Nov 29, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (37) Ombak Rindu

Tajuk buku : Ombak Rindu
Penulis : Fauziah Ashari
Keluaran : Alaf 21
Halaman : 563 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ombak Rindu mengisahkan tentang Izzah , gadis yang dijaga oleh Pak cik Taha setelah kematian ibu dan ayahnya. Disebabkan hutang Pak cik Taha , dia sanggup menjualkan anak saudaranya kepada seorang tauke kelab malam.

Di situ , dia bertemu dengan Hariz. Atas permintaan Izzah , Hariz akhirnya membeli Izzah dan akhirnya mengahwini Izzah. Namun kehidupan perkahwinan Izzah tak seindah yang lain. Walaupun perkahwinan mereka sah, ia adalah rahsia dan Izzah dilayan tak ubah seperti perempuan simpanan. Kadang-kadang , dia disayangi dan kadang-kadang dia diherdik dan dipukul tanpa sebab.

Namun sekejam mana pun Hariz , masih ada sayang dalam hatinya buat Izzah. Dia juga turut memberi peluang kepada Izzah untuk menyambungkan pelajaran. Namun kerana cemburu, izzah diberhentikan dari kolej itu. Tidak lama selepas itu , tawaran universiti pula menjelma. Hariz memberi kebenaran dengan beberapa syarat. Dan dengan itu , mereka berpisah buat sementara waktu.

Kemunculan Mila Amylia, anak Tan Sri Rashdan yang juga model menjadi orang ketiga dalam hubungan mereka. Dia adalah calon isteri yang dipilih Datuk Sufiah buat anaknya.

Akhirnya perkahwinan antara Hariz dengan Mila Amylia terjadi walaupun hati Izzah tak rela. Walaupun di dada berita, perkahwinan mereka dikatakan bahagia tetapi realitinya tidak. Hati Hariz masih tetap pada Izzah. Ini menyebabkan Datuk Sufiah mula mengambil langkah , cuba memutuskan hubungan Izzah dan Hariz. Dan kerana fitnah yang dibuat, Hariz meninggalkan Izzah. Pak Dollah cuba menjernihkan kembali dan turut sama meluahkan satu rahsia yang mengejutkan.

Komen Ain Sabrina :

Novel Ombak Kasih adalah novel zaman saya di sekolah menengah dahulu , maksudnya sudah lebih dari 5 tahun. Novel ini antara novel yang agak popular pada zaman itu. Saya terasa macam nak mengulang baca novel ini sekali lagi disebabkan filem Ombak Rindu yang akan keluar pada 1 December 2011 ini. Apabila tengok ‘review’ filem Ombak Rindu yang ditayangkan di TV , ada rasa kecewa yang timbul dengan pemilihan pelakonnya. Mungkin ada yang tak setuju dengan pendapat saya tapi saya sebagai pembaca tegar ingin juga memberi komen.

Watak Hariz yang akan dilakonkan oleh Aaron Aziz, itu bagi saya sudah sesuai. Tiada yang mahu dikomen. Watak Izzah dilakonkan Maya Karin, itu yang ingin saya komen. Watak Izzah diibaratkan gadis muda dari kampung yang sepatutnya dilakonkan oleh ‘gadis yang lebih bercirikan kekampungan’ bukannya dilakonkan oleh ‘wanita yang dialeknya pun bukan melayu’. Watak Mila dilakonkan Lisa Surihani, itu walaupun tidak berapa sesuai namun masih boleh diterima.

Aik, ini sudah jadi semacam ulasan filem pula. Apa-apa pun, membaca novel Ombak Rindu sekali lagi seakan membawa kembali kenangan di zaman sekolah dulu. (^_^)

---
Ain Sabrina

0 comments: