May 13, 2011

AS: Cabaran 50 Buku (23) Tajdid Rindumu

Tajuk: Tajdid Rindumu
Penulis: Dyza Ainun
Penerbit: Buku Prima (2011)
661 Mukasurat
Harga: RM25.90(SM)/ RM28.90

Terasa bahagia sangat kalau sudah habis membaca satu-satu novel, tambah bahagia jika novel itu mempunyai jalan cerita yang menarik. Entah mengapa, 2-3 buah novel yang dibaca baru-baru ini, semuanya ada kisah rumahtangga. Baru sebentar tadi juga saya bertanyakan seorang teman, makna ‘Tajdid’ walaupun novel Tajdid Rindumu telah saya habiskan sebelum mengetahui makna disebalik perkataan ‘Tajdid’. Sejujurnya, saya tidak pernah menggunakan perkataan ini dan mungkin tidak akan pernah faham cara menggunakan dalam konteks yang sesuai.

Kalau orang lain bertanya tentang novel Tajdid Rindumu kisahnya bagaimana. Dengan sepenuh hati saya akan bercerita betapa cerita ini ada sedihnya, ada lucunya dan ada geramnya, juga kekaguman dengan cara penulis menampilkan setiap watak sehingga saya yang membacanya dapat merasakan perubahan persepsi dan perasaan terhadap watak V’na, Siti Dalila dan Izzul Hakimi. Dalam kata lain, Tajdid Rindumu memang wajib dibaca oleh semua peminat-peminat novel.



Pada mulanya saya merasa agak bengang juga dengan watak V’na yang tidak menunjukkan kelembutan dan keayuan seiring dengan wajahnya yang digambarkan seperti Datin Nur Juma. Saya juga geram kenapalah dia sanggup menerima pujukan Siti Dalila untuk menjadi isteri kedua Izzul.Malah kegarangannya bertambah berkali ganda setiap kali berdepan dengan Izzul. Selepas menjadi isteri Izzul, V’na tetap tidak pernah menunjukkan muka yang manis kepada suaminya walaupun dilayan bak seorang puteri. Namun, selepas saya mengetahui sebab-sebab V’na sanggup menjadi isteri kedua Izzul, saya cuba memahami situasi yang dihadapinya.Ternyata dia bukanlah tiada pendirian seperti yang saya sangkakan. Selepas dia mengandungkan zuriat Izzul, V’na mula menunjukkan kelembutan terhadap Izzul, malah dia sedar yang dia telah kalah dengan keegoan dirinya sendiri. Disebabkan janji kepada Siti Dalila, V’na berusaha untuk menidakkan atau sekurang-kurangnya tidak menunjukkan rasa cintanya kepada Izzul. Bermula dengan perasaan yang kurang senang dengan watak V’na, saya menjadi sangat bersimpati dengan nasib malang V’na yang diceraikan Izzul dengan talak tiga dan kemudiannya terpaksa mengahwini Syakil demi mendapatkan kembali anaknya.

Siti Dalila yang saya lihat sebagai wantia yang malang dan saya seakan turut merasai betapa hatinya remuk disaat suami menyatakan keinginan untuk menikah lagi.Mempunyai segalanya, malah sangat dicintai Izzul, namun kurangnya dia kerana tidak mampu memberi zuriat kepada Izzul. Disebabkan inginkan zuriat juga Izzul meminta kebenaran untuk berkahwin lagi. Pada masa Izzul memberitahu keinginan untuk berkahwin lagi, saya geram juga. Tidakkah dia memikirkan perasaan isterinya yang mungkin terluka, malah sanggup meminta Siti Dalila untuk memujuk V’na agak setuju menerimanya sebagai suami. Walaupun Izzul berkahwin dengan V’na namun dia tidak pernah sekai-kali mengabaikan Siti Dalila. Cintanya tetap ada kepada Siti Dalila walaupun mungkin tidak seharum kasihnya kepada V’na yang mengandungkan zuriatnya. Hati perempuan mana yang tidak merasa cemburu bila suami berkahwin lagi.Mungkin pada awalnya Siti Dalila masih sanggup menjeruk rasa sakit kerana dimadukan tetapi lama kelamaan Siti Dalila telah hilang pertimbangan yang waras. Saat inilah, mula timbul rasa bengang dengan sikap Siti Dalila yang mula menjalinkan hubungan sulit dengan Syakil dan seterusnya memusnahkan hubungan V’na dan Izzul dengan rancangan jahatnya. Malah sanggup menggunakan Syakil agar menikahi V’na kerana ada agenda dendam yang masih tidak tertunai walaupun Izzul dan anaknya telah menjadi milik mutlaknya.

Hati saya turut tercuit dan tersentuh semasa V’na telah disahkan mengandung. Betapa Izzul berusaha memenuhi semua kehendak V’na apabila dia mengidam.Betapa Izzul sangat menyayangi V’na.Kasihnya berlimpah-ruah kepada V’na walaupun sikap V’na masih selamba di depannya. Paling lucu apabila V’na mengidam untuk menuggang di belakang Izzul.Walaupun muka sudah tebal berinci-inci, namun V’na terpaksa juga menyatakan keinginan yang satu itu.

Namun sudah tertulis, dosa yang dilakukan akan sentiasa mendapat balasan, bezanya cepat atau lambat. Begitu juga derita yang dikirimkanNya kepada kita tidak untuk selamanya, sekadar untuk menduga, kerana pasti ada bahagia yang menanti.

---
Anita Sang

0 comments: