May 20, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (39) Blues Retro

Penulis: Imaen
Penerbit: JS Adiwarna Sdn Bhd
ISBN978-967-0201-14-6
Harga: RM 17.00
M/S: 351
Cetakan 1 – 2011

… empat semester yang indah…

Blurb:

Nasi lemak buah bidara,
Sayang selasih hamba lurutkan;
Buang emak buang saudara,
Kerana kasih hamba turutkan.

“Ghazi, kita kahwin lari!” kata Nik Farhana.
Hampir tersembur jus tembikai daripada mulut Ghazi.
“Apa dia?”
“Kita kahwin lari.” Suara Nik Farhana berbunyi serius.
“Hana jangan main-main!”
“Saya serius ni!”

Berjayakah Ghazi, siswa antropologi dan Nik Farhana, siswi perubatan di Universiti Lembah Pantai kahwin lari ke sempadan Siam?

*****

IMAEN memang diakui pembacanya sebagai penulis yang punya bahasa yang mantap lagi tajam. Kini Lulusan Sarjana Muda Ekonomi daripada Universiti Malaya beralih arah, bertekad mahu ‘memperkenalkan semula’ sastera indah dan berisi pada generasi MTV dan Facebook.

Kak Chik menukil:

Tabik dua tangan pada Saudara Imaen kerana Blues Retro yang penuh dengan rasa kehidupan. Apa yang dicari sudah cukup lengkap dalam karya ini. Manis, masam, pahit, kelat, masin, pedas, tawar; semua teradun sebati hingga tiada yang perlu ditambah lagi.

Perjalanan hidup Ghazi, siswa antropologi yang memasuki ULP dengan kelayakan minima kuota bumiputera. Perjalanan Ghazi penuh berliku selepas dia tidak mendapat tempat di kolej universiti selepas pergaduhan dengan JKO semasa minggu orientasi. Ghazi telah menyewa rumah di kawasan setinggan bersama-sama 3 lagi siswa yang lain antaranya Alias, teman yang sama daerah walaupun mereka tidak pernah bertemu ketika belajar di kampung dulu. Alias yang turut dikenakan tindakan kerana cuba mempertahankan Ghazi ketika pergaduhan minggu orientasi dulu turut menerima nasib yang sama seperti Ghazi.

Mereka bukanlah orang senang, Ghazi yang sedari kecil hidup susah kerana orang tua susah selalu menjadi bahan hinaan orang tetapi bagi dia itu bukanlah apa-apa selagi maruah diri tetap terpelihara. Lalu dengan bantuan kawan-kawan yang bersimpati, Ghazi dan Alias telah membuka gerai burger yang diberi nama Wrap n Roll Express. Mereka berniaga pada waktu malam untuk menampung kehidupan dan pelajaran. Malahan dengan gerai itulah, Ghazi mampu menghantar yang saku kepada keluarga di kampung. Ghazi yang berpewatakan yang dari yang lain, dengan rambut panjang mencecah kolar baju, jaket jeans dan berbasikal ke kampus tidak seperti pelajar lelaki yang lain itu juga mempunyai pegangan hidup yang jitu. Ghazi masih menjaga batas-batas seorang muslim walaupun dia selalu berdua-duaan dengan Nik Farhana.

Pertemuan Ghazi dan Nik Farhana untuk aktiviti berkumpulan ketika minggu orientasi telah menjadikan mereka teman tetapi mesra. Perhubungan mereka tidak pernah diikat oleh kata janji seperti uda dan dara sehinggalah apabila terdapat gangguan daripada Tengku Kudin, sepupu Nik Farhana yang sudah lama menyimpan hati pada Nik Farhana.

Ghazi juga seorang siswa yang menyokong setiap pergerakan untuk membantu orang miskin. Ghazi begitu menjaga martabat orang Melayu kerana baginya bangsa Melayu adalah bangsa yang bertamadun. Penglibatan Ghazi ketika demo untuk membantu penduduk Kuala Krai, Perak telah menjadi asbab dia dibuang universiti.

Lalu, apa yang akan terjadi pada nasib berhubungan mereka? Tegakah Ghazi meninggalkan Nik Farhana setelah dia dihina sehingga sehina-hinanya oleh bonda kekasih hatinya itu? Sanggupkah Nik Farhana menerima Tengku Kudin sebagai pengganti Ghazi?

Sudut pandang Kak Chik:

Terus-terang pada Kak Chik, Blues Retro adalah karya yang terbaik yang pernah Kak Chik baca antara Seikat Kembang Merah dan Labyrinth tetapi yang teratas masih juga Vandetta. Blues Retro bagaikan lukisan yang menterjemahkan pandangan penulis tentang isu-isu yang jarang dikupas oleh penulis masa kini. Pandang yang telus dan berkeyakinan tentang isu-isu atau hak-hak siswa ketika di universiti juga diolah dengan begitu mantap. Dan secara jujur, jika tidak kerana membaca Blues Retro sudah tentu Kak Chik masih ‘buta’ tentang ‘perjuangan’ yang tidak pernah terhenti ini.

Kemunculan Saudara Soleh dan Saudari Noor Suraya juga satu bonus juga pada sesiapa yang ‘mengenali’ mereka.

Tahniah pada penulis yang sentiasa berani memaparkan isu-isu yang berat walaupun dalam karya ‘kecil’ ini. Yang penting, mesej tetap sampai.

LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: