May 5, 2011

NH : Cabaran 50 Buku : (20) Abang Khai Tomboi

Abang Khai Tomboi
Penulis: Nuraqilah Syuhaida
Terbitan: Fajar Paker
Cetakan 2011

Abang Khai Tomboi mengisahkan tentang seorang gadis yang bernama Khairina yang lebih dikenali sebagai Khai kerana memiliki perwatakan seperti lelaki. Khai seorang yang lasak dan suka berpakaian lelaki. Bekerja sambilan sebagai pelakon, anak kepada seorang ahli perniagaan yang kaya yang boleh diketogorikan sebagai jutawan. Khai mempunyai seorang abang dan juga seorang kakak yang telah meninggal dunia.

Kakak Khai iaitu, arwah Khairiah meninggalkan 3 orang anak, Along, Angah dan Adik. Ketiga-tiganya perempuan. Khai mempunyai tanggungjawab untuk melindungi dan menjaga anak-anak saudaranya itu. Walaupun Khai bersikap seperti lelaki, tetapi, dalam dirinya masih terselit sifat-sifat kewanitaan. Namun, Khai amat malu untuk menunjukkan sifat kewanitaannya itu kepada orang lain.

Kemunculan Rizal iaitu adik ipar kepada arwah Khairiah di rumah Along, Angah dan Adik menyebabkan Khai semakin keliru dengan naluri dan perasaannya. Khai sudah mula menyukai Rizal tetapi Khai tetap dengan penampilannya seperti seorang lelaki. Rizal seorang anggota polis yang tegas. Rizal perlu melunaskan wasiat yang telah ditinggalkan oleh arwah abang dan arwah kakak iparnya supaya menjaga Along, Angah dan Adik.

Persahabatan antara Khai dan Rizal bermula apabila mereka berdua sentiasa berada di rumah di mana Along, Angah dan Adik dibesarkan. Pelbagai insiden lucu dan juga insiden yang tragis berlaku selama Rizal mengambil alih menjaga anak-anak saudaranya.

Rizal terpaksa berhadapan dengan ayah kepada arwah kakak iparnya yang ingin merebut hak penjagaan Along, Angah dan Adik. Rizal juga terpaksa menjalankan tanggungjawab kerjanya sebagai polis di bahagian penyiasatan jenayah berat.

Rizal perlu menumpaskan geng pengedaran dadah yang diketuai oleh ayah arwah kakak iparnya juga ayah kepada Khai. Rizal jadi semakin serba salah dengan situasi yang menghimpit dirinya. Rizal juga semakin keliru dengan perasaan dan hatinya kerana telah jatuh cinta pada Khai. Rizal memang tidak mengetahui bahawa Khai adalah seorang perempuan. Rizal merasakan dirinya tidak normal apabila perasaan suka dan jatuh hatinya semakin menjadi-jadi terhadap Khai terbit dalam dirinya. Akhirnya Along dan Angah menceritakan hal sebenar kepada Rizal dan membuktikan bahawa Khai adalah seorang perempuan. Lega yang teramat sangat, itulah perasaan Rizal apabila mengetahui Khai adalah seorang perempuan dan dirinya adalah normal.

Akhirnya Rizal dan Khai disatukan kerana Ayah Khai mempunyai agenda yang tersembunyi. Khai tidak tahu bahawa Rizal mempunyai perasaan kasih dan cinta padanya. Begitu juga dengan Rizal yang tidak mengetahui dan memahami perasaan Khai padanya. Masing-masing mempunyai ego yang tersendiri. Masing-masing hanya memendam rasa. Alasan untuk Rizal dan Khai berkahwin adalah atas permintaan Ayah Khai. Sungguh hipokrik Khai dan Rizal. Tidak mahu meluahkan perasaan masing-masing.
Rumahtangga Khai dan Rizal aman dan bahagia, tetapi, mereka hidup hanya seperti rakan serumah tidak seperti hidup suami isteri kerana masing-masing menganggap bertepuk sebelah tangan sahaja.

Akhirnya, Rizal dapat menumpaskan geng pengedar dadah yang merbahaya. Tanggungjawab Rizal kepada kerja sudah tertunai. Bagaimanakah tanggungjawab Rizal sebagai seorang suami? Mampukah Rizal memberikan kebahagian kepada Khai sebagai isterinya?

Penulis bijak bermain dengan emosi dan bijak mengatur jalan cerita antara penyiasatan dan percintaan.

Penulis juga pandai menceritakan masalah yang dialami oleh seorang remaja yang kehilangan kasih sayang ibu bapa secara mengejut. Menceritakan Along yang terjebak dengan masalah sosial sebelum kedatangan Rizal dalam hidup mereka tiga beradik. Juga menceritakan Angah yang berwatakan seperti Khai kerana terikut-ikut dengan cara hidup Khai.

Seorang perempuan yang berwatakan seperti lelaki juga mempunyai hati dan jiwa yang lembut, mereka juga mampu untuk berubah kearah kebaikan dan menjaga sebuah keluarga yang agak besar.

---
noor hekmat

2 comments:

Anonymous said...

sye suka sgt citer ni

siti nadzirah said...

dh baca citer ni..sgt besh dan sempoi
waktu diberitahu umur writernya baru 18 thn, siyes..i'm amazed :D