May 11, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (37) Bisik-Bisik Gelora

Penulis: Fauziah Ashari
Penerbit: Buku Prima @ Grup Buku Karangkraf
ISBN978-967-0184-48-7
Harga: RM 25.90 / RM 28.90
M/S: 598
Cetakan 1 – 2011

Cinta yang berbisik di hati kan kusulam
Menjadi bait-bait gelora beralun rindu.


Blurb:

Banin Arumi atau Umi adalah gadis nakal dan lincah. Bapanya, Tuan Akalil menghantar dia ke kampung agar anaknya itu akan berubah tingkah laku kerana kampung mertuanya jauh dari kota. Di kampung, Arumi telah bertemu dengan Jad Izzuddin, seorang pemuda yang alim di hadapan keluarga namun amat nakal di belakang keluarga mereka. Suatu hari tanpa diduga, Arumi dan Jad telah bertemu. Pertemuan itu telah menyatukan mereka ke alam perkahwinan. Namun di hari pernikahan mereka, Arumi mendapat berita kedua-dua ibu bapanya menemui ajal dalam satu kemalangan jalan raya. Arumi mula membenci pada Jad yang dianggapnya menjadi punca semua malapetaka ini berlaku. Takdir ALLAH, pada hari yang sama, suami yang baru dinikahi ditangkap oleh pihak berkuasa dan disumbatkan ke dalam penjara. Apakah yang terjadi pada Arumi? Bagaimana pula dengan Jad?



Tidak mengahwinkan Arumi, mungkin anak gadisnya itu kian liar. Kini, sudah dikahwinkan, menantunya pula sudah menjadi ‘menantu hantu’. ~ Tuan Akalil

“Oleh kerana kau pun dah berhenti kerja dan orang pun tak tahu kau tu ada status isteri orang, apa kata kau tinggal aje kat rumah ni, tapi bukan sebagai isteri aku dan aku tak suka bela pelacur. Kau duduk sini, jadi orang gaji aku!” ~ Jad Izzuddin

“Kalau setakat kau nak aku masuk bilik kau, layan kau, tak mengapa Jad, aku akur. Tapi, aku tak akan benarkan kau lukakan hati anak aku sepanjang hidupnya. Jangan buat system barter dengan membabitkan perasaan Kif. Kif langsung tak salah apa-apa.” ~ Banin Arumi.


Kak Chik menukil:

Karya terbaru daripada novelis terkenal Fauziah Ashari ini memang tidak mengecewakan kerana Kak Chik sering didesak untuk membaca dan membaca hingga ke patah terakhir.

Arumi anak tunggal kepada pasangan Tuan Akalil dan Puan Mayamin. Arumi yang sedang menunggu keputusan SPM telah dihantar ke kampung neneknya sebagai hukuman di atas kesalahan yang dilakukannya. Di Kampung Jiwa, Arumi ditinggalkan bersama dengan nenek dan nenek saudaranya, Nek Aji dan Nek Muya. Nek Aji dan Nek Muya sentiasa mencuba untuk menerapkan nilai-nilai Islam di dalam diri Arumi walaupun Arumi sering saja membentak benci.
Jad Izzuddin pula anak bujang kepada Imam Imran, iaitu imam di kampung tersebut. Jad memang talam dua muka kerana di depan keluarga dia berperangai baik tetapi tanpa pengetahuan keluarga dia seorang yang teramat ‘nakal’ sehingga pernah pecah masuk rumah orang kampung dan mencuri wang tunai RM 15,000.

Kerana sikap mereka berdua, mereka telah ditangkap dalam keadaan yang mengaibkan sehingga keluarga membuat keputusan untuk menikahkan mereka. Jad tertanya-tanya, kenapa dia boleh tertidur di katil dengan cucu Nek Aji dalam keadaan separuh bogel? Arumi pula tetap menafikan yang dia tidak bersalah tetapi keadaan mereka tetap mencurigakan.

Selepas tujuh tahun peristiwa itu, mereka bertemu kembali dalam keadaan yang amat berbeza. Arumi terpaksa kembali ke Malaysia selepas 7 tahun di London, melarikan diri dari segala masalah dan Jad. Jad pula telah menjadi usahawan dengan membuka restoran selepas dua tahun meringkuk di penjara kerana kesalahannya. Namun, dendam di hati mereka tidak pernah padam walaupun setitik.

Arumi terus terperangkap dalam ‘kurungan’ Jad. Jad begitu berdendam dengan Arumi kerana perempuan itu tega melarikan diri tujuh tahun lalu sedangkan dia terpaksa menjual tanah ayahnya dan kehilangan kereta kesayangan demi menyelamatkan maruah mereka selepas diugut Yahya, kawan Jad yang telah berpaling tadah. Apakah yang dijadikan senjata oleh Yahya sehingga Jad sanggup berhabis beribu ringgit?

Pertemuan Arumi dengan Fakhri pula menjadi titik hitam dalam hidup Arumi sehingga Jad sanggup meletakkan maruah Arumi sebagai orang gaji di rumahnya. Dalam masa yang sama, kehadiran Nada yang pada mulanya merimaskan Jad telah menyebabkan Arumi makin terluka. Jad sanggup membawa Nada ke biliknya di depan Arumi tanpa merasa bersalah walau sedikit pun.

Dan…siapa pula yang dalam diam tetap memburu Arumi? Siapa yang membunuh Wilson, kenalan Arumi dari London? Kenapa kebanyakan mangsa bunuhnya hampir menyerupai paras Arumi?

Mampukah kehadiran anak yang dikandung Arumi mencairkan hati Jad yang sudah hampir menerima isterinya itu?

Dan…penyudahnya? Sangat suka kerana setiap watak dalam BBG menerima pembalasan pada akhirnya.

Karya yang sungguh cantik dengan susunan bahasa yang teratur. Perjalanan plot-plot yang kemas dan penuh dengan emosi serta ayat-ayat Quran sebagai peringatan juga tidak melalaikan semasa menyusuri perjalanan selama 12 tahun Jad dan Arumi bergelar suami isteri.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

2 comments:

allikahs lutadiays said...

memang best.. baru pagi tadi habis baca novel nie... kadang-kadang buat kita terfikir tentang kehidupan sendir..

aimie_afifah said...

allikahs: betul tue...siapa kata kita tidak dpt manfaat drp hobi membaca novel chenta ni kan...