May 17, 2011

WA : Cabaran 50 Buku : (14) Kaca Jendela Ainnur

Pengarang : Diya Nordin
Halaman : 414
Tahun : Januari 2011
Terbitan: Jemari Seni Sdn Bhd
Harga : RM18.00 (Sem. M'sia)/RM21.00 (Sabah/Sarawak)
ISBN : 978-967-5118-51-7

Blurb:

Masa itu adalah makhluk Allah yang tak pernah henti berdetik


Seumur hidupnya, dia hanya mahu memenangi hati Syuhairah, mama yang sangat dia rindu walau wujudnya di depan mata. Dari kecil dia sering tertanya-tanya, kenapa dia bagaikan halimunan pada mata mama!

Ainnur Shahirah tidak pernah kenal siapa ayahnya. Sangkanya, apabila bertemu ayah, kurang-kurang dia punya kasih seorang bapa. Tapi dia salah. Ayah seperti mama. Tidak pernah menerimanya sebagai anak.

Dia menjadi daki dalam keluarga. Dia sedar duduk dirinya. Dia akhirnya pasrah, kasih mereka bukan untuknya. Dia harus pergi agar mama dan ayah bahagia dengan keluarga sendiri.

Kata Zhafran, “Ainnur bukan sekadar kejam pada Tok Mama dan Tok Baba. Tapi juga Uncle Luqman. Salah ke mereka hingga turut terhukum?”
Apa yang Zhafran tahu?

Semuanya dia yang tanggung. Rasa pedih, terluka. Semuanya ditelan sendiri. Dia sudah sehabis daya mencuba. Dia pergi pun atas kehendak mereka, jadi apakah dia yang kejam?

* * *

DIYA NORDIN memeta watak Ainnur Shahirah dengan baik sekali. Kaca Jendela Ainnur membawa anda memahami hati seorang perempuan yang tabah. Benarkah hati perempuan itu hening bak kaca?

~~***~~

Rasa Saya

Diya Nordin bukanlah penulis baru bagi saya. Saya ‘kenal’ beliau lewat karya-karya e-novelnya yang pernah saya ikuti suatu waktu dahulu. Saya pernah ber’tunggu-tangga’ di blog beliau menantikan entry terbaharu. Ternanti-nanti sambungan e-novel garapan beliau. Dan salah satunya adalah e-novel Masihkan Ada Kasih. Itu dulu. Masa saya masih punya waktu luang yang banyak. Masa saya ketagih untuk membaca karya-karya e-novel daripada penulis-penulis baru yang berbakat besar. Kini Masihkah Ada Kasih kembali dalam bentuk yang lebih nyaman untuk dibaca. Dalam versi cetak. Dan Kaca Jendela Ainnur inilah hasilnya.

Kaca Jendela Ainnur mengangkat persoalan kasih sayang, persoalan cinta. Ya, elemen cinta masih lagi menjadi rencah utama dalam naskhah ini. Tapi apa yang berbeza adalah ia bukan kisah cinta uda dan dara. Ini kisah cinta antara si anak dengan orang tuanya. Ini kisah cinta yang bersifat tulus dan mulus patutnya. Tapi berlainan sifatnya dalam naskhah ini. Ini kisah si anak yang tidak mendapat kasih sayang yang sewajarnya daripada kedua ibu dan ayah kandung.

Ainnur Shahirah – hadirnya ke dunia ini bagai melukut di tepi gantang pada Syuhairah, mamanya. Dia dibenci oleh ibu kandungnya sendiri. Dia disisihkan oleh ayah yang menjadi asbab dia dilahirkan. Dia bagaikan anak yang terbuang! Walau dia masih punya Uncle-Papa yang menyayanginya. Walau dia punya Umi yang mengasihinya. Tapi dia tetap dipandang sepi oleh mama dan ayah.

Bagi mama, dia lambang masa lalu yang pahit. Bagi ayah, dia racun yang merosakkan kebahagiaan yang sepatutnya ayah kecapi. Ya, dia ’trofi’ yang tidak bernilai. Simbol kehancuran masa lalu mama dan ayah.

Pelbagai usaha telah dia lakukan untuk menagih kasih mama. Dia ceburi ’profesion mama’; guaman, dengan harapan dia punya topik yang boleh didebatkan dengan mama. Tapi segala usaha, segala penat lelahnya, langsung tidak dihargai oleh mama. Jadi apa gunanya dia terus berada di depan mata mama andai kehadirannya hanya bagaikan bayang hitam yang menakutkan mama?

Usai membaca Kaca Jendela Ainnur, saya menarik nafas berkali-kali. Saya rasa bersyukur dan bertuah kerana saya anak yang disayangi oleh kedua orang tua saya. Walaupun tiada ucapan sayang yang terlafaz dibibir mereka, tapi saya tahu saya memang disayangi.

Saya jadi kasihan pada seorang ’Ainnur Shahirah’. Saya turut sama menangisi nasib hidupnya. Alangkah malangnya seorang anak apabila ibu yang melahirkannya ke dunia ini seakan tidak mengiktiraf kedudukannya di hati si ibu. Alangkah pilunya hati seorang anak apabila ayah kandung sendiri, teganya hati melayan si anak bagaikan dia bukan darah dagingnya. YA, Ainnur Shahirah dianaktirikan oleh ibu dan bapa kandungnya sendiri.

Saya sukakan naskhah ini kerana penulis berjaya membuatkan saya larut dalam pembacaan. Saya sukakan bahasa mainan penulis yang berjaya membuatkan pembacaan saya lancar tanpa gangguan. Saya sukakan jalan cerita garapan penulis kerana ia berbeza daripada kisah ’cinta’ klise yang sering saya baca lewat novel melayu dewasa ini; kisah cinta pria – dara. Ini kisah cinta ibu dan anak. Ini kisah tentang kasih sayang antara ayah dan anak. TAPI apa yang saya tidak suka, penulis telah mencuri airmata saya tanpa saya sedar.

Ada rasa sebak mengapung di dada. Sedih mengenangkan nasib Ainnur Syahirah. Saya membayangkan andai saya yang berada di tempat Ainnur Syahirah... aduh tak dapat saya bayangkan! Tapi mungkin anda berbeza daripada saya yang mudah tersentuh apabila membaca kisah sedih lagi menyayat hati. Atau hanya saya yang terlebih emosional apabila membaca kisah Ainnur Syahirah ini?

Entahlah. Apa yang pasti, saya insaf dan saya bersyukur kerana saya anak kesayangan ibu dan ayah saya. Dan tidak mustahil kisah sebegini memang wujud di alam nyata. Lihat sahaja anak yang tidak berdosa di buang bagaikan sampah oleh ibu yang melahirkannya!! Jika ada sifat kasih sayang dalam hati si ibu, mana mungkin dia tergamak membuang darah dagingnya sendiri, ya tak? Dalam naskhah ini Ainnur Syahirah masih lagi bernasib baik kerana masih ada insan yang menyayanginya, masih ada insan yang mengasihinya walau bukan ibu dan ayah kandungnya.

Bacalah. Moga sedikit sebanyak kisah ini menjadi pengajaran pada kita, baik kita ’si anak’ mahupun kita ’si ibu’.

Selamat membaca moga ia bermanfaat.