Nov 29, 2011

Ain : Cabaran 50 Buku : (31) Gurindam

Tajuk buku : Gurindam Jiwa
Penulis : Hlovate, Imaen , Noor Suraya
Keluaran : Jemari Seni
Halaman : 496 m/s

Ulasan Ain Sabrina :

Ada 3 kisah dalam Gurindam Jiwa yang berlainan temanya.

Ceritera I : Schubert’s Serenade karya Hlovate

Kisah pendek dari Hlovate membawa watak Ju’a dengan Shah. Kali ini tiada tema percintaan dibawa kerana Ju’a dan Shah adalah adik dan abang walaupun tidak seibu dan sebapa. Pada mulanya, Ju’a amat tidak menyenangi kehadiran Shah sedangkan tiada salah Shah pada Ju’a. Sehinggalah kerana minat yang sama dan kerana muzik, mereka mula ‘kamceng’. Namun di saat mereka menanti adik baru mereka, ada satu peristiwa berlaku. Dalam gembira, ada peristiwa sedih menjelma.

Ceritera II : Vendetta karya Imaen

Kisah ini hanya membawa watak ‘aku’ tanpa nama. Kisah di awal meceritakan serba sedikit kebahagiaan ‘aku’ bersama Lia. Namun kebahagiaan itu tidak lama, apabila satu eksiden berlaku yang menyebabkan Lia pergi selamanya. Dan kerana itu, dia tekad untuk balas dendam. Penyiasatan dibuat dengan bantuan yang lain, membawa dia kepada misteri yang lebih besar. Membunuh seakan menjadi satu lumrah buatnya sampaikan tiada rasa bersalah yang terbit. Berjayakah dia membalas dendam atau ada yang menjadi penghalang? Apakah akhirnya, derita atau bahagia?

Ceritera III : Hati Adriyana karya Noor Suraya.

Kisah Hati Adriyana adalah kesinambungan kisah Tanah Adriyana yang pernah diterbitkan CESB sebelum ini. Kesinambungan kisah Aliya dan Hadi yang telah berkahwin setelah menghadapi musim cinta terlarang di dalam novel Tanah Adriyana sebelum ini. Dan di dalam novel ini, dihuraikan dengan lebih mendalam kisah cinta moyang mereka dahulu, Ku Ahmad Fitri dengan Raden Adriyana. Juga bagaimana keluarga Aliya akhirnya mendapat pembelaan setelah rahsia sebenar terbongkar.

Komen Ain Sabrina :

Ketiga-tiga kisah ini walaupun dikumpulkan dalam Gurindam Jiwa, setiap satunya ada kekuatan dan temanya masing-masing. Seakan tiada ikatan langsung antara cerita ketiga-tiga ini.

Watak Ju’a yang mempertahankan prinsip dan ajaran agama, menjaga aurat antara dia dan Shah amat saya hormati. Ini kerana saya tahu benda itu bukan mudah. Untuk menjaga aurat dengan sepupu pun saya rasa susah, tambah-tambah lagi dengan abang yang hidupnya hampir 24 jam serumah dengan kita. Kisah Schubert’s Serenade ada kekuatannya sendiri walaupun tidak membawa tema cinta sebagai temanya. Tema hubungan persaudaraan membuatkan saya turut rindu pada saudara saya sendiri walaupun realitinya pasti tidak seindah seperti dalam novel.

Kisah kedua agak berat. Kisah dendam, kisah nyawa manusia jadi taruhan. Saya ingin mengiakan kata-kata yang ada ditulis dalam novel ini, orang berdendam adalah orang yang paling sedih. Itu benar, kita akan pasti akan lebih gembira jika kita mudah melupakan dan mudah memaafkan. Tiada yang memberatkan fikiran, fikiran yang ringan membawa kepada kebahagian. Dan kerana itu watak ‘aku’ menjadi watak yang menyedihkan, walaupun dendamnya terbalas, hakikat ‘Lia’ telah pergi masih tidak berubah.

Kisah ketiga boleh buat saya tersenyum sendiri. Saya pernah ada buku Tanah Adriyana. Saya cakap pernah ada, sebabnya buku itu sudah hilang tiada ganti =( . Jadi apabila mengetahui ada kesinambungannya, cepat-cepat saya dapatkan buku ini. Ternyata ia tidak mengecewakan. Membaca kisah ini, seakan membaca kisah cinta 2 zaman, kisah cinta Ku Fitri dan Raden Adriyana, kisah cinta Hadi dan Aliya. Kedua-kedua kisah cinta saya suka.

---
Ain Sabrina

0 comments: