May 25, 2011

MB : Cabaran 50 Buku : (22) Perempuan Politikus Melayu


Judul : Perempuan Politikus Melayu
Penulis : Faisal Tehrani
Terbitan : Zebra Editions Sdn Bhd
ISBN : 983-2617-25-5


1. "Tidak syak lagi, sejauh ini, suaranya, suara menentang yang cuba mencari kewarasan setiap peristiwa yang sedang berlaku diseputarnya." SN Dato' A. Samad Said.

2. "Faisal adalah antara sasterawan muda era alaf baru yang memperlihatkan potensi yang besar." SN Dato' Shahnon Ahmad.

3. Novel ini adalah sebuah penentangan penulisnya terhadap kekotoran, kejelikan, kebobrokan, dan kelucahan pemain-pemain politik yang rakus dan gila kuasa serta kecanduan takhta.

4. Ditulis oleh seorang anak muda remaja (ketika itu) yang jengkel dengan peristiwa demi peristiwa yang berlaku di dalam negaranya, yang sering menindas masyarakat ramai dan memenangkan politikus-politikus yang rakus.

5. Berulang-ulang kali diulang di dalam novel ini bahawa ia bukan sebuah sindiran untuk menjatuhkan seseorang bahkan novel ini disifatkan sebagai sebuah cerminan terhadap apa yang sedang berlaku. Dirakam semula dan dimuatkan sehingga menjadi Perempuan Politikus Melayu.

6. Berkisah mengenai seorang ahli politik, Datuk Zuri, dalam usahanya mengekalkan kuasa dan pengaruhnya. Sanggup berbuat apa sahaja untuk itu, merasuah, memeras, bahkan membunuh sekali pun.

7. Juga mengenai Irfan Abdullah, seorang wartawan yang bercita-cita untuk menulis sebuah novel mengenai kehidupan seorang perempuan lacur. Dan perempuan lacur itu dimainkan oleh watak Jenny. Seorang penyanyi dan pelacur kelas atasan dan sekali gus menjadi perempuan simpanan Datuk Zuri.

8. Naratifnya dibina dengan lambakan beberapa kisah yang terpisah sebelum kesemuanya bertemu dan terjalin atas nama politik, politikus yang rakus. Penduduk kampung yang berang kerana tanah mereka dirampas oleh Datuk Zuri, perempuan lacur yang benci dengan lelaki dan cuba menjatuhkan Datuk Zuri, dan dunia akhbar yang dibeli serta dimanipulasi demi kepentingan Datuk Zuri.

9. Semua kisah itu secara dasarnya menjurus kepada 'aktiviti-aktiviti' seorang politikus bernama Datuk Zuri. Sekali lagi dinyatakan, bahawa cerita ini bukan menyindir, tetapi adalah cerminan.

10. Novel ini bagai satu permainan puzzles yang besar, yang tidak sempurna. Para pembaca harus mengambil puzzles-puzzles tertentu dan disusun agar menjadi sebuah gambaran yang tepat, yang mengikut susunan dan teratur logiknya. Ini kerana plot-plot novel ini tidak dituliskan mengikut kronologinya.

11. Awalnya watak A dibunuh. Kemudiannya watak A sedang bersama watak B. Watak B pula dibunuh, kemudian diceritakan watak B bersama C pula. Begitu agaknya kalau boleh dicontohkan.

12. Bukanlah sesuatu yang baru jika membaca karya yang menggunakan teknik imbas kembali seperti ini. Bahkan telah sering novelis-novelis lain bereksperimental dengan cara ini. Namun yang mungkin agak sukar pada novel ini ialah cara mengenai sesuatu peristiwa itu diingat kembali. Tanpa amaran, atau tanpa perenggan baru, pembaca dibawa ke masa lalu, ditambah lagi dengan kesalahan ejaan, dan penggunaan tanda dialog yang 'banyak salah'.

13. Tetapi kelemahan-kelemahan cetakan seperti itu tidak pula melemahkan karya ini. Saya seperti terimbas pada novel Hujan Pagi-A. Samad Said dan Sutan Baginda-Shahnon Ahmad ketika menekuni Perempuan Politikus Melayu-Faisal Tehrani ini. Bagai merasa selepas membaca Hujan Pagi dan Sutan Baginda, Faisal mencantumkan dan memadankan keduanya sehingga terlahir novel ini.

14. Kesemuanya mengenai kerakusan politikus.

15. Novel ini adalah sebuah novel lama, ditulis dan diterbitkan beberapa tahun yang lalu. Mungkin sukar untuk bertemu dengan novel ini di kedai-kedai buku popular.Juga belum lagi terdengar ada penerbit mahu menerbitkan kembali novel ini seperti karya-karya lama Faisal Tehrani, seperti Rahsia Ummi dan Maaf Dari Surga. Mungkin kerana novel ini sedikit 'berani' membelasah orang-orang politik atau kerana menyamakan politician dan prostitute atau mungkin juga novel ini terlalu sangat mencarutnya, perkataan-perkataan seperti babi, anjing, bodoh, sundal, sial, shit, merata-rata di dalamnya juga sedikit babak-babak bernada erotik di sana sini menyebabkan penerbit kini memikir beberapa kali sebelum menawarkan terbitan semula.

16. Apa-apa pun, kehidupan di alaf baru ini sering memberi kita pilihan alternatif. Boleh dicari di kedai-kedai buku online. Saya membelinya lewat laman Ujana Ilmu, namun carian terkini, stok novel ini sudah tiada di sana. Mungkin boleh cuba mencari di mudah.com pula.

17. Sebuah karya yang baik, dengan gaya bahasa penulisnya yang membuat pembaca payah sekali untuk berhenti membacanya. Wajar dimiliki. Semoga beroleh manfaat daripada bacaan.

---
Melihat Buku

2 comments:

Anonymous said...

Assalamualaikum. I came across your blog when I updated my status in Goodreads Malaysia and it had led to this particular entry. Am a big-time fan of fasisal tehrani's and wondering where did you get 'perempuan politikus melayu' from? have been searching high and low for this book. will be waiting for your reply. syukran! --cikyah75-

melihat buku said...

Alaikummusalam wbt,

1. Perempuan Politikus Melayu sebuah novel yang lama, memang sukar untuk berjumpa.

2. Saya telah google bermacam-macam kedai buku online, tapi tak ada.

3. Dan selalunya jika tidak berjumpa, saya akan sama ada ke mphonline atau ujanailmu, menghantar emel bertanya mengenai buku yang dicari itu. Kalau bernasib baik, mereka akan mencarikan buku tersebut untuk kita.

4. Atau boleh cuba mencari di kedai buku terpakai. Kalau di Penang, dekat Pasar Chowrasta. Atau di KL, jualan hujung minggu di Amcorp Mall. Dan beberapa lagi kedai buku terpakai yang ada, biasanya mereka akan jual buku-buku yang jarang ada di pasaran.