sofea yang mengambil masa begitu lama untuk memaafkan Aliff sedangkan mereka sudah sah sebagai suami isteri. Sikap saling merahsiakan dan tidak berterus terang dengan pasangan merupakan amalan yang tidak sihat. Akhirnya Sofea juga hanya mampu menyesali setiap perlakuannya terhadap Aliff setelah dia tiada. Kesalkan dengan sikap Sofea ini?

Aliff, walaupun saya masih tidak faham mengapa dia sanggup meninggalkan Sofea dan berkahwin dengan Zura yang hanya dikenali selama 2 bulan namun selepas dia menikahi Sofea saya jatuh kesian dengannya. Dia juga turut merahsiakan sesuatu dari Sofea.

Bagi saya, kalau saya Sofea, saya juga tidak mungkin memilih Sham sebagai suami. Mungkin hanya serasi sebagai teman baik saja. Rasionalnya, saya melihat Sham sebagai lelaki yang tiada keberanian untuk meluahkan perasaan sedangkan dia telah lama menyukai Sofea.

Apakah yang akan terjadi kepada Yusuf? Adakah Sofea akan mengulangi kesilapan yang sama yang pernah dia lakukan ketika menjadi isteri Aliff? Jawapannya hanya akan terjawab sekiranya ada sambungan untuk Mencari-Suami@JS.com II. ;)

---
Anita Sang

0 comments: