Tajuk : Indahnya Takdir (KLIBF 2011)
Penulis: Syikin Zainal
Penerbit: Buku Prima
470 Mukasurat
Harga: RM19.90 (SM)/ RM22.90 (SS)
Sebenarnya sudah 2 novel yang dibaca sebelum novel ini. Tapi disebabkan kurang selesa untuk memberikan ulasan maka saya biarkan saja. Mungkin lebih baik begitu daripada saya memberi ulasan yang tidak jujur.
Kalau menurut penulis, Indahnya Takdir ditulis setelah mendengar sendiri kisah yang benar-benar terjadi terhadap seorang gadis. Mungkin bagi pembaca yang lebih sentimental, pasti akan mengalirkan air mata tika membaca penderitaan gadis bernama Hartini. Hartini gadis sunti yang cantik telah dirogol oleh Kamarul, kemudian mengandung dan apa yang lebih teruk lagi dia menjadi mangsa tipu muslihat Kamarul dan Hakim sepupunya sendiri yang buta kerana harta dunia.
Tidak dapat saya gambarkan keadaan Hartini semasa ayahnya meninggal dan pada masa yang sama anak yang dikandung juga meninggal. Sungguh tragis kerana sepatutnya, masa itulah suaminya Hakim ada bersama tetapi semuanya dia harungi sendiri kecuali Pak Longnya saja yang sentiasa bersama. Memang pada bahagian awalnya saya begitu terkesan dengan nasib malang yang menimpa Hartini. Kalau iman tidak seteguh mana, mana mungkin dia mampu bertahan dengan dugaan yang datang bertimpa-timpa sehinggalah dia berjaya melanjutkan pelajaran ke USM.
Sebenarnya saya tidak mungkin membenci watak Hartini yang sentiasa mengambil sikap memaafkan setiap perbuatan kejam orang lain terhadapnya. Ini kerana walaupun bersikap pemaafnya itu bukanlah bererti dia gadis yang lemah kerana dia juga gadis yang paling tabah.
Saat cinta hampir bersatu dengan Iskandar Kamel, sekali lagi Hartini diuji. Bersama Iskandar Kamel bererti dia akan sentiasa dibayangi oleh Kamarul yang pernah merogolnya. Mungkin sudah ditakdirkan yang Iskandar Kamel hanyalah cinta pertamanya tetapi bukan yang terakhir. Jadi siapakah pilihan Hartini sebagai cinta terakhirnya?
Kalau diteliti satu persatu watak-watak antagonis dalam novel ini, kita akan sedar setiap satunya akan mendapat balasan cuma bezanya cepat atau lambat. Faizal, lelaki yang membantu membawa Hartini kepada Kamarul untuk dirogol adalah watak yang paling awal insaf dan bertaubat dan kemudiannya meninggal kerana kanser hati. Hakim yang bergelar suami kepada Hartini dan sepatutnya melindungi Hartini tetapi ternyata tidak ikhlas kerana dia telah dibayar untuk menikahi Hartini. Namun selepas dia berkahwin dengan Intan, buah hatinya, dia tetap tidak bahagia dan akhir sekali dikhianati Intan sehingga menyebabkan dirinya menyesali setiap perbuatannya terhadap Hartini. Namun bagi saya Hakim dan maknya Siah sangat beruntung kerana berpeluang mendapat peluang kedua untuk merasa bahagia. Begitu juga dengan Kamarul yang sangat liat untuk bertaubat walau sudah dikurniakan seorang isteri yang sangat baik dan anak-anak yang comel.Namun akhirnya dia kalah dengan Hartini yang sentiasa bersyukur dengan ketetapanNya dan sentiasa memaafkan walau sekejam mana perbuatan Kamarul terhadapnya.
Penampilan setiap watak juga agak menarik kerana setiap watak-watak itu saling berkait antara satu sama lain.
Bagi saya, novel ini sangat sesuai untuk jiwa-jiwa yang pernah merasa tidak tertanggung derita jiwa kerana melalui watak Hartini anda akan menemui kekuatan dan ketabahannya menempuhi onak duri dalam kehidupan yang dilaluinya.
---
Anita Sang
May 6, 2011
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment