May 1, 2011

Aimie: Cabaran 50 Buku: (31) Cucur Bawang & Kopi 'O'

Penulis: Hasrudi Jawawi
Penerbit: Buku Prima @ Grup Buku Karangkraf
ISBN 978-967-0184-10-4
Harga: RM25.90 / RM28.90
M/S: 709
Cetakan 1 & 2 - 2011

Hadirnya kau dalam hidupku membawa sinar baru. Andainya kau tahu kumenyintaimu, kupasti dirimu takkan tegar melukaiku.

Blurb:
Siapa sangka, cucur bawang telah mempertemukan mereka dalam satu ‘sketsa perang’ di tepi jalan. Dari insiden itu mereka bagai dijodohkan untuk bersua lagi. Kerana terdesak, Rudiana terpaksa berkahwin dengan Iskandar dalam rahsia atas dasar kerja semata-mata. Bila sudah duduk serumah, mulalah berputik satu perasaan aneh dalam hati mereka walaupun masing-masing masih keras kepala. Perkahwinan mereka hanya sekadar di atas kertas dan terus menjadi rahsia. Kemunculan Khairulnizam membuat Iskandar gelisah bila kawan baiknya itu tertarik hati dengan Rudiana. Mampukah Iskandar melihat isterinya menjadi kekasih kawan baiknya sendiri?

“Esok ajelah, hari dah malam. Aku perlu kuat. Esok aku perlu luahkan padanya yang aku memang betul-betul cintakannya. Walaupun cinta aku ditolak, aku kecewa dengan bergaya. Dan bukannya loser bak kata Fauzan pagi tadi. Kenapalah isteriku perlu jadi kekasihmu Nizam?” ~ Iskandar

Andai bisa kau aku miliki, akan aku laksanakan kau bagai bulan. Akan kunanti setiap hari. Akan kurindu setiap waktu. Walaupun cahayamu terkadang kelam. Serimu tidak pernah berbalam. Andai kau laksana bulan, aku pula laksana mentari. Saling berkongsi cahaya, mengindahkan siang dan menyerikan malam. Kau begitu indah di mataku. ~ Khairulnizam

Cinta, tidak pernah celik menilai manusia. Sesiapa pun boleh merasai cinta. Sesiapa pun layak jatuh cinta. Yang pandai menilai, hanyalah hati. Mata pun, boleh jadi buta kerana cinta. Kalau dah cinta, seburuk mana pun dia di mata insan lain, dia tetap cantik di mata kita. Itulah kuasa cinta. ~ Rudiana

Kak Chik menukil:

Sejujurnya, teramatlah jarang Kak Chik membawa novel cinta komedi romantik ni. Mungkin selera Kak Chik yang dah ‘tua’ dengan genre cinta yang serius. Jadi berhari-hari novel ni Kak Chik kelek untuk membaca ke ayat yang terakhir.

Pertemuan pertama Rudiana dan Iskandar sudah meninggalkan kenangan yang bukan sedikit. Perwatakan Rudiana yang seperti lelaki membuat Iskandar tertanya-tanya identiti sebenar gadis tersebut. Selepas pertemuan itu, mereka bertemu lagi dalam suasana yang berbeza dan Iskandar mengambil kesempatan tersebut untuk mengugut Rudiana yang telah menendang dirinya pada tempat yang tidak sepatutnya pada pertemuan pertama mereka.

Kealpaan Rudiana kerana terlalu teruja untuk mendapatkan gaji yang tinggi selepas menganggur menyebabkan dia terjebak dengan perjanjian perkahwinan bersama Iskandar. Rudiana tidak mampu berbuat apa-apa selain bersetuju dengan segala syarat tersebut selepas dia menandatangani surat perjanjian tersebut tanpa membaca isi kandungannya. Status sebagai isteri Iskandar terus menjadi rahsia dan Rudiana juga perlu duduk di rumah Iskandar untuk menjadi pengasuh anak-anak tiri Iskandar, Maisarah dan Harez.

Iskandar pula telah berjanji antara mereka tidak akan terjadi apa-apa kerana Iskandar sudah serik untuk bercinta lagi selepas dua kali kecewa. Walaupun mereka cuba untuk menafikan perasaan masing-masing tetapi selepas setiap hari bertemu dan tinggal serumah, hati mereka mula terusik dengan perasaan aneh. Namun begitu mereka tetap menegakkan ego sendiri.

Kemunculan Amanina, bekas kekasih Iskandar yang kembali menagih kasih Iskandar mula menjadi beban kepada Iskandar. Selepas Amanina, Zakiah pula muncul untuk menuntut anak-anaknya, Maisarah dan Harez. Iskandar terpaksa akur kerana tidak mempunyai hak untuk memisahkan seorang ibu dengan anak-anaknya selepas Zakiah sudah berubah. Pemergian Mai dan Rez, secara tidak langsung melucutkan jawatan Rudiana sebagai pengasuh di Teratak Iskandar.

Peristiwa-peristiwa selepas itu semakin mencetus konflik antara mereka walaupun ikatan suami isteri tidak pernah terlucut. Khairulnizam yang terang-terang menyukai Rudiana juga menyebabkan Iskandar serba salah untuk mengakui cintanya pada Rudiana. Kemalangan kecil yang melibatkan Amanina telah mengikat Iskandar sehingga Rudiana makan hati dan meminta Iskandar melucutkan status isteri pada dirinya.

Kegedikan Amanina sungguh menyebabkan Kak Chik sakit hati sepanjang membaca novel ini. Sangat tidak suka pada kawan baik Amanina iaitu, Liena yang berkerjaya sebagai guru tetapi perangainya yang tidak beretika itu memang teruk sekali di mata Kak Chik. Tidak pasti pula apa yang menyebabkan Liena terlalu mengikut segala kemahuan Amanina. Tindakan Khairulnizam juga bagaikan lembu dicucuk hidung apabila segala kehendak Amanina dituruti.

Pada Kak Chik, membaca novel ini membuat kita terbuka mata. Kerana cinta Amanina hilang pertimbangan sehingga dia sanggup terhegeh-hegeh dan tergedik-gedik untuk meraih kembali cinta Iskandar. Khairulnizam pula sanggup berkorban sehingga hampir menikam kawan baik sendiri demi memberi kebahagian dan kegembiraan kepada Amanina.

Kak chik tertanya-tanya juga, kenapa kebanyakan watak-watak dalam novel ini dijelmakan sebagai anak yang tidak mempunyai ibu bapa atau keluarga? Apakah lebih senang untuk membentuk plot cerita apabila tiada campur tangan ibu bapa atau keluarga?

Pengakhiran yang manis dan lebih suka karektor Iskandar jika dia menjadi sedikit tegas dalam menyelesaikan masalahnya dengan Amanina.


LiFe iS a LoNG JouRNeY
-Kak Chik-
(^__^)

0 comments: