May 20, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (40) Mencari-Suami@JS.Com


Penulis: Normaslina Masri
Penerbit: Jemari Seni Sdn Bhd
ISBN978-967-5118-58-6
Harga: RM 22.00 / RM 25.00
M/S: 617
Cetakan 1 – April 2011

Blurb:

Nama aku unik: Sofea Saloma. Macam primadona. Hidup aku? Tak glamor mana pun. Kerja aku mula jam 9, habisnya jam 9 juga; 12 jam sehari, 5 hari seminggu.

Hari dating dan hari pergi. Sampai aku tak ingat yang umur aku kena tambah SATU setiap kali Januari tiba. Sehinggalah satu hari emak beri aku kata DUA.

Waktu itu, baru sedar umur aku depannya dah ada angka TIGA.

Masa itu aku baru sedar aku ada masalah besar: fasal L-E-L-A-K-I. Sebabnya?

Aku tiada teman lelaki yang biasa-biasa mahupun yang luar biasa!!!

Setelah aku (+ - X ÷)= inilah keputusan yang aku ambil:


Tarikh Iklan : Jumaat, Sabtu & Ahad
Saiz : 2Rx10cm
Edisi (keluaran): Edisi Utara, Tengah, Selatan, Sabah & Sarawak.


Wanita Melayu, beragama Islam, berperwatakan sederhana, 33 tahun, berpelajaran, ingin mencari calon suami yang mempunyai kriteria seperti;
(a) bekerja tetap
(b) berumur sekurang-kurangnya 33 tahun ke atas
(c)bujang/duda sahaja
(d) beragama Islam


Sesiapa yang berminat sila e-mel maklumat peribadi kepada mencarisuami@yahoo.com sebelum 15 Oktober 2010.


*****

Bijak sungguh NORMASLINA MASRI membawa anda ke sana ke sini dalam Mencari-Suami@JS.Com. Genius sungguh ideanya, anda ingin mencuba caranya? Dipersilakan!

Kak Chik menukil:

Tahniah pada penulis kerana sudah membuat Kak Chik rugi bergelen-gelen stok simpanan air mata. Memang la mata asyik merah saja sepanjang membaca kisah Sofea selepas dia berkahwin dengan Aliff.

Sofea Saloma, yang selama ini hidupnya tenang-tenang sahaja tiba-tiba jadi kelam kabut kerana ugutan mak. Mak cuma memberi masa dua bulan untuk Sofea membawa pulang bakal suami jika tidak mak akan menjodohkan Sofea dengan calon menantu pilihan Mak Su. Sofea yang sentiasa sibuk dengan kerjaya sebagai seorang auditor sehingga dia terlupa bahawa umur dia meningkat setiap tahun. Namun apakah kesibukan yang sentiasa menjadi alasan penyebab utama Sofea tiada teman lelaki? Demi mengelak dari dijodohkan dengan teman sepermainan, Sofea meminta bantuan kawan baiknya, Su untuk mencari calon bakal suami untuknya. Lalu keluarlah idea yang genius dari Su iaitu iklan yang disebarkan dalam semua edisi seluruh negara. Kerana tugas Sofea di Sabah selama dua bulan, Sofea telah memberi seratus peratus kepada Su untuk membuat keputusan untuknya. Apakah keputusan yang dibuat oleh Su yang terbaik untuk Sofea?

Dr Aliff Zikri, rupa-rupanya ‘orang itu’ yang telah menjadi asbab Sofea tidak pernah lagi mempunyai teman lelaki. Aliff, duda beranak satu ini telah terpilih sebagai calon bakal suami Sofea yang dipilih oleh Su. Aliff yang lapan tahun lalu meninggalkan Sofea tanpa kata putus dan penjelasan tiba-tiba muncul untuk berebut kembali hati Sofea yang terluka dalam. Apa motif Aliff sehingga dia mengikat kontrak dengan Sofea; jika Sofea menarik diri, 70% daripada gaji bulanan Sofea akan dipotong ke akaun Ain Zulaikha iaitu anak tunggal Aliff dan Zura.

Yusuf, teman sepermainan Sofea yang menjadi calon menantu pilihan Mak Su dan mak. Yusuf yang sentiasa diekori oleh Sofea ketika kecil memang seorang yang lengkap sebagai bakal suami. Yusuf lengkap sebagai calon ketua keluarga, seorang yang kaya kerana mempunyai kebun pisang berelung-relung juga seorang yang kuat pegangan agama. Tetapi kenapa Sofea sanggup menolak calon yang sesempurna Yusuf?

Sham, ‘si manis’ yang sentiasa menjadi gossip di pejabat Sofea. Dan apabila ‘si manis’ memberi tumpuan padanya, Sofea bagaikan di awang-awangan.

Kemelut Sofea makin terhimpit, apabila secara tiba-tiba ketiga-tiga lelaki tersebut bagaikan serentak cuba menarik perhatiannya. Sofea terhimpit dalam dilema dan apa yang pasti dia sudah terjerat dalam permainan yang diciptanya sendiri. Sofea sudah terikat dengan Aliff kerana kontrak tersebut dan juga kerana Aliff yang terlalu terdesak tidak mahu kehilangan Sofea lagi telah mengikat mereka sebagai suami isteri.

Perhubungan Sofea dengan Aliff, walapun sudah setahun berkahwin masih lagi menyimpan rasa hati sendiri. Sofea masih lagi mahu menyembunyi rasa hati terhadap Aliff walaupun rasa cinta sudah kembali lagi di hatinya. Sofea masih mahu membuat Aliff merasai rasa derita yang pernah ditinggalkan Aliff padanya. Lalu apabila Aliff pergi secara tiba-tiba buat kali kedua, kuatkah Sofea untuk menghadapinya? Sedangkan pemergian Aliff tanpa mengetahui bahawa Sofea hamil zuriatnya. Sofea hampir rebah dengan rasa bersalah dan berdosa terhadap suami yang sudah pergi dan kali ini pasti tidak kembali.

Ketika Sofea cuba untuk bangkit dan menerima ujian itu dengan reda, dia kembali diburu oleh Yusuf dan Sham. Dia kembali lemas dengan desakan kehidupan antara untuk membesarkan anak-anak dan kata-kata nista orang sekeliling. Ketegasan Yusuf yang mahu menggantikan tempat Aliff juga makin membuat Sofea tertekan kerana Yusuf sudah pun bertunang. Pelbagai kemelut yang terpaksa dihadapi ibu muda ini demi anak-anak, Ain Zulaikha dan Aliff Imran.

Sanggupkah Sofea menerima lelaki yang tidak dicintai sekali lagi dalam hidupnya selepas Aliff? Tegakah dia berkorban demi Ain Zulaikha yang menderita kerana merindui abahnya?

Sudut pandang Kak Chik:

Sebuah karya yang sarat dengan mainan emosi sebagai seorang wanita yang terpaksa menelan ujian sebagai balu pada umur 35 tahun. Namun begitu, asbab Aliff meninggalkan Sofea 8 tahun lalu tidak digarapkan dengan sempurna. Masih tertanya-tanya kenapa Aliff sanggup meninggalkan Sofea semata-mata untuk bernikah dengan Zura yang baru dikenali tidak sampai 60 hari ketika berkursus di Jepun. Sebab kematian Aliff juga tidak dijelaskan. Jadi pemergian Aliff yang secara tiba-tiba dalam dua situasi yang berbeza tidak dijelaskan secara teliti oleh penulis.

Watak Ain Zulaikha yang sungguh ‘becok’ mulutnya memang antara watak penting untuk menghidupkan jalan cerita ini. Antara watak yang paling berkesan sudah pasti watak Yusuf, watak yang mempunyai kekuatan untuk membuat pembaca jatuh cinta…hehehe… Yusuf memang yang terbaik.

Namun begitu, jalan penyudah yang masih menjadi tanda tanya?

Karya yang sungguh berkesan dan memang membuat Kak Chik insaf kerana kita tidak pernah tahu bila ajal maut akan menjemput, jadi dosa tidak harus disimpan untuk dimohon maaf kemudian hari.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: