May 10, 2011

A&N : Cabaran 50 Buku : (14) Kasih Antara Kita

Kasih Antara Kita
Norisah A. Bakar

ISBN: 9789838938846
Penerbit: Creative Enterprise Sdn Bhd
Tarikh Terbit: Cetakan Pertama 2008
Halaman: ~ 584
Harga: RM 19.90

~ Rasaku… ~

Ini novel kedua tulisan penulis Kota Singa yang ada dalam simpanan. Langsung teringat catatanku dulu tentang karenah penduduk flat :D Jadi berbekalkan KAK, dapat jugalah mengintai kisah penduduk Melayu di sana.

Nur Asyikin [Syikin] bukan seperti watak heroin biasa. Dia gadis yang biasa-biasa saja. Tak pandai sangat, bukannya kaya malah cantiknya pun dianggap kurang daripada adiknya; Nur Suraya [Yaya]. Namun bukan itu persoalannya. Bukankah cantik itu subjektif? :D

Syikin pernah menyandarkan harapan pada Zulkarnain. Keakraban mereka memang ramai yang mengetahuinya. Kerana selesa dengan Zulkarnain, hatinya menyimpan rasa cinta. Sayangnya ia ditolak mentah-mentah oleh lelaki itu. Hati Syikin tercalar. Sedar akan kedudukan dirinya yang tak setanding Zulkarnain. Sikap Zulkarnain yang makin menghindarnya begitu mengecewakan. Memahami isyarat yang diberi, Syikin mula menjauhi.

Pemergian Zulkarnain ke Australia titik-tolak untuk Syikin membina hatinya kembali. Sudah dia tinggalkan cinta yang tak terbalas. Belajar menerima takdir walau ada masanya dia tewas juga melayan perasaan. Zulkarnain pula sebaliknya mula rasa menyesal. Mula merindui Syikin. Dia cuba mengintai peluang, cuba mendampingi Syikin kembali. Alahai! Lelaki seperti Zulkarnain memang mengecewakan. Sepatutnya menghargai si dia yang ada di depan mata, bukannya tercari-cari bila dia sudah tiada.

Syikin berkeras tentang hatinya kali ini. Lagipun sudah ada seseorang yang bisa membuatkan jantungnya berdetak lebih kencang. Ahmad Zakuan memang misteri. Kemunculannya bukan saja membuatkan Syikin itu ternanti-nanti malah aku juga *wink* Ahmad Zakuan tidak banyak bercakap tetapi tiap bicaranya menyengit. Dalam serius ada sendanya. Dalam dingin ada mesranya. Tahniah Kak Nor kerana mempotretkan Ahmad Zakuan dengan indah :D

Keluarga Syikin merupakan keluarga Melayu Singapura yang sederhana tetapi ibunya seorang yang agak berlagak. Sanggup berhutang untuk kelihatan lebih hebat daripada jiran sekitarnya. Dan di atas sebab itu Syikin menyemat cintanya diam-diam di dalam hati. Dia cukup faham yang ibunya mahu setiap anaknya mendapat jodoh yang berharta. Apatah lagi kakaknya; Nur Amira dan Yaya berkahwin dengan lelaki yang berada. Jika nak dibandingkan dengan Ahmad Zakuan yang kurang dipandang ramai itu memanglah jauh bezanya.

Namun selepas kematian ayah Syikin membuka mata ibunya. Dengan pelbagai musibah yang berlaku membuatkan keadaan mereka sekeluarga tidak tenang lagi. Syikin sebagai anak kedua memikul tanggungjawab yang ditinggalkan. Bantuan yang dihulurkan oleh Ahmad Zakuan menyebabkan ibu Syikin mula sedar. Kebahagiaan tidak datang bersama wang ringgit.

Melihat watak Nur Asyikin terasa seperti melihat diriku sendiri [perasan lebih! Sila abaikan :P]. Tetapi seperti kata Syikin cinta bukanlah rasa mutlak yang boleh membawa kita ke mahligai perkahwinan. Mungkin aku pesimis tetapi bagiku cinta saja tidak memadai untuk hidup bersama. Apatah lagi tanpa restu keluarga.

Happy reading (^-<)
---
Airina

0 comments: