May 10, 2011

E : Cabaran 50 buku : (2) Soalnya Hati

Buku: Soalnya Hati
Nukilan: Nurul Syahida
Halaman: 339
Terbitan/Cetakan: Buku Prima / Cetakan Ketiga - 2009

Pertama kali membaca novel Nurul Syahida, Aku kan Novelis, membuat saya kerapkali mencari novel-novel penulis ini di kedai buku. Dan bila terjumpa saja Soalnya Hati, tanpa berfikir panjang, saya terus menjadikannya salah satu koleksi saya. Pastinya, harapan saya tinggi untuk Soalnya Hati kerana, pada saya, Aku kan Novelis adalah antara novel yang cemerlang. Sekurang-kurangnya, Soalnya Hati perlu sama taraf dengan Aku kan Novelis.

Soalnya Hati membawa kisah persahabatan antara Zulaikha dan Nurain. Bersahabat baik sejak dari sekolah, dan kemudiannya menyambung pelajaran di universiti dalam jurusan yang sama membuat mereka bertambah rapat. Zulaikha selalu menjadi pendorong Nurain tidak kira masa dan Nurain selalu saja menceriakan Zulaikha. Dan seperti sahabat baik yang lain, mereka sentiasa mempunyai minat dan hobi yang sama. Membuatkan mereka kelihatan sebagai pasangan sahabat yang ideal.

Malangnya, dek mempunya minat yang samalah juga, membuatkan mereka berpisah. Persahabatan mereka teruji apabila bakal tunang Nurain, Faizal beralih arah pada Zulaikha dan membuat Nurain berpatah arang dengan Zulaikha. Keputusan drastik Nurain untuk memutuskan persahabatan dengan Zulaikha kerana kecewa atas apa yang berlaku dan seterusnya menyambung pelajaran di universiti yang lain, mengecewakan Zulaikha. Bertambah buruk rupanya, Faizal hanya menjadikan Zulaikha sebagai alasan untuk memutuskan perhubungan dengan Nurain.

Kehidupan Zulaikha selepas itu ibarat pelangi berwarna kelabu yang kelam. Tidak ceria dan murung. Mujur Zulaikha ditempatkan sama bilik di hostel dengan Shazana yang ramah. Dari situ Zulaikha berkenalan dengan Maisarah dan Dalilah yang juga dikenali ramai kerana ceria dan ramah. Membuat hati Zulaikha sedikit terubat.

Perjalanan hidup Zulaikha tanpa Nurain bermula dari situ. Di kelas Peace and War, Zulaikha terpaksa diregukan dengan Amar Sufian dan kehidupan Zulaikha sedikit “sengsara” sejak dari itu. Walaupun sedikit sengsara dengan sikap Amar Sufian yang kasar, Zulaikha sentiasa sabar dengan kerenah Amar. Sikap Zulaikha membuat Amar “terpikat” dengan Zulaikha. Namun begitu, Amar mula menghilangkan diri setelah insiden Amar – Faizal. “Persahabatan” Zul dan Pyan turut lenyap disebabkan itu dan sekali lagi, Zulaikha kehilangan.

Seketika lama, hari berganti tahun. Masa berubah, tapi hati tetap teguh. Zulaikha hidup bersama kenangan Amar walaupun disamping Yusrizal. Sikap workaholic Yusrizal membuat Zulaikha kadang-kala terasa tidak dihargai dan perhubungan mereka seringkali menjadi taruhan disebabkan itu. Dilema Zulaikha semakin kuat apabila Amar hadir kembali di dalam hidupnya dan Nurain kembali memaafkan Zulaikha. Sekali lagi, Zulaikha terpaksa membuat keputusan yang merobek banyak hati dan membuat dia kehilangan lagi.

Bagi saya, novel ini tidak secemerlang novel Aku Kan Novelis. Banyak alasan yang diberikan oleh beberapa karektor di dalan novel ini, tidak relevan bagi saya. Alasan Amar ke Afghanistan misalnya, bagi saya agak kartun. Atau mungkin alasan itu akan menjadi relevan jika diolah dengan lebih baik oleh penulis. Selain daripada jalan cerita novel ini seperti mudah dijangka dan sikap karektor utama yang tidak berpendirian membuat saya kadang-kadang terasa sedikit bosan. Walau bagaimanapun, novel ini masih berbaloi untuk di baca.

Oh ya, saya suka quote ini : Some people need to learn that the truth is bitter. Dan saya masih akan mencari novel dari penulis ini.

---
Izyan

2 comments:

RinnTis said...

Soalnya Hati merupakan karya pertama penulis ini. Saya mula mengumpul karya penulis ini selepas membaca Plain Jane. :) Lepas ni nak baca Valentina Nervousa pulak :)

msdaisy said...

Hello Rinn..

Ha, baru perasan dkt Buku Prima ada novel baru Nurul Syahida - Valentina Nervousa.. I will buy this book definitely..

Cuma tak pernah pula jumpa novel Plain Jane..