Apr 21, 2011

AS: Cabaran 50 Buku : (17) Kasihku Arina

Tajuk: Kasihku Arina
Penulis: Mazni Aznita
Penerbit: Buku Prima
710 Mukasurat
Harga: RM25.90 (SM)/ RM28.90 (SS)

Setelah agak lama menyepi dari ulasan-ulasan novel, kali ini sekali lagi saya ingin berkongsi rasa tentang sebuah lagi karya Mazni Aznita yang memang hampir 100% lain dari genre-genre yang biasa saya baca. Kalau ikutkan memang tidak semudah saya menghadam novel-novel yang lain. Namun begitu, walaupun payah, keinginan untuk meneruskan bacaan sentiasa ada walaupun dihambat kesibukan yang bertimpa-timpa sejak akhir-akhir ini. Disebabkan itu juga saya mengambil masa hampir seminggu untuk menghabiskan bacaan. Mungkin golongan remaja akan lebih cepat untuk memahami jalan cerita sebegini.Mungkin juga jiwa mereka lebih cepat sebati dengan jalan cerita sebegini. Tapi jangan pula menganggap yang tiada ibu yang dah beranak dua turut membaca novel ini, kerana sebelum saya memang sudah ada seorang ibu yang sudah meminjam novel ini dari saya. Dia mengatakan novel ini memang menarik dan tidak salah sekali-sekala kita lari dari kebiasaan, tapi yang penting bila membaca novel ini memang kita perlu konsentrasi yang lebih.

Sesekali bila membaca novel ini, saya turut membayangkan seolah-olah menonton cerita Merlin di tv kerana adanya watak Dragonfiet dan tentera-tentera mutan gregor yang hodoh rupanya,ataupun filem aksi Kantonis yang dipenuhi pertarungan terbang sana sini. Kadang-kala terbayang juga cerita X-Men. Tidak perlulah fikirkan kelogikan jalan cerita ini kerana sememangnya kebanyakan cerita berlaku di demensi yang lain walaupun ada sedikit ceritanya di bumi nyata. Nama Dratusia ( tempat watak-watak baik dan juga Lembah Hitam (setara dengan namanya, tempat pilihan watak-watak jahat walaupun ada watak yang tidak begitu jahat ) menjadi latar hampir 80% cerita ini. Namun begitu Dratusia juga mempunyai sedikit persamaan dengan Mandaluyong, Filipina dan Kuala Lumpur, Malaysia dari segi bangunan-bangunannya.

Mengenali watak utama Arina tidak mencukupi kerana terdapat nama-nama watak lain yang saling berkait antara satu sama lain. Untuk meleraikan perkaitan setiap watak, memang novel ini perlu dibaca dari awal hingga selesai. Pada mulanya, saya menyangka mengenali watak Arina sama seperti saya mengenali watak gadis biasa yang cantik ( watak utama ) tetapi rupanya perjalanan hidup Arina lebih rumit dari watak-watak gadis biasa yang jatuh cinta kemudian bahagia. Rupanya Arina adalah seorang gadis dari demensi lain (Dratusia) yang dihantar ke bumi dan dilenyapkan ingatannya terhadap kehidupan lampaunya. Kehadiran Alwiz secara tiba-tiba seringkali menyebabkan jiwa Arina resah. Namun kehadiran Alwiz, Nakhael dan Jerry juga yang telah membawa Arina kembali mengingati kehidupan lalunya.Siapakah Alwiz dalam hidupnya? Adakah Arina sanggup mendapatkan semula ingatannya walaupun mungkin tidak seindah yang disangka?

Kategori novel thriller, scifi dan fantasi yang wajib untuk dibaca. Jalan cerita yang kadang-kala tidak tercapai dek akal namun tidak salah untuk mencari kelainan dalam pembacaan.

catatan : Anita Sang

0 comments: